Tuesday, April 10, 2012

Merentang Senja

Misi Najib Bujuk Tengku Razaleigh

Khabarnya
Ha Najib Razak akan turun ke Gua Musang awal bulan depan. Pemergian beliau ke Gua Musang adalah dalam rangka mengejapkan kedudukan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Berapa pula peruntukan yang akan diumumkan di Gua Musang nanti? Tunggu sajalah. Yang pastinya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Gua Musang akan mendapat peruntukan istimewa.

Sudah pasti Umno Kelantan akan melipat gandakan usaha untuk memastikan orang ramai hadir beramai-ramai ke Gua Musang. Punggah memunggah akan dilakukan. Sejumlah wang diperuntukan untuk tujuan itu. Pada tarikh itu orang Gua Musang akan kekenyanganlah. Jangan lepas peluang, ada sapu... wang yang diberikan Najib adalah juga wang kita - rakyat.

Kunjungan itu mempunyai signifiken tersendiri. Ia adalah kunjungan tidak malu muka! Bagi hemat saya Najib tidak akan begitu gembira kalau ianya dihadiri 10,000 termasuk 4,000 Orang Asli yang diangkut dengan lori atau bas. Tetapi Najib akan merasa teralat kalau sempena kunjungan itu Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak berada dalam kawasan.

Ketiadaan Tengku Razaleigh semasa kunjungan Najib akan ditafsir dengan berbagai tafsiran oleh musuh politiknya. Ia tidak memberi erti apa kalau pun yang hadir mencecah 20,000. Namun saya dapat merasakan Tengku Razaleigh bukan jenis insan yang berdendam dan suka memalukan orang di khalayak.

Ha Najib kini sedang pening kepala dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Satu sisi Najib mengharap Tengku Razaleigh terus bertanding atas tikit Dacing, manakala satu sisi lain dia merasa tidak perlukan Tengku Razaleigh lagi. Keberadaan Tengku Razaleigh dalam Umno menyebabkan Najib tidak senang duduk. Begitulah kalau seseorang itu tidak mempunyai kekuatan dan naik kerana anugerah dan pesaka.

Keadaan Najib dalam berdepan dengan Tengku Razaleigh macam cicak tersempit di pintu. Tidak gelepar sakit, kalau gelepar putus ekor.

Tengku Razaleigh kini menjadi satu ancaman kepadanya. Itulah yang terdampar di minda Najib. Apa digeruni Najib ialah Tengku Razaleigh akan mencabar kedudukannya sebagai presiden kelak. Bayangan ini sudah diberikan ramai pemerhati politik termasuk bekas pemimpin Umno sendiri. Najib perlu mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya nanti kalau mahu selamat. Kemeruduman Umno dalam pilihan raya menjadikan Najib akan tergolek cepat ke liang lahad.

Kalau kemenangan hanya setakat cukup makan sudah pasti Najib akan ditentang. Yang menentang Najib bukan saja Tengku Razaleigh tetapi ada tokoh lain yang siap mengatur. Menurut Dollah Kok Lanas (bekas komunis) Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaluddin adalah calon yang bakal menentang Najib.

Saya seronok kalau ini menjadi kebenaran. Betapa tidak anak bekas PM dan menantu bekas PM akan menentang anak PM yang menjadi PM kini.

Saya meramalkan sebelum ini Najib adalah perdana menteri paling pendek berbanding dengan PM sebelum ini. Nasib Najib lebih malang daripada Abdullah Badawi. Kemungkinan ini ada dan bakal menjadi kenyataan berpandukan kepada senario tidak tenteram dalam Umno waktu ini.

Apa tidak membimbangkan Najib dan juga Umno kepada bekas Menteri Kewangan itu. Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang dipimpin Tengku Razaleigh kini semakin mendapat perhatian. Cara NGO itu bergerak semacam sedang membuat persiapan untuk ikut serta dalam pilihan raya. Cara gerakannya berlainan dengan Umno. Kebetulan pula sambutan orang ramai kepada Amanah menggalakan.

Rakyat hari ini khasnya di kalangan anak-anak muda sudah mulai mengenali siapa Tengku Razaleigh Hamzah. Track record kepimpinan Tengku Razaleigh selama ini mereka sudah mengetahuinya. Maklumat-maklumat mengenai kecemerlangan Tengku Razaleigh semasa berada dalam kabinet sudah mulai dibaca. Fitnah dan keburukan dilemparkan kepada Tengku juga sudah mulai dicerahi dengan maklumat dan pengetahuan sebenar. Mereka juga menyedari bahawa keperibadian Tengku berbanding dengan kepimpinan lain bezanya seperti Oslo dengan Tokyo.

Begitu juga sebahagian mereka yang dulu membenci dan menentang Tengku Razaleigh hari ini sudah mulai sedar. Bahawa mereka bertahun-tahun bergelumang dalam najis yang dibikin Mahathir Mohamd untuk memburukkan Tengku. Hari ini Tengku boleh rileks sambil mengekalkan rekodnya sebagai pemimpin yang berprinsip, bersih dan tidak mempunyai dosa besar terhadap rakyat. Kesenimbungan skandal dihadapi rakan-rakannya dalam politik terdahulu diteruskan oleh anak masing-masing. Babak itu tidak berlaku kepada Tengku Razaleigh.

Hakikat sambutan terhadap Amanah ini dapat dilihat semasa majlis ramah mesra Amanah Selangor di perkarangan rumah Mazlan Harun Sabtu lepas. Hampir seribu rakyat berbagai kaum hadir untuk beramah mesra dengan Tengku dan mendengar sedikit pesanan dan amanah berhubung rancangan membangunkan negara dan bangsa. Kehadiran yang dianggap luar biasa memberi petunjuk bahawa rakyat yang bosan dengan parti politik kini mula beralih angin kepada Ngo.

Berbalik kepada kunjungan Najib ke Gua Musang nanti ia menjadi tanda tanya. Apakah kunjungan akan berhasil mencapai misinya untuk membujuk atau memperbetulkan semula chasis politik Tengku Razaleigh dalam Umno atau sebaliknya. Bagi Najib dan Umno melihat Tengku kini sudah agak lari dari perjuangan Umno bila mana Tengku bercakap senada dan seirama dengan pembangkang dalam isu-isu berhubung kepentingan rakyat dan juga keperluan rakyat Kelantan seperti royalti minyak.

Sekurang-kurangnya itu yang mereka (Umno) rasai tetapi sebenarnya tidak salah bagi Tengku Razaleigh. Beliau bercakap bagi pihak rakyat dan tanggungjawab sebagai pemimpin dan anak Kelantan. Mengenai isu mendapatkan royalti minyak yang dinafikan oleh Mahathir diteruskan Abdullah kemudian dilanjutkan Najib, Tengku Razaleigh tidak boleh berkompromi kerana itu adalah hak rakyat Kelantan yang mutlak. Beliau tidak akan munafik dalam menyatakan kebenaran. Di sinilah specialnya Tengku Razaleigh.

Sikap tegas Tengku Razaleigh inilah menyebabkan Najib pening kepala. Najib pula tidak ada kekuatan untuk menegur dan menghalang Tengku. Najib sedar dan insaf bahawa orang yang mengasuhnya dalam politik di peringkat Tadika adalah Tengku Razaleigh. Tengku baginya adalah bapak guru dalam politik. Tengkulah bertanggungjawab membawa Najib ke Petronas kemudian memungkinkan Najib memasuki sekolah politik.

Justeru apabila Tengku Razaleigh bercakap lain nada dengannya Najib tidak dapat berbuat apa. Najib hanya terpaksa aku dan diam saja kerana kuasa melawan dan menentang tidak ada. Najib juga sedar apa-apa tindakan kepada Tengku adalah perbuatan menderhaka.

Misi kedatangan Najib ialah untuk memujuk Tengku atau mendapat kepastian apakah Tengku akan bersama Umno atau sebaliknya. Kebimbangan Najib itu timbul kerana situasi tadi walaupun dia tidak patut ragu kerana Tengku menyatakan berkali-kali dia masih setia dengan perjuangan Umno. Untuk dia berundur begitu sahaja tidak mungkin.

Namun bagi Najib pula Tengku Razaleigh atas sifat seorang politikus tidak boleh dipercayai, kerana falsafat dalam politik tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang abadi. Hari ini menjadi kawan esok menjadi lawan dan sebaliknya.

Suka saya mengatakan di sini kehadiran Najib ke Gua Musang adalah kedatangan berdatang sembah untuk memaklumkan bahawa Umno terus menawarkan kerusi Gua Musang kepada Tengku dalam pilihan raya akan datang. Soalnya apakah Tengku akan menerimanya? Dan sekiranya menolak pelawaan dan bujukan itu ini bermakna Umno akan 'mengulum telor' dalam pilihan raya akan datang yang pastinya jiwa Tengku Razaleigh kembali bekerjasama dengan Pas. [wm.kl.6:03 09/04/12]

No comments:

Post a Comment