Thursday, September 13, 2012

Lima Dari Lapan YDP Pas Kelantan Bermasalah Perlu Undur

FOKUS

Sekurang-kurangnya lapan orang Yang Di-Pertua (YDP) Pas kawasan di Kelantan perlu mengundurkan diri dengan sukarela dari dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Sekiranya mereka ikhlas dan sayangkan parti mereka perlu berbuat demikian tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak.  Tindakan ini adalah bagi memastiklan parti tidak tewas.

Ismail Noh, sakit.
Lebih afdal lagi mereka perlu memberi laluan kepada muka baru yang dipilih oleh cawangan dan bukannya atas pilihan mereka (kroni).

Sebaik-baiknya pengganti mereka juga perlulah dibuat berdasarkan permintaan pengundi setempat dengan mengambil citarasa umum.

Lapan YDP berkenaan, kecuali YDP Tanah Merah dan Pasir Mas (Ismail Noh) ialah, Nik Mazian Nik Mohamed (Pasir Puteh), Abdul Fatah Haron (Rantau Panjang), Wan Ismail Wan Jusoh (Ketereh), Omar Mohamad (Bachok), Apandi Mohamad (Jeli), Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu).

Lima dari mereka merupakan wakil rakyat sementara yang lain bekas wakil rakyat. Nik Mazian Adun Gaal, Abdul Fatah Haron (Bukit Tuku), Omar Mohamad (Perupok), Wan Ismail Wan Jusoh (Melor) dan Wan Abdul Rahim (Kota Bharu).

Nama-nama mereka ini masih lagi diangkat untuk dipertimbangkan menjadi calon dalam pilihan raya akan datang. Bagaimana pun ada baiknya kalau Pesuruhjaya Nik Abdul Aziz Nik Mat menggugurkan nama mereka bagi mengelak timbul implikasi buruk kepada Pas dalam pilihan raya akan datang. Lebih gentleman lagi mereka sendiri menarik diri dengan cara terhormat.

Pemilihan mereka juga dibimbang akan memberi kesan kepada Pas kerana khidmat dan tanggungjawab mereka kepada parti dan rakyat terabai kecuali Omar Mohamad (Perupok) dan Wan Abdul Rahim (Kota Bharu) yang masih terus aktif dan rajin menemui rakyat.

Wan Abdul Rahim pernah menyatakan kesediaan untuk berundur kerana masalah usia.  Apabila disuakan kawasan Dun Bunut Payong kerana wakilnya Takiyuddin Hassan akan berrukar ke Parlimen, Wan Rahim melahirkan rasa keberatan untuk meneruskan tanggungjawab atas alasan sudah lama.

Abd Fatah Haron
Manakala Abdul Fatah sudah lima kali menjadi wakil rakyat dua penggal di parlimen tiga penggal Adun. Omar Mohamad pula sudah lima penggal dan pernah memegang jawatan Exco. Begitu juga dengan Wan Ismail sudah memenangi Dun Melor dua penggal. Abdul Rahim sudah tiga penggal sebagai wakil rakyat.

Mengenai prestasi Fatah mungkin Pas sendiri dapat menilai sejauh mana kemampuan YDP Rantau Panjang ini sehingga tidak pernah diangkat untuk menjadi Exco atau pun speaker yang dikira sebagai kenaikan pangkat.

Apandi Mohamad walaupun hanya menang sepenggal tetapi dengan kekalahan dua kali berturut-turut ditangan Mustapa Mohamed sudah memandai. Pas perlu mencari muka baru untuk menyalinkan tempat Apandi. Sekiranya tidak ada muka yang layak mungkin Pas boleh mengambil calon dari luar kawasan.

Prestasi Nik Mazian di Gaal juga tidak begitu memberangsangkan. Sebelum ini beliau pernah dilantik menjadi Exco tetapi digugurkan kerana gagal memberi kesan menyuburkan jawatan itu. YDP Pasir Mas Ismail Noh dan YDP Tanah Merah bagaimana pun sudah tidak dicalonkan lagi untuk pilihan raya kali ini, di sini tidak berbangkit kalau mereka perlu digugurkan. Ismail sedang sakit dilanda stroke.

Bagaimana pun Hanifa Ahmad yang kini Adun Pengkalan Pasir yang memangku jawatan itu juga perlu digugurkan dan diganti dengan muka baru.  

PERHATIAN: Saya akan menyenaraikan nama wakil-wakil rakyat yang perlu digugurkan Pas dari terus bertanding dalam pilihan raya akan datang menurut versi saya. [wm.kl.10:58 am 13/09/12]

No comments:

Post a Comment