Thursday, January 3, 2013

Apakah Staretgi PAS di Pasir Mas?

PANDANGAN                                                                                           

Poster Ibrahim semasa p raya kecil.
Salah satu kawasan atau kerusi yang akan menjadi perhatian dalam pilihan raya akan datang ialah kerusi Parlimen P 22 Pasir Mas. Bukan saja orang Kelantan tetapi orang luar hatta rakyat Malaysia yang berada di luar negara juga sedang memberi perhatian kepada perkembangan politik di Pasir Mas. Kenapa?

Faktor utama,  kerana kerusi itu yang kini disandang oleh Inchek Ibrahim bin Ali yang dikatakan akan terus mempertahankan kerusi berkenaan. Kepastian itu sudah pasti kerana sebagai ahli politik dia akan pertahankan kerusi itu walaupun apa keadaan sekali pun.

Kalau orang yang sakit dan sudah berdekad menjadi wakil rakyat masih ingin pertahankan kerusi dengan alasan-alasan tersendiri, maka tidak salah baginya juga berbuat hal yang sama. Lagi pun Ibrahim tidak ada kompilasi kesihatan untuk dijadikan alasan.

Kalau orang lain menjadikan sokongan akar umbi dan parti untuk terus bertanding, Ibrahim juga boleh menggunakan alasan sama. Rakyat di Pasir Mas masih memerlukan khidmatnya. Apa lagi perjuangan Ibrahim dalam soal Melayu konsisten walaupun ia bersikap radikal dan ultra.




Untuk memenuhi keperluan itu dia tidak payah sampai 10,000 orang mengangkat sepanduk melaungkan sokongan buatnya, tetapi cukup hanya dua orang saja. Seorang pencadang dan seorang penyokong. Itu sudah cukup syarat untuk dia mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Hanifa: Sesuai berdepan dengan Ibrahim. 
Tetapi yang menjadi masalah dan sedang dinanti-nantikan, atas tikit apakah dia akan bertanding kali ini. Sehingga kini dia tidak menyertai mana-mana parti. Dalam satu laporan menyebut Ibrahim tidak akan memohon menyertai Umno, alasannya kerana dipecat, tetapi dia sedang pertimbangkan kalau ditawar.

Seperti Ibrahim ada prinsip di dalam hal ini? Tetapi sebagai orang mengenalinya dari dekat, saya yakin dia sudah membuat sesuatu untuk bersama Umno. Kalau Najib Razak atau Muhyiddin Yassin mengenakan syarat meminta dia terjun dari atas pokok kelapa setinggi 60 meter dengan menjunam kepala ke bawah pun bagi mendapat laluan dia akan lakukan. Siapa tidak kenal dengan Inchek Ibrahim; ahli politik yang ganjil dan realistik.

Saya tidak mahu banyak membicarakan mengenai ahli politik colour full itu di sini dan mempersoalkan apakah dia akan bertanding atas tikit apa. Itu adalah urusan dia. Tetapi apa yang ingin dibahaskan apakah strategi PAS Kelantan untuk merampas kerusi berkenaan? Siapakah orang yang akan dihantar oleh PAS untuk berdepan dengan antoganis politik itu?

Jangan anggap mudah di Pasir Mas.

PAS tidak boleh menganggap mudah untuk mendapat balik kerusi berkenaan. PAS tidak boleh menghitung Ibrahim akan kalah apabila dia tidak bertanding atas PAS. Sebelum dia diberi pinjam simbol PAS dia telah menang dua kali di Pasir Mas. Jadi orang PAS tidak boleh membuat sifir mudah kononnya semua orang termasuk Umno membenci Inchek Ibrahim. Jangan.

PAS kena mengambil kira kemungkinan-kemungkinan diluar jangka. Pendapat dalaman Umno Pasir Mas akan menolak dan menumbangkan Ibrahim Ali bukan merupakan satu resolusi yang tepat. Politik seperti layar kapal yang boleh berubah mengikut keadaan tiupan angin.

Jadi kalau ada orang Umno Pasir Mas hatta pimpinan peringkat bahagian sendiri bercerita Umno akan pulau dan ajar Ibrahim, jangan mudah percaya dan termakan dengan kata-kata itu. Cerita itu bukan 'busyro' buat PAS. Orang PAS tidak boleh merasa terhibur dengan berita itu.

Yang perlu diingat dan sedari Ibrahim seorang pemain politik yang licik dan sanggup membuang moral. Dalam tubuh Ibrahim ada seribu sifat dan fiil yang kadang-kadang tidak terfikir oleh para makrifah politik sekali pun. Di dalam tubuhnya ada baik dan ada jahat. Dia adalah badut emas dalam politik yang boleh menjadikan orang ketawa, histeria dan kesedihan.

Dari maklumat bawahan dalam Umno Pasir Mas semacam sudah pasti Inchek Ibrahim tidak akan diberikan laluan oleh UBN di Pasir Mas. Umno bahagian Pasir Mas sudah konsensus mereka akan menolak apa-apa cadangan untuk memberi laluan kepada Ibrahim. Bagi sesetengah pemimpin Umno Pasir Mas, inilah kali yang kesekian kalinya untuk mereka 'melianglahadkan' politik Ibrahim.

Bagi saya tidak mudah untuk menerima tanggapan dan spekulasi itu. Teori mudah macam mana Ibrahim boleh menyusup masuk ke dalam Umno. Sebagai seorang pengamal politik kebendaan dan oportunis Ibrahim akan membayar sesiapa saja untuk mendapat tempat. Dia sanggup memberi berapa banyak yang diminta asalkan dia puas. Ibrahim bukan seorang yang suka menyimpan duit, tetapi dia dermawan asalkan dia dipuja dan semua kehendaknya tercapai.

Pun demikian PAS kena ingat Ibrahim bukan sembarangan orang. Dia berfikir apa yang orang tidak fikir dan dia sanggup melakukan apa yang orang tidak fikir melakukannya. Politiknya senantiasa hidup dan dia sendiri bersifat tidak malu muka di mana dengan sikap itu dia boleh melakukan apa saja. Ibrahim persis gamat yang kalau dipotong 14 pun dia boleh hidup asalkan ada air. Begitu bagi Ibrahim asalkan ada pilihan raya dia boleh survive. 

Berdasar hakikat itu PAS Kelantan amnya dan PAS Pasir Mas kena berbuat sesuatu yang setanding dengan cara Ibrahim berpolitik? PAS tidak boleh menggunakan satu plan dan satu tektik saja, tetapi PAS kena guna tiga plan dan tiga tektik.

Khabarnya PAS hendak meletakkan seorang tokoh dari kalangan pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat. Apakah orang ini sudah dihitung depan dan belakang cukup kuat dan berdaya melawan Ibrahim Ali. Apakah orang ini ada kekuatan, sokongan di Pasir Mas. Apakah orang ini cukup kredibiliti dan kewangan banyak untuk berhadapan dengan Ibrahim?

Kerana untuk berdepan dengan Ibrahim bukan saja setakat berkeperibadian baik, pandai membaca sepatah dua ayat Quran dan Hadith berperwatakan istiqamah dan ulama, tetapi tahu bersalaman dengan penduduk dan mesti mempunyai sumber kewangan kukuh. Perlu diingat Ibrahim bergelumbang di Pasir Mas bukan setahun dua tetapi sejak dari beliau belum berkhatan lagi.

Mungkin orang bertanya untuk apa wang sebab PAS bukan pengamal politik wang, tetapi dalam pilihan raya peranan wang cukup penting kalaupun untuk tidak dibelajakan tetapi cukup sekadar bagi letak dipoket sebagai penghias dan untuk memberi semangat kepada para penyokong dan jentera parti. Mungkin masalah kewangan tidak timbul di zaman ini...

Sepatutnya orang yang hendak menentang Ibrahim seharusnya sudah bermukim di situ. Sudah tahu segenap sudut dan penjuru kampung, mukim di Pasir Mas. Ia tidak boleh berharap kepada pengaruh dan kekuatan Adun-Adun saja kerana suasana undi Parlimen dengan state walaupun biasanya sama tetapi tidak mustahil ia boleh berbeza. Kalau tidak kena calon, istilah 'kangkang' mungkin berlaku di Pasir Mas, di mana state diberikan kepada PAS manakala parlimen kepada UBN atau Ibrahim Ali. Sebelum ini juga ada kedengaran yang ada suara di Pasir Mas yang tidak hinginkan calon dari luar. Suara kecil dan sumbang begini merbahaya.

Lainlah kalau berlaku pertandingan tiga penjuru, Inchek Ibrahim satu pihak, UBN satu pihak dan PAS satu pihak. Kalau ini berlaku PAS boleh letak sesiapa saja, parti itu hampir pasti menang. Saya jamin kalau letak bekas penyelia Dun Tendong yang dinafikan hak, Abdul Hamid Aziz pun akan menang. Begitu juga kalau berlaku pertandingan tiga penjuru kalau PAS letak semula bekas MP Pasir Mas, Ismail Nuh yang kini uzur juga boleh menang. Kalau letak Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Mas, Hanifa Ahmad pun boleh menang.

Soalnya apakah akan terjadi demikian?

Kalau menurut firasat politik saya yang dangkal, saya merasakan Ibrahim akan mendapat laluan dari Umno di Pasir Mas. Ibrahim akan meminta bantuan Mahathir Mohamad sebagai tali hayat akhirnya. Ketua Umno Pasir Mas, Hanafi Mamat selaku ketua Umno Pasir Mas tidak merasai apa-apa kerugian kalau ia memberi laluan kepada Ibrahim. Tindakan itu menguntungkannya. Dalam politik apa yang perlu difikir ialah nasib diri sendiri dulu. Jika Hanafi merasakan dia lebih mudah berbuat begitu dia akan beri laluan, korbankan kerusi Pasir Mas untuk Ibrahim dengan syarat beliau dijamin menang di mana-mana kerusi state.

Sebaliknya kalau berlaku pertandingan secara gentleman di antara PAS dengan UBN, elok rasanya PAS memikir dan mencari seorang calon yang sepadan untuk bertempur dengan Ibrahim. Apa yang PAS kena pastikan Ibrahim perlu dikalah. Sekiranya keadaan parlimen berstatus quo seperti hari ini kehadiran Ibrahim sangat tidak diperlukan kerana ia boleh menganggu keadaan. Hari ini  sikap dan perangai Inchek Ibrahim di parlimen tidak ubah seperti dubuk yang sering menganggu dan menyerang orang lain untuk mengisi tembolok labuhnya.

Tengoklah kehebatan dubuk bangkai di mulut singa, harimau atau cheetah pun berjaya direbutnya. Dia berjaya membuat bising sehinggakan orang hilang tumpuan lantas meninggalkan bangkai untuk diratah olehnya.

Kesimpulannya PAS jangan pandangn remeh kepada Ibrahim. Jangan underate Ibrahim. Ibrahim kini sedang berusaha untuk mencatat sejarah sebagai ahli politik menang di atas semua simbol politik di negara ini. Mungkin Ibrahim tidak ada harapan untuk menjadi PM, tetapi dia setidak-tidaknya turut ada dalam buku Guinness book of records di Malaysia sebagai ahli politik yang boleh menang dalam keadaan 'perang' sekali pun.

Sekiranya PAS tetap juga mahu meletakkan calon muda yang belum ada pengalaman dan tidak pernah 'bertembur' dalam perang politik, PAS hendaknya mengisikan dua borang untuk calon berkenaan, satu untuk parlimen Pasir Mas dan satu lagi untuk kerusi mana-mana state. Sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru, PAS hendaklah membawa calon muda itu ke kerusi lain. Kerusi Pasir Mas boleh diserahkan kepada tokoh yang sudah masak dengan politik Pasir Mas dan ada pengaruh. Dalam hal ini Hanifa adalah relevan untuk difikirkan diletak bertarung dengn Ibrahim.

Wan Suhaimi: Boleh ditimbang.
Sekiranya Hanifa merasa dia tidak berupaya dan bercadang untuk berundur, maka elok calon lain turut dikenal pasti awal-awal lagi. Jangan tunggu disaat akhir. Mungkin tidak salah kalau kerusi parlimen Pasir Mas diserahkan kepada PKR sebagai pertukaran dengan mana-mana kerusi atas dasar persefahaman untuk memastikan kerusi parlimen Pasir Mas dimenangi Pakatan Rakyat.

Dalam hal ini saya nampak ketua cabang PKR Pasir Mas Dr Wan Suhaimi Wan Daud boleh disenaraikan untuk dinilai bagi disandarkan harapan untuk mencabar Ibrahim Ali. Walaupun kedudukan Suhaimi dengan Ibrahim seperti anak dengan bapak namun dari sudut dan sisi lain (syaksiah) Suhami ternyata lebih boleh dipercayai berbanding dengan Ibrahim begitu juga latar belakang pendidikan dan kelulusan Suhaimi lebih tinggi.

Ataupun kalau PAS merasakan Suhaimi juga tidak berkemampuan kerana beliau masih muda, kurang pengalaman dan PKR enggan membuat pertukaran kerana konsesus mengekalkan kerusi-kerusi yang sedia ada (status quo), mungkin tokoh PAS seperti Muhammad Sabu boleh difikirkan untuk diletak berdepan dengan Ibrahim Ali. Rasanya untuk mendapat sesuatu natijah yang baik PAS Kelantan tidak perlu meneruskan ketetapan tidak rasmi, 'orang luar tidak lagi diperlukan di Kelantan' dirombak semula. Ketetapan yang diambil itu bukan maju ke depan tetapi bagi saya suruh ke belakang. Lagi pun Mat Sabu tidak asing di Kelantan kerana pernah bertanding di Kelantan.

Begitu juga dengan ahli Parlimen Kota Bharu seorang tokoh yang berpengalaman dan versatile Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang khabarnya sudah disingkirkan di Kota Bharu boleh dibawa ke Pasir Mas bagi berhadapan satu sama satu dengan Ibrahim Ali. Bagi saya Wan Abdul Rahim masih relevan sekiranya PAS benar-benar mahu mengunci pintu parlimen untuk Inchek Ibrahim Ali. Dari pengamatan saya kelebihan dan keistimewaan yang ada kepada Wan Rahim jarang kedapatan kepada tokoh-tokoh terkini PAS. Untuk agenda ini Wan Rahim juga boleh batalkan hasratnya untuk berundur seperti disebut alasan sudah veteran.

Apapun saya tegaskan tidak ada ertinya kalau PAS menang di Kelantan tiba-tiba PAS kalah di kerusi Parlimen Pasir Mas. Hitunglah dengan baik, putuslah dengan maufakat keputusan biarlah bijak. [wm.kl.6:24 pm 03/01/13]

3 comments:

  1. So Pak MSO, siapakah yang dirasakan paling layak diletakkan bagi menentang Ibrahim Dubuk.....iskhhh macam macam gelaran sudah diberikan kepada Braheng ni...Al Kataki la...bapa PERKASAM la....dan terkini Al Dubuki Wal Hyena....Dubuk lebih sesuai menggambarkan watak si Beraheng nii....Apa pun beliau mesti ditewaskan dan kerjaya politik beliau harus dikuburkan bersama UMNO melalui PRU13 nanti

    ReplyDelete
  2. Tuan Haji,

    Saya bersetuju dengan Tn Haji bahawa jika berlaku pertandingan 3 penjuru, PAS mungkin akan mendapat kemenangan mudah.

    Pandangan saya yang lain: (i) kalau PAS lwn BN - maka PAS perlu bekerja lebih kuat dan memerlukan calun yang berwibawa; (ii) kalu PAS lwn Ibrahim bin Ali - kemenangan lebih memihak pada PAS. Ini kerana majoriti pengundi tegar PAS, sebahagian pengundi tegar BN dan pengundi yang ada akses pada media alternatif, dan 'mengenali' sejarah dan kronoloji politik Ibrahim bin Ali yang penuh berwarna-warni itu, tidak akan mengundi beliau.

    Maka, firasat saya merasakan hayat politik Ibrahim bin Ali akan ditalkinkan hatta sebelum pengesahan calun PRU 13 diumumkan.

    Allah Maha Mengetahui.



    ReplyDelete
  3. berahim ali buleh start "ngucap syahadah" dah tu...

    ReplyDelete