Isu Air Kelantan Pengguna Juga Perlu Bertanggungjawab
Masalah air bersih untuk rakyat Kelantan telah dijadikan isu murahan oleh musuh tradisinya pihak Umno. Isu air tidak habis-habis dimainkan malam dan siang. Dari semua sudut dan juzuk diperkatakan dan didebatkan mengenai masalah air.
Semua lapisan rakyat dicari dan diburu untuk diminta komen mengenai masalah air. Orang kampung, penoreh getah, pengayuh beca, budak sekolah, guru, suri rumah hatta pelacur pun semuanya ditanya dan diminta pandangan. Kalau pun yang tidak ditanya media, profesor, doktor, peguam dan golongan profesional lain. Kenapa? Sebab mereka tahu kaedah, prosedur atau sistem pentadbiran, bahawa masalah air bukan disengajakan kerajaan.
Rakyat kampung, apa lagi yang hanya berfikir dengan otak sebelah kiri akan melihat masalah air masalah besar sedangkan mereka tidak pernah bertanya kepada diri mereka sendiri secara jujur apakah mereka juga berusaha membantu mendapatkan air bersih? Atau apakah mereka juga menyumbang memberi beban kepada kerajaan dalam masalah ini.
Ataupun apakah mereka tahu bahawa kekejaman kerajaan Federal kepada kerajaan Kelantan kerana diperintah oleh Pas? Bahawa ada diskriminasi dan pilihan kasih atau pun sikap menghukumkan rakyat Kelantan. Sebenarnya apa juga masalah yang tertanggung rakyat Kelantan ianya adalah disebabkan sikap kerajaan UBN yang berdendam.
Untuk memburukan masalah air Kelantan , air Kelantan digambarkan kotor, berwarna merah, berpenyakit dan tidak selamat digunakan. Perkara ini sudah menjadi lagu nyanyian 'dondang sayang' atau 'karut dikir barat' para pemimpin Umno. Mereka bersekongkol pula dengan media PB yang sanggup menjelajah ke seluruh Kelantan untuk memberi gambaran rakyat Kelantan berdepan dengan masalah air.
Contohnya tidak lama dulu di gambar air Kelantan mempunyai mineral (tahap asid) yang paling tinggi berbanding dengan air di negeri lain dan merbahaya kepada pengguna. Akhbar PB membuat kajian dan pendedahan kononnya mereka mendapat maklumat itu dari makmal bebas yang tidak terikat dengan mana-mana pihak. Tujuannya sebagai hendak membuktikan sumber mereka tepat bahawa air Kelantan tercemar.
Tetapi selepas pihak pengurusan air, Air Kelantan Sdn. Bhd - AKSB membuat penafian, air Kelantan tidak mempunyai tahap asid yang membimbangkan seperti mana didedahkan, akhbar berkenaan itu diam membisu. Penafian dan penjelasan itu tidak dijawab. Jelaslah tujuan media mendedah dan membuat laporan itu berniat jahat dan bermotif politik.
Sepatutnya AKSB mengambil tindakan ke atas akhbar berkenaan kerana ia boleh menimbulkan keresahan dan menganggu pemikiran rakyat walhal kenyataannya bukan begitu. Namun usaha media PB tidak putus dan diam. Kini apa yang berlaku media baik akhbar dan tv sedang mencari mana-mana paip bocor, atau pun longkang tersumbat untuk dilaporkan bagi memburukkan reputasi kerajaan Kelantan.
Peranan mereka hanya memburukkan kerajaan saja tetapi tidak pernah bersikap profesional memberi pandangan dan cadangan bagaimana seharusnya masalah itu dapat diatasi. Media tidak pernah bersikap positif misalnya mengajak rakyat agar berfikir dan bertindak mengatasi masalah itu secara bersama.
Dalam pada itu memang tidak dinafikan air menjadi masalah dan telah dijadikan isu politik. Tahap kebersihan air khasnya dari segi warna cukup memilukan. Di kawasan tertentu warna air bukan putih lagi tetapi merah macam sirap ataupun berwarna perang dan kekuningan macam kencing gajah. Ada rakyat Kelantan tidak lagi membeli baju berwarna putih kerana bimbang bajunya akan bertukar warna.
Apakah puncanya menyebabkan itu berlaku? Ada dua masalah kenapa terjadi demikian. Pertama, ialah masalah paip lama yang tidak berganti selama lebih 20 tahun. Sesetengah paip sudah menjangkau 40 tahun dan sudah terlalu dhaif untuk digunakan. Sudah berkarat dan berlaku kebocoran di mana-mana menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit.
Kedua, ialah masalah tekanan air terlalu rendah di sesetengah kawasan menyebabkan air tidak naik ke dalam tangki. Ini masalah ada hubungkait dengan geografi negeri Kelantan. Sudah tentu bila masalah ini berlaku kerajaan memerlukan kewangan yang banyak. Sedangkan kerajaan Pusat pula menafikan hak Kelantan untuk mendapat kewangan bagi mengatasi masalah ini. Gran yang diperuntukan untuk Kelantan sebanyak RM600 juta bukan saja lambat diluluskan tetapi kelulusannya tidak penuh. Ekoran kelambatan itu menyebabkan kos untuk membaik pulih dan membina loji baru meningkat tinggi.
Cuba kalau royalti minyak tidak dinafikan. Kerajaan Kelantan sudah tentu tidak berhalangan untuk mempertingkatkan kemudahan air untuk rakyat Kelantan. Tetapi kerana kerajaan terus mengamalkan dasar aparteid menyebabkan Kelantan terus ditimpa berbagai masalah bersabit kewangan.
Dalam masalah ini kerajaan bukan berhadapan dengan masalah kerenah birokrasi dan tindakan ala aparteid oleh kerajaan UBN. Tetapi rakyat dan pengguna juga ikut sama membantu. Rakyat atau pengguna hanya mahukan kemudahan, air bersih tetapi dalam masa sama mereka tidak berusaha membantu kerajaan. Mereka tidak memberi kerjasama kepada syarikat pengendalian air Kelantan, AKSB seperti membayar bil-bil semasa air digunakan.
Kita tahu perbelanjaan untuk mengurus dan mengendalikan air diperolehi dari bayaran bil oleh pengguna. Kalau pengguna tidak membayar bagaimana pihak pengendalian air hendak beroperasi. Keadaan ini tidak pernah difahami atau cuba sengaja tidak mahu memahaminya dan meletakkan masalah air ini kepada kerajaan.
Sebelum ini saya sendiri tidak tahu bahawa Kelantan (AKSB) menghadapi masalah dengan pengguna yang tidak membayar bil. Bil tertunggak hari ini bernilai hampir RM12 juta. Jumlah itu bukan sedikit. Bayangkan kalau tunggakan itu dibayar ia membolehkan ASKB mengatasi segala masalah termasuk penyediaan air bersih yang diharapkan. Angka yang diberikan itu hanya berdasarkan akaun yang aktif saja. Masih ada akaun yang tidak aktif tetapi terus mendapat kemudahan itu. (Sila lihat carta yang disediakan diatas).
Pihak musuh selalu menuduh kerajaan tidak peka kepada kemudahan rakyat. Tetapi ramai yang tidak diketahui kerajaan telah membelanjakan sebanyak lebih RM2 juta untuk air percuma di 1,969 buah masjid dan 39 sekolah agama. Pemberian itu sejak tahun 1994 hingga 2011.
Memahami masalah ini kalau pengguna bersikap bertanggungjawab dan mesra pengguna menjelaskan tunggakan itu ia boleh meringankan beban pihak pengurusan air yang natijahnya menyenangkan seluruh rakyat Kelantan. [wm.kl. 5:45 pm 19/01/12]
RM 2 juta untuk rakyat yang benar-benar memerlukan. Tetapi bila ada pemimpin UMNO membakar duit dengan menghisap curut, UMNO diam membisu seribu bahasa!
ReplyDeleteTerima kasih Tn Hj MSO, turun KB jangan lupa cari saya
ReplyDeleteSalam, pandangan tentang keadaan geografi negeri Kelantan memang benar, kos tinggi diperlukan untuk menyediakan pam air dan juga tangki air yang lebih banyak untuk membekalkan air. Bagi pengguna yang tidak bayar bil... pihak berwajib (iaitu Syarikat) sepatutnya mengambil tindakan, tidak adil bagi pengguna yang membayar bil.
ReplyDelete