Thursday, September 5, 2013

Shabery Chik, Khalid Abu Bakar Sama Cerdik Dengan Pemimpin Perkasa(m)

ULAS ISU                                                                                             

Cara Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar membuat kenyataan berhubung 'kejayaan' polis menahan A Samad Said (foto) untuk disiasat kerana membaca sajak di samping kibaran bendeara Sang Saka Malaya di malam 31 Ogos lalu seolah-olah kejayaan memberkas Samad itu satu kejayaan besar dan rekod baru terbaru polis tahun ini.

Ia semacam kejayaan polis memberkas kesemua kepala 49 gengstar seperti mana diumumkan baru-baru ini. Hebat polis. Zahid Hamidi yang menjadi menteri menjaga polis juga boleh tumpang naik semangat dengan kejayaan polis itu. Bolehlah dijadikan modal untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Naib Presiden Umno dalam perhimpunan parti itu kelak. Jarang polis berjaya menahan seorang sasterawan!

Kata Khalid polis berjaya menahan Samad selepas Sasterawan Negara itu menyusup ke rumahnya menjalang tengah malam. Polis telah berada di rumah Samad membuat perhatian tetapi tidak berjaya menangkap kerana Samad dikatakan bersembunyi. Selepas Samad pulang menjelang tengah malam baru polis berjaya memberkasnya. Pak Samad menafikan dakwaan mengatakan dia bersembunyi.

Pakat-pakat ukur sendirilah sejauh mana pro dan cerdiknya polis Malaysia. Penahanan Samad yang sudah lanjut usia itu tidak perlu dihebuh-hebuhkan pun. Nampak sangat polis khasnya Khalid Abu Bakar sengaja perbesar-besarkan isu yang tidak sewajarnya disebut pun. Semua orang kenal Pak Samad dan tahu sejauh mana kekuatannya. Usahkan hendak melarikan diri dari polis, hendak halau kambing masuk ke rumahnya sudah tidak mampu lagi.

Berbeza dengan Nazri Aziz yang memperlekeh Samad dengan menyoal besarkah Samad Said itu maka beliau tidak perlu menyerah diri kepada polis sehingga memerlukan ada panggilan rasmi. Samad yang dikehendaki polis mempersoalkan tindakan polis kerana beliau tidak dimaklum secara rasmi, jadi tidak timbul dia enggan menyerah diri.

Pak Samad yang sudah tua itu dijadikan isu. Dari sudut lain ia menaikkan darjat seorang penyair seperti Pak Samad. Sajak-sajaknya kini menjadi lebih tajam dari lidah orang politik apa lagi dari keris lucah Umno. Ia lebih penting dari isu kenaikan harga bahan bakar yang mencerabui kepala rakyat kini. Seorang lagi menteri yang juga menyentuh soal Samad ialah Shabery Chik yang mengemukakan pandangan anugerah Sasterawan Negara yang diberikan kepada Samad boleh ditarik balik. Kualiti menteri Komunikasi dan Multimedia itu lebih kurang pemikiran pemimpin Ngo Perkasa(m) sahaja yang mahu kewarganegaraan Pak Samad dilucutkan.

Samad telah membuat ulasan terhadap pandangan Shabery dan Ngo berkenaan. Katanya beliau tidak kisah kalau anugerah itu hendak ditarik, begitu juga dengan kewarganegaraanya. Tariklah dia sedang menunggu-nunggu. "Bapa sedang menunggu-nunggu," ujarnya seperti dilapor. Cara Shabery itu tidak habis-habis teknik mengugut dan sergah macamlah Samad budak-budak kecil. Begitulah kepala pemimpin Umno bila mereka sudah terdesak dengan sesuatu isu, jalan paling mudah ialah dengan mengemukakan cadangan taraf minda bebudak.

Mungkin Shabery boleh membuat ugutan demikian kepada Khairy Jamaluddin atau pun anak Serlin itu atau mana-mana pemimpin Umno, tetapi tidak kepada Samad. Pak Samad sudah matang dengan segala hal. Dia tidak berbuat sebelum dia berfikir semasak-masaknya seperti mana orang politik yang berbuat dahulu baru berfikir itu pun separuh masak. Pak Samad orang seni yang berjiwa halus yang selama ini memejamkan mata mengenai kebobrotan dilakukan pemimpin negara. Apabila beliau bersuara itu menunjukkan kesakitan itu sudah parah. Jangan tahan berak nanti pening kepala.

Mengenai anugerah Sasterawan Negara ia bukan sesuatu yang ditagihi Samad. Ia adalah anugerah yang diberikan oleh negara berdasarkan percapaiannya dalam bidang yang diceburinya yang diputus sebuah panel khas. Yang mestinya anugerah itu bukan berdasarkan bodek dan pemujaan kepada kerajaan tetapi jasa dan baktinya dalam bidang persuratan dan kebudayaan. Apakah apabila beliau kini dilihat mengeluarkan pendapat yang tidak senada dan seirama dengan kerajaan maka anugerah itu hendak ditarik balik? Buruk siku weii...

Cadangan Shabery itu menunjukkan ketidakmatangan dan kerendahan moral akal menteri berkenaan dan mengeluar pandangan berdasarkan sentimen parti politik melulu. Seorang menteri sepatutnya tidak bersikap macam ketua Umno cawangan di kampung yang tidak akan menanda-tangani borang untuk mendapat buku pinjaman untuk murid yang bapanya tidak menyokong dacing. Apakah nilai Shabery sama dengan nilai ketua-ketua cawangan Umno? Inilah standard menteri Najib Razak.

Ahmad Shabery, Khalid Abu Bakar dua kali lima saja dengan pemimpin Ngo Perkasa(m). Adalah diharap Najib Razak dan Muhyiddin Mohd Yassin yang lebih tua dalam kabinet tidak akan terikut dengan pandangan Shabery ataupun cara Khalid yang cuba menunjukkan kehebatan dirinya kerana berharap dia akan disambung kontrek sebagai ketua polis negara dua tiga tahun lagi.

Najib dan Muhyiddin perlu menunjukkan mereka lebih kering hingusnya berbanding dengan menteri-menterinya dan juga ketua keselamatan seperti Khalid Abu Bakar itu. Sehari dua ini nampaknya hingus Ahmad Mazlan kering sedikit. [wm.kl.3:59 pm 05/09/13]

1 comment:

  1. Salam Tuan MSO. Sekarang ni radio kerap diputarkan lagu patriotik baru, yg khabarnya liriknya ditulis oleh Sabery Chik sendiri. Lagunya tak sedap langsung, sampai naik berminyak telinga mendengarnya.

    ReplyDelete