Tahniah Wan Ismail Dan Wan Rahim
SEWATU bersarapan pagi di sebuah gerai alias restoran "Tu Dok Ko"di Taman Samudera, Gombak pagi tadi bersama sdr Zulaimi dan seorang kawannya, saya menerima panggilan dari Rushdan Mustafa yang ketika itu berada di hospital Universti Sains (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu. Rushdan sedang menziarahi wakil rakyat Melor, Wan Ismail Wan Jusoh yang sedang berihat sambil mendapat rawatan di situ.
Saya kagum melihat cara dan aktiviti persendirian dilakukan Rushdan. Boleh dikatakan setiap minggu dia akan berlegar di kawasan Rantau Panjang menjenguk mana-mana mereka yang bernasib malang bukan ke belakangan ini tetapi sejak bertahun lalu. Mana-mana yang tidak dipedulikan atau terlepas pandang dari pandangan wakil rakyat akan ditangani seadanya oleh beliau. Rushdan akan menyediakan apa-apa keperluan termasuk memguruskan apa-apa keperluan lain.
Sedikit sebanyak apa yang dilakukan bekas Timbalan Ketua Bahagian Umno yang menyertai Pas 10 tahun lalu ini meringankan beban wakil rakyat di Rantau Panjang. Bagaimana pun kerja kebajikan dibuat secara senyap itu tidak disedari orang.
Wan Ismail berada di hospital itu sejak beberapa hari lalu. Semasa balik ke Kelantan minggu lepas untuk mengikut program Kesyukuran Hudud saya bercadang untuk ziarah beliau. Tetapi kerana kesuntukan masa, hajat itu tidak kesampain. Apabila mengetahui Rushdan hendak ziarahi beliau saya minta sampaikan salam saya kepada Wan Ismail.
"Ana di tempat Yang Berhormat Wan Ismail ni, dia nak bercakap dengan enta," kata Rushdan di hujung telefon kemudian melepaskan telefon bimbityang baru di beli di Bangkok beberapa minggu lalu itu kepada saya.
"Enta tak nak sain (berkawan) dengan ana dah ke?" terdengar suara Wan Ismail kesayuan di hujung telefon. Saya teras sedikit terkedu mendengar kata-kata itu. Rasa bersalah mengelitik dalam hati. Memang agak lama saya tidak menjenguk dan bersapa tanya beliau hatta dengan telefon. Kadang-kadang jelous juga kepadanya bila sihat sikit diam-diam dia ke China.
"Bukan...! Enta sihat ke?" saya cepat-cepat mendalih kata. Belum sempat saya sambung dia terus bermengasak; "Nampak enta tak nak dah sain dengan ana..." katanya bersedih. Suaranya garau mungkin air matanya sudah melimpah di birai mata.
Saya memahami hati dan perasaan Wan Ismail dan orang yang di dalam keadaan sepertinya. Orang yang bersemayam di wad hospital mudah merasa sedih dan cepat mengingati kesalahan orang terhadapnya tanpa menyemak apakah kesalahan diri sendiri kepada orang lain diwaktu sihat.
"Bukan, ana dah nak pergi masa balik dua tiga hari lepas, tetapi masa tak mengizinkan..ana dah sebut kepada Ustaz Lah (Abdulah Yaakob - Air Lanas)." Saya memberi penjelasan. Keadaan jadi senyap berbapa jurus.
"Kata nak buang 20 orang wakil rakya?" tanya beliau. Duh...saya faham dia merujuk kepada catatan terbaru saya dalam blog. "Boleh buang ke? Ada 19 orang lagi, ana dah selesai tugas dengan pemimpin dan rakyat," katanya menjelaskan yang beliau sudah sedia untuk berundur dan tidak mungkin bertanding lagi. Mungkin juga Wan Ismail terasa dengan catatan saya itu. Beliau memahami 2o orang wakil rakyat yang perlu dinilai itu termasuk dirinya, sebab dalam catatan itu saya memberi klu mereka yang uzur.
Saya jadi terharu dengan kata-kata Wan Ismail itu. Walaupun dia memperli tulisan saya rasa dia seakan ikhlas. Apabila beliau mengatakan tugasnya dengan rakyat dan kepimpinan sudah selesai itu menandakan tidak ada apa-apa lagi difikir untuk pilihan raya umum akan datang. Mungkin diam-diam Wan Ismail sudah ada calon atau pun orang yang disebut untuk mengganti tempatnya. Baguslah.
Dalam perjalanan pulang dari sarapan pagi itu saya terkenang kepada Wan Ismail. Moga apa yang diucapkan itu benar dan jujur. Semoga dia juga tidak terasa terkilan dengan apa yang saya cadangkan itu. Sehingga kini termasuk Wan Ismail sudah dua orang wakil rakyat yang membuat pengakuan untuk tidak dicalonkan lagi. Seorang lagi ialah cikgu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, ahli Parlimen Kota Bharu.
Dalam satu pertemuan di sebuah hotel di Jalan Ampang satu malam, cikgu Rahim menyebut yang dia sudah pun berusia, umurnya sudah 60 tahun dan sudah tidak larat lagi untuk jadi wakil rakyat serta kalau boleh mahu diserahkan kepada orang muda.
"Ana dah tua, buvi (beri) lah ke orang-orang muda pula," begitulah kata Wan Rahim malam itu. Suaranya tenang dan bersahaja saja. Saya cuba mengacahnya agar bertanding di Dun Kota Lama tetapi beliau cepat menolak dengan kata-kata itu.
Saya mengira apa yang diucapkan Wan Rahim itu sama maksud dengan apa diucapkan oleh Wan Ismail. Walaupun cikgu Wan Rahim masih sihat tetapi dia sudah insaf yang sudah lima penggal dia bergelumang dalam pilihan raya. Menjadi Adun dua penggal, menjadi Speaker dan juga MP. Pendeknya semua jawatan sudah dirasai oleh Wan Rahim. Orang seperti cikgu Rahum sudah tidak ada apa lagi yang dikejar dalam politik sebab semua dia sudah menikmatinya. Selain menjadi wakil rakyat beliau juga menjadi Setiausaha Politik kepada MB Kelantan 10 tahun.
Bagaimana pun saya kurang setuju kalau beliau bersara terus dan berada di luar bultan politik Kelantan. Kelebihan dan pengalaman yang ada kepadanya sebagai pakar politik Kelantan hendaklah dipergunakan. Takdir cikgu Wan Rahim benar untuk berundur, kerana keletihan tetapi beliau tidak boleh mendiamkan diri. Peranan dan kepakarannya sebagai pengarah polilihan raya tetap diperlukan.
Kini dari 20 orang wakil rakyat yang saya kira wajar dipertimbangkan untuk tidak bertanding sudah ada dua orang yang membuat pengakuan. Bagaimana pula dengan 18 yang lain lagi. Saya rasa tidak payah saya sebut satu persatu nama-nama mereka. Setiap dari mereka akan mengetahui apakah mereka layak, masih berkemampuan atau tidak.
Jadi sebelum nama kita disebut rakyat agar berundur eloklah kita membuat pengakuan ikhlas seperti mana Wan Ismail dan Wan Rahim itu. Adalah sangat buruk kalau ada yang beranggapan mereka juga masih diperlukan seperti mana Tok Guruku Nik Aziz. Kalau Tok Guru ditakdir masih bertanding dalam janganlah hendaklah takdir itu juga hendak digunakan kita. Sedarlah bahawa diri kita (wakil rakyat) jauh bezanya dengan Tok Guru.
Kepada mereka yang sudah dapat menghidu bau yang mereka tidak lagi diperlukan, salinlah gelegar jemuran sebelum terjerlun kaki. [wm.kl.7:11 pm 16/10/11]
Kadang-kadang manusia tidak dapat menerima hakikat yang mereka sudah tua dan tidak lagi larat untuk bertugas.
ReplyDelete