Tuesday, January 17, 2012

Catatan Konvensyen 2

Gelombang Rampas Putrajaya Sudah Meledak!

Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim Jalan Suka Menanti, Alor Star dua hari lalu sewajarnya kalau ditakuti dan dibimbangi oleh UBN.

Bukan mengenai beberapa resolusi yang diputuskan ataupun janji-janji dan ikrar pimpinan Pakatan Rakyat untuk dilaksanakan seperti penghapusan tol, pelupusan pinjaman wang PTPTN, bantuan untuk warganegara emas, pembatalan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ataupun seribu macam janji lagi, tetapi kebanjiran manusia pada malam ceramah itu yang luar biasa adalah satu permulaan baru untuk PR mengorak langkah terus ke Putrajaya.

Fenomena ini berlaku apabila pendakwaan ke atas Anwar Ibrahim berhubung kes liwat selesai. Pembebasan Anwar itu disambut oleh rakyat sebagai satu kejayaan di mana doa dan harapan mereka selama ini yang menganggap Anwar dianiaya dan fitnah direstui Allah.

Sebab itu pemimpin UBN akan cuba memperlekehkan konvensyen itu untuk tidak dilihat sebagai ledakan atau pun cetusan kebangkitan rakyat untuk menumbangkan UBN. Ketua Umno Kedah Ahmad Bashah terpaksa membuat kenyataan memperlekehkan konvensyen berkenaan kononya ia tidak ada pengisian dan hanya menjadi tempat memaki hamun kerajaan. Awal dari itu sebuah stesen tv berbayar (dengan bayaran dan upah tertentu) melaporkan konvensyen itu hambar.

Sebelum konvensyen itu serangan atau road show ceramah PR yang diadakan di seluruh kawasan parlimen malam sehari konvensyen itu benar-benar berjaya mengejutkan hati dan perasaan rakyat Kedah. Kesemua kawasan yang diadakan ceramah sambutannya luar biasa antara 3,000 hingga 5,000.

Kalau sebelum ini sukar untuk mengumpul orang seramai itu tetapi ia berubah sebaik saja mahkamah memutuskan Anwar tidak bersalah. Pasti dan tentunya ledakan semangat dan kobaran azam kini berlaku di Kedah dengan satu nawaitu untuk mengkekalkan Kedah dalam genggaman dan menumbangkan kerajaan UBN di Pusat. Ledakan ini juga dipercayai turut terhimbau ke negeri-negeri lain.

Hanya pemimpin yang tidak waras sahaja yang tidak terkejut dan menjadi lemah semangat dengan kebanjiran rakyat Kedah pada malam itu. Saya sendiri rasa terkaget dan hilang kata-kata menyaksikan rakyat Kedah berduyun-duyun keluar dari jerumu masing-masing menuju ke stadium untuk menyatakan perasaan mereka. Entah terasa di dalam hati seolah kunjungan orang ramai malam itu seperti merayakan sebuah kejayaan besar.

Mereka datang dari dekat dan jauh. Wajah-wajah yang berjalan berderaian dengan anak-anak dan keluarga itu menunjukkan mereka sengaja datang untuk memberi sokongan. Seolah-olah jujutan manusia di sepanjang jalan itu datang tanpa mempedulikan kepada halangan dan sekatan lagi.

Tawaran wang RM500 yang digula-gulakan kepada mereka sedikitpun tidak membekas sedikitpun buat mereka. Mungkin juga rakyat yang menerima baucer RM500 boleh ditukar untuk dijadikan tambang bas atau membeli petrol untuk mendatangi ceramah dan majlis Pakatan Rakyat.

Betapa ramainya yang hadir, sehinggakan Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan ianya sebagai Arafah. Padang stadium dipenuhi dengan manusia yang mengenakan kopiah putih. Sukar untuk digambarkan berapakah angka sebenarnya tetapi apa yang boleh dinyatakan, kesesakan jalan raya menuju ke stadium sepanjang 3 km di segenap jalan menuju stadium boleh dihisab sendiri. Jumlah kenderaan pula tidak terhitung, motosikal, kereta memenuhi setiap bahu jalan dan jalan-jalan kecil padat sehingga sukar untuk bergerak.

Sejak dari selepas Maghrib lagi orang ramai sudah menuju ke stadium. Keadaan itu menujukkan rakyat Kedah tidak sabar untuk berhimpun dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Stadium Darul Aman yang ketiga itu akan berlangsung pertandingan bola sepak lenggang dan kosong, ini boleh dijadikan indikator bahawa rakyat Kedah meninggalkan bola dan sedia ke majlis ceramah yang lebih bererti buat mereka.

Selalunya anak-anak muda tidak akan melepaskan peluang untuk bersorak di padang bola tetapi malam itu, berlainan kalangan remaja mengubah angin ramai-ramai berhimpun mendengar pidato pemimpin Pakatan Rakyat. Mungkin mereka juga sudah terhasut dengan semangat untuk membina Malaysia Baru.

Saya secara peribadi puas dengan jumlah kehadiran dan sambutan hangat. Mulanya saya menyangka kehadiran tidak melebihi 20,000 paling tinggi dan kalau angka itu dicapai ia sudah pun memadai. Tidak mungkin saya fikir jumlah itu akan mengatasi himpunan membela Anwar di Machang ataupun di Kuala Berang yang masing-masing menjangkau angka lebih 30,000.

Ternyata sangkaan saya meleset. Yang ingin perubahan dan mahu terciptanya Malaysia Baru bukan saja rakyat Kelantan, Terengganu tetapi Kedah juga. Dan dengan sambutan hangat itu seolah-olah rakyat telah memberi isyarat awal supaya UBN bersiap sedialah untuk berpindah dan mana-mana pemimpin yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan harus mula membakar fail.

Saya percaya selepas ini kalau diadakan himpunan dan ceramah di Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor hatta Pahang sekalipun ia mendapat sambutan dan jumlah kehadiran akan menggila dan menyebabkan pemimpin UBN tidak akan tidur malam.

Ledakan yang berlaku di Kedah itu sudah tentu akan berterusan. Saya percaya apa-apa majlis yang diadakan selepas ini ia akan mendapat sambutan hangat. Apa lagi kalau pihak polis tidak menghalang dan menyulitkan laluan ia akan menambahkan lagi keinginan orang ramai untuk hadir. Selalunya polis memberi kerjasama ketat untuk mencegah orang ramai mendatangi ceramah Pakatan Rakyat.

Di Alor Star malam itu sedikit menghairankan kerana polis tidak bertindak seperti biasa. Tidak ada sekatan jalan raya dibuat bagi melengah atau menganggu perjalanan. Hendaknya apa yang ditunjukkan oleh Polis Di Raja (PDRM) Kedah yang yakin dan percaya himpunan melibat Pakatan Rakyat tidak mendatangkan masalah turut sama dipercayai oleh polis di negeri-negeri lain khasnya di Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Apa yang boleh disimpulkan dengan kehadiran lebih 35,000 di stadium malam itu ia sudah mula menampakkan rakyat sudah bangun dan bersedia untuk melakukan perubahan. Rakyat sudah tidak sabar untuk menanti saat peti undi PRU ke-13 dibuka untuk mereka menyaksikan PR akan membentuk kerajaan dan UBN akan tumbang. [wm.kl. 7: 51 am 14/01/12]

Ps: Maaflah gambar kurang memuaskan al maklumlah saya tidak lincah bergerak pada malam itu kerana masalah di bahagian tumit.

No comments:

Post a Comment