RENCANA KHAS
Bhg Kedua dan Akhir
Fadzil Mencerahkan Pas
Kehadiran Fadzil Noor mengambil ahli
kepimpinan Pas dari Yusuf Rawa tepat pada masanya. Langit Pas yang kegelapan
setelah menghadapi musim gelap ekoran krisis kepimpinan dan hilang kepercayaan
kepada Asri dapat dipulihkan oleh Fadzil Noor. Fadzil Noor mengambil masa yang
begitu pantas menyusun organisasi Pas dan memperkemaskan gerak kerjanya.
Pengalaman dan ilmu gerakan Islam yang ditimbanya sebagai Presiden Abim
dimanfaatkan secukup-cukupnya.
Allahyaraham Fadzil dan Abdul Hadi Awang. |
Beliau juga membawa politik baru Pas dan
berusaha mengikis segala fahaman jumud yang dianuti oleh ahli-ahli Pas hasil
peninggalan para ustaz dan sesetengah tok guru pondok yang jahil bersiasah atau
melihat politik itu dari sempadan birai kopiah mereka.
Fazdil berjaya merapatkan hubungan dua puak
di dalam Pas ini golongan moden (pendidikan sekular) dan golongan ulamak jumud
yang melihat Islam berpandukan kepada kopiah, jubah atau pun janggut.
Allahyarham juga tegas dan konsisten dengan keputusannya.
Kehadiran Fadzil merubah pengurusan dan
pentadbiran Pas menjadi lebih bersistemetik dan efektif. Langkah ini sesuai
dengan usia Pas dan harapan diletakkan kepada parti itu untuk menjadi sebuah
parti berwibawa dalam ranghka menjadi pengganti Umno di masa depan.
Hasil perubahan dan pengenalan politik baru Fadzil Noor dalam pilihan raya 1990 Pas berjaya merampas balik Kelantan yang terlepas kepada Umno selama 12 tahun. Kejayaan demi kejayaan dan perubahan demi perubahan dilakukan Fadzil yang meletakkan Pas sebagai parti disegani dan mulai didekati oleh anak-anak muda dari golongan profesional. Pandangan terbuka beliau mengenai Islam dan merombak kejumudan fikrah (ekstrimis) menjadikan Pas sebagai sebuah parti yang progresif dan dinamik.
Paling manis buat Fadzil dalam pilihan raya 1999 Pas berjaya pula merampas Terengganu dari tangan Umno disamping mengekalkan Kelantan. Kejayaan dicapai Pas dalam era Fadzil sangat manis. Tetapi malang kemenangan itu hanya sekitar empat tahun saja selepas itu Terengganu terlepas balik. Kejadian ini bolehlah disifatkan Pas Terengganu tidak bijaksana memelihara Pas.
Mungkin tidak melampau kalau disebut semasa Fadzil memegang teraju Pas saat inilah ramai golongan profesional berjiwa Islam seperti doktor, peguam, jurutera dan sebagainya menyertai Pas. Ketika ini juga pegawai kanan kerajaan yang sudah bersara atau baru menghabiskan perkhidmatan dalam kerajaan ikut menyertai Pas.
Antara politik baru atau approach diperkenalkan Fadzil ialah menganjurkan tahalul syiasi dengan parti-parti lain. Bermula dengan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.
Mengadakan pendekatan dan penerangan kepada orang Cina mengenai Pas. Penubuhan Majlis Perundingan Cina (CCC) satu pendekatan yang kini dimanifestasi kepada penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas. Fadzil juga bernasib baik kerana berganding dengan Nik Aziz sebagai Mursyidul Am seorang ustaz yang cerah mata dan panjang akal serta bijaksana berpolitik.
Bagi hamba sukar untuk Pas mendapat gandingan presiden seperti Fadzil Noor dan Mursyidul Am seperti Nik Aziz. Mereka adalah seperti bulan dengan mentari yang saling cerah mencerahi antara satu sama lain bagi menerang cekrawala bangsa. Pasangan yang cukup ideal.
Pemergian ke Rahmatullah Fadzil Noor pada 23 Jun 2002 bukan saja satu kehilangan kepada Pas tetapi satu petaka memeranjatkan. Sampai kini segala jasa, bakti, perubahan dan politik Fadzil masih dikenang dan disebut-sebut. Setiap kali timbul kerumitan dan suasana kritikal di dalam Pas, Fadzil akan dikenang dan namanya akan disebut, formula politiknya akan dirujuk.
Walaupun penggantinya Abdul Hadi Awang yang
sudah lama diasah bakatnya dalam Pas, bahkan pernah diramalkan bakal menjadi
pemimpin Malaysia, tetapi tahap pencapaian Abdul Hadi dalam melakukan
pembaharuan (tajdid) di dalam Pas khususnya pendekatan tidak berapa
memberangsangkan.
Satu perbezaan ketara Abdul Hadi tidak setegas Fadzil Noor beliau gagal mengamankan atau mengheningkan gelora dalam Pas yang timbul berkadang kala. Ahli-ahli Pas juga menjadi berani (tidak wala’) untuk akur kepada mesej dan arahannya. Dan akhir-akhirnya penglibatan menantunya yang dikatakan mencampuri keputusannya selaku presiden memburukkan lagi keadaan dan reputasi Abdul Hadi muasir ini.
Mengenang kelemahan Abdul Hadi, perkara paling besar ialah gagasan kerajaan perpaduan (Unity Government) – kerajaan tanpa pembangkang yang dilontarnya ditafsir dengan berbagai persepsi yang menjuruskan kepada kelemahan dan kegoyahan prinsip politiknya. Anihnya, dan di sinilah kelemahan ketaranya apabila beliau tidak menggunakan preoragati sebagai presiden mempertahankan ideanya yang bernas itu. Sikap ini pula dilihat sebagai keterbukaan dan sifat lembut Abdul Hadi. Hasil sikap itu menyebabkan apa-apa pandangan, teguran beliau tidak diendahkan.
Sudah 11 tahun Abdul Hadi menjadi presiden Pas. Hanya dua tahun sahaja lagi beliau akan menyamai rekod dipegang Burhanuddin Hilmi, Asri dan Fadzil Noor yang menjadi presiden selama 13 tahun. Apakah Abdul Hadi akan berhenti atau disingkirkan setelah genap 13 tahun? Kalau itulah perkiraan bermakna Abdul Hadi akan terus memimpin Pas sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi. Menjelang muktamar dua tahun lagi Pas boleh mempersiapkan calon pengganti Abdul Hadi.
Kesimpulan apa yang dapat dirumuskan dalam catatan mengenai sejarah dan sifat kepimpinan tujuh pemimpin nombor satu Pas ini, boleh dilihat mereka masing-masing menghadapi kerenah tersendiri. Ada masa pasang dan surutnya di era mereka. Begitu juga era baru akan muncul dalam Pas setelah berlalu dan meninggalkan beberapa era sebelum ini. Era sebelum merdeka yang menjadikan Pas sebagai pejuang kemerdekaan dan perjuang aspirasi bangsa kepada era pasca kemerdekaan, di mana era Pas dibawah kepimpinan nasionalis yang berhadapan dengan kejumudan fikrah politik gara-gara terpengaruh dengan aliran politik haraki dari Timur Tengah.
Era kepimpinan ulamak yang menjadikan Pas di bawah naungan ulamak, dengan mengambil pendekatan Islam dari sekecil-kecilnya seperti penggunaan istilah dan slogan muktamar berjenama Arab. Dan setelah tiga dekad era kepimpinan ulamak ini ia sudah tua dan perlu disemak. Mungkin Pas akan mulai memasuki gerbang baru yang lebih mantap lagi.
Mungkin era profesional liberal Islami (PROLIS). Di mana pada era ini Pas akan mengaul kesemua era-era yang sebelum ini menjadi satu era baru bersesuai dengan kehendak kontemporari. Era ini tentulah melihat kepada keunikan komuniti politik di negara ini dan bukan lagi melihat kepentingan citarasa sesuatu khabilah sahaja yang bersifat individualistik berasaskan religion. Penting bagi peneraju dan kader Pas menginsafi bahawa usaha untuk memiliki kuasa di negara ini perlu gabungan antara kaum dan etnik.
Adalah malang kalau pentaksud kepada era kepimpinan ulamak masih hendak mempertahankan bentuk, stail dan pendekatan era kepimpinan ulamak yang sudah memasuki tiga dekad itu. Mereka merasakan Pas menjadi Islam dibawah era ini walaupun tindakan sesetengah pemimpin (individu) di bawah era ini lebih teruk daripada mereka yang digolong sebagai profesional yang sekular.
Kesimpulannya Pas sebagai sebuah wadah yang berkembang bersama kemajuan pemikiran pemimpin dan ahlinya tidak akan dapat disenggang dengan tuntutan semasa. Apa yang lebih afdal dan praktikal bagi Pas ialah menjadikan Pas relevan dengan masa bukannya Pas menjadi indah dengan angan-angan dan slogan yang hanya sedap disebut tetapi tidak terlaksana itu.
Sebagai parti harapan dimasa depan Pas
seharusnya menjadikan ia milik semua bukan mutlak hak mana-mana golongan atau
kabilah sesuai dengan tagline Pas
for all. Ini menepati dengan
status Islam itu sendiri ia adalah hak sejagat bukan hak seketurunan
semata-mata. Jadi janganlah pisahkan Pas dengan pelbagai golongan, aliran,
mazhab dan sebagainya. Pas adalah satu dan padu. Pas For
All. [wm.kl.11:46 pm 14/08/13]
kita dimuliakan Allah dengan Islam...jika kita mencari kemuliaan selain dari Islam maka Allah akan menghinakan kita...-Umar Al khatab r.a.
ReplyDeleteHarapan agar ulama terus memimpin di samping profesional terus mendokong...buang yang keruh ambil yang jernih dan jangan hancurkan parti demi politik peribadi...saya yakin TGHH tidak mempunyai apa2 kepentingan peribadi dalam memimpin PAS cuma kadang2 silap bacaan politik itu sahaja kelemahan dan kalau diberi pilihan saya percaya beliau pun memilih untuk tidak menjadi presiden...hak dan batil tidak akan dicampur dalam tindakan beliau...harapan jika ada calon lain yg layak menjadi presiden agar kemukakan diri ambil alih dari ayah chik kerana kesian tengok beliau dibantai oleh musuh dan rakan...semoga ramalan Tuan jadi kenyataan...
Kepimpinan Ulamak tidak perlu ditukar. Yang wajib ditukar hanya minda dan corak kepimpinan sahaja.
ReplyDeleteKebijaksanaan seseorang lebih dihayati malah dihargai salepas zamannya berlalu; hatta salepas pemergiannya. Itulah jasa atau khidmat yang hakiki. Hanya Allah jua yang akan memberi ganjaran. Namun generasi kini sewajarnyalah memanfaatkan setiap kebajiksanaan yang telah terbukti itu agar harakah ini mendapat inspirasi dan keazaman yang berterusan; insyaalah.
ReplyDelete