Wednesday, September 21, 2011

Tazkirah Subuh

Tanpa Kerjasama Umno - Pas
Hudud Tidak Akan Tertegak?


MENTERI Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan sesetengah orang yang memberi gambaran buruk mengenai hudud sehingga usaha menegakkanya menjadi sukar. Tindakan itulah katanya menyebabkan hukum hudud - hukum yang disebut dan dituntut dalam al-Quran dilihat sebagai menggerikan dan ditentang.

Ini berlaku katanya disebabkan oleh mereka jahil mengenai hukum tersebut dan juga jahil mengenai Islam tetapi bercakap mengenainya. Sudah tentulah kejahilan membawa keruntuhan dan kelemahan.

Memang benarlah apa yang dikatakan Nik Aziz itu. Sesetengah orang Islam sendirilah yang memberi gambaran negatif dan buruk mengenai hudud. Mereka jahil tetapi cuba juga hendak bercakap dan menghuraikan apa yang mereka tidak faham. Apa pun tidak akan menjadi baik dan mencapai natijahnya kalau ia dilakukan oleh si jahil. Bagi si jahil satu-satu kegiatan atau perbuatan mereka yang sempurna ialah makan, tidur dan berak saja, sesekali melompat!

Setengah orang mentafsir hudud mengikut akal sendiri dan tidak menggali hikmah di sebalik sesuatu hukum yang ditetapkan oleh Allah. Tidak cuba mendalami sejarah atau sebab musabab kenapa hukum itu ditetapkan. Apa juga sesuatu kejadian dan perintah Allah kalau dikaji dengan akal susah untuk diterimanya kerana ada sebahagian tuntutan itu bersifat ghaib - spiritual.

Memang Allah memberi akal fikiran untuk menguruskan kehidupan ini. Tetapi bukan semua akal dapat menjawab segala permasalahan hidup. Banyak perkara yang diluar logik akal yang berladum di sekitar diri kita, yang tidak munasabah tetapi kita dapat merasai akan kewujudannya. Salah satu rukun imam, mempercayai kepada malaikat dan hari khiamat. Kedua perkara itu tidak dapat dicapai dengan deria fizikal melainkan ianya perlu diyakinkan dengan iman (kepercayaan) kerana ia bersifat spiritual dan tidak berjisim dan berjirim.

Begitu juga dengan hukum hudud yang dilihat menyeksa dan menyusahkan itu. Tetapi ia tidak ganjil dan pelik kalau manusia membuka akalnya seluas-luasnya dan menggali segala hikmah di sebalik yang dikendung al-Quran. Dalam hal-hal seperti hukum hudud ia dapat diterima oleh keimanan dan ketakwaan sahaja.

Selagi manusia tidak beriman dan bertaqwa atau menambah iman dan taqwa agar iman dan taqwanya penuh, maka selama itulah hal-hal yang memerlukan penglihatan dengan mata batin (basirah) tidak akan dapat dicapai. Ia tidak akan meresap dalam hati dan jiwa manusia. Kemunasabahan hukum hudud yang melibatkan penyeksaan fizikal tidak dapat diterima oleh fizikal yang amat terhad ilmu untuk mengenali maknawiNya. Ia memerlukan pencapaian deria yang boleh berhubung dengan cara ghaib.

Saya tidak yakin hudud dapat dilaksanakan selagi manusia tidak mencapai peringkat iman yang tertinggi, memiliki sifat-sifat mahmudah. Lagi pun jelas, bahawa segala hukum hakam dan tuntutan Allah hanya berlaku kepada manusia yang beriman dan bertakwa saja.

Semisalnya sembahyang, puasa, zakat, haji dan segala macam kebaikan hanya tertakluk kepada mereka yang beriman saja atau mereka yang ada iman saja akan terbuka hati untuk berbuat demikian. Mereka tidak beriman - yakin dan percaya mereka terkecuali daripada mempercayai dan menerimanya.

Di dalam al-Quran Nur Karim Tuhan tidak mengatakan; wahai orang-orang kafir hendaklah kamu berpuasa, atau solat atau mempercayai hudud dan lain-lain perintah mutlak. Tetapi Tuhan kata; wahai orang-orang beriman. Kerana begitu kedudukan dan hakikatnya maka solat, puasa, zakat, haji serta hudud tidak akan berlaku atau diterima oleh orang yang tidak percayai atau mempunyai ketauhidan yang tinggi.

Justeru kalau hendak laksanakan hukum Tuhan itu, maka biarlah semua manusia terlebih dahulu beriman dan bertaqwa. Atau majoritinya sudah mempercayai dan yakin. Makanya untuk itu dakwah, ajak, panggil, seru dan berilah kesedaran Islam dulu kepada mereka baru hukum Islam boleh ditegakkan. Payungi mereka dengan Nur Islam terlebih dahulu, baru hukum-hukum itu dilaksanakan. Sebab itu Allah berpesan supaya manusia berdakwah ke jalannya, memberi kesedaran kepada manusia.

Dalam hal ini kesedaran bukan saja kepada orang Islam, tetapi orang kafir juga perlu diberi kefahaman mengenai Islam. Bila mereka sudah faham dan jika dilaksanakan ia tidak akan menolaknya. Bukan bermakna mereka perlu bersyahadat, tetapi cukup biar mereka memahami akan sebab musabab dan hikmah di sebaliknya. Biar mereka mengetahui hukum itu adalah untuk kepentingan sejagat. Perbandingan di antara hukum hudud dengan hukum ciptaan manusia hendaklah dibuat dengan jelas dan tuntas dalam usaha memberi kefahaman ini.

Tidak salah kalau Karpal Singh, Lim Kit Siang atau kumpulan-kumpulan NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia tolak hudud kerana mereka tidak faham dan tidak arif mengenai Islam. Keindaan dan kecantikan Islam mereka tidak pandang dan merasai macam mana mereka boleh menerimanya. Mereka tidak salah tetapi yang salah ialah kita yang tahu tetapi malas atau gagal dalam usaha menyedarkan mereka.

Bukan saja Karpal Singh (yang pernah mengatakan kalau Pas hendak laksanakan hudud langkah dulu mayatnya) hatta orang Melayu sendiri yang tidak tahu kecantikan Islam tidak akan dapat merasai kecantikan itu kandati hudud itu adalah ajaran agamanya. Disebabkan kejahilan itulah maka mereka "tepu" untuk menerima dan melaksanakan hudud. Mereka akan tentang dan akan berbahas dan berhujah dengan dalil akal berlandaskan ilmu profesional mereka untuk menolak.

Jangan marah kepada mereka, sebab mereka tidak hampir dan menghayati Islam maka terjadilah begitu. Dalam hal ini yang perlu dikesal dan dimahasabah ialah diri kita sendiri (Islam Melayu) mencari sebab musabab kenapa kelemahan ataupun ketidaksempurnaan itu terjadi? Dalam hal ini bukan salah ibu mengandung, atau keadaan tetapi salah diri sendiri (Islam Melayu).

Dalam hal ini, saya melihat politik telah menyulitkan keadaan. Politik banyak memisahkan juzuk-juzuk agama didalam kehidupan, dan politik juga sudah menjadi doktrin yang menyesat dan mensasaukan. Maka wajar kalau perkara ini dulu diselesaikan. Buang mata politik dari memandang setiap juzuk kehidupan tetapi ambil mata hati untuk merenungnya kerana mata hati lebih jilah dari mata politik.

Mata politik tidak bersifat bundar (bulat tetapi ia bersifat dimensi, berbentuk). Jadi kalau pandangan itu dari satu bentuk (arah) saja maka ia akan melihat dari sudut itu saja. Kalau ia melihat dari kiri maka pemandangan kiri saja yang dapat dilihatnya dan ternafilah segala panorama indah lain yang berada di sebelah kanan dan dimensi-dimensi lain.

Sebaliknya kalau ia berbentuk bundar (bulat), sifatnya maka pandangan itu menyeluruh. Makanya mata politik atau doktrin-doktrin politik sangat bahaya dalam kehidupan dan inilah yang menyebabkan hidup ini celaru haru biru dan terpisah-pisah laksana kiambang di kolam.

Formula paling mudah dalam konteks orang Islam Melayu, kalau benar mereka (Islam Melayu) ada hajat dan usaha untuk melaksanakan hudud, Pas dengan Umno perlu duduk sekali. Keterpisahan dua puak inilah yang menyebabkan keadaan hudud itu 'berkonfrontasi'. Pas hendakkan hudud, Umno menolak hudud kerana Umno melihat hudud sebagai agenda politik dan bukan satu kewajiban yang ikhlas. Pandangan mata politik Umno melihat begitu. Pandangan politik menyebabkan dua tafsiran ke atas satu objek.

Justeru se
lagi mata politik digunakan ia tidak akan menseragamkan pandangan di antara Umno dan Pas. Hatta kalau mereka melihat objek yang jelas kepada umum tetapi belum tentu lagi mereka mempunyai tafsiran yang sama. Selalu terjadi Pas kata lembu, Umno kata kerbau walhal apa yang dilihat itu hanya kambing Japnapari.

Sebaliknya kalau Pas duduk sekali dengan Umno menyebabkan Umno perlahan-lahan melihat juzuk-juzuk kehidupan termasuk agama itu dari kaca mata Pas dan lama kelamaan mereka akan mempunyai pandangan sama, ketika itulah hudud diterima. Keperluan untuk Pas bersama itu juga demi memberi kesempatan menambah 'ainun' agama kepada Umno.

Selagi Pas duduk berasingan dengan Umno yang juga dilihat ada power dan autoriti untuk bercakap agama walaupun parti itu bersemangat kebangsaan, maka selama itulah kepentingan agama seperti hukum hudud dan lain-lain itu tidak dapat menjadi kenyataan kerana ia akan terus ditentang. Adalah kurang bijak kalau Pas untuk membiarkan ia ditentang sedangkan ada jalan untuk ia diterima.

Terima atau tidak kedua parti politik itu mempunyai kuasa besar ke atas Islam Melayu di negara ini.

Pandangan Dr Asri Zainul Abidin bahawa hudud perlu ditafsirkan atau ada ijtihad baru dalam persiapan untuk melaksanakannya tidak akan ke mana. Tafsir dan ijtihad itu pada saya bukan menjadi titik tolak kepada penerima dan kesuksesan perlaksanaan hudud. Selagi dua kumpulan ini Pas dan Umno tidak duduk dalam satu saf maka hudud itu tetap akan berlaku penentangan di antara satu sama lain. Sedarlah mata politik sangat merbahaya dan berbisa untuk memusnahkan apa-apa juga kebaikan yang diturunkan Allah. Badar lahum... [wm.kl.7:12 am 22/09/11]

No comments:

Post a Comment