Wednesday, November 17, 2010

Bingkisan Aidil Adha

Hayati Raya Korban Dari Luar Tradisi

SELAMAT Hari Raya Korban atau Aidil Adha daripada saya dan keluarga untuk semua umat Muslim di mana juga berada dan khas buat penjenguk blog Merah Tinta. Alhamudlilah, kita masih diberi kesempatan oleh Allah s.w.t. untuk menyambut dan menghayati perisitwa besar di bulan Zulhijjah ini, peristiwa yang dilalui oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Sebenarnya peristiwa yang dianugerahkan ke atas kedua beranak itulah yang menjadi pencetus ataupun pemula kepada sambutan hari raya aidi adha atau pun hari raya korban ini. Jelas betapa perisitwa yang menimpa ke atas kedua beranak itu begitu besar dan agung sekali dan menjadi perayaan oleh umat Islam.

Ternyata kalau kejadian itu tidak agung dan membawa signifiken ia tidak akan dikenang. Justeru kerana ia penting dan membawa erti dan makna yang besarlah dalam hidup dan mati manusia maka umat Islam akan menyambutnya. Aidil Adha adalah perayaan kedua bagi umat Islam selepas Aidil Fitri atau raya puasa. Kalau raya Aidil Fitri sebagai tanda kemenangan manusia melawan nafsu dan syaitan, raya Aidil adha pula sebagai pernyataan kesediaan manusia melakukan pengorbanan kepada Allah s.w.t. Aidil Adha juga satu penghijrahan zahir dan batin manusia daripada kegelapan kepada kecerahan. Daripada terang kepada ghaib.

Mungkin ada antara kita sudah menyambut raya korban ini sudah lebih setengah abad atau hampir satu abad. Kalau diambil kira dengan jumlah itu sudah tentu kita semua sudah 'laet' menemui apakah falsafah dan juga rahsia di sebalik perayaan ini. Kita sudah pun sepatutnya mengetahui wasiat besar oleh Nabi menerusi perayaan ini dan peristiwa dialami Ibrahim dan anaknya Ismail itu.

Adalah sia-sia kalau kita masih belum menemui rahsia dan falsafahnya. Juga sia-sia kalau kita hanya memahamai erti dan tujuan pengorbanan Ibrahim ke atas Ismail itu tetapi kita tidak aplikasikan ke dalam penghidupan kita anak beranak seharian. Pada saya pemahaman itu tidak membawa makna yang besar dan pengorbanan tanpa mengaplikasikan ke dalam kehidupan tidak akan membawa manusia menghampiri Tuhannya.

Apakah kita secara jujur dan ikhlas pernah bertanya diri sendiri; sudahkah kita melakukan pengrobanan tulen? Apakah pengorbanan hakiki kita sudah berlaku? Dan apakah pengorbanan kita kira-kiranya diterima dan diredha Allah? Pernahkah kita menguji diri sendiri? Atau pun pernahkah kita merasakan Allah menolak persembahan kita?

Sembelih lembu, kambing, itik dan burung itu bukan pengorbanan. Itu adalah lambang pengorbanan sahaja. Ibadat itu sebagai menuruti sunnah Ibrahim dan Ismail saja. Kalau boleh disebut ianya hanya kulit saja tetapi bukan isi. Ia bukan air tetapi fatamorgana saja. Kalau itulah yang berlaku, ini brerti kita hanya melakukan simbol pengorbanan tetapi bukan berkorban. Sesungguhnya tenguk kita tidak akan hilang haus kalau setakat melihat fatamorgana.

Tidak ada makna kita menyampaikan 40 ekor lembu untuk dikorbankan atau sebagai tanda dan simbol pengorbanan kita kalau maksud dan erti sebenar pengorbanan itu tidak wujud. Tidak ada guna langsung malahan sesetengah ulama menganggap perbuatan itu sia-sia dan kurafah pula.

Kita boleh sembelih lembu dan memberi dagingnya kepada fakir miskin. Kita boleh sembelih kambing masak gulai kawah dan pakat makan ramai-ramai. Kita boleh bawa lembu dua tiga buah lori dan berikan kepada sesiapa yang kita suka. Pengorbanan itu hanya setakat itu sahaja, memberi kelegaan sementara dan mengenyangkan perut mereka yang lapar. Itu hanya lambang sahaja.

Apa yang penting kita hayati dan selami, erti dan tujuan pengorbanan itu. Mengambil maksud dan rahsianya. Memetik buah pengorbanan itu untuk dirasai akan nikmatnya. Dalam hal ini pengorbanan paling besar ialah isinya bukan lambang. Kalaupun seseorang itu tidak menyembelih lembu tetapi mengambil iktibar (hakikat pengorbanan) dilakukan Ibrahim dan Ismail ia juga adalah satu pengorbanan.

Ada beberapa ciri atau intipati pengorbanan ataupun hakikat pengorbanan. Antaranya ialah berkorban mengubah sikap, merubah budaya, merubah tradisi dan merubah pemikiran. Perubahan itu nanti hendaklah membawa kepada peningkatan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Secara mudahnya hakikat pengorbanan ialah;

1. Sedia merubah sikap, perangai buruk beralih kepada perangai baik. Meninggalkan sifat mazmumah mengamnbil dan mengekalkan sifat mahmudah. Dalam proses menuakr inilah kita memerlukan pengorbanan ke atas diri dan sikap kita. Pengorbanan merubah ataupun melakukan transformasi ini lebih sukar dan mahal daripada membeli seekor lembu berharga RM3,000 untuk disembelihkan.

2. Sedia melalukan pengorbanan meninggalkan budaya atau amalan yang kuffar, sekular dan bersifat duniawi. Kembali kepada budaya dan amalan hidup yang harmonis bersesuaian dan bertepatan dengan apa digariskan di dalam Quran dan hadith. Dalam bak ini, tidak ada kompromi untuk meneruskan amalan sekular itu kerana ingin menjaga hati mana-mana pihak. Dalam konteks ini hati Tuhan perlu diutamakan untuk dijaga. Apakah kita telah meletakkan Tuhan di atas dan mengawali segala urusan duniawi dan peribadi lainya?

3. Sedia melakukan perngobanan, meleburkan ego, kesombongan dan kecerdikan yang tidak boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Sedia mengorbankan kekayaan yang tidak akan membawa kita ke alam baqa dengan sejahteranya. Ada sebilangan orang merasakan dia cerdik dan dengan kecerdikan itu ia mewah dan kaya raya. Namun ia tidak memberi sedikit pun erti kerana kecerdikan dan kekayaan itu tidak dapat dimanfaat oleh orang lain. Bersedia mengubah pemikiran dan pegangan demikian adalah satu pengorbanan kurba yang sangat sulit dilakukan dan hanya berjaya dilakukan oleh mereka yang benar-benar erti maksud dan difinasi pengorbanan itu.

4. Sedia merubah ideologi bertunjangkan humanisme dan materialisme dan kembali kepada ideolog wahyu. Tidak ada guna kita mempertahankan ideologi huminsime dan materialisme kerana ia jelas tidak membawa kesejahtraan kepada manuia sebaliknya megajak manusia menjadi agah, sombong dan bongkok. Menjadikan mansia terpisah dan hidup secara nafsu nafsi. Selagi kita tidak bersedia melakukan pengorbanan itu, membuang ideologi runtunan syaitan itu maka selama itulah tidak wujud kesatuan (unity) di dalam kelompok manusia.

Makanya sempena dengan ketibaan Aidil Adha yang sedang kita hayati ini sama-samalah kita berazam dan beriktiad untuk melakukan pengorbanan kurba untuk kemaslahatan manusia seluruhnya. Buanglah konsep korban yang tertempa di diri kita selama ini hanya dengan memyembelihkan lembu atau kambing dengan memasakkan erti dan maksud hakikat korban dan pengorbanan. Ingat dan sedarlah apa yang dilakukan itu hanya lambang atau syariah sahaja, tetapi yang penting dalam hal ini kita menghayati hakikat pengorbanan itu sendiri.

Kita perlu faham kenapa tiba-tiba disaat Ibrahim hendak menyembelihkan Ismail tiba-tiba ianya digantikan dengan haiwan! Bukankan ia satu ujian maha besar? Faham dan selamilah maknanya sampai ke hujung tanjung! Apa konotasi hujung tanjung tanyalah para guru mursyid. [wm.kl.9:00 am 17/11/10]

No comments:

Post a Comment