Monday, October 3, 2011

Luahan Malam

Kenapa Mat Sabu Lupa Asri?

PETANG tadi saya berkesempatan meneliti buku cenderamata Kongres Sambutan 60 Tahun Pas yang berlangsung di Dewan Milenium Kepala Batas pada Ahad lepas. Ada sedikit yang saya rasakan buku berkenaan tidak lengkap dan tidak sepatutnya berlaku. Walaupun buku itu hanya beberapa helai saja dan ia mencatat program atau susun atur mengenai kongres berkenaan tetapi ia merupakan satu dokumen penting di masa depan.

Buku itu akan menjadi dokumen sejarah penting untuk seratus tahun akan datang. Buku itu akan dipamerkan kepada umum di masa depan bila ada majlis yang akan mengisahkan kronologi perjuangan dan juga catatan-catatan mengenai apa yang pernah dilakukan pemimpin Pas di sepanjang usia parti itu.

Betapa pun ianya kecil buku itu tetap akan menjadi bahan rujukan kepada pengkaji dan penganalisa perjuangan Pas di masa depan. Mereka yang menjadikan dokumen sebagai sumber dalam hidup ia penting.

Kerana kepentingan itu maka saya merasakan tidak wajar kalau kesalahan yang saya rasakan itu berlaku. Ada dua perkara itu yang saya terkesan. Pertama tentangan ketinggalan nama jawatan Mursyidul Am Pas dan juga kelupaan Pengerusi Kongres Mohamad Sabu menyebut nama Mohd Asri dalam kata pengantar di ruangan Sekapur Sireh.

Buku itu turut menyenaraikan Ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat sesi 2011 - 2013, bersama Pesuruhjaya Negeri-Negeri dan juga Wilayah Persekutuan. Tetapi malangnya buku itu tidak sama menyenaraikan kepimpinan tiga Dewan; Ulamak, Pemuda dan Muslimat. Paling dikesalkan ialah buku itu tidak mencatat penjawat Mursyidul Am Pas yang pada masa kini dipegang oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya Dr Haron Din.

Jawatan atau tokoh sepenting Nik Aziz dan Dr Haron tidak sepatutnya dipinggirkan dari buku itu. Nama dan wajah mereka perlu diabadikan untuk melengkapkan hierarki kepimpinan Pas sesi 2011 - 2013.

Begitu juga Mat Sabu dalam kata pengantar tidak menyebut atau sengaja meninggalkan nama Mohd Asri Muda dari disenaraikan bersama nama-nama bekas Presiden Pas yang lain. Mat Sabu hanya menyebut nama Burhanuddin, Zulkifli, Yusuf Rawa dan Fadzil Nor tetapi lupa nama Asri yang menjadi presiden Pas ke empat. Kenapa?

"Dikesempatan ini kita memperingati dan belajar dari Burhanuddin Helmi, Zulkifli Mohamad, Abbas Alias, Mohd Yusuf Rawa, Fadzil Noor dan sejumlah mujahid yang telah pergi." Begitulah kata Mat Sabu.

Mungkin nama Asri alergik kepada Mat Sabu di atas apa yang berlaku maka Mat Sabu merasakan tidak wajar nama Asri keluar dari mulutnya. Tetapi Mat Sabu dan Pas serta sekalian orang dalam Pas yang benci Asri perlu ingat dan sedar bahawa ada juga mereka yang terkenang kepada Asri.

Mungkin pengikut Asri sudah tidak ramai dalam Pas. Apa lagi generasi muda yang lahir pada tahun 80-an sudah tidak tahu dan jauh dengan Asri. Mereka yang menjadikan Mat Sabu sebagai idola tidak kenal siapa Asri.

Tetapi mereka yang kini berusia 80 atau 90 tahun yang pernah bersama Asri naik bukit turun bukit, seberang sungai termasuk dikejar gajah semasa berceramah masih mengingati nama itu. Mereka ini kalau disebut Asri dan diungkit kehebatan bekas Presiden Pas ke empat itu akan meriding bulu roma.

Saya faham didalam Pas ada yang benci nama Asri. Ada orang yang takut untuk menyebut nama Asri kerana nama itu tidak disenangi oleh pemimpin tertinggi Pas. Tetapi itu bukan alasan untuk melupai jasa dan budi Asri didalam Pas. Mereka (setengah pemimpin) tidak suka kepada Asri ialah kerana peribadi. Isu peribadi di antara mereka berdua tidak wajar diheret dan diturut sama oleh orang lain.

Inilah sikap yang tidak baik yang ada kepada orang Pas. Kalau pemimpin mereka tidak senang kepada sesuatu keadaan atau perkara - bukan pun mutlak di tolak perlembagaan, mereka juga akan ikut sama membencinya. Senario pak turut ini dapat dilihat kepada corak pemakaian dan pemilihan jenis kopiah. Perhatikanlah... mana-mana jenis kopiah dipakai pemimpin Pas itulah yang menjadi idaman mereka. Inilah unsur taksub dalam Pas.

Berbalik kepada Asri tadi, Pas tidak sepatutnya melupai akan jasa dan pengorbanannya. Sejarah tidak boleh disapu begitu saja. Setiap sejarah ada catatan ada ingatan. Kalau kita tidak menyebut dan cuba menafinya tetapi masih ada catatan dan orang lain mengingatinya.

Kalau Mat Sabu benar sengaja melupai Asri berdasarkan catatan di ruangan Sekapur Sireh itu ini satu kesengajaan yang yang tidak perlu diteruskan. Ia perlu diperbetulkan di lain kali. Orang juga akan bertanya dan mempersoalkan akan moral dan kredibiliti Mat Sabu. Kalau beliau boleh ingat dan kenang Mat Indera, tetapi kenapa boleh terlupa untuk menyebut nama Asri?

Kita semua akan marah kalau kerajaan UBN cuba menggelapkan sejarah orang yang berjuang kemerdekaan negara ini. Tetapi anihnya dalam masa sama kita melupai nama-nama orang yang membesar dan berkorban untuk parti sendiri, Pas.

Saya dapat tahu tidak ada pengkisahan agak mendalam tentang perjuangan bekas-bekas pemimpin Pas itu termasuk Asri pada kongres berkenaan. Cuma Salahuddin Ayub semasa majlis forum perdana khabarnya ada menyebut dan menyanjungi akan jasa dan bakti Asri kepada Pas. Syabas kepada Sallahuddin atas ingatan itu setidak beliau mewakili pemimpin lain yang mudah memandang rendah kepada pemimpin yang mereka tidak suka walaupun ia adalah realiti.

Mulai hari ini jangan dipertikaikan mengenai takdir yang menimpa Asri itu. Apa lagi menjadikan takdir menimpa dirinya mati dalam Umno untuk marahkannya. Sesiapa pun di antara kita (kalangan pemimpin Pas hari ini) tidak dapat memastikan akan mati berlapikkan bendera warna apa?

Jadi soal mati di mana, atas bendera warna apa bukan alasan untuk kita mengambus sejarah seseorang yang selama hayatnya bersama kita. Belajarlah jujur kepada diri sendiri dan orang lain juga. [wm.kl.8:46 pm 03/10/11]

1 comment:

  1. Teringat memori semasa di bangku sekolah rendah sentiasa dibawa oleh almarhum ayahanda ke rumah dato' asri di jalan ya'kubiah. Juga pernah berkereta bersamanya ke mengkebang untuk ceramah.

    ReplyDelete