Sunday, October 2, 2011

Kritikan Ke Dalam

Kongres Sambutan Ulang Tahun
Ke 60 Pas Tidak Menempati Masa?


BEGITU 'terkelih' banting yang menguar-uarkan Kongres Sambutan 60 Tahun Pas yang dipasang di dinding sebuah (rumah) stor di Taman Melawar, Gombak pada hari rumah terbuka Pas 17 September lalu ia sudah merangsang saya untuk menghadirinya.

Sekeping gambar bekas Yang Dipertua/Presiden Pas cukup menggamit hati saya untuk mengikut kongres berkenaan, atau setidak-tidak akan terlepas dari mengetahui apakah isi perbicaraan dan perbincangan di kongres itu. Kongres itu dibayangkan akan menghasilkan satu dapatan atau kesimpulan cukup bermutu untuk kesemarakan perjuangan Pas di ketika Pas meletakkan tag line impiannya; Pas ganti Umno.

Wajah yang saya maksudkan itu ialah wajah Mohd Asri Muda bekas Presiden Pas (1969 - 1982).

Saya nampak wajah Asri tertera di banting itu bersama enam wajah bekas Yang DiPertua atau Presiden Pas lain; Haji Ahmad Fuad Hasan (1951-1953), Dr Abbas Ilias (1953-1956), Dr Burhanuddin Muhammad Nur al-Helmi (1956-1969), Yusuf Rawa (1982-1989), Fadzil Mohd Nor (1989 - 2002) dan presiden terkini Abdul Hadi Awang.

Mungkin kalau tidak ada wajah Asri di banting itu ia menyebabkan naluri saya tidak begitu berdenyut untuk ke Kepala Batas, tempat berlangsungnya kongres itu.

Saya sudah merasakan kemujuran dan merasakan Pas tidak mengabaikan sejarah apabila wajah Asri ada sama di banting berkenaan bersama wajah-wajah pemimpin nombor satu Pas yang lain termasuk Abdul Hadi. Kenapa saya berkata begitu kerana sesetengah ahli Pas sebelum ini yang kecewa dengan tindakan politiknya (tinggal Pas, tubuh Hamim dan menyertai Umno) marahkan kepada Asri. Tindakan Asri itu dilihat sebagai satu perbuatan paling hodoh di sepanjang penglibatan dalam politik di sepanjang hidupnya tanpa mendinginkan kepala dengan mencari justifikasi mengenai tindakan itu. Sesiapa pun kita arus menerima takdir!

Generasi muda termasuknya juga yang kini memegang jawatan besar dalam Pas tidak banyak tahu sejarah apa lagi menghayati sendiri suka duka dan liku-liku perjuangan Asri dan juga bagaimana kelicitan politiknya tentu akan merasa 'murih' dan sedih. Mereka tidak didedah mengenai sejarah perjuangannya, malang lagi mereka banyak mendengar cerita-cerita buruk tentangnya yang dikisahkan dengan perasaan prejudis dan kebencian lantaran kekecewaan yang berat.

Namun sebenarnya kemarahan itu tidak wajar dikembangkan dalam dada mereka yang tidak tahu mengenai perjalanan hidup politik Asri, yang penuh dengan onak dan duri itu. Tentang Asri ada dua aspek yang perlu ditonjolkan untuk dijadikan contoh dan ini adalah kehebatan yang tidak ada tolak banding. Pertama, mengenai pidatonya yang mampu merangsang khalayak dan kedua kehalusan licitan politiknya meletakkan Pas setanding dengan Umno. Asri adalah kapten bahtera Pas yang bijak meniti ombak.

Saya selalu mengatakan Pas kena iktiraf kewujudan Asri dan perjuangannya tidak boleh dilenyapkan. Kalau tidak semua tetapi kenanglah Asri dari hari pertama dia menyertai Pas hingga ke hari akhir dia melangkah keluar meninggalkan jemaah. Hari-hari selepas beliau meninggalkan jemaah itu adalah hari-hari milik dia secara peribadi yang teramat rahsia dan sukar untuk difahami.

Dalam membahaskan sesuatu sejarah perjuangan unsur peribadi hendaklah di ketepikan. Dalam membicarakan perjuangan seseorang juga, elemen-elemen peribadi seseorang itu hendaklah di ketepikan dan apa yang perlu diambil ialah perjuangannya, nilai sejauh mana perjuangan yang didokongnya bermakna atau tidak kepada agama, bangsa dan negara.

Tentang Asri jasa dan baktinya kepada Pas bukan sedikit. Hari ini jangan ada orang sangat berbangga dengan kedudukan Pas hari ini yang sudah memperolehi kerusi banyak di Parlimen dan state. Apa yang penting ialah ukur dari segi kepentingan politik Pas yang digunakan Asri untuk bangsa Melayu dan agama Islam. Tidak ada guna Pas memperolehi kerusi banyak dan menguasai banyak negeri kalau kepentingan-kepentingan pokok itu yang menjadi intipati dan aspirasi perjuangan di kesampingkan atau tergadai.

Selama lebih satu dekad sebagai Presiden Pas Asri berjaya memastikan Pas berkembang maju seiring dengan parti pesaing dan musuhnya, Umno. Asri menjadikan Pas sebagai pesaing Umno dalam hubungan persahabatan. Kejayaan Pas bertapak ke seluruh negara menerusi beberapa strategi halus dirancang Asri termasuk menyuburkan Pas di tanah-tanah rancangan seperti Felda. Ini berlaku semasa Pas berada dalam BN. Jasa dan kejayaan besar ertinya buat Pas.

Kejayaan Asri meletakkan bibit Pas di Felda ini samalah taraf dan nilainya dengan kejayaan Pas meraih sokongan bukan Islam. Kerana kedua taktik dan kejayaan itu boleh menyemarak dan memperkuatkan perjuangan Pas yang menerima demokrasi sebagai alternatif untuk membentuk kerajaan.

Asri adalah sebahagian daripada orang yang berbuat demikian. Pun begitu juga dengan kejayaan Pas memerintah Kelantan dari tahun 1959 membawa kepada tahun 1978 adalah juga jasa Asri walaupun ironisnya pada tahun 1978 kerajaan Pas Kelantan jatuh ditangan Asri.

Namun kejatuhan itu bukan kesalahan yang perlu dilemparkan ke pundaknya secara peribadi sehingga sejarah dan hidupnya selama lebih 30 tahun beliau bersama Pas digelapkan begitu saja? Kalau itulah cara dan corak Pas, Pas lebih kurang sama dengan Umno yang cuba mengelapkan sejarah-sejarah bangsa dan negara seperti mana diungkitkan Mohamad Sabu tentang Mat Indera itu.

Makanya sejarah pejuang Pas terdahulu kandati mereka pada satu takah mengecewakan parti dan harapan penyokong jangan digelapkan. Masa putih mereka perlu ditabirkan kepada generasi terkemudian agar genarasi mengetahui jasa mereka dan lebih penting tahu menilai dan memahami makna sejarah.

Kongres di Kepala Batas

Kembali kepada kongres ulang tahun 60 Pas di Kepala Batas itu saya kira akan membicarakan soal perca-percra sejarah para pejuang Pas dan mengangkat kembali usahajaya mereka. Kongres itu akan menghimpun segala kejayaan dan kegagalan, dibahas dan disimpukan mencari kesimpulan tuntas untuk kejayaan Pas dimasa depan.

Penggalian sejarah perjuangan Pas tentang jaya dan gagal dalam tempoh lebih satu abad itu juga penting untuk dijadikan iktibar dan perbandingan. Dalam Pas mempersiapkan diri bagaikan burung cantik mandi pagi mengelisik bulu dan ekor - untuk mengganti Umno, Pas memerlukan kepada panduan dan cermin klasik sejarah itu. Paling penting juga Pas perlu bermahasabah sepanjang masa mencari mana silap dan mana salah yang pernah dialaminya.

Pas perlu membangun masa depannya dalam minda, bukan hanya asyik dan ralik mengindahkan minda dengan khayalan dan impian. Hakikat ini semua akan tercapai dengan kembali mengenang dan mengambil sejarah sebagai guru. Yang penting dari pada bukan mengajar ahli berkhayal tetapi mengajar ahli bagaimana mekanisme untuk mencapai kemenangan.

Sejujurnya, sungguh besar harapan dan menungan saya kepada kongres itu. Bagaimana pun malang hakikat yang berlaku tidak sehebat apa yang saya bayangkan. Kongres itu tidak memberi makna ke arah yang saya bayangkan bersesuaian dengan iltizam Pas itu sendiri. Kongres itu tidak lebih dari sebuah karnival keluarga yang sudah kerap berulang dan sudah menjadi tradisi dalam banyak himpunan Pas.

Pengalian ilmu mencungkil sejarah dan menelaaah perjuangan masa depan tidak begitu mendalam dan ditekuni. Kedai yang menjual pelbagai barang keperluan harian, minuman dan nasi Arab lebih banyak dari sejarah Pas dan harapan yang digarapkan seperti mana diharapkan saya di kongres berkenaan. Kalau ada beberapa dua dapatan baru lebih bersifat retorik yang kemudian hilangan dari minda apabila terkena nasi Arab atau nasi Kandar.

Saya tidak tahu apakah kongres itu seperti mana kata Pengarahnya, Annuar Tahir yang agak berlainan sedikit dari kongres-kongres yang lain dari segi susun aturnya? Annuar Tahir semasa mengendalikan kongres memberi tahu kongres terpaksa diubah sedikit di mana ucapan penutup didahulukan sebelum dua orang ahli panel membentangkan idea dan pandangannya. Tok Guru Nik Aziz yang ditetapkan menyampaikan ucapan penutup memohon untuk bercakap awal kerana keletihan sebelum Mahfuz Omar dan Husam Musa membentangkan pandangan dan ideanya.

Jadi apakah dalam kongres itu ada kepelikan maka pengisian dan perjalanan keseluruhannya juga longgar dan tidak mampan? Atau Pas sengaja mengubahkannya? Bagi saya kongres itu harus berjalan bersendirian tanpa celupan lain-lain program dengan penuh berwibawa sebab ianya upacara penting bagi parti sebesar Pas. Tidak perlu diselang seli dengan acara-acara atau karnival lain yang boleh menganggui fokus kepada kongres berkenaan. Sejauh mana kejayaan dan keteraturan (profesionalisme) kongres itu juga akan diperhati oleh cendekiawan untuk menilai Pas?

Ada dua buah kertas kerja dibentang pada kongres itu. Pertama oleh Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar bertajuk "Pemikiran Dr Burhanuddin & Zulkefli Muahmmad Dalam Pembentukan Gagasan Perjuangan Pas". kedua oleh Subky Latif, "Peranan & Sumbangan Pas Dalam Peta Politik Negara Sesudah 1969 Hingga Masa Kini".

Kedua kertas kerjanya banyak mengulangi apa yang diwacanakan sebelum ini tanpa ada banyak input dan maklumat baru. Kamaruddin masih berterusan mendedahkan kehebatan pemikiran siasah Burhanuddin dan Dr Zulkefli Mohamad yang dilihat terbuka, progresif dan dinamik. Kamaruddin nampaknya lebih intim dengan pemikiran siasah mereka yang terbuka dari pemikiran ekstrem seperti mana diamalkan oleh pendokong ulama tradisional khususnya dalam meliberlisasikan siasah Pas.

Sementara Subky pula banyak mencatat lintasan-lintasan politik Pas di sepanjang tempoh itu. Lintas itu lebih terarah kepada pencapaian dan kemajuan Pas dan tidak cuba mendedahkan secara jujur tentang kelemahan dan juga kekurangan yang ada kepada Pas. Kertas Subky itu lebih kepada mengenang daripada memikirkan pencapaian masa depan Pas, atau lebih tepat kepada usaha untuk merealisasikan Pas mengganti Umno.

Sementara pengisian lain ialah dua ucapan (ceramah politik) bebas oleh Naib Presiden, Mahfuz Omar dan Husam Musa. Saya tidak menghayati ucapan Mahfuz kerana berada di luar. Tetapi Husam pandai membangkit emosi para muslimat Pas dengan cuba memahkotakan perjuangan muslimat Pas berdasarkan komitmen kaum itu bermula sejak di zaman isteri Burnanuddin Helmi lagi.

Ternyata usikan dan pujian Husam menyebabkan muslimat merasa bangga dan akan melipat gandakan lagi tenaga juang. Sebenarnya usikan begitulah lebih diperlukan dalam usaha membingkaskan naluri perjuangan. Muslimat saya rasa menghargai pujian Husam itu. Dalam hal ini saya ingin memesankan dalam respons kepada pandangan Husam itu jangan pula sampai ada muslimat tidak pulang rumah kerana asyik menampal poster Pas.

Sekali lagi secara jujur bagi saya tidak mencukupi dengan dua buah kertas kerja itu. Selama 60 tahun Pas banyak sejarah, kenangan dan perubahan yang perlu dilakukan. Justeru perlu banyak perbincangan (wacana) akademik mengenai Pas. Misalnya menerusi kongres seumpama itu boleh memperkatakan secara mendalam mengenai gaya, pendekatan dan komitmen para pemimpin Pas terdahulu itu sebagai perbandingan. Perlu juga dicatatan bahawa antara mereka juga ada kehebatan masing-masing yang mungkin tidak diwarisi generasi pemimpin masa kini.

Agak dukacita sedikit pengkisahan mengenai mereka mengikut tempoh masing-masing tidak dibahas dan dibincangkan dalam kongres itu. Ruang ini sepatutnya diambil ketika forum perdana yang menampilkan Sallahuddin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man, Dr Asri Zainal Abidin dan Idris Ahmad itu. Tetapi sayang tidak berlaku mungkin terlupa.

Perkara yang perlu diberi perhatian juga ialah perjalanan kongres itu tidak begitu profesional. Kehadiran atau perserta juga tidak ditapis sedemikian rupa di mana setengah tidak layak untuk berada dalam dewan yang sedang berkongres. Kehadiran mereka yang setengahnya boleh dikatan tidak berada dalam kesiapan untuk berkongres mencatatkan majlis itu. Paling menunjuk ialah dari segi pakaian.

Tetapi mungkin kerana kongres itu seperti mana kata Pengarahnya, Annuar Tahir ia berubah sedikit, maka kecacatan itu boleh dimaafi tetapi dengan syarat ia tidak akan berulang dimasa akan datang. Kalau saya hendak puji mengenai kongres itu ialah dari segi sambutan hangat yang mana ia menyerlahkan kesungguhan Pas untuk membuat lonjakan dalam pilihan raya akan datang khususnya di Pulau Pinang, sebelah tanah besar.

Kesimpulannya dengan apa yang berlaku itu adalah lebih baik kalau kongres itu ditukar kepada Karnival Ulang Tahun 60 Pas bukannya sebuah berforum bernama kongres.

Dalam sudut lain juga kongres itu, baik serius atau tidak, tidak kena pada masanya. Kalau hendak diadakan juga sepatutnya Pas perlu menundanya pada tarikh lain. Dalam saat pilihan raya sudah berada di ambang mata, bukan masa untuk berkongres lagi. Apa yang baik Pas menggunakan himpunan seperti itu untuk menggerakkan semangat ahli, penyokong dan orang ramai untuk berpilihan raya.

Masa lebih banyak dan pantas perlu diambil Pas dan gabungan Pakatan Rakyat untuk menggerak ahli, penyokong dan rakyat semua agar berada di garisan permulaan untuk berlari ke hadapan dengan keazaman tinggi untuk merampas Putrajaya. Masa untuk beretorik dengan program-program yang tidak kena pada masanya sudah tidak wajar lagi. Ingatlah kertas kerja dan fail serta brief case tidak akan memenangkan perjuangan yang memaksakan kita turun ke lapangan seperti perjuangan Pas yang mengambil jalan pilihan raya. [wm.kl.11:00 am 02/10/11]

No comments:

Post a Comment