Wednesday, August 8, 2012

Wan Nik Ahli Statistik Atau Pakar Strategi?

ANALISA

Saya kerap mengikuti penulisan berbentuk analisa penuh statistik dihasilkan oleh Wan Nik Wan Yussof. Analisa bersifat akademik dan ilmiah itu menarik boleh merangsang minda. Mereka yang ingin membuat master atau Phd dalam dunia politik khususnya di Kelantan jangan ketinggalan mengikuti tulisan dan mendalami analisa Wan Nik yang rajin ini.

Wan Nik Wan Yusoof
Saya tidak tahu apakah beliau sedang menyiapkan tesis Phd ketika ini, maka tulisan itu merupakan sebahagian daripada Phd beliau? Tetapi kalau melihat kepada bentuk dan corak penulisan ada semacam ke arah itu. Orang politik apabila tidak menjadi wakil rakyat atau selepas kalah akan menerjunkan diri dalam bidang pembelajaran lanjutan.

Wan Nik pernah menjadi ahli parlimen Bachok sepenggal sebelum kalah kepada Awang Adek Hussein tahun 2004.

Tidak dinafikan tulisan berupa analisa, yang banyak homework dan rujukan itu baik dan penting. Ia boleh memberi kesegaran dan pencerahan politik. Orang Pas khasnya dan orang Umno juga dapat menilai realiti politik yang dihuraikan Wan Nik. Di Kelantan jarang muncul penulis atau penganalisa seperti Wan Nik.

Penulisan akademik tidak akan bias kerana ia penuh dengan disiplin dan beretika. Ia juga sarat dengan fakta dan hujah-hujah konkrit. Atas sifat itu tulisan Wan Nik cukup adil saksama dan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak yang inginkannya.

Keadaan inilah menyebabkan saya ingin bertanya, siapakah sebenarnya Wan Nik dalam konteks penulisan dan analisanya? Apakah dia sebagai calon Phd atau pun dia seorang Pengarah Pilihan raya Pas Kelantan? Di mana Wan Nik berdiri di antara dua perbatasan ini? Kerana kalau hendak dikatakan dia menulis sebagai pengarah dan tulisan itu disiarkan merata adalah kurang manis rasanya. Ada maklumat-maklumat tertentu dalam tulisan itu boleh digunapakai oleh pihak lawan partinya.


Tugas beliau seperti terserlah hari ini dengan menampilkan kajian dan anlisa akdemik juga tidak bertepatan dan tidak memberi banyak keuntungan kepada Pas. Bahkan ia dilihat kontras dengan kedudukannya sebagai Pengarah Pilihan raya Pas Kelantan.

Bagi saya apa yang beliau bersama teamnya lakukan, ialah memikir strategi untuk mengatasi Umno, membalas perang saraf dan provokasi yang dilakukan Umno. Mencari idea bagaimana hendak membangkitkan semangat dan sokongan rakyat kepada Pas. Setakat ini maaf katalah saya tidak nampak apakah strategi khusus dan istimewa yang telah dicanangkan oleh Wan Nik bersama JPN.

Memang strategi rahsia dan tersembunyi. Tetapi dari tindakan atau pun cara Pas bertindak boleh dilihat sama ada ia bergerak berlandaskan strategi atau pun secara sembrono mengikut terlintas di kepala. Misalnya apa disebut Wan Nik dalam sebuah tulisannya, yang bertanya apakah berlaku ‘olokan’ terhadap sokongan rakyat kepada Pas dalam PRU 13 seharusnya ditangani dengan penuh strategi dan tektikal. Wan Nik tidak cukup hanya membayangkan akan berlaku olakan – perubahan sokongan itu tanpa ada menggariskan strategi atau kaedah mengatasinya.

Umpama olokan di lautan bagi menyekatnya dari membaham dan menghakis pasir pantai ia memerlukan sebuah benteng atau tembak. Soalnya apakah Pas membina benteng bagi menghadapi kemungkinan olokan itu? Tidak ada guna kita memberi pandangan ia berlaku tetapi tidak berikhtiar mengatasinya?

Banyak masalah dan isu di Kelantan hari ini yang tidak ditangani, atau nampak ia ditangani secara berjurus. Isu air, tanah, kegagalan syarikat milik kerajaan negeri, kelemahan program sosial, isu alam sekitar dan sebagainya begitu ketara. Saya nampak tidak ada strategi untuk mengatasi semua ini.

Isu ini akan memberi penyakit kepada Pas. Ia akan difokus oleh Umno. Tetapi apakah Pas khususnya JPN mempunyai strategi untuk mematahkan isu-isu ini? Apakah plan yang dilakar olej JPN. Apa yang ternampak JPN hanya berperanan setakat menyusun pegawai pilihan raya, memperkemaskan daftar pengundi, mengatur calon tetapi tidak mengaturkan strategi mempertahankan Kelantan secara serius dan menyeluruh.

Untuk menahan serangan UBN menggunakan ceramah tidak akan banyak membawa keberhasilannya. Keadaah itu sudah lapok dan tidak begitu berkesan lagi. Yang penting selain bertahan Pas juga perlu menyerang. Walaupun Pas kini sudah jadi kerajaan, namun semangat pembangkang yang kuat menyerang, berani dan mampan perlu diteruskan. Serangan-serangan dan propaganda dilakukan Umno perlu cepat dilakukan dengan tangkas.

Perkara perlu disedari untuk menjamin kemenangan rakyat harus diikat dengan satu kedudukan dan rasa selesa. Rakyat perlu diberikan keyakinan untuk terus menyokong Pas. Rakyat mahukan benifit dari undi mereka. Tanpa ada rasa selesa dan keyakinan itu rakyat tidak akan mudah untuk menyokong.

Kebangkitan anak-anak muda adalah merupakan pemangkin kepada kelangsungan Pas mempertahankan kerajaan. Hari ini orang muda sudah mewakili lebih 40 peratus keseluruhan pengundi di Kelantan. Apakah keselesaan yang Pas berikan kepada golongan muda. Apakah strategi yang dipersiapkan untuk membangkit anak muda menyokong Pas? Dan paling penting apakah agenda untuk mereka jadikan asas menyokong Pas.

Naluri anak muda mahukan perubahan dan pembaharuan. Selebihnya mereka mahu diri dan kehidupan mereka selamat dan masa depan terjamin. Mengenai ini apakah yang JPN Kelantan lakukan. Apakah isu yang ditonjolkan untuk memancing anak-anak muda ini? Saya rasa tidak ketara sangat mengenai hal ini berbanding Umno menerusi dasar belia dan orang mudanya.

Mungkin orang Pas yang tidak mahu mengakui kelemahan akan mengatakan bola sepak adalah salah satu fenomena yang merangsang anak muda untuk bangkit bersama mereka. Pas perlu faham yang membawa semangat bola ini siapa, Umno atau Pas? Saya tengok Pas hanya menumpang kejayaan Annuar Musa dalam memperdagangan bola sepak untuk politiknya saja. Bola sepak bukan strategi utama Pas tetapi ia adalah tenggekkan atas kejayaan tokoh Umno.

Berbalik kepada Wan Nik tadi berdasarkan kepada penjelmaan tulisan-tulisan ilmiahnya, kalau beliau tidak mampu untuk mencari idea dan mereka isu untuk membangkitkan semangat rakyat Kelantan dan orang muda menyokong Pas, baik ranya beliau swastakan sahaja jawatan kepada orang lain yang lebih mampu. Beliau boleh kekal sebagai memberi input fakta dan figure tetapi gerakan-gerakan bawah tanah, psywar dilakukan oleh orang lain. Sebab itu saya mencadangkan selain dari JPN, PKS perlu diadakan sebuah lagi badan yang bertindak menjadi roh pemberi idea kepada kedua-dua institusi ini. 

Dalam hal ini baik Wan Nik atau JPN jangan menafikan keupayaan dan kejelingasan idea pemimpin tertentu yang terserlah kebolehan dan kemampuan mereka mengolakan isu untuk Pas. [wm.kl.2:28 pm 08/08/12]

No comments:

Post a Comment