Saturday, November 10, 2012

Betulkah Teuku Adnan Teuku Mansor Hendak Letak Jawatan?

ANAK BERITA                                                                                                                         

Semasa di lapangan terbang Subang kelmarin dulu saya berjumpa dengan seorang ahli Umno peringkat bahagian. Kalau tidak salah inilah pertama kali saya berjumpa dengannya dan bercakap lama dengan beliau. Kelewatan kapal terbang yang hendak kami naiki memberi peluang saya mendengar ceritanya.

Adnan: Terhidu kekalahan.
Dia mengenali saya sebagai seorang penulis dan wartawan. Jadi saya kira apa yang dia ceritakan adalah jujur dan bukan mengada-ngadakan cerita. Banyak yang dicerita dalam masa lebih dua jam itu. Kapal kami lewat. Semua cerita menggambarkan Umno dalam keadaan tenat untuk mengekalkan kuasa hari ini.

Dalam banyak-banyak cerita negatif mengenai Umno itu timbullah soal Setiausaha Agung Umno Teuku Adnan Mansor yang kononnya sakit dan akan melepaskan jawatan. "You tahukan Teuku Adnan sakit," tanya dia kepada saya. Saya menggeleng kepala.

"Dia sakit dan hendak letak jawatan." Katanya. Surat perletakan jawatan sudah pun diserahkan kepada Presiden, Najib Razak. Tetapi Najib tahan dulu tunggu sampai selesai perhimpunan agung Umno dua minggu lagi.

Saya mengasak ahli itu apakah sebab musababnya, masakan soal sakit, biasanya orang politik bagaimana sakit sekali pun dia tidak mudah untuk berundur. Jawatan dan kuasa adalah obat bagi orang politik.

Dia mulanya tidak mahu mencerita keadaan Teuku Adnan lebih lanjut, tetapi selepas diasak dia menjawab; "Teuku Adnan juga sudah mnenghidu yang Umno akan kalah," katanya, menyebabkan saya terperagah.

Sekali lagi berkebetulan semasa balik semalam saya terjumpa pula dengan seorang bakal calon Umno di Kelantan. Sekali lagi kapal terbang yang hendak dinaiki lewat dan memberi kesempatan kami berbual fasal Umno. Di celah-celah perbualan itu saya menyebut fasal Teuku Adnan ingin merisik khabar sejauh mana kebenaran apa yang diceritakan oleh ahli jawatankuasa bahagian itu.

"Betulkah setiausaha agung Umno hendak letak jawatan"? Tanya saya.
"Dengarnya begitulah," jawabannya ringkas. Saya tidak mahu memanjangkan persoalan dan mendiamkan diri saja. Bagi saya jawaban yang diberi menerusi bahasa badan itu sudah cukup untuk dijadikan maklumat mengorek perkara ini lebih lanjut.

Sementara itu dari sumber lain pula memberi tahu, katanya Teuku Adnan juga tidak akan mempertahankan kerusi Putrajaya dalam pilihan raya akan datang? Alasan bukan sakit tetapi katanya dia sudah dapat mengesan pegawai kerajaan akan membuat kejutan dalam pilihan raya kali ini. Cerita mengenai Teuku Adnan ini menarik dan perlu diselidiki. [wm.kl.8:30 am 10/11/12]

1 comment:

  1. letak jawatan sbb sakit ke apa2 ke rakyat dh x peduli...UBN mst dikuburkan pd PRU 13 nnt.. letak jawtan pun xpe sbb harta yg telah dikumpul 10 generasi makan x habis.. rakyat mcm nak mampus cari rezeki dan mengikat perut..pemimpin hidup bermewah2...rakyat akan adili pemimpin yg x amanah...

    ReplyDelete