Saturday, November 19, 2011

Catatan Kesyukuran

Alhamdulilah Kenduri Selamat, Meriah dan Menggembirakan

[kemaskini] SYUKUR Alhamdulilah majlis walimas anak perempuan saya, Ernny Erniati bersama Mohd Zukhairi Mohd Sibaweh seharian suntuk hari ini selamat dengan sejahtranya. Tidak ada sesuatu yang tidak diingini berlaku di sepanjang berlangsungnya majlis pagi dan petang ini. Saya laki bini dan anak-anak sebagai tuan rumah sangat berpuas hati dengan kehadiran para jemputan dari jauh dan dekat. Hampir semua para jemputan hadir.

Beberapa orang yang 'sengaja' diundang pula memaklumkan akan 'keabsenan' mereka bersebab yang munasabah, bagaimana pun ada juga yang tidak memaklumkan... mungkin mereka lupa tarikh ataupun 'bersimbung' dengan acara lain.

Bagi tuan rumah tidak ada yang paling gembira bila mana para jemputannya hadir dan memuji juadah hidangan yang disediakan, sedap dan menyelerakan. Masakan kambing muda, (lamb) delca, gulai kawah, ayam goreng berempah ternyata membuka selera. Ramai tetamu yang memuji dan mengangkat tangan dengan menu disediakan dan minta diadakan lagi di lain masa. Terima kasih chef.

Mengharukan bukan saja adik beradik dari kampung, sahabat handai, kawan dan taulan (sesetengahnya lama tidak jumpa), ahli politik yang dijemput juga hadir. Sahabat yang tidak terlupa dijemput tetapi hadir adalah sahabat yang toleran. Manakala sahabat yang dijemput tetapi 'terlupa' untuk hadir sahabat yang tidak mengambil cakna dan kurang budi.

Sebahabat dan sanak saudara prihatin, pada sebelah malam lagi sudah bertandang ke rumah membantu apa-apa yang perlu atau berkirim salam tanda ingatan. Sahabat yang jauh termasuklah dua kawan dari Banda Aceh yang datang khas untuk membantu kerja kenduri dan meraikan majlis perkahwinan itu. Sebahagian sahabat Musafir Ilahi yang sudah lebih 15 tahun tak jumpa atau berselonggok juga turut bertemu kembali.

Sementara yang tidak dapat hadir menyapa dari jauh pernuh kerinduan. Ada sahabat yang tidak berkesempatan datang tetapi telah mengirim hadiah dengan pos laju. Terima kasih teman sepermainan M Hayat yang buat kali kedua menghantar hadiah sebagai pengganti diri. Ada juga yang berjanji untuk bersama tiba-tiba 'menyembunyikan' diri pada saat terakhir dengan seribu alasan. Tak mengapa!

Pendeknya majlis hari ini sangat bererti. Paling menambahkan 'keberertian' itu apabila rakan Fb juga yang sebelum ini bertegur sapa di alam maya tetapi telah mengorbankan masa dan wang ringgit untuk hadir untuk berkenalan dari dekat. Ternyata media sosial baru (Fb) hari ini menjadi satu fenomena baru yang mewujudkan rakaian persahabatan yang intim dan efektif.

Ternyata majlis kenduri boleh merapatkan hubungan silaturahim serta memperluaskan jalinan persahabatan. Menambah ukhwah persaudaraan dan juga boleh menjernihkan kekeruhan di antara satu sama lain. Mereka yang dapat memahami itu betapa besarnya erti persahabatan akan mengambil kesempatan menerusi majlis seperti itu.

Sebaliknya hanya mereka yang sengaja tidak sukakan kepada kejernihan akan menolak falsafah kenduri sebagai sebuah gelanggang merapat dan menjalinkan ikatan persaudaraan. Yang rendah hati budi dan tipis iman menganggap kenduri hanya majlis keraian biasa.

Selain dari komitmen saudara mara yang sangat menggembirakan saya, tentunya ialah, kedatangan beberapa rakan Fb dan juga pembaca blog Merah Tinta. Mereka datang dari jauh dan ada yang melangkaui beberapa daerah khususnya untuk menghadiri kenduri saya. Misalnya Haslinawati datang bersama suaminya dari Serembahn bersama anak-anaknya.

Nosbisha, Nor Hasin dan Zakir dari Shah Alam datang bersama anak dan isterinya. Presiden Pertis Cikgu Zakaria Yahya dan Sdr Nor Azman Sukerman juga hadir. Tidak terlupa juga kepada DJ radio Bernama 24 kesukaan saya, Nazira Noran juga hadir bersama anak-anaknya dan juga bekas DJ Radio Ibu Kota sdr Zainal Din Zainal.

Saya terharu atas kesudian kalian semua... kerana saya tidak duga begitu sekali peraiaan kalian pada majlis saya. Berjaya atau tidak majlis, suram atau ceria bergantung kepada kehadiran para tamu.

Selain itu juga yang membanggakan saya ialah kehadiran Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersama rombongannya, Datuk Rahim dan sdr Nasharudin Rais. Iya... sepanjang saya terlibat dalam dunia politik inilah seorang tokoh politik yang terkenal yang pernah saya undang dan hadir ke rumah saya. Kedatangan Tengku Razaleigh ini mengesahkan akan betapa berjiwa rakyatnya Tengku Razaleigh.

Kedatangan Tengku Razaleigh hari ini sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar tetamu saya. Bila saya menguar-uarkan Tengku Razaleigh dan Tok Guru Nik Aziz dijemput mereka menanti kehadiran kedua tokoh ini. Kedatangan bekas Menteri Kewangan itu diambil peluang oleh tetamu untuk bersua muka dan beramah mesra dengan Tengku Razaleigh. Tengku Razaleigh petang tadi bagaikan bintang filem apabila para tetamu seorang demi seorang datang bergambar dengannya.

Turut sama hadir ialah sahabat saya Sabree Shafee bersama anak dan isterinya. Mulanya saya mengira Sabree adalah mewakili pemimpin Pas yang dijemput kerana hampir separuh majlis berjalan tidak ada pemimpin Pas dijemput kelihatan batang hidungnya.

Selepas itu barulah ahli Parlimen Tumpat, Kamarudin Jaafar bersama isteri tiba, diikuti bekas MP Jeli Apandi Mohamad yang tiba hamnpir serentak dengan ahi Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub. Dr Mohd Hatta walaupun sibuk namun sempat juga menyempatkan diri, begitu juga dengan Adun Hulu Kelang Saari Sungib yang datang bersama isterinya, Kak Cha tiba lebih awal.

Kehadiran mereka sungguh mengharukan. Tidak semua rakan politik yang saya jemput... dan ada juga dua tiga orang wakil wakil rakyat yang dijemput tetapi tersesat jalan sampai akhirnya. Yang tersesat jalan tidak mengapa, pilihan raya umum sudah hampir tiba. Tetapi yang dijemput dan diberikan kad, bukan saja tidak hadir tetapi ada yang tidak menjawab pun.

Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali walaupun dijemput menerusi SMS, berikirim salam tidak dapat hadir kerana di Terengganu. Begitu juga dengan Exco Kelantan Dr Mohd Fadzli Hassan dan ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar memohon maaf kerana tak sempat datang. Manakala Ahli Parlimen Bachok Nasharuddin Mat Isa, Adun Limbongan Drs Zainuddin Awang Hamat, Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim yang dijemput tetapi lenyap tanpa khabar. Mungkin ketiga mereka ini sudah berkira untuk berundur dalam pilihan raya akan datang.

Begitu juga Mursyidul Am Pas yang 'dipadah' juga tidak kelihatan dan tidak ada apa-apa perkhabaran apakah tarikh kenduri saya dicatat di diarinya ataupun kad yang disampaikan menerusi Pegawai Keselamatannya tertinggal atas tangga. Mungkin jemputan saya untuknya sebagai jemputan Abu Nawas.

Bagaimana pun kerusi para undangan yang dijemput tetapi tidak dapat hadir (mungkin kerana ada musaqah) dipenuhi oleh rakan seprofesyen saya yang tidak pernah melupai majlis saya; Subky Latiff, Pyan Habib, Yahya Ismail, Ahmad Lutif Othman, Razali Endun, Rodly Fadzli, Rahim Zain, Azmin Pungguk, Mali Jaafar dan lain-lain.

Di hujung catatan kesyukuran ini ingin saya rakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Mohd Zaki Abdul Rahman (Abang Ki) bersama isteri (Kak Wan), Fauzi Ibrahim dan isteri cikgu Sharifah yang membantu dari mula hingga akhir.

Tidak terlupa kepada sdr Zulaimi Kazin taukeh Kopi Janda yang ikut sama merai dan memeriahkan majlis saya dengan membuka kiok khas menyediakan minum kopi Janda ais kepada para jemputan saya. Ternyata kopi janda ais mengacam dan sangat sesuai untuk dihidangkan pada majlis seperti itu.

Mustahil saya dapat mencatat semua mereka yang terlibat kerana ia terlalu ramai untuk diingati satu persatu. Oh ya tidak terlupa kepada ahli Parlimen Ketereh Abdul Aziz Kadir dan ahli Parlimen Tanah Merah Amran Abdul Ghani yang datang sesudah sayup musim.

Kepada tetamu isteri saya, anak-anak saya yang tidak sempat saya temui dan mengenali, saya pohon maaf dan mengucap terima kasih di atas kunjungan anda sekalian. Semoga majlis yang baru kita lalu mendapat restu Nabi Muhamamd s.a.w. dan diberi berkat oleh Allah s.w.t. [wm.kl.11:00 19/11/11]

















2 comments:

  1. Alhamdulillah Sdr MSO, walaupun saya tak dapat hadir krn walimatulurus juga disini, saya bersyukur majlis tuan berjaya dan hebat. Apapun saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat Pengantin Baru dan berbahagia hingga ke anak cucu" dan pada keluarga tuan semua selamat berbahagian dan beroleh kesehatan yang baik selalu - Amien.

    Wassallam.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete