Saturday, October 20, 2012

Bola Sepak Menyusahkan Ahli Politik?

SEMBANG SORE                                                                                                               

Bola sepak benar-benar telah menghantui rakyat Kelantan. Gelagak gila bola sepak boleh dilihat di mana-mana saja di Kelantan. Yang menggilainya tidak kira peringkat usia, dari orang dewasa, yang kerjanya menggatih teksi (beca roda tiga) sehingga kepada kanak-kanak Tadika dan Pasti. Tadika ialah pre-sekolah kelolaan Umno, manakala Pasti pre-sekolah kelolaan Pas.

Kegilaan ini bukan setakat luaran saja, ia menyelinap ke dalam darah daging. Percakapan mengenai bola di Kelantan atau nama timang-timangnya Red Warriors (saya panggil gedebe merah) terdengar di mana-mana saja. Di kantin sekolah, kedai gunting, atas surau dan sampai ke dalam bilik atau pejabat parti politik. Semacam percakapan tidak sah kalau tidak sentuh perihal 'gedebe merah'.

Semasa 24 jam saya berada di Kelantan semalam, saya dapat merasai akan kegilaan ini. Gila kepada bola sepak ini sudah sampai kepada wabak atau penyakit. Kesungguhan rakyat Kelantan yang meminati bola ini mengkagumkan. Mereka sanggup mengeluarkan wang poket sendiri untuk meraikan pasukan kesukaan mereka.

Kejayaan Kelantan melangkah ke perlawanan akhir menentang ATM malam ini menambahkan kegilaan rakyat Kelantan. Mereka akan tinggal semua kerjasama lain untuk memberi sokongan kepada pasukan negeri mereka. Bukan saja yang tinggal di sekitar lembah Kelang, atau di Kelantan tetapi di negeri-negeri lain juga berbuat hal yang sama. Saya dapat tahu ada penyokong dan peminat bola sepak 'gedebe merah' dari Bintulu Sarawak ikut sama turun ke Shah Alam malam ini. Tidakkah itu gila namanya?

Bayangkan berapa haganya tikit kapal terbang, mahalnya berkali ganda berbanding tikit masuk stadium RM40 bagi tempat duduk terbuka. Namun mereka sanggup membayar RM600 hingga RM1,000 untuk menonton dan memberi sokongan kepada Kelantan. Itulah orang Kelantan betapa gilanya mereka.

Pagi ini Kuala Lumpur sudah dipenuhi dengan penyokong 'gedebe merah'. Di sekitar Gombak, Setapak, Selayang dan Chow Kit kelihatan di mana-mana sahaja kenderaan yang membawa bendera negeri Kelantan. Yang fanatik membalut kereta mereka dengan bendera Kelantan dan juga bendera merah berlambang Red Warriors.

Rasanya kegilaan rakyat Kelantan ini tidak terlawan rakyat negeri lain. Malam tadi mereka sudah bawa segala peralatan untuk memberi sokongan. Bendera, gendang, trampit dan segala macam peralatan yang boleh membantu menaikan darah pemain 'gedebe merah' dibawa sama. Lebih unik lagi sejak malam tadi mereka sudah mengerumuni stadium Shah Alam tempat akan berlangusng perlawanan malam ini. Mereka berkampung dan berkhemah di sana, bersantai beramai-ramai. Bukan saja membawa bendera dan alat bunyi-bunyi tetapi lengkap dengan pasukan kebudayaan.

Katanya kumpulan dikit barat sudah berada di stadium Shah Alam malam tadi. Mereka membuat persembahan menghiburkan peminat 'gedebe merah'. Satu lagi kumpulan dikit barat dari Pasir Puteh katanya telah menyewa gerabak keretapi dipenuhi dengan puak-puak mereka. Kumpulan itu juga dikatakan akan membuat persembahan di dalam gerabak keretapi. Melihat kepada kegilaan itu yang sedikit sebanyak kena mengeluarkan wang ia menafikan dakwaan mengatakan rakyat Kelantan miskin?

Piii.. pi...priiiiiittttt... hebat bola sepak Kelantan. Kehebatan ini ada kaitan dengan perkembangan politik di negeri Cik Siti Wang Kembang itu juga. Katanya sesetengah ahli politik menyediakan tikit percuma untuk para penyokong. Seorang bakal calon menyediakan 5,000 tikit untuk penyokong yang datang dari kawasannya. Perbuatan ini jelas satu penyogokan politik menerusi sukan?

Melihat kepada kegilaan ini saya nampak bola sepak telah menjadi bebanan dan penyakit kepada wakil rakyat atau pun bakal-bakal calon. Tidak fasal-fasal mereka terpaksa mencari wang untuk sponsor penyokong 'gedebe merah'. Kalau tidak mampu menyediakan tikit cukup menyediakan skrin besar dipasang di kedai-kedai kopi.

Seorang bakal calon mengeluh mengenai hal ini. Katanya dia terpaksa mencari dua tiga ribu untuk membeli skrin besar dua tiga biji untuk melayani penyokongnya. Bukan saja setakat skrin besar, ada lagi yang perlu disediakan untuk memeriahkan keadaan, diminta hamper pula untuk dibahagi-bahagikan kepada penonton bertuah.

Secara tidak langsung bola sepak kini sudah menjadi masalah baru kepada wakil-wakil rakyat dan mereka yang hendak menjadi calon. Bola sepak telah menambah penyakit dan bebanan kepada mereka. Tidak dapat saya bayangan bagaimana harunya wakil rakyat atau orang politik setiap kali Kelantan dapat ke separuh akhir. Fenomena ini sepatautnya tidak dilayani sangat kerana sedikit sebanyak ia ada unsur-unsur materialistik di dalam politik. Mungkin peminat tidak mendesak tetapi orang politik yang berkemampuan telah mengajarkan budaya tidak sihat itu di dalam bola sepak Kelantan.

Saya sudah katakan politik ini sangat jahat dan menyusahkan rakyat, sebab itu politik kita perlu diperbetulkan. [wm.kl.2:54 pm 20/10/12]

2 comments:

  1. Politik kalau di urus dgn baik mampu mengharmonikan alam.sebaliknya mampu sebagai alat membunuh

    ReplyDelete
  2. Saya sangat bersetuju dengan pandangan tuan MSO.

    ReplyDelete