Cerita Khir Toyo Kembalikan Anugerah
SEMALAM Khir Toyo tidak lagi boleh dipanggil Datuk Seri kerana beliau telah mengembalikan (sementara) darjah kebesaran yang membolehkan beliau dipanggil Datuk Seri Mohamad Khir Toyo. Khir mengembalikan darjah berkenaan kerana nak jaga nama baik darjah berkenaan. Beliau tidak mahu bau busuk yang mengelilingi dirinya kini kerana didakwa atas kesalahan rasuah terpalit kepada darjah berkenaan.
Khir lalu mengajar orang yang hendak memanggilnya dalam majlis rasmi tanpa menyebut Datuk Seri dan panggil saja Dr Khir Toyo. (Rasanya tak payah ajar sebab orang sudah tahu..)
Lama juga gelaran Datuk Seri itu terpegang kepada nama Khir Toyo. Asalnya Khir Toyo sama dengan nama-nama rakyat, petani dan pencuci longkang yang lain. Tanpa ada apa-apa marga atau status di awal namanya. Tiada Dr dan tiada juga datuk dan 'datang'.
Tetapi kerana usaha Khir Toyo, kejayaannya dalam pengajian beliau memperolehi gelaran doktor. Doktor gigi. Dan bila bernasib baik jadi Menteri Besar Selangor dipilih oleh Dr Mahathir maka beliau dianugerahkan gelaran Datuk Seri.
Menarik juga cerita macam mana Khir boleh menjadi MB. Ketika itu Umno bermasalah hendak melantik seorang menteri besar apabila menteri besarnya pada masa itu dipalit dan tercemar bila skandalnya dengan orang gaji didedahkan. Mungkin generasi muda tidak mengetahui kisah ini, bukalah buku-buku politik lama kisah ini ada dirakamkan.
Katanya presiden ketika itu Mahathir Mohamad gawat untuk mencari calon MB. Dalam perhatian Mahathir semua pemimpin Umno senior dalam Umno Selangor korup dan mempunyai skandal. Macam-macam skandal dari menjadi samseng lombong sampailah kepada menjadi hantu tanah. Yang terlibat dengan skandal perempuan juga ramai. Yang bawa lari anak dara dan termasuk anak sultan juga ada. Semua dilakukan oleh pemimpin Umno Selangor. Kisah ini juga ada dirakam dalam buku.
Cari punya cari terjumpalah Mahathir dengan seorang tokoh muda bernama Khir Toyo. Nun anak Jawa di Pasir Panjang. Dia pula berkebetulan seorang lulusan doktor sama dengan Mahatahir. Mahathir percaya orang berkelulusan doktor tidak banyak ragam dan bersih seperti dia? Khir ketika itu juga menjadi ahli biro agama pemuda Umno.
Kedudukan dan status itu menyebabkan Mahathir mengambil Khir Toyo atas kepercayaan beliau bersih sikit daripada pemimpin lain. Itu saja punca dan sebabnya. Lain tiada. Atau pun Mahathir sudah membuat perkiraan, Khir bersih kerana beliau belum ada kuasa lagi. Orang tidak ada kuasa biasanya miskin dan sesak dah...
Bukan saja dalam Umno, dalam Pas pun begitu. Bila sudah ada kuasa kehidupan sudah berubah. Dari kereta Toyota kepada kereta CRV. Rumah pun besar, isteri pun ramai. Kalau di Kelantan hampir suku wakil rakyat Pas berbini lebih dari satu, tiga pun ada empat dalam proses. Ada seorang wakil rakyat itu pula pantang ada pilihan raya kecil, maka akan berbinilah dia di situ. Tidak pula dapat dipastikan apakah di Tenang ni dia akan mencari seorang lagi bini.
Melencung sikit... Bayangkan kalau bukan kerana keadaan itu Khir Toyo tidak akan menjadi MB. Berkemungkinan dia terus menjadi doktor gigi. Sebab itu semasa Khir Toyo dilantik jadi MB ramai yang tidak setuju dan protes. Tetapi kerana ia adalah pilihan Perdana Menteri dan presiden, maka semua kena akur. Biasalah dalam politik kalau presiden sudah memberi restu tongkol kayu pun boleh jadi menteri atau menteri besar.
Begitulah cerita Khir Toyo. Dan hari ini bila beliau didakwa kerana rasuah, memiliki harta diluar kemampuannya ternyata bahawa pemimpin Umno semuanya korup. Kalau orang yang dipilih oleh Mahathir seperti memilih antah pun boleh didakwa rasuah, apalah yang lain. Nasib yang menimpa Khir Toyo itu tentu sangat mengecewakan Mahathir.
Kembali kepada fasal pemulangan darjah membawa gelaran Datuk Seri tadi. Satu sudut tindakan Khir Toyo itu sebagai ikhlas dan bijak. Ia menggambarkan Khir seorang bertanggungjawab dan gentleman. Tetapi dari sudut lain orang dapat membaca tindakan Khir Toyo itu untuk melindungi malunya.
Sebelum beliau menulis dalam blognya dan dipetik sebagai berita yang beliau serahkan darjah itu saya sudah mendapat maklumat mengatakan ada perbincangan oleh pihak tertentu untuk menarik balik darjah kebesaran yang diberikan kepada Khir Toyo. Bermakna, Khir menyerah darjah itu setelah ada perbincangan itu.
Walaupun dalam blognya mengatakan dia sudah menulis surat kepada Majlis Perajaan Selangor untuk berbuat demikian, tetapi penyerahan dibuat itu adalah kerana ianya diminta oleh pihak tertentu. Dalam erti kata lain, Khir menyerah selepas ianya diminta bukannya atas keihlasan hatinya berbuat begitu.
Belum ada orang yang menulis surat atau minta untuk pulangkan darjah kebesaran tatkala dia sedang dibicarakan. Malahan ada pemimpin yang dipenjara atas kes bunuh pun darjah kebesarannya tidak ditarik balik. Khir ini hanya sedang didakwa tapi sudah menyerah balik darjah kebesaran. Khir mahu menunjukkan dia lebih bertanggungjawab dan hebat dari Anwar Ibrahim.
Apakah yang boleh disimpulkan tragedi yang berlaku ke atas Khir Toyo itu lebih teruk dan busuk dari penjenayah lain? Bahawa kesalahan Khir bukan saja setakat memiliki harta diluar kemampuannya tetapi mungkin ada yang lebih besar dari itu sehinggakan segala darjah kebesarannya diminta dipulangkan.
Ingat, penganugerahan pingat dan darjah kebesaran hanya dilakukan oleh Sultan. Orang yang sultan berkenaan saja, termasuk tanpa ada jasa dan bakti kalau sultan berkenaan mereka akan dianugerahkan gelaran. Apakah tindakan dilakukan Khir dan berlaku ke atas Khir menunjukkan beliau sudah dimurkai Sultan?
Mungkin hal ini boleh dirujuk kepada Salentia yang baru-baru ini gelaran Datuknya juga ditarik oleh dia punya sultan. Hanya jauhari mengenali maknikam. [wm.kl.9:20 am 13/01/11]
pelik juga kalau kata nak pulangkan tanpa ada suruhan dari pihak2 tertentu
ReplyDeleteapa khabar Dr!