Thursday, November 1, 2012

Rahsia Nazri Kenal Michael Chia Didedah

KENYATAAN                                                                                                                
 
Saya baru menerima emai kenyataan akhbar oleh Pengarah Strategik PKR, sdr Mohd Rafizi Ramli yang mendedahkan hubungan Nazri Aziz dengan Michael Chia, individu yang dikatakan terlibat dalam skandal RM40 juta di Sabah.

Berikut kenyataan penuh Rafizi: 

BUKTI HUBUNGAN DATO’ SERI NAZRI AZIZ DAN MICHAEL CHIA, “CONFLICT OF INTEREST” DALAM PENYIASATAN TUDUHAN RASUAH RM40 JUTA
 
Jawapan-jawapan di dalam Parlimen oleh Dato’ Seri Nazri Aziz yang mempertahankan habis-habisan individu-individu yang disabitkan di dalam skandal wang Umno Sabah berjumlah RM40 juta menimbulkan banyak tanda tanya.

Sebagai seorang menteri kanan yang dipertanggungjawabkan menangani kes-kes rasuah dan pengubahan wang haram (money laundering) yang sensitif seperti kes RM40 juta ini, Dato’ Seri Nazri Aziz perlulah telus, bersih dan dilihat tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan mana-mana individu yang dipertahankan beliau.

Malangnya, KEADILAN mempunyai bukti bahawa kaum keluarga beliau mendapat manfaat terus (direct benefit) dari sumbangan Michael Chia, iaitu individu utama yang dituduh di dalam skandal RM40 juta.

Anak kepada Dato’ Seri Nazri Aziz iaitu Nedim Nazri Aziz dan keluarganya mendapat manfaat melalui sebuah kenderaan mewah jenis Hummer hitam dengan nombor pendaftaran WNX 9776.

Kenderaan mewah Hummer hitam WNX 9776 ini dianggarkan berharga lebih RM459,000  dan dimiliki oleh Michael Chia. Hakmilik ini boleh disahkan melalui carian saman di laman MyEG.
(Sila rujuk Lampiran A)
 
Saman bernombor 1100105197 bertarikh 1 April 2011 (Gambar A1) mengesahkan bahawa kenderaan Hummer hitam (gambarnya disertakan sekali di dalam carian saman MyEG seperti dalam Gambar A2) adalah dimiliki oleh Michael Chia atau Chia Tien Foh (670406-12-5261).

Melalui kerjasama dengan Sarawak Report, KEADILAN telah menjalankan siasatan kami sendiri untuk mengesahkan bahawa kenderaan mewah Hummer itu benar-benar digunakan oleh anak Dato’ Seri Nazri Aziz.

Bukti-bukti berikut (diperolehi melalui siasatan mengenai latar belakang anak Dato’ Seri Nazri Aziz dan pemantauan Hummer WNX 9776) mengesahkan bahawa kenderaan tersebut digunakan sepenuhnya oleh anak Dato’ Seri Nazri Aziz:

1.      Kenderaan tersebut berada di parkir Clearwater Residence, Damansara Heights iaitu kediaman anak Dato’ Seri Nazri Aziz
Pemantauan kami menunjukkan bahawa Hummer WNX 9776 dipandu oleh pemandu peribadi keluarga Nedim Nazri Aziz. Rutin harian kenderaan tersebut banyak berkisar di antara Clearwater Residence (kediaman anak Dato’ Seri Nazri Aziz) dan Bangsar Shopping Complex (kedai anak Dato’ Seri Nazri Aziz).
Lampiran B (Gambar B1 – B6) menunjukkan gambar-gambar pemantauan di lobi Clearwater Residence yang jelas membuktikan bahawa kenderaan itu berulang-alik dari Clearwater Residence dan dipandu oleh pemandu dan pengawal peribadi keluarga Nedim Nazri Aziz.

2.      Bukti-bukti bahawa Nedim Nazri Aziz tinggal di Clearwater Residence
Lampiran C menunjukkan 4 gambar.
Gambar C1 adalah petikan skrin (screen shot) laman Twitter Nedim Nazri Aziz @nednazri mengajak rakan-rakannya bersantai di kolam renang di unit kondominium mewahnya di Clearwater Residence, berlatar belakangkan Kuala Lumpur.
Gambar C2 adalah petikan skrin (screen shot) laman Twitter Alwi Kamaruddin @alwi77 yang mengesahkan bahawa Nedim Nazri Aziz tinggal di satu unit di Clearwater Residence.
Gambar C3 menunjukkan gambar kolam renang di satu unit di Clearwater Residence berlatarbelakangkan Kuala Lumpur seperti yang diambil oleh petugas KEADILAN yang berjaya memasuki unit di situ. Gambar ini mengesahkan bahawa kolam renang di kediaman Nedim Nazri Aziz adalah salah satu kolam renang di Clearwater Residence.
Gambar C4 menunjukkan petikan skrin (screen shot) dari laman www.clearwaterresidence.com yang mengesahkan mengenai kolam renang seperti yang dirujuk oleh Nedim Nazri Aziz.
Lampiran C mengesahkan bahawa Nedim Nazri Aziz tinggal di Clearwater Residence.
3.      Bukti-bukti yang mengesahkan keluarga Nedim Nazri Aziz menggunakan Hummer WNX 9776
Lampiran D menunjukkan 5 gambar.
Gambar D1 adalah petikan skrin (screen shot) dari laman Twitter Bee Khan @BeeKhan yang mengesahkan bahawa akaun Twitter itu adalah milik isteri kepada Nedim Nazri Aziz (rujuk twit yang merujuk kepada @nednazri sebagai “daddy”).
Gambar D2 adalah petikan skrin (screen shot) dari akaun Twitter @BeeKhan yang menunjukkan gambar bayi mereka di dalam sebuah Toyota Vellfire, iaitu satu lagi kenderaan yang digunakan keluarga mereka.
Gambar-gambar D3 hingga D6 adalah petikan dari pemantauan yang menunjukkan dua individu yang mengendalikan Hummer WNX 9776 (seperti yang dibuktikan dalam Lampiran B) adalah individu-individu sama yang memandu Toyota Vellfire yang berulang alik ke Clearwater Residence.
Ini membuktikan bahawa dua individu tersebut adalah pemandu dan pengawal peribadi keluarga Nedim Nazri Aziz yang turut memandu Hummer WNX 9776 yang dimiliki Michael Chia.

KEADILAN mempunyai bukti-bukti lain yang cukup untuk membuktikan bahawa Nedim Nazri Aziz, anak kepada Dato’ Seri Nazri Aziz mendapat manfaat kewangan melalui penggunaan kereta mewah Hummer WNX 9776 yang dimiliki Michael Chia.
Dalam keadaan Michael Chia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Dato’ Seri Nazri Aziz bertanggungjawab terhadap SPRM, kenyataan-kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz yang bermati-matian mempertahankan Michael Chia sudah pasti menimbulkan perselisihan kepentingan (conflict of interest). Ini sudah cukup untuk menimbulkan keraguan bahawa ada unsur-unsur rasuah di antara Dato’ Seri Nazri Aziz yang melindungi Michael Chia melalui kenyataan-kenyataan beliau kerana si tertuduh membiayai kenderaan mewah yang digunakan oleh anak beliau (Dato’ Seri Nazri Aziz).
KEADILAN mengalu-alukan maklumbalas Dato’ Seri Nazri Aziz yang sebelum ini begitu gah mempertahankan Michael Chia, sebelum kami mengambil tindakan yang selanjutnya. Beliau juga harus sedar bahawa penafian membabi buta kononnya beliau tidak tahu menahu mengenai urusan peribadi anaknya tidak boleh diterima rakyat.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
1 NOVEMBER 2012
(semua gambar boleh dimuatturun di laman rafiziramli.com dan dikepilkan di dalam dokumen)
[wm.kl.5:55 pm 01/11/12]

No comments:

Post a Comment