Friday, July 22, 2011

Laporan Lewat

Amanah Merdeka Selamat Dilancar

HARI ini Jumaat, 22 Julai 2011 tanpa gegak gempita dan nafiri menghebuhkan mengenai kewujudannya, sebuah Ngo yang diberi nama Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) telah dilancarkan dengan rasmi oleh presidennya sendiri, Tengku Razaleigh Hamzah.

Upacara yang berlangsung di Aditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur itu berjalan dalam suasana penuh bersemangat dan penuh keinsafan untuk membela bangsa dan membangunkan negara.

Pemilihan tempat perlancaran Amanah itu tentulah untuk mengembalikan nostalgia masa lampau, sejarah dan juga kenangan yang pernah mengemilangkan bangsa negara ini. Amanah itu sendiri antara membawa tujuan dan maksud untuk merealisasikan segala amanah, ikrar atau pesaka perjuangan yang ditinggalkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, perdana menteri pertama Malaysia.

Kewujudan Amanah dalam keadaan negara serabut dengan kemelut politik hari ini, di mana orang Melayu dilihat sudah kabur identitinya kerana tergilakan kuasa politik dianggap tepat dan kena pada masanya. Tujuan dan fungsinya untuk membendung kemudharatan dalam negara baik dalam soal rasuah, perpecahan kaum, sosial dan sebagainya dirasakan kena pada ketika dan dan musimnya. Usaha itu dilihat murni dan wajar disokong sepenuhnya.

Amanah seperti mana dicatat pada buku cenderamata (muqadimahnya) bukan pertubuhan politik tetapi sebuah Ngo yang menggabungkan suara rakyat dari pelbagai lapisan tanpa mengira bangsa untuk membela negara. Amanah juga bukan sebuah badan pendesak dan protes tetapi lebih kepada badan pemantau kepada kerajaan hari ini atau kerajaan masa depan. Dalam bahasa timur tengah adalah islah.

Adapun kewujudannya ialah kerana rakyat sudah tidak tahan lagi dengan kerenah dan segala macam kebejatan yang berlaku di dalam negara hari ini yang ditimbulkan oleh parti yang memerintah. Misalnya masalah rasuah yang berleluasa, pencabulan undang-undang, pilihan raya yang kotor telah menjadi ilham kepada perwujudan Amanah ini. Dari segala fenomena inilah membangkitkan jiwa yang mewujudkan Ngo ini.

Ngo ini yang diharap akan menjadi pemangking kepada negara dan bangsa Malaysia bakal menjadi popular dan mendapat sambutan ramai. Sekiranya nawaitu dan juga matlamat seperti digariskan dapat dilaksanakan, tidak ada sebab untuk orang Melayu dan bangsa Malaysia seluruhnya tidak bergabung dengan Ngo ini untuk mewujudkan jaringan suara yang terbesar bagi membela negera mengislahkan apa-apa yang silap dan tergelecah kini.

Hakikat Amanah mendapat sambutan dan bakal menjadi Ngo yang berwibawa terbayang apabila rata-rata mereka yang hadir memberi sokongan terdiri daripada teknokrat, bekas para pegawai kerajaan yang cukup berpengalaman sebagai organ pentadbir dan memimpin negara ini.

Mereka terdiri daripada bekas Ketua Setiausaha Kementerian, diplomat, sasterawan dan juga ahli politik yang mempunyai wibawa dan track record yang bersih selama penceburan diri mereka dalam politik. Pegawai kerajaan yang masih belum pencen juga kelihatan turut hadir memberi sokongan moral.

Ahli-ahli politik yang menyertai Amanah ini juga adalah individu yang sudah jelek atau pun tidak sanggup untuk terus berkompromi dan bersubahat dengan parti yang memerintah hari ini. Kalau kebetulan mereka dari Umno, bukan bermakna mereka tidak suka kepada Umno tetapi mereka hilang kepercayaan kepada pemimpin dan melihat pemimpin yang ada hari ini bukan saja lemah tetapi tidak ada karisma.

Mereka yang menggerakkan Amanah ini adalah gabungan dari semua kumpulan dan lapisan rakyat tanpa mengira ideologi dan sanggup mengenepikan kepentingan peribadi. Tegas seperti mana diharapkan Tengku Razaleigh ialah mereka yang mempuyai fikiran baik.

Meneliti kepada matlamat dan suasana yang mewujudkan Ngo ini ia tidak perlu dibimbangi oleh mana-mana parti politik termasuk yang sedang berkuasa atau yang sedang untuk mendapat kuasa. Matlamat Amanah adalah sama untuk mewujudkan good governance - kerajaan yang bersih dan berwibawa, menentang rasuah dan ketidakadilan.

Itulah hasrat dan itulah matlamat. Manakala apa yang mendorong ianya diwujudkan kerana rasa bimbang terhadap nasib dan masa depan negara dengan apa yang berlaku kini. Sebenarnya segala macam risiko dan bahanan yang dihadapi negara dewasa ini sudah teramat parah.

Dalam pada itu saya melihat Amanah akan bertindak sebagai pemantau kepada mana-mana pihak yang berkuasa (kerajaan) hari ini dari pada melakukan kesilapan atau pun penyalagunaan kuasa yang membebankan rakyat. Dengan keanggotaan atau partisifasi ahli yang berpengalaman ia boleh menjadi pemandu atau tunjuk ajar. Sekiranya parti politik ikhlas untuk berjuang demi rakyat maka parti politik harus menerima baik kewujudan Amanah ini di samping sedia melakukan mahasabah diri dengan mengambil kira teguran dan krtitikan Ngo ini dari masa ke sama.

Secara ringkas apa yang dapat diungkapkan di sini antara tujuan atau pun suasana yang melahirkan Amanah ini seperti berikut;

1. Untuk melahirkan suara baru perpaduan di kalangan rakyat negara ini.

2. Menyalakan semula semangat amanah Merdeka berpandukan amanah bapak Merdeka, Tunku Abdul Rahman.

3. Menyeru supaya isi dan semangat Perlembagaan Malaysia di hormati dan dipertahankan.

Manakala misi Amanah ialah; untuk menegaskan semula, untuk menanam dan menyemarakkan rasa kebersamaan dan semangat kekeluargaan yang mendalam di kalangan rakyat seperti yang pernah berlaku di kalangan rakyat semasa bersama-sama berjuang untuk mencapai kemerdekaan kebangsaan kita.

Majlis perlancaran tadi dihadiri sekitar 500 orang ini menyebabkan aditorium Tuanku Abdul Rahman penuh sesak. Kehadiran diluar jangkaan. Antara tokoh politik yang turut hadir ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Ketua parti Kita, Zaid Ibrahim, Usu Sukan, Tamrim Ghafar, Mazlan Harun dan lain-lain.

Ahli Parlimen Pasir Mas Inchek Ibrahim Ali yang katanya sudah diundang untuk hadir sama tetapi terpaksa dibatalkan saat-saat akhir atas protes beberapa individu.

Majlis Pusat Amanah seperti berikut:

Presiden : Tengku Razaleigh Hamzah.
Timbalan: Daniel Tajem, Ong Tee Keat (bekas Presiden MCA), Abdul Kadir Sheikh Fadzil (bekas menteri), Subramaniam (bekas timbalan Presiden MIC), Wilfred Bumburing (Sarawak), Bujang Ulis bekas menteri).
Naib Presiden: Wan Saiful Wan Jan, Dr Pater Rubis, Ong Hock Siew, Mohd Azmi Razak, Ragunnath Kesevan, Simon Sipaun, Mohd Lukhman Ghani. [wm.kl.7:50 pm 22/07/11]

7 comments:

  1. Congrats atas kejayaan penubuhannya.
    Hope misi penubuhan nya tidak akan tersasar akibat kancah politik.

    ReplyDelete
  2. Bagus la Amanah di tubuhkan. Sekurang kurangya Ku Li boleh amik kepimpinan PR kalau Anwar mengecut nanti!

    ReplyDelete
  3. Wilfred Bumburing dari Sabah, bukan Sarawak

    ReplyDelete
  4. setelah membaca perlembagaan AMANAH teringat buku tulisan Shahbudin Hussien melalui bab Jangan bimbang sekiranya umno tumbang.. setelah membacanya dapatlah suatu kejelasan fikiran tentang apa yang perlu dilakukan selepas ini...
    saya tak dapat menolak hakikat bahawa saya penyokong kuat umno yang sebenanrya memberi undi kepada PR
    kata-kata kawan saya selama ini sememangya benar jika kome betul-betul sayangkan umno maka undilah PR.. maksud yang jelas jika kamu semua tidak mahu melihat negara dan melayu ni hancur jawapan kepada penyatuan yang sebenar adalah kita semua perlu jujur dan jelas bagaimana mahu menjadi rakyat Malaysia dalam erti kata sebenar..
    sudah sampai masanya seseorang yang diletakkan diatas suatu tempat yang tidak sepatutnya dia ditempatkan ditempat tersebut dibuang dan dikikis
    terima kasih kepada mereka-meraka ini atas kejelasan fikiran yang diberi agar keputusan yang diambil tidak membuat kita semua serba salah lagi

    ReplyDelete
  5. Kita berdoa mudah-mudahan usaha ikhlas Ku Li diberkati Allah kerana beliau tekal atau konsisten dalam menyuarakan sikap dan pendirian yang berkaitan dengan kepentingan negara. Dengan kebijaksanaan, kematangan dan pengalaman beliau dalam politik, pentadbiran dan humas (hubungan kemanusiaan), insya-Allah badan yang dipimpinnya itu dapat berperanan penting.

    ReplyDelete
  6. Semoga pelancaran Amanah ini menjadi platform yang terbaik untuk meletakkan semula pemerintah pada alignment yang betul. Usaha baik ini wajar mendapat sokongan dari semua pihak yang cintakan keamanan dan keadilan. Kewujudan Amanah dijangka dapat memenuhi aspirasi rakyat teramai selagi Inchek Ibrahim anak Ali TIDAK menganggotai apa apa jua bahagian didalam pertubuhan ini. Syabas Amanah dan syabas Tuan MSO diatas coretan ini.

    ReplyDelete
  7. saya mahu lihat dulu NGO ni bernama Amanah ni. Nak tahu apa matlamat mereka, jadi kenyataan mereka perlu diteliti dulu, sebab kita tak mahu ada lagi NGO baru yang berlagak seperti Perkasa itu. NGO perlu jujur, dalam mencari tapak untuk hidup di bumi Malaysia ni, kalau berjuang untuk mendaulatkan undang-undang memang orang sokong, sebab selama ini undang-undang dah tak dipakai sangat, orang kecil hukuman berat, orang besar hukuman ringan, termasuk buang padang (ke luar negeri jadi itu dan ini) atau dinaikkan kedudukan dari rakyat jelata menjadi orang "bangsawan" seperti yang kita amati hari ini. Kemudian nak tengok sejauh mana Amanah berani menegur PM yang ada hari ini, kalau sama macam Perkasa juga, orang tak mahu join.

    ReplyDelete