Thursday, November 10, 2011

Jangkaan Petang

Parlimen Tidak Akan Bubar Esok?

ESOK 11.11.2011 tarikh yang dikatakan diminati oleh Haji Mohd Najib. Kononya Najib akan menggunakan tarikh itu sebagai tarikh untuk membubarkan Parlimen. Kalau Parlimen dibubarkan esok, bererti dalam masa 60 hari pilihan raya umum ke 13 akan diadakan. Kesegeraan Haji Najib membubar parlimen bererti dia mahukan pilihan raya diadakan pada tahun ini juga.

Kemungkinan itu pada saya amat mustahil. Ertinya esok tidak ada pembubaran parlimen oleh Najib. Banyak sebab kenapa saya mengatakan demikian. Dalam tempoh sebulan ini rakyat negara ini sibuk menghadapi sisa-sisa usia tahun ini. Rakyat sibuk untuk menyediakan bajet masing-masing untuk digunakan tahun depan.

Bajet rakyat juga akan bergerak seiringan dengan bajet kerajaan. Kalau kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi 5.6 peratus, rakyat akan menganjurkan angka lebih rendah dari itu. Rakyat tidak percaya kepada unjuran kerajaan.

Dalam kesibukan rakyat itu, tidak mungkin pilihan raya pada bulan Disember. Lagipun banyak perkara yang belum siap dan perlu diperkemaskan oleh Najib. Dari sudut kesediaan untuk berdepan dengan pilihan raya nampaknya Pakatan Rakyat lebih bersedia. Begitu juga dengan rakyat, masing-masing menanti untuk melalui pilihan raya ke-13.

UBN belum menuba atau saiko rakyat habis-habisan lagi. Peruntukan untuk rakyat menerusi wang segera (one-off) juga masih ada yang belum diterima. Setengahnya akan diberikan pada awal Januari. Itupun kalau duit ada, kalau tak ada hanya boleh dengar figure sahaja. Figure tidak boleh dimakan.

Klinik 1 Malaysia, Kedai Rakyat 1 Malaysia juga masih bermasalah. Harga barangan di Kedai Rakyat 1 Malaysia tidak stabil, dan ada barangan harganya lebih mahal dari kedai runcit orang Acheh atau kedai mamak di celah flat. Semua itu kena diperkemaskan oleh Najib sebelum parlimen dibubarkan.

Selain isu-isu lain juga banyak dan makin bertambah. Nama-nama calon UBN juga difahamkan belum selesai dan masih ada yang belum putus. MCA menuntut kerusinya, manakala Umno mahu mengambil mana-mana kerusi yang gagal dimenangi MCA. Begitu juga dengan MIC. Khabarnya sesetengah orang Cina yang menyokong MCA sudah bersiap sedia untuk swing kepada Pakatan Rakyat ramai-ramai kalau kerusi mereka diambil. Salah satu ialah di Wangsa Maju.

Secara diam MCA memprotes dan mendesak Najib. MIC juga khabarnya memberi kata dua kepada Haji Mohd Najib. Mereka sedia menerima apa saja pemberian projek, tetapi mereka tidak akan bertolak ansur dengan kerusi. Mereka - MCA dan MIC sudah mengira kalau kerusi mereka mengecil akhirnya mereka kehilangan kuasa. Hendak tak hendak mereka kena mempertahanakna kerusi mereka untuk dipertandingkan.

Perlantikan menteri menerusi senator tidak menjadi kuasa mereka akan kekal. Ia hanya mampu bertahan selama tiga tahun saja. Mereka sedar akan tektik dan strategi memancing sokongan menerusi kedudukan dan pangkat ini. Jadi masalah ini masih 'berpolet' dan 'berbalut', makanya tidak mungkin Haji Najib akan segerakan pilihan raya.

Tidak cukup itu konsensus dengan parti-parti komponen lain juga belum selesai seutuhnya. PPP pimpinan Kyevas juga menuntut dua tiga buah kerusi. Belum nampak bayang kerusi mana yang akan dilepaskan kepada PPP. Salah satu kerusi diminta PPP ialah Parlimen Kuala Krai di Kelantan. Naib Presidenya, Nik Sapia berhajat bertanding di situ. Tetapi sebahagian besar ahli Umno mahukan kerusi itu dikekalkan kepada BN.

Begitu juga dengan Sabah dan Sarawak. Yang paling rumit kepada Haji Najib untuk menghadapi masalah bakal ditimbulkan oleh PBB di Sarawak. Hubungan Najib dengan Taib Mahmud belum pulih molek. Kritikan Najib kepada Mahmud kerana lama berkuasa masih luka dan terus berdarah. Permintaan Haji Najib agar Taib Mahmud berundur benar-benar menyinggung hati Taib Mahmur sampai Taib kata orang Semananjung jangan buat pandai di Sarawak.

Itu masalah besar. Ada khabar sekiranya kena cara dan saluran PBB akan bertanding secara bersendiri, maksudnya tetap guna lambang BN tetapi kalau menang belum tentu mereka akan memberi sokongan kepada BN. Tidakkah haru kalau begitu.

Kewujudan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) juga menjadi gangguan kepada Najib. Walaupun Amanah baru tetapi Ngo pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah itu tetap menjadi gangguan. Kalau sebelum ini Haji Najib menerima cadangan Umno Gua Musang supaya tidak mencalonkan Tengku Razaleigh untuk kerusi Parlimen Gua Musang, tetapi mungkin cadangan itu kena direnung kembali. Kalau Tengku Razaleigh terus diberi kerusi apakah Ketua Pemuda Umno Bazlan tidak akan mengamuk!

Sebuah lagi Ngo yang masih belum selesai dan dapat kata putus iaitu kedudukan Perkasa(m). Ada pendapat mengatakan presidenya akan diberi laluan untuk kerusi Pasir Mas. Tetapi ahli pertubuhan itu khasnya pemimpin yang berwibwa juga mahukan kerusi tersebut. Kalau mereka tidak diberikan kerusi dan cukup menghadiahkan kepada ketua mereka saja, tentu akan bangkit kemarahan.

Manakala penyerahan kerusi parlimen Pasir Mas kepada presiden Perkasa(m) itu menjatuhkan maruah Mustapa Mohamed, Awang Adik Husin dan sekalian pemimpin terbesar di Kelantan. Mereka akan dilihat sebagai pemimpin yang tidak ada batu ***** kerana terpaksa akur dan tunduk kepada ketua Ngo itu. Rasanya lebih baik UBN hilang kerusi Pasir Mas daripada menanggung aib dihina apabila kerusi itu dipajakkan oleh ketua Ngo itu.

Semua masalah-masalah itu perlu diselesaikan dahulu kalau Haji Najib hendak bubar Parlimen. Kalau ia dibubar dalam keadaan belum bersedia ibarat kata Haji Najib sengaja belayar malam waktu hujan ribut. Saya tidak fikir Haji Najib sedia berbuat begitu kerana masa masih ada untuk menanti hujan ribut reda dan menanti mentari baru 'jeluah' semula diufuk timur. Tempoh berakhir penggal parlimen ke-13 ialah pada Mac tahun 2013.


Di sini cuma saya nak tanya apakah ilham (waridat) yang Haji Najib perolehi selama 10 hari di Arab Saudi itu? Mat Maslan tentu boleh menjawabnya. [ttdi.2:40 pm 10/11/11]

No comments:

Post a Comment