Sunday, February 6, 2011

Susupan Petang

Bawa Balik Pelajar Di Mesir Tidak Payah Dikalutkan

MOHD Najib Razak kesal dan menafikan dakwaan mengatakan kerajaan tidak ada wang untuk membawa balik pelajar dan rakyat Malaysia yang terjempit di Mesir pada waktu ini. Katanya kenyataan itu adalah satu pembohongan. Saya menyokong Najib dalam hal ini, tidak mungkin kerajaan ketiadaan wang. Bukankah pelaburan asing ke negara ini kian meningkat saat ini? Tak percaya cuba tanya menteri MITI, Mustapa anak lelaki sulung Setawa.

Najib juga telah melancarkan berbagai projek untuk membantu rakyat. Tenguk saja apa yang berlaku pada setiap kali pilihan raya kecil, berbillion ringgit diumumkan untuk projek segera. Ini bermakna kerajaan ada duit. Kalau setakat nak bawa pelajar dan rakyat Malaysia seramai 11,000 berapa lah sangat. petik saja jari duit akan jatuh berburai.

Saya rasa kerajaan tidak perlu menerima bantuan pemberian dua buah kapal terbang oleh Raja Abdullah, wang Rosmah dan wang Najib sendiri pun cukup untuk menyewa beberapa buah Boing 747 untuk menerbangkan rakyat Malaysia.

Jadi pihak yang mendakwa kerajaan tidak ada wang itu, tidak benar?

Kenapa timbul masalah ini, yang dapat saya lihat kerana kerajaan lewat membuat kenyataan. Keputusan kerajaan lambat untuk membuat keputusan membawa balik rakyat kita. Katanya pemerintah Indonesia lebih awal dan lebih cekap dalam soal ini. Beberapa hari sebelum meletus tunjuk perasaan besar 24 Januari Indonesia sudah pun memaklumkan kepada rakyatnya bersiap sedia untuk keluar dari Mesir.

Apakah kedutaan kita di Kaherah tidak buat kerajaan atau tidak cekap membaca keadaan. Kalau asyik duduk tengok tarian gelek, manalah hendak tahu apakah Mesir bergolak atau tidak. Apa lagi kalau kena 'hoga' malam siang bumi Kaherah selalunya bergoyang. Jadi kalau ada letupan tidak teperasaan dan disangkakan kerana psuing disebabkan tarian gelek dan 'hoga' saja.

Juga kenapa anggapan kerajaan tidak ada wang berkumandang bila mana Najib hendak minta bantuan Mas dan Airasia serta Tabung Haji. Kata dia akan berunding dengan dua syarikat penerbangan itu. Tentunya bila sebut berunding nak minta tolong Mas dan Airasia sponsor tikitlah tu. Bila sponsor tikit kerajaan boleh tawar lain-lain insentif untuk keuntungan syarikat penerbangan berkenaan. Kerja kontra ataupun membalas budi ini biasa berlaku. Mas dan Airasia kecuali Tabung Haji tidak akan membantu secara gratis.

Begitu juga Najib berterus terang nak minta Tabung Haji bantu. Kenapa? Kenapa pula sampai nak minta Tabung Haji bantu. Apakah wang Tabung Haji boleh digunakan sembarangan? Bukankah wang itu hasil dari tabungan warga Islam negara ini untuk ke Makkah. Apakah untuk mengambilnya tidak payah berunding dengan penabung? Saya ada sedikit simpanan dalam Tabung Haji, jangan-jangan duit saya juga digunakan nanti?

Bukan tidak setuju kalau wang Tabung Haji digunakan untuk menyewa kapal terbang, tetapi biarlah ada cara dan mengikut prosudernya. Jangan ambil sembarangan saja. Asalkan Perdana Menteri sebut atau minta bagi. Hak penabung kena dijaga dihormati. Sudah banyak wang dari tabung atau skim tertentu digunakan sembarangan untuk kepentingan diluar aktiviti tabung berkenaan.

Penyimpan Tabung Haji kena persoal ini. Kita bimbang kalau wang Tabung Haji boleh diguna sembarangan, nanti diambil pula untuk membiayai pilihan raya ke 13 kelak. Nyanya.

Rasanya dalam keadaan rakyat kita terjempit dan susah di Mesir kini Najib bukan saja perlu berunding dengan Mas dan Airasia atau Tabung Haji tetapi cuba buat-buat tanya Vincent Tan atau Ananda Krisnan atau Nazir Razak ataupun Khairy Jamaluddin. Atau pun tanya juga Yayasan Perdana dibawah pimpinan Dr Mahathir. Kalau Yayaysan Perdana boleh bantu Palestin takkan nak bantu pelajar Malaysia di Mesir pun 'kedokot' macam Lebai Bakhir?

Atau kerana kebanyakan pelajar di Mesir mengambil jurusan agama dan suka against kerajaan maka Dr Mahathir membisu tidak menawarkan khidmatnya? Kalau itu ukuran dan alasannya maka tidak berapa cerdiklah bekas perdana menteri berkenaan.

Akhirnya pada saya kerja membawa balik pelajar kita di Masir tidak perlu dikalutkan sangat. Bila kita nampak sangat mengira berapa perbelanjaannya nampaklah kita tidak mengambil berat soal-soal keselamatan rakyat kita dan nampak sangatlah negara kita kekurangan wang. Begitu juga bila kita menuduh atau mengingatkan agar misi menyelamat itu tidak dipolitikkan, nampak sangat kita hendak mencari untung di sebalik kerja kebajikan itu.

Biarlah kerja membawa pulang pelajar itu dilakukan dengan senyap tanpa apa-apa pertikian terbuka. Semua pihak sebaliknya kena bersyukur dan anggaplah misi berkenaan untuk kebaikan bersama. Yang tidak mampu keluarkan duit, berdoa saja. Yang mampu keluarkan duit, bantu dengan kadarnya.

Dan kalau semua duit untuk membawa pulang pelajar itu duit kerajaan maka setiap daripada kita mendapat pahala daripada kebajikan yang dilakukan itu. Yang penting rakyat kita di Mesir semuanya selamat pualng ke tanah air tanpa seorang pun cacat dan cela disebabkan gelodak yang menimpa Mesir kini. [wm.kl. 6:04 pm 06/02/11]

1 comment:

  1. Banyak duit tapi masih minta ehsan yang lain. Macamana tu?

    ReplyDelete