Tuesday, August 9, 2011

Susupan Petang

Pas Tidak Perlu Jumpa Jais, Gereja

Parti Islam SeMalaysia (Pas) telah mengutus surat kepada Jais dan gereja Methodist Damansara Utama untuk berjumpa bagi mendapat penjelasan berhubung kejadian 'masuk tanpa diundang' oleh Jais ke gereja itu beberapa hari lalu. Surat untuk tujuan itu telah pun dihantar oleh Pas. Tarikh untuk bertemu dengan Jais ialah pada 15 Ogos manakala dengan gereja pada 16 Ogos.

Tujuan pertemuan itu menurut Setiausaha Agung Pas, Mustapa Ali ialah berhubung isu yang timbul sekarang ini. Pas nampaknya mengambil peranan untuk menjernihkan suasana. Peranan Pas itu memang pantas tetapi apakah dalam isu itu ia relevan?

Maaflah bagi saya rasanya tidak perlu untuk Pas mengambil peranan dan membuat pertemuan itu. Sebabnya mudah saja, isu itu sensitif dan ia bukan isu asal Pas walaupun ada kepentingan dengan umat dan negara ini. Pas pula gerakan politik Islam bukan gerakan Islam konvensional.

Kerana isu itu sudah 'dipolit' menjadi isu politik saya bimbang langkah Pas itu akan berbidas ke mukanya. Kata orang untung tak seberapa malu dan sakit pula yang diperolehi.

Sebelum ini sudah banyak pihak yang bercakap mengenai perkara itu baik atas nama peribadi sebagai seorang Islam, politician maupun penganut agama atau atas nama persatuan. Nadanya pro kontra dan menyebabkan ada ulasan dan komen itu berpihak dan ia mula menjadi polimek pula. Polimek itu bukan membawa kepada kekenduran tetapi menjadi lebih tegang.

Kerana telah timbul keadaan itulah saya bimbang bila Pas turut meminta penjelasannya akhirnya Pas terpaksa melakukan sesuatu yang boleh membebankan diri sendiri. Sebenarnya Pas tidak payah mendapat penjelasan baik dari Jais ataupun gereja. Bagi uruskan soal Jais, Pas serahkan kepada kepada Hasan Ali. Hasan adalah Exco dan dia adalah orang Pas. Pas boleh mendapat penjelasan daripada Hasan Ali dan mempercayai apa yang diperolehinya.

Saya sudah katakan isu itu bukan isu Pas. Ia isu semua orang khasnya isu Jais dan gereja berkenaan. Kalau benar dakwaan Jais ada aktiviti mengkristiankan Melayu, tanggungjawab membenterasnya bukan saja satu-satu pihak tetapi semua pihak. Saya tenguk dalam hal ini tidak semua memberi reaksi kepada isu berkenaan. Umno sebagai parti terbesar dan mengaku parti Islam nombor dua di dunia juga diam membisu. Begitu juga dengan rakan Pas dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP tidak bersuara dan mereka tidak sesrius Pas untuk memain peranan.

Jangan pula kesungguhan Pas itu untuk menunjukkan dia parti dinamik! Kalau terlebih aji no moto pula susah juga nanti.

Jadi usahlah Pas memandai-mandai untuk mencari masalah. Apa juga ulasan Pas setelah mendapat penjelasan itu ia akan dilihat serong baik oleh lawan maupun oleh Islam dan Kristian. Kalau Pas memberi simpati kepada gereja dan menganggap masuk tanpa izin itu salah, orang Melayu akan marah kepada Pas. Sebalik begitu juga kalau Pas memberi kenyataan memuji Jais orang Kristian akan berkecil hati.

Jalan sebaiknya Pas mendiamkan diri dan jangan ada apa-apa ulasan dan pandangan. Rasanya tidak berdosa kalau Pas tidak mengambil peranan itu, atas maslahat politik dan agama dan juga bangsa.

Peristiwa sebelum ini patut direnung oleh Pas. Bagaimana perasaan orang Melayu dan Islam bila mana Mursyidul Am dan Presiden Pas pergi ke gereja dan menghulurkan bantuan bila gereja dibakar? Pas mungkin ikhlas dan suci hati tetapi ingatlah keikhlasan itu kadang kala tidak ada nilai dalam politik sekular.

Niat itu baik sebagai sesama insan dan toleran beragama. Tetapi apa kesan. Iya Pas mendapat perhatian dan pujian dari penganut Kristian tetapi dalam masa sama Pas juga mendapat kejian dari sesetengah penganut Islam. Apa yang kena faham, apa juga bantuan, derama dan nawaitu bila ia dilakukan dalam baju politik ia akan disuluh dari mentol politik. Apa lagi sekarang ini bersepak macam kacang butir jatuh ke tanah para NGO yang semuanya mendabik dada memperjuangkan Islam dan Melayu.

NGO inilah nanti akan menjadi macam angsa terlihat biawak akan membuangkan suaranya menempikkan ke arah Pas.

Saya sudah memesan kepada seorang pemimpin tertinggi Pas supaya menjaga hal ini. Pas jangan begitu jauh terlagak dalam usaha untuk mendamaikan keadaan. Entah pemimpin berkenaan sampaikan atau tidak. Tetapi bila Pas telah mencadang untuk menemui Jais dan gereja itu mungkin pesanan itu tidak sampai, ataupun diabaikan.

Pada saya, orang tidak akan menuduh Pas tidak bertanggungjawab kalaupun Pas tidak mengambil peranan dalam isu berkenaan. Orang sudah faham dengan kedudukan Pas dan perjuangannya. Sebaliknya kalau tidak kena cara dan kaedah tindakan Pas itu akan memakan diri sendiri. Makanya sekali lagi dikatakan elok kalau Pas batalkan saja untuk bertemu dengan Jais dan gereja secara rasmi. Pas tunggu sajalah laporan Jais dan denganlah penjelasan Exco Selangor yang juga ahli Pas itu, Hasan Ali.

Cara itu lebih afdal dan lebih selamat buat Pas. [wm.kl.6:13 pm 09/08/11]

11 comments:

  1. Saya setuju dgn Pak MSO. Bak kata YB Khalid Samad, jika benar dan ada bukti cubaan mengkristiankan umat Islam yang berada disana, JAIS harus membawanya kemahkamah (dan bukan mahkamah syariah) kerana ianya BERTENTANGAN dengan Perlembagaan Malaysia. NOKTAH!
    (Kenyataan ini keluar dari mulut YB KHalid sendiri semasa hadir untuk majlis berbuka puasa bersama kami bukannnya saya petik dari mana-mana sumber - harap maklum)

    ReplyDelete
  2. Salam Ramadhan Tuan,
    Saranan tuan nampaknya lebih terarah disudut politik semata-mata. Bagaimana pula tanggungjawab sebagai seorang Islam. Lebih2 pd pimpinan yg mengaku Islam adalah perjuangannya. Kenapa kepentingan ugama nak diselaraskan dgn benda2 lain. Jika UMNO tak terdaya, PAS pun tak terkata, siapa yg harus membantu JAIS & umat Islam. JAIS hanya bertugas memikul amanah & tak perlu 'undangan' utk dpt masuk ke gereja tersebut. Menang kuasa politik dgn cara membelakangkan ugama, tak selamat dunia akhirat! Wallahualam.

    ReplyDelete
  3. mengadakan pertemuan, tidak ada apa salahnya. pas sekadar mahu berjumpa, bukan mahu melampaui kuasa jais pun nak jadi tukang penyelesai masalah. duk diam saja dikata orang, cuba utk buat sesuatu (waima jika sekadar utk dapatkan penjelasan saja) pun dikata juga.

    jika dgn cuba buat sesuatu itu bermakna menunaikan taggungjawab kepada agama, walaupun dari segi politik boleh merugikan, maka eloklah diutamakan taggungjawab kpd agama itu.

    saya berharap dlm pertemuan dgn gereja itu, yang melayu yg 12 orang itu hadir sekali lebih baik, kalau tak buat apa2 salah, tak perlulah sembunyikan diri. bagi saya jika berada di pihak benar, tidak ada apa yg hendak disembunyikan.

    pun begitu, saya setuju dgn tuan bahawa tukang penyelesainya sepatutnya jais, dan beban tanggungjawab paling besar dipikul oleh jais, untuk buktikan dakwaan mereka itu betul. jadi sekarang terserah kpd jais lah utk kemukakan bukti yg dakwaan itu benar2 berlaku pada waktu serbuan itu bukan main semberono saja atau lebih teruk jika ini cubaan utk memalukan kerajaan pr selangor.

    pihak yg dituduh mmg lah akan nafi nafi dan nafi. tapi kalau jais mampu bagi bukti ataupun dapatkan pengakuan dari 12 orang melayu itu, segala nafi nafi nafi itu tak akan terpakai lagi.

    ReplyDelete
  4. As Salam Tuan MSO. Kalau semua orang nak mainkan lagu "Bangau Oh Bangau", yang salahnya ialah pihak parti kerajaan yang memerintah. Kemana perginya wang Zakat (Fitrah) yang jumlahnya mencecah berbilion-bilion ringgit saban tahun seperti yang dipertikaikan oleh Prop Dr Asri Zainal Abidin (bekas Mufti Perlis)di dalam tulisannya? Kalau disalurkan mengikut saluran dan tujuan asal zakat fitrah, maka tidak timbul soal umah hidup merempat di negara sendiri kecualilah dana tersebut dibuat modal di Casino Genting Highland (hanya orang Pahang sahaja yang lebih arif dalam hal ini).

    ReplyDelete
  5. salam Pak MSO..
    Saya pro dan kontra pandangan Tuan.Ada baiknya dia adakan pertemuan.mungkin ini boleh jadi landasan utk non muslim mengenali PAS dan gerakannya.maka jika terdapat kemungkinan prasangka terhadap PAS dapat di kikis sedikit demi sedikit.Ianya juga baik utk PAS mewakili muslim seluruh malaysia bagi menyatakan sikap dan pandangan muslim di malaysia berkenaan soal kristianisasi di malaysia.yelah,nak tunggu melayu umno yg bikin dulu,jgnkan kata kristian,atheis pun umno tak peduli kalau melayu pilih nak jadi mcmtu..

    kontranya pula saya fikir,memadai dgn kenyataan dan sikap jelas YB khalid samad.saya fikir penjelasan dan kenyataan beliau memadai bagi seluruh umat islam dan kerajaan yg memerintah melihat hal duduk perkara ini.lagi pun cybertrooper umno dan pencacai upahannya mmg telah "sangap" isu utk membalun PAS..yelah,dari takde isu baik balun PAS walau pun isunya tak tentu hujung pangkal...hahahahahaha

    ReplyDelete
  6. PAS sudah pun terpalit kerana DHA adalah EXCO Selangor mewakili PAS. Membiarkan isu ini hanya pada Hassan Ali, MB Selangor dan Khalid Samad akan meletakkan PAS dalam bahaya atas beberapa kemungkinan.

    Saya menyokong keberanian PAS berjumpa kedua-dua pihak tersebut. Kristianisasi sememangnya berlaku, kalaulah dengan pertemuan tersebut, pihak gereja mengubah dasar mereka, ia satu kejayaan besar PAS dan melonjak nama PAS di mata pengundi Melayu.

    Jika pun tidak, setidak-tidaknya usaha telah diambil oleh PAS dengan niat yang baik untuk memelihara kesucian Islam. Kecualilah PAS ingin mengubah dasar Islamnya kepada dasar lain yang lebih mementingkan survival politiknya semata-mata.

    Rakyat tidak akan menyalahkan PAS dalam isu ini kerana mereka tahu yang benar-benar berkuasa adalah KDN, merekalah yang akan disalahkan.

    ReplyDelete
  7. Salam pak mso..

    Pertamanya blog ini adalah pandangan peribadi pemilik blog! apa2 yang dinukilkan di sini ada yang baik dan ada yang kurang baik. Contohnya saranan pak mso kepada seorang pucuk pimpinan tertinggi. Perlu diingat bahawa bukan hak individu itu memastikan saranan Pak mso diterima. Saranan mungkin dibincang tetapi keputusan mesyuarah akan diambil sebagai jalan penyelasaian. Harap pak mso dapat menerima ini. Jangan risau banyak lagi idea2 baik yang boleh pak mso sumbangkan..terima kasih!

    ReplyDelete
  8. Tuan MSO,
    PAS perlu mengambil langkah yang jernih antara JAIS/Hassan Ali dan pengundi bukan Islam. Bak kata 'Penjenguk setia (saya kira) blog Merah Tinta' :"Kepada pemimpin PAS sama-sama kita doakan semoga membuat keputusan yang bijak ibarat menarik rambut dalam tepung: rambut tidak putus, tepung tidak berselerak."

    ReplyDelete
  9. Sdr MSO,
    Kesungguhan PAS untuk bertemu JAIS dan Gereja bukanlah usaha untuk menjernihkan suasana sangat, tetapi (yang tersirat)lebih kepada hendak menjaga kepentingan politik dan kebimbangan kehilangan sokongan orang bukan islam terhadap PAS.

    Barangkali pelbagai isu ummah yang timbul muttakhir ini untuk menguji sejauhmana konsistennya PAS dengan kebenaran perjuangan dengan kebenaran untuk cari makan (CARMA -pinjaman ungkapan Pak Said. Nampaknya banyak kenyataan PAS lebih kepada menjaga kepentingan politik dan kesannya percayalah sedikit sebanyak akan menghakis sokongan orang islam terhadap PAS dalam PRU 13.

    ReplyDelete
  10. agaknya kalau ada pemimpin pembangkang jumpa Pope di Vatican tentu jadi isu besar di Malaysia. kalau makan bersama Pope pun begitulah jadilah. sebenarnya isu ini kebetulan berlaku di Selangor. isu ini dibesarkan kerana pencanangnya sudah diketahui. tujuan sebenar nak jadikan ia sebagai bahan untuk meleraikan ikatan PR. itu sahaja. bukan atas nama islam sangat, sebab mereka yang berkokok itu pun atas dasar cari makan belaka. kalau kokok sedap, ada pendukungnya, utusan tolong, RTM1/2 pun tolong, jadi cantiklah.rasanya ia tidak lebih dari salah faham dan pengertian. kalau soal pengkristianan melayu, mereka tak perlu pergi geraja, aktiviti belia kita yang menjurus kepada agama itu ada di mana-mana, hiburan, huha-huha festival dan macam-macam, belum bab vilentine's dan macam-macam lagi. ada MP dari utara yang jaguh murtad, dulu kokok pun kuat juga, sekarang nak kokok juga kes gereja ni.ingatlah, semuanya cari makan belaka. orang cari makan ni berkokok setakat tunjuk muka...wah hebat...

    ReplyDelete
  11. asl semua,
    pandangan saya...apa kata kita buang ayat PAS yang hendak jumpa jais dan pihak gereja tu....

    yang betulnya bukan pas, tetapi kerajaan pakatan rakyat selangor (pas,pkr, dap) yang hendak jumpa jais dan pihak gereja.

    dan semestinya pas sebagai parti tunjang islam yang berada dalam pakatan rakyat yang mampu untuk melihat isu ini secara lebih halus...

    jadi tidak ada isu pas yang melebih-lebih atau memandai sbaliknya pakatan rakyat sgor yang hendak menyelesaikan isu ini, kerana kes ini berlaku d selangor. tentu ada peranan MB Khalid ibrahim bersama pemimpin2 pas dalam isu ini...

    sekian

    ReplyDelete