Memahami Naluri Orang Muda
Ya Salaam: SELEPAS terawih malam tadi saya berkorban mata sedikit kerana melayani tiga anak muda yang minta untuk berjumpa dengan saya. Seorang pelajar di universiti Azhar Mesir dan dua lagi bakal guru yang kini sedang menuntut sebuah di maktab perguruan di Bangi.
Perjumpaan dengan mereka menyeronokkan. Saya selalu mengalu-alukan anak muda persis mereka untuk bertukar maklumat dan membincang isu kontemporari. Selain dapat kawan baru boleh mengenal hati budi dan warna politik anak muda yang tentunya jauh berbeza dengan orang tua. Dapat menyelami apa kehendak naluri mereka. Pada saya anak muda penting dicetak dengan wawasan dan idealisme yang mantap demi negara.
Saya suka kalau anak muda berminat dengan politik. Kerana politik adalah instrumen atau saluran untuk membentuk sistem pentadbiran negara ini. Jadi mereka perlu disuntik semangat dan diperbetulkan langkah masa depannya.
Semasa salah seorang mereka menhubungi saya mahu berjumpa saya gembira dan memberi masa untuk mereka. Dalam pada itu saya telah mengagak sedikit sebanyak apa-apa soalan dari mereka. Mungkin persoalan apa yang kabur mereka terhadap sesuatu yang saya catatkan dalam blog.
Saya rasa bangga dengan mereka. Jarang yang memberanikan diri untuk berjumpa dengan saya. Banyak yang saya temui atau disapa di tempat-tempat keramaian atau himpunan politik, tetapi tidak berkesempatan untuk berinteraksi. Masing-masing bila balik akan mencatat dalam komen atau FB memberi tahu mereka berharat bercakap dengan saya tetapi malu dan berbagai alasan lagi.
Memang tepat apa yang saya bayangkan tiga orang anak muda malam tadi meminta beberapa penjelasan dan juga bertanya mengenai sesuatu yang subjektif jawabannya. Mereka mahu memancing pandangan saya untuk dibandingkan dengan pandangan dan dapatan lain. Antaranya mereka tanya mengenai watak dan perangai seorang wakil rakyat yang berpaling tadah. Wakil rakyat berkenaan dulu adalah orang yang mereka kagumi.
Mereka hendak tahu apakah tindakan wakil rakyat itu kerana ada perundingan dan imbuhan atas apa yang mereka lakukan. Saya tidak menjelaskan berlebihan mengenai wakil rakyat berkenaan. Saya memang rapat dan mengenali, dari luar dan ke dalam dirinya. Nampaknya mereka dapat menerima dan mulai faham mengeninya.
Bila anak-anak muda yang dulu merupakan peminat kepadanya tetapi tiba-tiba di sekerat jalan membuat onar ia sesuatu yang mendukacitakan. Perangai dan sikap wakil rakyat itu menyebabkan mereka kecewa dan natijahnya menjadi mereka tidak mudah percaya kepada seseorang wakil rakyat. Dalam kata lain perangai wakil rakyat itu akan menjadi setitik nila yang merosakan sebaldi susu.
Tetapi saya menegaskan bukan semua wakil rakyat seperti itu. Hanya mereka yang berjuang untuk mengisi perut dan tembolok saja akan perlakukan begitu. Selepas ini kata saya wakil rakyat berkenaan akan jadi sampah yang akan hayut tanpa destinasi. Beliau saya tidak fikir akan diberi ruang oleh mana-mana parti untuk bertanding.
Sebenarnya perangai dan sikap begitulah perlu dijagai dan dielak oleh orang bernama politician. Kalau banyak yang berperangai begitu lama kelamaan orang tidak akan percaya lagi. Saya sendiri sudah hilang kepercayaan kepada manusia politik yang hipokrasi dan bersikap bermuka-muka. Kesannya menyebabkan parti politik itu sendiri akan hilang keyakinan dan kepecayaan umum. Lama kelamaan disebabkan itulah pemainnya politik bukan lagi satu wadah yang diterima sebaiknya matlamatnya.
Lain-lain persoalan yang ditimbulkan anak mudah berkenaan ialah mengenai bila pilihan raya umum dan sejauh mana peluang Pakatan Rakyat. Nampaknya mereka begitu obses untuk melihat perubahan kerajaan dalam negera ini. Sebagai anak muda yang ada wawasan dan dapat melihat sendiri kepincangan mereka sangat ingin merasai perubahan itu.
Saya rasa apa yang bergelodak di dalam jiwa anak muda bertiga ini itulah juga gelombang atau pun riak yang ada dalam sejuta hati anak-anak muda lain. Menyimpulkan ini tidak syak lagi golongan muda akan menjadi penjana kepada perubahan negara. Soalnya sejauh mana anak muda dilengkap ilmu dan bekalan ke arah itu?
Terus terang saya menjelaskan peluang PR dalam pemilu ke-13 bergantung beberapa faktor. Faktor besar ialah kepada pengundi Melayu. Sekiranya PR mendapat kurang 40 peratus undi Melayu peluang PR untuk membentuk kerajaan Malaysia tipis. PR memerlukan sekurang-kurangnya 42 hingga 45 peratus undi Melayu baru ada harapan bagi PR menggulingkan UBN.
Buat masa ini undi Melayu yang mampu diraih PR sekitar 38 hingga 42 peratus saja. Ini bermakna UBN masih menguasai undi Melayu sekitar antara 55 hingga 58 peratus. Hakikat ini diakui sendiri oleh PR mereka mengalami kemerostan untuk Melayu dalam beberapa pilihan raya terakhir di antara 3 hingga 5 peratus. Kedudukan ini memberi keadaan yang baik kepada UBN untuk terus memerintah, apa lagi kalau mereka berjaya meraih undi bukan Melayu tidak kurang 25 peratus.
Saya turut mengulas kenapa keadaan itu berlaku. Antranya ialah kerana beberapa isu yang berjaya dimanipulasikan oleh UBN. Isu Melayu yang dimainkan sedikit sebanyak memberi kesan. Orang Melayu yang berusia 60 tahun ke atas (generasi) lama termakan dengan isu itu menyebabkan mereka menilai balik untuk menyokong Pakatan Rakyat. Sehingga kini UBN belum berjaya menyakinkan Melayu lama dan otordoks ini.
Himpunan Bersih yang diadakan baru-baru ini tidak menjadi 'boom' untuk mengusik minda mereka. Tuntutan yang diperjuangkan oleh Bersih tidak sampai kepada minda mereka yang sudah berkarat. Dalam masa sama penafian oleh UBN terhadap tuntutan Bersih itu ditelan bulat-bulat. Himpunan Bersih hanya mengusik naluri anak muda dan sebahagian daripada mereka yang mendapat maklumat dari sumber selain radio, tv dan akhbar-akhbar penjilat buntut kerajaan.
Masalah media massa masih menjadi penyebab utama kenapa maklumat-maklumat yang menyanggah propaganda UBN tidak dapat didibalsi dengan baik. Inilah taktik dan strategi kerajaan yang mengawal dan menghadkan media massa Pakatan Rakyat.
Persoalan lain yang ditimbulkan anak muda berkenaan berhubung dengan jawatan PM sekiranya Pakatan menang. Tampaknya mereka juga ikut sama berfikir siapakah bakal menajdi PM kalau bukan Anwar Ibrahim. Sebenarnya perkara ini tidak perlu fikir. Memikirkan siapa bakal PM kalau Pakatan menang bukan perkara yang boleh menguatkan semangat untuk berjuang menumbangkan UBN.
Jelas saya soal itu tidak perlu difikirkan. Sesiapa pun boleh jadi PM asalkan Pakatan ada kuasa untuk melantiknya. Saya tidak percaya kalau Pakatan yang berjuang dari mulai hingga berjaya (takdirnya) akan berbalah soal untuk melantik Perdana Menteri.
Dalam tilikan saya kalau bukan Anwar masih ada beberapa tokoh lain yang mampu memikul tanggungjawab itu. Dengan mengenepikan elemen-elemen bersifat peribadi atau kalau berfikir secara profesional Lim Guan Eng adalah antara tokoh yang boleh menjadi PM. Itu dari DAP, daripada Pas pula orang seperti Husam Musa ada ketokohan untuk menjadi PM. Manakala dalam PKR pula Nurul Izzah boleh jadi PM.
Tetapi nama-nama ini bukan untuk buat masa ini, mungkin selepas dua atau tiga penggal Pakatan Rakyat memerintah baru jawatan itu akan bersaling kepada mereka.
Sebenarnya banyak dalam tempoh dua jam yang kami bincangkan. Memang ketidakcukupan. Kalau saya tidak memerlukan sedikit kerehatan malam tadi mungkin muqadimah perbualan itu akan sampai ke Subuh. Sayang saya terpaksa meminta diri untuk berrehat kerana tengah hari esok saya akan berangkat ke luar negara.
Sehubungan itu saya maklumkan tiada catatan dan post baru untuk sehari dua ini. Harap maklum. [wm.kl.10L55 am 14/08/11]
salam tuan MSO.. Memang mcm tu la apa yg tuan katakan.. tak berkesempatan untuk berbicara dgn lebih lanjut dgn tuan. masa BERSIH 2.0 yg lalu pun saya cuma sempat bersalaman dan menyatakan bahawa saya selalu mengikuti penulisan tuan tanpa sempat nak berbicara lanjut.. mungkin disempatan akan dtg jika berpeluang, kita akan berbicara lanjut..
ReplyDeletehttp://kopitarikkaw.blogspot.com/