CATATAN MUSAFIR UMRAH (1)
Pertamanya saya ingin menyatakan kesyukuran yang maha dalam dan tiada hujungnya ke hadrat Allah s.w.t. kerana telah mengizinkan saya melakukan pemusafiran umrah di ke tiga buah masjid suci; masjid Al Aqsa (Baitulmaqdis), masjid Haram (Makkah) dan masjid Nabawi (Madinah) seperti mana dihajati dan kemudiannya telah mengembalikan ke saya ke tanah air dengan sihat dan selamat.
Setersnya memberikan saya kekuatan ingatan dan ilham untuk mencatat segala peristiwa, kenangan, gamatan menerusi jiwa dan juga kesan psikologi terhadap apa yang saya lihat di sepanjang ekspedisi penuh bermakna dan diharap mendapat keberkatan itu.
Al Sakhara dari jauh selepas Isyak. Sayu... |
Terima kasih juga kepada para penjengok blog Merah Tinta yang menanti dan sabar menunggu pengeposan intri-intri baru dari saya. Selalu saya menginsafi, tanpa sokongan dan pacuan semangat daripada penjengok sekalian ia tidak memungkinkan untuk saya menjadi rajin mengisi blog seperti adanya. Sedia maklum apa yang saya lakukan ini adalah amal ibadat dan inilah sumbangan saya sebagai balasan yang Allah s.w.t. berikan sedikit bakat tahu menulis dan membaca serta membuat pemerhatian. Saya berdoa dan mengharapkan kerja-kerja saya ini diterima dengan baik oleh-Nya.
Alhamdulilah atas semangat dan sokongan itu semua, pelawat (page view) blog saya sudah mencecah angka 10.5 juta dua minggu lepas. Angka ini genap sewaktu saya meninggalkan blog selama dua minggu. Penerusan penjengok menyelak blog saya meskipun tiada pengeposan baru adalah komitmen anda yang mengharukan saya. Terima kasih. Jumlah kunjungan ini juga saya anggap sebagai imbuhan galakan dan semangat untuk saya menulis dan terus menulis, bercerita, menganalisa dan sesekali 'membebel'. Insya-Allah... selagi pena ini tidak patah dan tinta masih mengalir, sokongan masih ada saya akan menulis ke helaan nafas terakhir.
14 Hari Menyunyikan Blog
14 hari saya meninggalkan blog kesepian tanpa diisi dengan apa-apa catatan, sudah tentu saya resah dan rasa bersalah. Mungkin mereka yang hanya menanti saya di blog merasa lama atau mengira saya keuzuran atau sudah mufarakah dengan blog. Tetapi bagi mereka ada akaun Fb dan menjadi rakan saya dapat mengikuti perjalanan saya, kerana di sana ada saya membuat catatan-catatan ringan sekadar menghkhabarkan keadaan saya dan di mana saya berada serta apa yang sedang saya lakukan.
Satu pidato sebaik selesai Jumaat di depan masjid Al Aqsa. |
Dalam tempoh dua pekan itu (pekan itu minggulah... ni bahasa Indonesia), banyak peristiwa yang berlaku terutamanya dalam negara kita, khasnya dalam gelanggang politik. Sudah tentu apa-apa isu yang timbul saya memberi kupasan dan pandangan saya sendiri secepat mungkin - begitulah selalunya. Tetapi kerana kebanyakan isu-isu itu saya perhatikan adalah putaran isu yang sama cuma ditampilkan dalam veriasi berbeza, tambahan saya berada jauh kemudahan berinternet pula terhad, tidaklah saya berkesempatan untuk membuat ulasan seperti selalu. Dan tidaklah pula di sini mahu mengambil masa untuk menoleh kepada isu-isu 'mahabul' itu. Apa mahabul? Mahabul dalam konteks ini sepele.
Biarlah isu-isu terutamanya berupa kenyataan pemimpin politik, provokasi dan fitnah-fitnah putik dan mentah itu diulas oleh pihak lain. Saya percaya penjengok sekalian sudah pun membaca ulasan dan mencerakinkan sebelum ia ditelan. Di antara isu-isu yang dilambung itu menjelaskan keadaan amat terdesak dan kehabisan modal pihak tertentu.
Dalam catatan berhubung permusafiran ini saya akan tumpukan kepada kenangan kunjungan saya ke Baitulmaqdis khasnya masjid Al Aqsa. Rasanya itu lebih penting kerana catatan-catatan di Makkah dan Madinah mengenangi kehebatan, keagungan dan kesucian serta kekaguman terhadap kedua-dua masjid di tanah haram itu sudah pun saya lakukan sebelum ini. Lagipun apa yang menarik jiwa saya dalam musafir umrah kali ini ialah Baitulmaqdis khasnya masjid Al Aqsa. Catatan mengenai Baitulmaqdis ini tidak akan dibuat secara berturutan dan mengikut kronologi perjalanan saya. Ia akan diseling seli dengan catatan semasa berbagai itu untuk mengelakkan kejemuan.
Demi Tuhan tidak pernah saya termimpi dan mengira yang suatu hari kedua belah kaki saya akan menjejaki bumi suci dan bertuah bernama Baitulmaqdis. Lebih bertuah dan mengharukan lagi kaki saya dapat menapak masuk ke dalam masjid yang suci itu kemudian mendirikan solat di dalamnya kemudian bersimpuh mendoakan segala-gala yang saya inginkan termasuk kesejahtraan negara dan agama.
Pengangkatan saya ke sana oleh Allah saya jadikannya sebagai takdir di luar mimpi kehidupan saya. Makanya wajarlah kalau saya merasa megah, bangga, bertuah, diistemewakan Allah. Justeru sebaik saja saya melihat kubah Qubbat As Sakharah dan kubah masjid Aqsa jiwa saya merintih, hati saya menjadi lebu ... dan air mata saya mengalir berjuraian di pipi.
("Ya Allah aku bangga dan berterima kasih hari ini kerana Kau mengangkat aku ke sini, dapat bersolat dan berdoa kepadaMu. Masjid akhir bagiku... Ya Allah panggil dan bawalah bersama anak isteriku, cucuku, ibuku, rakan dan sobatku dan rakan-rakan Fb ku...ke sini. Biar mereka meyaksikan sendiri sejarah dan menghayati akan kehebatan agama-Mu..." begitulah antara patah doa saya di mihrab masjid Aqsa).
Saya tidak tahu kenapa. Diri menjadi hama, sekecil-kecilnya tatkala terpandang kedua lambang atau syiar agung bersejarah itu. Sudah lama kubah As Sakharah atau Dome of the rock, gambarnya tergantung dirumah saya. Sejak lebih lima tahun lalu. Gambar itu saya beli sesamasa kunjungan ke Bosnia - Hezegovina. Tidak sangka, gambar yang digantung itu menjadi denak kepada hati saya untuk satu hari saya akan melihat dan 'menjamahnya' sendiri dengan seluruh pancaraindera saya.
Kenapa saya katakan saya tidak sangka dan tidak termimpi? Walaupun saya mengetahui nama masjid itu dari kecil, tetapi kemampuan saya dan keadaan semasa perdearahan masjid itu yang kritikal menyebabkan tidak mungkin untuk ke sana. Al Aqsa kini di bawah kekuasaan dan pengawalan Israel. Israel adalah dikenali sebagai musuh semua bangsa manusia yang paling kejam di dunia ini. Apakah dengan kudrat seorang aku, anak bumi Gual Nibong... bisa untuk menembusi kawalannya? Tidak mungkin! Jadi apabila ia menjadi mungkin itulah menyebabkan saya sebak, sedih dan menangis serta merasa hina di hadapan rumah Allah itu. Begitu tercabar sekali dengan kebesaran dan kemuarhan Allah terhadap hamba-Nya. Kepergian saya itu juga membuktikan bahawa Israel boleh dirempuh... kalau mahu dan nekad.
Nama masjid Al Aqsa saya dengar sejak dari kecil lagi. Selepas solat Maghrib sementera menanti waktu Isyak, arwah datuk (Othman Yaacob - al Fatihah untuknya) akan bercerita mengenai masjid ini dan kisah-kisah bersangkutan kepada beberapa orang makmum yang menjadi pengikut setianya pada setiap malam. Ruang inilah yang diambil oleh arwah untuk bercerita mengenai sejarah Islam, peristiwa bersejarah dan kehebatannya bagi menanamkan bibit-bibit iman dan tauhid kepada Allah.
Dan sebagai antara cucu yang rapat dengannya dan sering menenamaninya tidur di balaisah saya mencuri mendengar segala cerita, kisah dan berita itu. Apabila ada kesempatan bersamanya saya akan bertanya lebih lanjut darinya apa-apa yang terbuku dalam kepala. Boleh jadi juga rangsangan untuk mengetahui kemudian melapor (jadi wartawan dan penulis) yang wujud dalam diri saya ini tumbuh dari sitausi itu.
Ceritanya tidak lencong seperi mana disebut dalam kitab, hadith dan Quran. Al Aqsa adalah masjid pertama dijdikan kiblat oleh orang Islam. Masjid yang berkembang siam dengan kubah As Sahkarah yang berjarak kira-kira 80 meter di mana di dalamnya Nabi Muhammad naik (mikraj) ke langit untuk bertemu Tuhan di siratulmutha setelah melakukan perjalanan malam - Israk dengan menaiki Boraq dari masjid Haram ke Al Aqsa.
Dikisahkan pula Boraq ini pula berbandan separuh manusia separuh lagi haiwan. Kalau dulu-dulu ada orang Pakistan menjual gambar Boraa ini yang badannya seperti kuda bersayap dan kepalanya berwajah seorang perempuan cantik mempesonakan.
Saya masih ingat di rumah Pak Su Brahim (Ibrahim Muhammad) di kampung saya Gual Nibong, Rantau Panjang Kelantan tergantung gambar ini di tengah pintu utama di rumahnya. Apakah gambar borak ini masih ada atau sudah hlang tidak dapat dipastikan. Hanya di rumah Allahyrahm sahaja mempunyai gambar ini. Kebetulan bapaknya keturunan India yang mana sangat 'melankolik' dengan kisah-kisah begitu.
Saya hanya mengetahui sekadar itu saja dan tidak dapat menggambarkan lebih dari apa yang dikisahkan. Akal fikir dan fizikal saya juga tidak mampu untuk memikirkannya. Paling-paling kalau ingin mengenali Boraq itu saya akan ke rumah Pak Su Brahim untuk melihat gambar yang diframekan dan digantung di tengah pintu itu. Demikian halnya kononya ada batu tergantung terletak di bawah As Sakhara juga saya ketahui sejak dari kecil lagi.
Berihat diparking di mana di sinilah Nabi berihat selepas solat. |
Sengotinya saya tidak pernah berusaha untuk ke Baitumaqdis bagi menemui masjid yang namanya sudah lama saya ketahui itu. Jadi apabila ada peluang semacam pesan Allah untuk ke sana, saya tidak berlengah dan melepas peluang menayanggupi permusafiran umrah ini meskipun tahu halangan dan cabaran zahiriah untuk ke sana susah dan mencabar. Sehinggalah kaki saya singgah di hadapan kubah Al Sakhara dan memijak lantai mihrab masjid Aqsa yang terletak di taman Al Haram Al Syariff itu yang juga dikatakan mihrab Nabi Musa a.s. baru saya percaya bahawa saya memang sampai ke laman suci Tuhan itu.
Sebelum itu hatta sesudah sudah mendarat di Tel Aviv saya tidak yakin saya akan sampai kerana kawalan ketat Israel ke atas masjid itu saya kira tidak mungkin saya dapat masuk apa lagi memeluk Aqsa dan menghirup kubah Sahkarah dan bernuang seketika di bawahnya. Tetapi kehendak dan izin Allah melenyapkan segala andaian manusia.
Bersambung...
[wm.kl.6:30 am 26/07/12]
As-salam tuan,
ReplyDeleteSaya ada terbaca fatwa yang mana haram hukumnya melawati Masjidil Aqsa yang jelas sekarang berada di bawah taklukan Zionis (kerana apply visa Israel bermaksud mengiktiraf negara Israel). Mohon pendapat tuan dalam hal ini.
Terima kasih.
aduhhhh..best nya, saya juga sepatutnya sudah ke-sana,tetapi itu laa..belum sampai seru,rancangan terbatal di-saat saat akhir.
ReplyDelete