Bismillahirahmanirahamim...
Allahuakbar... Allahuakbar...Allahuakbar....Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar....Allahuakbar..
Walilahilhamda'.
Bersyukur kita kepada Allah s.w.t. kerana memberi ruangan dan kesempatan untuk kita sama-sama memeriahkan hari besar yang ditunggu-tunggu selepas kita menyempurnakan ibadah puasa Ramadhan selama sebulan, iaini hari raya Aidifitri. Syukur kerana kita masih boleh menikmati dan menghayati kemeriahan dan kebahagiaan Aidifitri 1433/2012, esok.
Aidifitri adalah hari kemenangan bagi kaum muslimim yang berjaya melepas ujian badaniah menahan lapar dan dahaga di sepanjang bulan Ramadhan. Hari itu sebagai proklamasi kemerdekaan diri.
Sebenarnya ujian itu bukan setakat badaniah saja, tetapi jasmaniah dan rohani juga. Sama ada puasa kita berjaya menempati atau mencecah hakikat dan makrifat dengannya, tetapi bila kita berjaya menyemurnakan puasa fizikal selama 29 atau 30 hari itu menandakan kita sudah lulus dalam ujian dan cabaran ini. Jelas kita sudah berbeza dengan orang-orang yang tidak mampu melakukannya atau sama sekali tidak mempercayai akan perintah dan tuntutan rukun Islam ketiga itu.
Penghayatan atas kejayaan itu akan kita rasai dari masa kesemasa. Puasa itu adalah menandakan sejauh mana kesabaran kita, sejauh mana ketebalan keimanan kita dan sejauh mana kemusliman kita sebagai seorang penganut agama Islam. Puasa adalah premeter kepatuhan, ketaatan dan kesabaran.
Alhamdulilah kita semua berjaya melaluinya dengan kadar dan kudrat sendiri atas taufik dan inayahNya jua.
Allahuakbar... Allahuakbar...Allahuakbar....Allahuakbar...Allahuakbar..
Setiap kali hari mulia ini menjelma maka kita memulakan tekad baru. Tekad besar kita ialah ingin merubah atau berubah. Ia umpama setiap musim buah-buahan turun dan memberi rezeki dan nikmati kepada kita... maka setiap kali itu juga kita berjanji untuk menjaga dan memberi sumber kehidupannya (baja, air dan cahaya) yang cukup kepada pepohon itu. Malangnya selepas musimnya habis niat dan ikrar diri itu berlalu begitu saja, hiduplah pohon itu dengan kesendirian dan fitrahnya.
Nah begitu juga dengan azam dan janji kita pada setiap Ramadhan dan Aidifitri.
Kita berjanji pengalaman dicungkil dari Ramadhan akan kita hayati. Rasa sabar, rendah diri, kehambaan, ubbubiyah, tolak ansur dan segala macam sifat mahmudah yang hadir akan kita kekalkan dan menanam dalam-dalam ke sanubari kita. Dalam masa sama kita menjauhi perasaan bakhil, kikir, .. serta membuang sifat dengki khinati, cemburu dan prejudis... dan apa yang kita berazam untuk memakainya hanya sifat mahmudah dan meninggalkan sifat keji mazmumah.
Itulah yang sering berlaku. Tetapi malangnya ada kalanya kita tidak berupayaan untuk menguasainya. Separuh jalan kita kembali ke fitrah menjadi kotor dan cemar semula. Batin kita berkabut dan berselut kembali? Kenapa? Padahal ia sewajarnya tidak berulang lagi sebab ia berlaku dalam sedar kita.
Kita seharusnya meningkat martabat nafsu kita dari Amarah kepada Lawamah kepada Malhamah, Rodiah, Mutmainah dan seterusnya...
Ingat dan insaflah kita hidup ini bukan sahaja setakat di sini. Setiap yang hidup itu wajib akan mati. Dan sesungguhnya selepas kematian ada lagi kehidupan - permulaan baru yang abadi. Mati adalah perpindahan dari alam nyata (saghir) kepada alam ghaib, bukan satu kehilangan atau kemusnahan yang tiada dibangkit.
Tegasnya hidup bukan sahaja setakat di Kuala Lumpur atau pencapaian tertinggi kita setakat Putrajaya tetapi jauh dari itu dan lebih bermakna dari itu. Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah tangga duniawi untuk kita panjat bagi menuju ke atas lebih jauh dan bererti lagi. Dengan Putrajaya kita membina tangga lebih tinggi yang akhirnya memungkinkan kita semua ke syurga, destinasi penghidupan dunia. Itu pengertiannya. Kalau Putjaya menjauhkan kita ke destinasi itu kemenangan duniawi (siasah) itu tidak membawa apa-apa erti.
Jangan disebabkan kebendana dunia, kekayaan dan kuasa kita ikut terpelosok ke lembah dan gaung kehinaan kemudian musnah seperti mana berlaku ke atas orang-orang yang dikutuk dan dihukum sebelum ini. Ambillah pengertian dan iktibar dari apa yang berlaku.
Sejarah kemusnahan manusia yang merasai mereka bertamadun dan berjaya hendaklah diingati sebaik mungkin di sepanjang masa.
Mudah-mudahan mari kita semua 'menghinakan diri' berdoa dan berharap semoga setiap apa yang kita perolehi dari ibadat puasa Ramadhan ini akan menghiasi diri kita untuk masa-masa akan datang. Biarlah apa yang kita azamkan pada Ramdhan itu kita laksanakan pada hari-hari muka yang kemudian kehidupan kita akan ceria, bahagia dan meriah seperti di hari kemenangan - Aidifitri. Nescaya kalau ini dapat kita perbuat kita akan memperolehi hikmat dan rahmat dari puasa itu sendiri.
Akhirnya saya mengambil peluang mengucap salam Idufitri mina wal faiza kepada semua penjenguk blog Merah Tinta. Saling berdoalah kita semua untuk kesejahtraan diri, agama dan bangsa kita. Saling ingat mengingatilah kita dengan penuh kesabaran dan kebenaran agar kita semua tidak termasuk dalam golongan ar-rafilin, ini perlu kerana kelemahan paling nyata kepada diri kita ialah lupa.
Marilah kita mula menjadi waras sebagai hamba yang soleh dan mutaqim. Marilah kita mulai mengenal saudara kita sendiri di samping mengeratkan persaudaran dengan sesiapa juga selagi mereka tidak ada niat untuk memusnahkan kita. Betapa rancak dan ghairahnya kita berpolitik biarlah kita berpaksi dan kenallah bahawa darah antara kita sama merah dan kiblat pun sama ke Barat.
Atas kesalahan dan ketidaksempurnaan saya menerusi tulisan, catatan atau pun memberi pandangan saya mohon kemaafan dari semua yang terlibat, khusussi mereka yang terasa hati dengan apa yang saya catatkan. Yakinlah kritikan saya tidak sampai sehingga membunuh sesama sendiri seperti mana sebengkeng-bengkeng ibu kerbau ia tidak akan menanduk anaknya sendiri.
Selamat hari raya Aidifitri 1433/2012.
Selamat hari raya Aidifitri 1433/2012.
MSO,
Wangsa Melati,
Kuala Lumpur.
18/08/12.
Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa. Dalam kelembutan lidah, ada keterlanjuran kata. Dalam gurau & senda, ada khilaf dan dosa. Harap di maafkan segalanya. شلآمتهاري راي
ReplyDeleteمعافظاهير دان باطين.
Keikhlasan dr Fairuz dan keluarga. Semenyih Selangor.