Bapa pemuda yang membuat laporan polis kononnya Anwar Ibrahim telah meliwatnya di kondo menyatakan kepada media akan merayu pihak pendakwa agar membuat rayuan ke atas keputusan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah yang dibuat semalam. Bapa remaja yang semasa bersama Anwar kerjanya sebagai pembacuh kopi itu tidak berpuas hati dengan keputusan hakim itu.
Saya termenung dan berfikir ligat mencari apakah signifiken yang bapa si pembacuh kopi itu mahukan. Sebelum ini si pembacuh kopi (tuan punya diri) dalam memberi reaksi kepada keputusan itu mengatakan dia redha dan mengharap mahkamah akhirat pula akan mengadili dakwaannya itu. Apakah ertinya apabila dia berkata begitu dan dalam masa sama terus mendesak agar pendakwa membuat rayuan? Bukan itu tidak amanah dengan kata-kata sendiri dan satu pengkhianatan? Satu dendam tidak berpuas hati?
Pendakwa sedang meneliti hujah penghakiman. Kalau di dalam hujah itu ada ruang untuk mereka merayu, mereka akan membuat rayuan. Itu kerja mereka. Di tahap ini bukan pembacuh kopi, bapaknya atau kumpulan yang menyokongnya yang seramai 45 orang hadir dan duduk dalam masjid Wilayah Persekutuan itu perlu mendesak pendakwa.
Pendakwa yang bekerja secara profesional tahu akan tugas dan tanggungjawabnya. Mereka tidak akan mengikut telunjuk sesiapa, begitu juga kepada pihak yang memberi pandangan rayuan itu tidak perlu.
Ada bahayanya juga kalau pendakwa di desak. Orang akan menyuluh ada agenda lain di sebalik desakan itu. Orang akan berfikir dan mencari sebab kenapa si pembacuh kopi itu beriya untuk melihat Anwar dipenjara. Getah nangka desakan itu tentu akan terkena dan terleset kepada pihak kerajaan dalam hal ini Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.
Bila ini berlaku orang tidak akan melihat si pembacuh kopi itu menuntut keadilan untuk dirinya. Dia hanya mungkin menjadi alat atau watak yang diajar supaya berlakon demikian. Ingat atau tidak si pembacuh kopi ini pernah berjumpa dengan seseorang yang membenci kepada Anwar di Rawang dari jam 9 malam hingga 4 pagi. Untuk apa perjumpaan itu? Pertemuan selama itu bukan setakat bersua muka melainkan untuk membincang dan mengatur sesuatu strategi.
Dari senario ini saya melihat pembacuh kopi bukan ada agenda untuk dirinya sendiri. Dia tidak ada apa-apa kepentingan politik. Tidak pernah dia melafazkan kata untuk menjadi perdana menteri. Jadi tidak perlu dia bertindak lebih jauh. Justeru ada orang lain yang menjadi dalang kepadanya dan mahu mengambil kesempatan ke atasnya.
Berdasarkan itu saya cukup yakin dalang inilah yang mengajar si pembacuh kopi agar mendesak pihak pendakwa membuat rayuan. Dalang inilah yang tidak puas hati. Mereka kini dalam kecemasan dan menggeletar kerana Anwar berada di luar. Buat ketika ini Anwar bersama isterinya Dr Wan Azizah berada di Turkey dalam majlis bersama Tyoib Erdogan sedangkan dia (si dalang malang) masih melungu di gerai kopi di Shah Alam.
Memang ada yang puas hati dan tidak puas hati dengan keputusan semalam. Bagi pembacuh kopi dia sepatutnya sudah berpuas hati kerana laporannya berjaya diambil tindakan sehingga Anwar didakwa dan telah menyebabkan Anwar bersusah payah berulang alik ke mahkamah. Bayangkan betapa perasaan dan maruahnya tercalar balar dengan pendakwaan itu.
Kalau si pembacuh seorang beriman, ikhlas dan jujur sebaik keputusan dibuat dia akan berjalan ke arah Anwar memohon maaf kepada apa yang berlaku. Tidak salah, dan itulah budaya atau natijah yang mahu diterbitkan dalam sesuatu perbicaraan dalam Islam. Saya rasa kalau dia melakukan itu dia akan disanjung tinggi atas keberanian dan sikap kejantanan agamanya.
Kita semua orang Islam. Anwar orang Islam yang dituduh sebagai pluralisme, pembacuh kopi itu juga Islam, dan para dalang yang menjadi penasihat kepada pembacuh kopi juga saya yakin masih berakidah sama dengan Hasan Akidah, iaitu Islam. Apabila mahkamah memutuskan demikian ketepikan sementara agenda politik dan dendam masing-masing. Kita bina maufakat baru untuk bangsa dan negara. Dalam politik kawan tidak kekal, musuh juga tidak abadi. Sesiapa yang mengekalkan perbalahan dan mengabdikan musuh dia sebodoh-bodoh ahli politik.
Islam menyuruh kita bermaaf-maafan. Pemancuh kopi dan keluarganya kena menerima keputusan itu adalah muktamad. Keadilan sudah diberi kepada semuanya. Saya tidak fikir Hakim telah bertindak tidak adil dan khilaf dalam membuat keputusan. Dan kalau Hakim dipengaruhi pun tujuannya adalah demi kebaikan juga.
Jangan pula kerana kita terlalu ghairah dan mempercayai kita saja yang betul dan agenda kita saja terbaik. Sikap dan pegangan itu salah. Kalau kita terlalu sombong nanti akan berlaku sesuatu yang lebih mengaibkan kita. Ingat Tuhan disamping maha pengampun Dia juga maha pembalas. Balasan Tuhan tidak akan tertanggung.
Apa yang berlaku kini Tuhan memberi jalan kepada semua untuk bertawakuf dan bermunajat serta memikir kembali apakah perbuatan, tindakan, kerja-kerja kita sebelum ini elok atau tidak. Maka gunalah masa ini untuk menjernihkan keadaan, menenangkan jiwa dan mensucikan seluruh jasad dan kalbu kita.
Percayalah dunia ini hanya sementara sahaja. Betapa kita hebat, punya ijazah berjela-jela hingga ke peringkat Phd, selalu menang, berjaya, berharta ia tidak akan membawa kita ke mana-mana pun. TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, Harakah atau pun Suara Keadilan hanya ada di dunia ini saja dan dibaca oleh makhluk di Malaysia saja. Di mahsyar besok kita akan didedahkan oleh media Rabul Jalil yang telus, bebas, adil dan benar ditulis dan dirakam oleh Rakib dan Atiq.
Di mahsyar nanti kita akan berjumpa dalam keadaan asal, realiti bertelanjangan. Nah, saat itulah nanti kita akan mengenali di antara satu sama lain dalam keadaan penuh originaliti. Cubalah bayangkan itu nescaya kita akan tenang dan selepas ini Melayu sesama Melayu (MSM) tidak akan saling khianat mengkhianti lagi.
Dalam hidup ini yang paling penting setelah kita mentakruhkan diri dengan Allah ialah kita membangunkan ummah. Untuk bangun ummah kita perlu saling bergandingan di antara satu sama lain. Ini tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita sebenarnya. Bacalah ayat Quran dalam surah Ali Imran ayat: 103 bermaksud;
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."
Kalau kita tidak melaksanakan amanah ini yang kita terima dan ikrar dengan Tuhan di alam luh mahfuz itu maka kita semua adalah pendusta, pengkhianat, zalim yang akhirnya membawa kita semua ke dalam Neraka. Apakah kita semua (Melayu) mahu bersorak sorai dalam Negara?
Dikesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri Ha Najib Razak yang nampaknya menerima keputusan hakim dengan baik dan tidak pula terlampau mengambil kesempatan untuk menjual dirinya baik, demokratik dan langsung tidak mencampuri urusan penghakiman. [wm.kl.10:00 pm 03.01.12]
faktor dendam hanya membawa binasa kepada ahli politik itu sendiri.. malah lebih teruk adalah turut sama mengheret orang lain yang tidak ada kena-mengena
ReplyDeleteperkara buruk yang mereka buat hanya cetus amarah dan dendam berpanjangan.. harap kita semua bukan antara melayu yang akan bersorak di neraka...