Thursday, December 2, 2010

Sesudah Subuh

Jangan Larang, Tetapi Bimbing Orang Baca Quran

SAYA tidak dengar dengan telinga sendiri bagaimana seorang perwakilan dalam kongres PKR beberapa hari lalu telah membaca terjemahan ayat Quran di dalam ucapan atau perbahasannya. Tidak tahu ayat berapa dan dalam surah apa ayat yang digunapakaikan itu. Tetapi nampaknya perbuatan perwakilan itu sudah dijadikan isu oleh pihak tertentu.

Disebabkan saya tidak mendengar sendiri dari konteks bagaimana ayat Quran itu digunakan, maka tidak dapat saya nak mengulas atau memberi pandangan saya berhubungan tindakan berkenaan. Kalau berdasarkan ulasan pihak tertentu yang anti PKR membayangkan tindakan perwakilan itu satu kesalahan besar. Ia seolah-olah seperti menghina kesucian ayat-ayat Quran dan satu perbuatan tidak patut.

Ia dilihat kotor dan hina lebih hina dan kotor daripada melihat lelaki Islam berganding tangan dengan pelacuran di sekitar ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Cuma biarlah saya menganggap apa yang dilaporkan itu benar - bahawa perwakilan berbangsa India itu menggunakan ayat Quran sebagai mengukuhkan hujah ataupun perbahasannya. Benar dia membaca tafsiran Quran untuk dijadikan panduan dan peringatan kepada para perwakilan.

Sebelum ini seorang pemimpin DAP di Perak pernah menggunakan atau membaca ayat Quran di dalam ceramahnya. Tindakan itu dikecam hebat oleh para agamawan bersongkok mereng dan juga memakai serban merah. Katanya tindakan itu tidak patut dan satu penghinaan kepada Islam. Maka pemimpin DAP itu direjam dengan seribu kata-kata nesta siang dan malam termasuk oleh seorang mufti.

Saya sendiri mengkritik tindakan pemimpin DAP itu. Bagaimana pun Tok Guru Nik Aziz menyatakan ia bukan kesalahan, malahan tindakan itu satu perkara yang harus dipuji. Beliau lalu memperli kalau Umno tidak mahu pakai ayat Quran, sebab itulah DAP baca ayat Quran. Namun pada saya penjelasan Tok Guru itu bukan merupakan sesutau yang bersifat konsensus ulamak tetapi pandangan peribadi ilmunya sendiri.

Saya merasakan kurang wajar pemimpin DAP itu membaca ayat Quran apa lagi yang mendengarnya orang Melayu. Ketidakwajaran ini bukan kerana Quran itu dikhaskan kepada orang Islam saja, malahan kepada seluruh manusia dan makhluk atas muka ini, tetapi tidak wajar kerana yang membaca itu bukan Islam.

Bahasan ini berdasarkan kepada pendapat sesetengah ulama yang menghalang seseorang yang tidak berwuduk untuk menjamah al Quran. Jadi kalau hanya menjamah memerlukan wuduk apa lagi membaca maka lebih-lebih memerlukan wuduk! Tidak mustahil kalau pemimpin DAP itu mempunyai wuduk sebelum membacanya?

Dia masih berlum beriman kepada Allah. Jadi adalah songsang orang yang tidak beriman mempercayai kitab Allah tetapi tiba-tiba memperakui ayat-ayat-Nya. Ini dikatakan songsang. Perbuatan pemimpin DAP itu samalah orang yang tidak memakan pisang (makanan) tetapi mengatakan pisang sedap ataupun boleh mengenyangkan. Kita faham ia digunakan untuk mempengaruhi pendengar dan bukan ikhlas. Perbuatan itu adalah memperolok-olokkan ayat Quran dan samalah sifatnya dengan orang yang membaca tetapi tidak beriman.

Perbuatan seperti itu tidak sah. Sah di sini bermaksud tidak mempunyai keberkatan. Ayat-ayat itu akan berkat sekiranya yang membaca itu memahami isi kandungan Quran dan dia seorang muslim. Quran adalah wahyu Allah kepada Nabi Muhammad. Ia sesuatu yang suci. Kalau Quran itu diperolok-olokkan atau dipermain-mainkan maka kesucian itu akan tercabar. Di sinilah perbuatan seseorang yang memperolokkan Quran dikesali umat Islam kerana ia mencemari kesucian Quran.

Sebenarnya tidak menjadi masalah kalau orang bukan Islam membaca Quran termasuk tafsir dan terjemahan leteral kalau sekadar untuk pengetahuannya. Bacalah. Tetapi kalau ia cuma mengangkat apa yang dibaca itu untuk orang ramai apa lagi orang Islam ia tidak begitu baik. Perbuatan itu umpama orang yang ingin menjadi guru tetapi dia sendiri tidak pernah memasuki maktab perguruan.

Berbalik kepada perwakilan PKR dan juga perbuatan pemimpin DAP yang membaca ayat-ayat Quran itu, ia tidak salah kalau mereka baca untuk diri mereka sendiri. Untuk mereka mengetahui akan kehebatan mukjizat Muhammad itu. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian hati mereka akan terbuka dan mendapat taufik dan hidayah dari Allah s.w.t.

Adapun orang yang mengecam dan menentang perbuatan mereka itu juga keterlaluan. Mereka seharusnya bukan melarang keras sebaliknya memberi pendidikan dan pengajaran kepada mereka. Bimbinglah mereka bukan kecam dan kutuk mereka.

Beritahu perbuatan mereka itu kurang sopan dan jangan melarang mereka mendekati dan menjamah Quran. Sesungguhnya mereka yang melarang orang bukan Islam dari membaca tafsiran Quran itu lebih buruk dan jelek dari perwakilan PKR dan pemimpin DAP yang membaca terjemah Quran itu sendiri. Sebagai orang Islam sepatutnya merasa bangga apabila ada orang bukan Islam cuba berjinak-jinak dengan kitabullah itu dan bukan mempertikaikan penuh emosi dan kebencian.

Bukankah salah satu komponen dalam Islam itu akhlak? [wm.kl.6:40 am 02/12/10]

5 comments:

  1. Beritahu perbuatan mereka itu kurang sopan dan jangan melarang mereka mendekati dan menjamah Quran. Sesungguhnya mereka yang melarang orang bukan Islam dari membaca tafsiran Quran itu lebih buruk dan jelek dari perwakilan PKR dan pemimpin DAP itu sendiri. Sebagai orang Islam sepatutnya merasa bangga apabila ada orang bukan Islam cuba berjinak-jinak dengan kitabullah itu dan bukan mempertikaikan penuh emosi dan kebencian.

    Tuan meletakkan komen yang amat bernas

    ReplyDelete
  2. Pak MSO. Nampak seperti Pak membuat satu hukum (fatwa) kpd org bukan Islam membaca (menjamah?) Al-Quran.

    Mungkin Pak MSO tidak bermaksud menghukum, tetapi kami yg membacanya memang jelas Pak sudah memberi satu fatwa.

    Tok Guru sudah memberi penjelasan, harap Pak MSO mengerti.

    ReplyDelete
  3. Tuan MSO,

    pada saya, elok kita lihat balik sejarah bagaimana Umar Al-Khattab tertarik dengan Islam. Ingatkah kita ketika beliau meminta dari adindanya Fatimah untuk melihat apa yang dibaca oleh adindanya sebelum itu, Fatimah minta kekandanya menyucikan diri terlebih dahulu. kemudian bukan setakat pegang, bahkan Umar membaca pulak sedutan ayat Al-Quran dari surah al-Ghasiah sedangkan ketika itu beliau masih lagi dalam kekufuran. tidak disebut pulak dia mandi wajib sebelum itu... jadi apa salahnya org DAP baca Quran untuk mencari apa yang baik dalam Quran.. melainkan bacaannya dibuat dengan mempersendakan Quran.


    AZman Terengganu

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Tuan MSO

    Saya minta maaf terlebih dahulu krna saya ingin memperbetulkan sedikit kenyataan Tuan. Jika saya tersalah faham ayat Tuan, diharap Tuan dapat menjelaskan semula.

    Petikan ayat Tuan 'Bahasan ini berdasarkan kepada pendapat sesetengah ulama yang menghalang seseorang yang tidak berwujud untuk menjamah al Quran. Jadi kalau hanya menjamah memerlukan wuduk apa lagi membaca maka lebih-lebih memerlukan wuduk!'

    Jumhur ulama berpendapat bahawa membaca Al Quran tidak memerlukan pembacanya berwudhu. Hanya memegang dan membawanya sahaja memerlukan seseorang itu suci dan dalam keadaan berwudhu. Antara hikmahnya adalah memudahkan umat Islam untuk sentiasa beribadah dengan membaca Al Quran pada bila-bila masa.

    Namun, apabila membawa kepada isu ini, saya suka menerangkan secara umum dahulu iaitu bukan Islam tidak dilarang membaca Al Quran atau tafsirnya tetapi bersyaratkan antaranya bertujuan untuk mengambil pengajaran baik dan menginsafinya (walaupun mereka sendiri tidak beriman) kerana semoga dengan ini menjadi asbab mereka peroleh hidayah seperti yang berlaku kepada ramai saintis dan pengkaji Barat.

    Namun, jika membacanya untuk dijadikan modal bercakap, menarik undi dan sebagainya, maka ianya perlu dielakkan.

    Kedua, hendaklah mendapat bimbingan dan panduan dari umat Islam yang alim agar bacaan dan tafsirannya adalah betul seperti mana yang dimaksudkan oleh Allah.

    Adapun di dalam isu ini, saya sependapat dengan Tuan MSO kerana suasana politik sekarang memperlihatkan ayat Al Quran dipetik orang bukan Islam bukan bertujuan untuk menhayatinya, tetapi lebih kepada dijadikan modal bercakap atau lebih teruk dijadikan modal untuk menghentam orang lain.

    Selain kelihatan tidak sopan, ia juga merupakan satu tindakan yang mempermainkan AL Quran kerana dipetik untuk menguntungkan diri mereka.

    PKR harus meletakkan garis panduan kepada ahlinya yang bukan Islam dalam memetik dan membaca tafsir Al Quran agar perkara begini tidak berulang.

    Sekian

    ReplyDelete
  5. Saya setuju sangat pasal ayat-ayat Quran boleh digunapakai untuk semua umat manusia, dan bukan sahaja umat Islam. Al-Quran adalah buku lengkap panduan untuk semua manusia, bukan sahaja dari segi aqidah, sejarah bahkan ilmu sains. Banyak saintis dan karyawan mengkaji al-Quran

    Kalau orang Melayu Malaysia terlalu berfikiran sempit sehingga cuba mempolitikkan agama dan me-Melayu-kan Islam... ini lah akibatnya.

    Cuma saya harap kalau nak tafsir al-Quran tu, biarlah betul caranya. Tafsir tu tak apa, tapi jangan buat konklusi sendiri. Cuma baca, terjemah dan ambil contoh/iktibar dari ayat tersebut sebab orang macam kita ni bukannya cukup ilmu hendak mentafsir al-Quran.

    ReplyDelete