Monday, August 22, 2011

Balesungkawa

Tiada Lagi Titisan Tinta Azizi

Ya Qohhar: BERITA kematian bukan berita yang boleh dipersendakan. Apabila sahabat saya, Radzi mengkhabarkan Azizi Abdullah sudah meninggal dunia menyebabkan saya jadi terpana kehilangan kata-kata buat seketika.

Di antara percaya dengan tidak menakluki minda saya. Tetapi berita kematian bukan bahan percandaan dan saya tahu pula akan hati budi Radzi seorang insan yan tidak pernah tahu bergurau mengenai hal itu. Lagi pun untuk apa dia bergurau di pagi hari tambahan berada di rantau orang?

"Azizi Haji Abdullah sudah meninggal?" Begitu bilang Radzi dalam nada yakin dengan tidak. Saya percaya beliau juga senak dengan khabar berkenaan.

"Iya..?" ulang saya. Dia masih membelek BBnya membaca berita berkenaan. Wajahnya disapu kedukacitaan. Sebenarnya perkhabaran dukacita itu sudah tersebar di dalam media internet. Apabila saya membuka Fb ada dua mesej mengenai pemergian Azizi itu, satu dari isteri dan satu dari Haji Razali Endon.

"Inalillahiwa'inailahirajiun.." itulah yang saya mampu lakukan. Di mata terkaca-kaca wajah dan senyuman Allahyarham yang direflekkan dari minda. Jauh di sudut hati segera memulas rasa rindu yang bergumpal dengan kesalan. Rindu kerana lama tidak berjumpa dan bercanda dengan Allahyarham dan kesal kerana sejak ia jatuh sakit, - akibat rawatan jatung tidak pernah terjumpa sekali pun.

Kali terakhir berbicara dan berbual dengannya ialah pada majlis ulang tahun kampung Padang Balang, Gombak. Majlis itu anjuran masyarakat kampung Melayu tradisi itu yang dicelahi oleh persembahan baca sajak kelola Paksi pimpinan Dinsman. Azizi yang begitu komited dengan majlis seumpama itu turun dari Penang semata-mata meraikan sama.

Malam itu sempatlah saya berbuat dengannya. Seperti biasa sebagai sasterawan-politik dia menceritakan mengenai karya-karyanya dan senario politik bangsa. Banyaklah turut disebut dan ditanya saya mengenai politik negara ini khususnya mengenai Pakatan Rakyat.

Entah kenapa dengan saya, soalan yang tidak pernah beliau lupakan ialah mengenai Anwar Ibrahim. Mengenai kes yang dihadapi Anwar dan mengenai peluang bekas TPM itu untuk menjadi pemimpin negara ini. Satu ketika Allahyarham berbicara dengan saya lewat telefon lebih satu jam khusus mengenai Anwar Ibrahim.

Beliau melahirkan rasa kesal dan muaknya dengan konspirasi untuk menjatuhkan Anwar. Saya terkejut dengan perhatian dan kepedulian beliau kepada Anwar. Ini kerana setahu saya Allahyraham adalah orang Pas malah bertanding atas tikit Pas.. menyebabkan kurang percaya tentang keperhatinan beliau kepada Anwar. Saya mengira beliau juga sama seperti saya tidak pedulikan kepada keperibadian Anwar tetapi mengkagumi kepimpinan dan iltizam Anwar dalam membebaskan umat negara ini.

Selain dari membicarakan Anwar di malam terakhir saya bersamanya di kampun Balang itu, Allahyarham juga turut mengupas mengenai kepimpinan Azizan Razak di Kedah. Katanya dia pernah beberapa kali berjumpa dengan Azizan Razak memberi beberapa cadangan. Malam itu dia mencadangkan kepada saya supaya turut mengulas atau memberi perhatian kepada kerajaan Pas Kedah dan MBnya.

"Hang kena turun ke Kedah, Sayuti... lihat sendiri apa yang baik dan tidak baiknya. Hang kena tulis buka mata depa sedikit.." begitulah katanya. Saya memahami apa yang beliau maksudkan dan sedikit rasa simpati kepadanya. Dalam tilikkan saya ada beberapa kelemahan di Kedah yang memerlukan pembetulan di mana beliau telah cuba melakukannya tetapi tidak ada kesan.

"Kan di Kedah dah ada penulis, Ustaz sendiri (saya membahasakannya ustaz)," balas saya.

"Tak boleh jadi juga kalau kita (penulis Kedah) tulis, depa kata kita dengki, jadi hang orang luar... orang tak boleh komen apa kalau hang tulis mengenai Kedah. Kita sayang Kedah," balasnya.

Secara tidak rasmi saya berjanji untuk ke Kedah dan berjumpa dengan Azizan Razak bersama beliau. Saya akan tentukan hari untuk menghubunginya kemudian. Itulah antara secebis kenangan dan peristiwa terakhir saya dengan beliau. Selepas itu kami tidak lagi berjumpa hinggalah beliau di hospital menerima rawatan jantung. Saya hanya mendengar khabar dan maklumat menerusi laporan-laporan saja mengenai reputasi kesihatannya.

Laporan mengatakan beliau selamat menjalani pembedahaan jantung menyebabkan tidak ada apa-apa kegusaran saya terhadapnya. Saya mengira dia akan aktis menulis dan menghubungi saya seperti biasa bila perlu. Allahyarham sesekali akan menelefon saya memaklumkan pengiriman artikel atau cerpen darinya. Tetapi sejak beliau menjalani pembedahan jantung, saya tidak lagi menerima apa-apa panggilan dari beliau.

Dan kelmarin 21 Ramadhan 1432 bersamaan 21 Ogos 2011 kira-kira jam 7:15 pagi ketika saya di Aceh Allahyarham telah pergi meninggalkan kita semua buat selamanya. Pemergian itu adalah ketentuan mutlaknya. Mulai saat itu pena Azizi yang mengugahkan perasaan dan jiwa tidak akan menitis lagi.

Allahyarham pergi dengan meninggalkan segugus jasa-jasanya kepada agama bangsa dan negara. Semoga sasterawan dan cerpenis yang berjaya mengangkat kemelut masyarakat melalui karya-karyanya yang bersifat hakiki itu tenang di dalam pelukan Allah seabadinya. Al Fatihah. [ttdi.kl 12:04 t/hari 22/08/11]

No comments:

Post a Comment