Khir Jangan Sembunyi Anak Tikus Dalam Kocek
Menteri Agama Islam Malaysia, Jamil Khir Baharum tidak perlu berdolak dalih lagi. Kebenaran sudah semakin terserlah bukti pula kian bertambah. Bahawa telah berlaku penggunaan wang dari akaun zakat untuk bayar fee guaman, penggunaan di luar asnaf lapan yang dibenarkan.
Elok kalau sebelum mahkamah membuat pengadilan yang boleh menyebabkan Khir bersama Pengarah MAIWP Che Mat Che Ali malu besar mereka mengambil keputusan memohon maaf secara terbuka kemudian berundur secara terhormat dari kedudukan masing-masing. Cara itu lebih afdal dari cuba membuat pembelaan diri sedangkan umum sudah mulai menjatuhi hukuman ke atas mereka atau meragui kredibiliti mereka sebagai penjawat awam dan pemimpin.
Isu penggunaan wang zakat sebanyaak RM63,650 kini sudah tidak dapat diselindung lagi. Hebohnya macamlah wang projek lembu gemuk RM250 juta. Usaha hendak melindungi atau pun dipertahankan dengan berbagai-bagai prosuder itu tidak ubah seperti hendak melindungi anak tikus dalam poket baju. Tidak boleh.
Tikus kalau dibubuh dalam poket sambil memekupnya dari luar ia akan diam tidak bergerak. Tetapi bila kita berjalan dan tangan terlepas memekupnya dia akan bergerak dan menggaru-garu dada kita menyebabkan kita akan kegelian dan tidak selesa.
Selama mana Khir dan Che Mat Ali nak pekuk anak tikus yang dibubuh dalam poket baju itu? Silap hari bulan kalau ia tidak bergerak ekornya yang sepanjang 10 hingga 25 cm itu akan terjeler ke luar poket. Lama-lama orang akan tanya juga, apa benda itu terkeluar, nak kata ballpen bukan, nak kata sapu tangan pun bukan. Jangan malu di dalam majlis sudahlah.
Semalam Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi telah mendedahkan bukti mengenai surat dari Ketua Audit Negara Ambrin Buang kepada Ketua PAC Azmi Khalid mengesahkan telah berlaku transaksi wang sebanyak RM63,650 dari akaun zakat untuk bayar fee guaman berhubung kes qazaf dikemukakan Anwar Ibrahim terhadap mereka.
Menurut dokumen itu tarikh wang itu dikeluar pada 21 November dan diganti enam bulan kemudian. Soal ianya diganti tidak timbul apa dipersoalkan telah berlaku penyelewengan dan pecah amanah.
Che Mat Ali kata itu wang dana dari kerajaan untuk MAIWP yang dimasukan ke dalam akaun zakat. Katanya juga wang itu tidak salah digunakan kerana ia bertujuan untuk membela maruah Islam. Kita setuju maruah Islam wajib dibela. Kita nak tanya berapa wang fee untuk bela kes murtad dibayar dari wang zakat?
Selain itu ada dua perkara yang tidak kena di sini dan menunjukkan kebendulan MAIWP dalam menguruskan wang zakat.
Pertama, kerana wang dana kerajaan dicampur sama dalam akaun zakat. Wang zakat patut diasingkan dari akaun lain dan perlu ada akaun tersendiri. Sepatutnya akaun asing - akaun mubah untuk menerima wang dana kerajaan itu dibuka. Bila ia dicampur sekali di sini menimbulkan kekeliruan dan percampuran wang suci dengan wang makruh. Kealpaan ini menjelaskan betapa cetek dan 'cakduh'nya pengetahuan Islam Khir Bahrum dan Che Mat Ali.
Kedua, ialah apabila ia diganti dengan menggunakan wang dana kerajaan berjumlah RM700,000 itu menunjukkan wang dari akaun zakat telah diambil dan digunakan. Ini bermakna akaun zakat itu telah dicerohohi.
Apakah hukum menceroboh itu walaupun dengan niat yang baik boleh dilakukan? Orang yang tahu tidak mempersoalkan tetapi yang tidak tahu atau pun yang berpegang kepada prosuder kewangan akan pertikaikan.
Dalam kes ini anologi boleh dibuat begini. Jamil dan Che Mat Ali masuk ke rumah anak dara untuk membaiki bilik atap bilik tidurnya yang bocor. Niatnya baik untuk keselamatan gadis itu. Tetapi kalau mereka masuk tanpa ada muhrim boleh menyebabkan syak wasangka timbul. Apa lagi anak dara itu cantik bernilai RM63,650.
Kata Che Mat Ali wang itu untuk menjaga maruah agama. Menjaga akaun wang zakat juga adalah sebahagian menjaga maruah kesucian Islam. Cara mereka lakukan itu boleh menyebabkan integriti Islam diragui. Alasan mengatakan wang zakat naik sebanyak 24 peratus kepada sejumlah RM431 juta kutipan bukan alasan yang boleh menutup penyelewengan itu.
Kutipan itu dibuat sebelum kes itu berlaku. Macam mana selepas ini, pembayaran zakat mungkin meragui akan integriti MAIWP menyebabkan mereka akan membawa wang ke tempat lain.
Cara dan alasan dikemukakan Che Mat Ali dan Jamil Khir tidak menamatkan tanggapan buruk terhadap mereka berdua. Makin mereka bercakap makin terdedah kesalahan mereka. Seperti anak tikus dalam poket itu makin mereka cuba melindunginya anak tikus itu makin meronta-ronta kerana kelemasan disebabkan pekukkan yang kuat.
Saya tidak merasa anih sedikit pun apa yang berlaku ini. Lama sebelum ini semasa Yusuf Nor jadi menteri agama Islam Malaysia, telah berlaku penyalahgunaan MAIWP. Di mana wang MAIWP diambil (pinjam) untuk membeli saham. Selepas ia disedari wang itu dikembalikan semula ke akaun MAIWP. Sila tanya orang bernama Mustafa Abdul Rahman.
Jadi jalan terbaik Jamil dan Che Mat mengaku tersalah urus dan minta maaf kepada umat Islam dan berjanji tidak akan buat lagi. Lebih bagus mereka mengambil tanggungjawab atas kekhilafan bukan kecil itu dengan melepaskan jawatan masing-masing sebagai menteri dan pengarah MAIWP kerana jelas mereka boleh dianggap bersubahat dan saling melindungi antara satu sama lain dengan sekaki payung yang carik di tengah hujan lebat membanjir. [wm.kl.1:16 t/hari 13/01/12]
Islam itu telus. Sepatutnya institusi zakat menjadi contoh dalam mengamalkan ketelusan. Setiap sen wang zakat mesti dapat dikesan dan dipaparkan kepada umum kemana dan bagaimana ia dibelanjakan.
ReplyDelete