Wednesday, November 27, 2013

Muzakarah Umno - Pas: Biarlah jadi kenyataan

PERSEPSI                                                                                              

Kesediaan Umno dan Pas untuk mengadakan perbincangan dan muzakarah sudah pasti disambut baik oleh mereka yang rindukan kepada kedamaian dan keharmonian. Apa lagi mereka yang mual dengan aksi politik keterlaluan sangat mengalu-alukannya.

Perbicangan itu sudah pasti ia akan membuatkan hasil yang baik. Kalau ia tidak menyelesaikan semua masalah, tetapi setidak-tidaknya ia memberi peluang kedua-dua pihak mengenai hati budi masing-masing. Kata pepatah Arab kalau kamu tidak dapat semua kamu jangan buang semua.

Walaupun skop perbincangan itu nanti luas tetapi seperti mana kata Perdana Menteri, Najib Razak peringkat permulaan ia akan terarah kepada Kelantan terlebih dahulu. Perbicangan ketua kerajaan federal dengan ketua kerajaan negeri.


Sebagai rakyat Kelantan yang memahami masalah di Kelantan akibat berbalut dengan politik ekstream dengan ideologi masing-masing saya kira ia tidak memberi kebaikan kepada Kelantan. Kekucahan di antara kedua parti itu Pas dan Umno kerana tiada perbincangan menyebabkan Kelantan dilambaki dengan masalah sosial dan juga pembangunan yang pincang. Banyak kepentingan atau hak-hak yang sepatut dinikmati rakyat Kelantan terlepas kerana perbezaan politik melampau.

Jadi apabila kedua-dua pihak menyatakan kesanggupan untuk duduk bersama membincang, apa juga masalah ia perlu dialu-alukan tanpa ada keraguan terhadapnya. Pas Kelantan hendaklah menerima pelawaan Najib itu tanpa rasa curigai manakala pihak kerajaan UBN juga jangan cuba menangguk di air keruh dengan muzakarah itu.

Adalah malang kalau kesediaan Najib itu dibiarkan berlaku begitu sahaja.

Bila hendak diadakan perbicangan tidak perlu rasanya mana-mana pihak meletakkan agenda atau peraturan tertentu. Biar dan pastikan dahulu Najib dan MB Kelantan Ahmad Yaakub duduk sekali dan menghirup kopi atau tea tarikh.

Selepas berlakunya pertemuan itu barulah boleh dirangkakan apakah bentuk atau isi kepada pertemuan itu. Sifatkan pertemuan mereka berdua adalah pertemuan suai kenal. Ahmad Yaakub tidak perlu lagi mengambil sikap pendirian MB sebelum ini bagi mewujudkan pertemuan ini. Beliau harus sikap dan pendirian tersendiri.

Bagi merealisasikan muzakarah ini elakkan dari membincang topik-topik bersabit dengan agama. Misalnya janganlah ada agenda-agenda khusus seperti hukum hudud, projek lebuh raya, royalti atau stadium. Jangan kemukakan angeda berupa tuntutan sebaliknya carilah atau bincang lah mauduk umum demi rakyat Kelantan. Perkara yang perlu diutamakan ialah keperluan terdesak rakyat Kelantan.

Manakala pihak Umno pula usah menampakkan pertemuan itu sebagai satu perangkap maut untuk Pas. Kesediaan Pas (Ahmad Yaakub) untuk menerima kunjungan Najib atau mendatangi Najib tidak perlu dijadikan modal politik. Seboleh-boleh elak pertemuan dan perbincangan itu sebagai motif politik.

Begitu juga dengan Keadilan dan DAP jangan pula mereka meletakkan apa-apa kesangisan terhadap pertemuan itu. Kedua rakan Pas itu boleh menyifatkan pertemuan itu adalah hubungan peribadi kerajaan Kelantan dengan kerajaan pusat. Kalau ada yang cuba mentafsirkan pertemuan itu bermotif politik ia tidak akan menjadi.

Apakah muzakarah ini akan berlaku atau ianya akan jadi seperti sebelum ini. Sudah beberapa kali kedengaran mengenai muzakarah di antara Pas dengan Umno tetapi semuanya berkubur tanpa nisan. Hasrat atau desas desus muzakarah sebelum ini hanya menjadi gimik saja ia tidak pernah terlaksanakan. Situasi ini bahaya kerana apabila kerap sangat tidak jadi dan gagal lama-lama kredilibiti Pas dan Umno akan hilang.  [wm.kl.6:04 pm 27/11/13]

No comments:

Post a Comment