Thursday, April 5, 2012

Celoteh Murai 7/12

Sakit Orang Kadang-Kadang Kita Kena Rasa Juga

Kesianlah juga Murai kepada orang si janggut 49 orat kerana telah dijatuhi hukuman gantung perkhidmatan selama dua tahun enam bulan sebagai timbalan presiden benda bulat Malaysia. Bagi Murai penggantungan itu tidak patut sama sekali dan melampau. Ia satu tindakan yang boleh menghalang kemajuan benda bulat negara ini yang semakin pudar dan lusuh sejak beberapa dekad ini.

Anih juga Murai, makin maju, makin banyak wang dicurahkan untuk pembangunan benda bulat, tahap benda bulat kita ditangga corot. Dulu kita adalah rimau di Asia Tenggara ini. Jepun, Korea, Thailand, Vietnam dan lain-lain semua duduk dibawah kita. Piala Merdeka adalah temasya benda bulat terbesar di anjurkan negara dikagumi dunia. Bahkan kita adalah maha guru benda bulat kepada mereka.

Hari ini pesta itu sudah pun hilang. Kehilangan ini menandakan benda bulat kita sudah terpaling ponting semakin meniru dan mengaburkan diri.

Kenapa Murai berkata begitu ialah si janggut 49 orat ada kelebihannya. Dia bijak merancang dan menguruskan benda bulat dan juga benda leper! Di negerinya sendiri darjat benda bulat sudah terangkat sikit sejak ia menguruskannya. Kalau dulu nama negerinya langsung tidak disebut tetapi kini sudah menjadi pujaan.

Yang sokong pasukan 'gedebe merah' bukan saja orang negeri itu tetapi di negeri-negeri lain juga. Ini kerana pencapaian benda bulat negeri itu. Setakat ini apa ditunjukkan oleh negeri itu sokongan ke atas permainan benda bulat melampau sempadan negeri dan juga politik. Semua ini hasil kejayaan yang dibawa oleh si janggut 49 dalam bidang itu.

Apabila beliau digantung ia sesuatu yang menyesalkan. Tindakan itu dianggap kejam kandati ia menurut undang-undang dan peraturan. Kesan penggantungan itu bukan saja terhadap benda bulat negerinya, Malaysia juga.

Sepatutnya presiden persatuan benda bulat Malaysia bersikap terbuka dan tidak rigid sangat dengan peraturan. Dia juga kena pisah dia sebagai ketua benda bulat dengan dia sebagai orang berdarah ningrat. Dia harus melihat kepentingan benda bulat dari maruah dan status dirinya. Benda bulat bukan hak anak beranak dan barang purba boleh dipusakai tetapi hak orang ramai.

Ajk persatuan benda bulat Malaysia juga harus tahu kedudukan dan fungsi mereka. Mereka jangan lebih menjaga elaun dan gaji dari menjaga benda bulat. Makanya apabila ada sesuatu yang berlaku yang boleh menjejaskan benda bulat Malaysia mereka harus berpakat menasihat presiden agar tidak tegar sangat dengan peraturan. Peraturan jangan jadikan pisau yang memotong jalan kemajuan benda bulat.

Kalau kalangan ahli jawatan kuasa hanya jadi pak nggeh dan takut untuk bersuara memberi pendapat tuntas, tulus dan ikhlas dinamik, tidak guna mereka duduk di situ. Duduk di situ hanya makan gaji dan ambil elaun sahaja bukannya untuk kebaikan benda bulat.

Murai tenguk kesalahan dibuat oleh si janggut 49 orat itu bukan besar sangat. Dia memberi pandangan ikhlas demi kemajuan benda bulat negara. Teguran dan pandangannya secara umum dan tidak menjejaskan sesiapa. Jauh menderhaka.

Tidak ada niat Murai rasa dia hendak mengatasi atau memijak kepala ketua berdarah raja yang dua beranak itu. Dia tahu akan tatasusilanya walaupun dia juga pernah menabalkan sultan lain selepas sultan asli negerinya tidak menyokongnya. Peristiwa yang pernah dialami itu menjadikan dia cukup waspada. Sebab itu Murai kira dia tidak bermaksud sebegitu.


Biarlah apa yang berlaku itu berlalu. Si janggut 49 orat kena ambil sebagai iktibar. Jangan putus asa dan rasa kecewa. Kalau tangan berani mencincang bahu kena pula sanggup memikulnya. Kan orang dah berkata rosak santan kerana pulut, rosak badan kerana mulut. Tidakkah sebelum ini kita pernah mencantas dan menikam kawan dari belakang dalam gelap dengan keris tanpa ulu? Nah kali ini giliran kita pula. Rasalah kesakitan.

Sesekali kesakitan dan kepedihan orang kerana perbuatan kita, kita kena rasa juga baru itu dinamakan adil.

Murai: Suka main di pintu gol.

1 comment:

  1. ini semua 'orchestrated'. TSAM tahu apa akibat kalau dia buat kenyataan terbuka, tetapi dia buat jugak. Dia bukan tak ada official channel. Dia buleh call Rajagopal, buleh bercakap dalam meeting FAM. Kenapa dia buat komen ni? Komen TSAM bukan spontaneous, tetapi carefully calculated and premeditated. TSAM tahu ganjaran lebih besar akan menanti beliau hasil dari terciptanya siege mentality dan perasaan victimisation di kalangan rakyat kelantan. Apalah sangat kedudukan di dalam FAM bagi TSAM. Beliau tahu keupayaan sebenar yg beliau boleh capai jika rakyat kelantan bersimpati dan menyokongnya. He is a politician, don't forget.

    ReplyDelete