Akhirnya beberapa perkara yang saya ungkitkan berhubung sikap Menteri Besar Kelantan, Datuk Ustaz Ahmad Yaakub seperti mana dakwaan seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di dalam blog ini seminggu lalu, terjawab hari ini apabila Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Sdr Wan Nik Wan Yusuf berkesempatan berjumpa dengan saya. Sebelum ini saya menganggap Ahmad membisu dengan apa yang dibangkitkan itu, atau sengaja menyembunyikan isu kerana tidak ada mana-mana pihak termasuk pegawainya tampil membuat jawaban dan penjelasan.
Mendengar penjelasan Wan Nik. |
Sikap beginilah, bagi saya sikap terpuji kerana ia boleh menyelesaikan banyak perkara dan menghuraikan kekeliruan yang mungkin berlaku. Atas usaha ini saya ucapkan terima kasih banyak kepada Wan Nik Wan Yusuf kerana mengambil inisiatif mengambil tanggungjawab. Sikap bertanggungjawab beginilah sikap profesional yang akan memberi gambaran baik kepada kerajaan pimpinan Pas Kelantan dibawah Ahmad Yaakub.
Jelas, perjumpaan kami pagi ini bukan untuk mencari siapa benar dan siapa salah, tetapi lebih penting menjelaskan apa-apa yang dirasakan Wan Nik atau MB terhadap perkara dibangkitkan saya sebagai tidak tepat itu di mana ia perlu diperjelaskan agar tidak terus mengelirukan keadaan. Sikap sedia berdepan dan menjawab ini sepatutnya dijadikan amalan dan KPI kepada pimpinan Kelantan terutamanya di kalangan Exco. Ada kritikan dan teguran umum diberikan kepada Exco tetapi masing-masing mengambil sikap mendiamkan diri. Sikap menikus atau 'malas basa' begini kurang baik.
Sikap mendiamkan diri menyebabkan wujud persepsi bahawa pemimpin berkenaan takut dengan tanggungjawab. Kesan daripada sikap enggan menjawab dan menjelaskan lama kelamaan ia menjarakkan hubungan di antara rakyat atau pengkritik dengan pihak berkenaan di mana situasi ini tidak kondisif kepada kerajaan.
Perlu difahami, termasuk apa juga saya, sebagai pemerhati dan pengkritik akan memerhati dari sudut pandangannya dan membuat kritikan untuk dibetulkan apa yang dilihat atau sumber yang diperolehi tidak tepat. Jika ia tidak dilayani, ketikalah ini berlaku keadaan yang buruk. Saya sendiri lebih terbuka dalam soal ini, kerana ia dibuat bukan atas apa-apa kepentingan tetapi untuk kebaikan pihak-pihak yang ditegur itu. Teguran ini bukan saja kepada MB Kelantan yang baru, tetapi amalan ini dibuat kepada MB dan pemimpin lain sebelum ini.
Jadi, kehadiran dan kesudian Wan Nik menemui saya itu, saya sifatkan sebagai 'jawaban' oleh Ahmad Yaakub terhadap apa yang saya bangkitkan. Cuma saya mengatakan, kenapa ia lambat, Wan Nik jelaskan; "ia sengaja kerana nak kumpul untuk menjawab dan menjelaskan sekali gus," katanya ketawa.
Antara perkara dijelas Wan Nik dari apa diungkitkan saya, ialah berhubung jawatan Pengerusi Tanah dan Balak. Menurut penjelasan Wan Nik, Ahmad Yaakub tidak pernah memegang jawatan itu semasa dia menjadi TMB. "Uataz Mat hanya menjadi ahli jawatankuasa itu semasa dia sebagai Exco. Bagaimana pun apabila dilantik menjadi TMB beliau melepaskan jawatan itu, sehinggalah dilantik menjadi MB baru Ustaz Mat memegang jawatan pengerusi jawatankuasa berkenaan sebagai mewarisi apa dilakukan oleh bekas MB Tokguru Nik Aziz," kata Wan Nik.
Penjelasan atau pembetulan Wan Nik ini adalah untuk menguraikan bahawa Ahmad tidak terlibat dengan sebarang apa-apa tidak baik semasa beliau memegang jawatan itu kerana saya menyebut di hujung catatan dalam blog, bahawa mengetahui beberapa cerita tidak sedap tentang persekitaran Ahmad Yaakub berhubungan dengan balak.
Sebenarnya perkara ini tidak perlu dibimbangi kerana saya sudah menyebut di situ, saya tidak gila untuk mendedahkannya sebelum membuat siasatan dengan terperinci. Dan apabila Ahmad memberi respon kepada apa yang dibangkitkan itu, cukuplah untuk saya tidak memanjangkannya. Apa dijelaskan Wan Nik hari ini diterima sebagai benar. Jadi Ahmad tidak perlu bimbang mengenai hal ini sebab kebenaran itu tidak boleh dipalsukan?
Perkara lain juga dijelaskan Wan Nik berhubung dengan jawatan penyelia DUN Pengkalan Kubur yang diungkitkan seperti mana didakwa itu, ianya tidak timbul Ahmad Yaakub berdolak dalih di dalam soal itu kerana jawatan penyelia itu tidak pernah dijanjikan.
"Kerusi DUN Pengkalan Kubur adalah merupakan kerusi Pas dan ia diberi pinjam kepada PKR pada pilihan raya 2008 atas dasar pinjaman untuk menunjukkan semangat kerjasama. Tidak ada 'perjanjian' (bertulis - P) yang kerusi berkenaan diperuntukan kepada PKR," jelas Wan Nik.
Ceritanya lagi ketika itu Tokguru Nik Aziz sebagai MB, memutuskan walaupun kerusi itu hak Pas tetapi diberikan kepada PKR untuk menunjukkan yang Pas berpakat dengan PKR. Itulah kebaikan dan kesediaan Pas dalam melayan PKR sebagai rakan politik di Kelantan.
Begitu juga permohonan yang dibuat pada zaman Wan Jamil Wan Mahmood (Allahyarham) menjadi Yang di Pertua Pas Kawasan Tumpat seperti saya sebut, terang Wan Nik juga tidak betul kerana, semasa Wan Jamil masih ada kerusi berkenaan tidak wujud lagi PKR di situ, ketika itu Pas dengan Semangat 46. "Jadi macam mana boleh dikatakan PKR telah memohon untuk dilantik menjadi penyelia," tekan Wan Nik menafikan dakwaan pemimpin PKR seperti mana diungkitkan.
Bagaimana pun jelas setiausaha politik itu, sepanjang pengetahuannya, bekas calon PKR Saharum Ibrahim ada menemui Ahmad Yaakub berhubung jawatan penyelia berkenaan tetapi tidak ada keputusan dicapai. "Jadi di sini tidak timbul soal berlaku dolak dalih mengenai hal ini, kerana memang tidak ada perbincangan," tekan Wan Nik. "Jadi Ustaz Mat tidak pernah berjanji,?" tekan saya. Wan Nik mengangguk.
Penjelasan dari Wan Nik itu bererti pemimpin PKR yang menjadi sumber saya itu tidak bercakap benar atau pun tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya? Menjadi kewajiban kepada pemimpin itu untuk mendapat penjelasan atau menjelaskan apa disebut itu dengan bukti-bukti konkrit kalau tidak ia akan dianggap pemfitnah.
Dalam perjumpaan tadi juga Wan Nik turut menimbulkan soal dakwaan kononnya Ahmad Yaakub pernah berjanji untuk menyerahkan penyelia DUN Pengkalan Kubur di hadapan Anwar Ibrahim. Ini juga beliau nafikan berlaku. Jelasnya, maslaah PKR Kelantan hanya dibincang di kalangan pemimpin PKR Kelantan sahaja dan tidak melibatkan pemimpin pusat macam mana pula dilibagtkan dengan Anwar?
Hanya sekali sahaja katanya, perbincnangan melibatkan pimpinan PKR Pusat itu dengan Nurul Izzah Anwar iaitu semasa kehadiran Nurul Izzah pada majlis sambutan 23 tahun kerajaan Pas Kelantan yang diadakan di stadium, ketika itu Naib Presiden PKR itu hadir sebagai salah seorang penceramah. Penjelasan ini menggambarkan bahawa tidak ada janji Ahmad Yaakub dengan Anwar Ibrahim seperti disebut. Betulkah?
Beliau juga menyebut soal kouta ladang rakyat dan jawatan-jawatan lantikan politik lain yang diungkitkan, termasuk penghulu dan ahli majlis daerah. Mengenai jawatan penghulu untuk lantikan tahun ini memang kouta (nama) untuk PKR kosong kerana pihak PKR tidak menyenaraikan nama untuk jawatan berkenaan.
Begitu juga dengan lantikkan ahli majlis daerah ia tidak ditambah kerana mengikut standard dahulu. Mengenai penerimaan skim Ladang Rakyat pula jelas Wan Nik ia bergantung kepada Adun dan Penyelia. Misal katanya, bagi Dun Guchil yang diwakili oleh PKR, Adun bertanggungjawab menyeranaikan nama-nama penerima dari pihaknya dengan berbincang dengan Pengurus (CEO) Ladang Rakyat ia tidak ada kena mengena dengan MB atau kerajaan langsung.
"Wakil Rakyat PKR itu boleh menyerahkan senarai mereka kepada Pengurus, dan pihak pengurus akan memasukkan nama-nama itu," katanya.
Penjelasan Wan Nik terhadap beberapa perkara dibangkitkan itu, bagaimana ia tidak mungkin menyelesaikan isu dibangkit secara tuntas. Ia juga tidak boleh dianggap semuanya benar kerana mungkin hal-hal peribadi di antara PKR dengan Ahmad Yaakub tidak semua dalam pengetahuannya. Jalan terbaik ialah pemimpin PKR Kelantan perlu bertemu dengan Menteri Besar Ahmad Yaakub. Mungkin apa yang berlaku itu, sikap responsif Ahmad terhadap tulisan saya itu sebagai merintis jalan ke arah persemukaan kedua-dua pihak.
Di sini bukan bermaksud saya ingin menyatakan penjelasan Wan Nik itu benar dan menamatkasn cerita, tidak, anggaplah ia sebagai cetusan baru untuk PKR dan Pas mengorak langkah baru dalam persafahaman yang lebih mantap dan harmoni. Kalau berlaku perjumpaan atas semangat anak berank ia boleh menghapuskan tanggapan dan sangkaan buruk. Kedua-dua pihak juga tidak perlu membiarkan penyokong dan ahli masing-masing saling melempar tuduhan dan membela diri tanpa bukti menerusi media baru.
Adalah elok dalam hubungan melendikkan keadaan dari salah faham ini, Wan Nik sebagai setiausaha politik MB memainkan peranan, misalnya bagaimana untuk meruangkan perjumpaan di antara pucuk pimpinan PKR dengan Pas secara eksklusif. Dalam perjuampaan itu carilah penyelesaian sebaik mungkin. Saya rasa berdasarkan penjelasan Wan Nik tadi, ia tidak bermakna Pas Kelantan benar-benar mahu mengenepikan PKR seperti dirasakan parti itu dan diulas oleh saya.
Apa yang diulas berhubung singgungan terhadap PKR kononnya parti tidak penting itu, Wan Nik mengakui dia menceritakan dari segi fakta dan sejarah mengenai parti-parti serpihan. Katanya, dia turut menyebut macam mana nasib parti Berjasa, Hamim dan Semangat 46 di mana parti kecil tidak dapat bertahan, seperti PKR tetapi sebagai rakan, Pas sedia membantu.
"Majlis itu majlis tertutup. Ana menceritakan dari segi fakta dan sejarahnya, secara ilmiah kerana pesertanya terdiri dari anak-anak muda terpelajar. Sepatutnya ia tidak mudah disalah anggap begitu, dan ucapan ana itu tidak dipetik secara keluruhnya," jelas Wan Nik lagi.
Kesimpulannya sebagai seorang penulis dan pemerhati politik yang mendengar dari setiap jerung, saya puas dengan perjumpaan dan penjelasan Wan Nik terhadap apa yang saya bangkitkan dan mungkin telah menimbulkan masalah kepada pihak tertentu. Ingin saya tegaskan, sebagai penulis saya tidak dapat melindungi apa-apa yang saya dengar apa lagi membuat catatan berat sebelah. Saya dedah dan saya timbulkan bukan dengan tujuan negatif, tetapi dengan harapan diambil perhatian, dan mana-mana perlu diselesaikan ia perlu diselesaikan.
Pendedahan sebegini terhadap mana-mana pihak, tidak akan berhenti di sini saja. Selagi sesuatu memerlukan tanggungjawab soal dari saya, saya akan melaksanakan tugasan dan tanggungjawab saya tanpa terkurang dan bertambah kandati pun apa-apa yang dilemparkan kepada saya. Apa-apa pun kita perlu adil, ikhlas dan jujur terhadap apa yang kita laksanakan, sebab semua itu akan dihitung bukan saja setakat di dunia ini tetapi sampai ke akhirat jua. Sesiapa pun tidak mahu masuk Neraka yang dibinanya sendiri dari atas dunia ini dengan melakukan pembohongan, penyelewengan dan berlaku zalim dan tidak adil. [wm.kl.7:45 pm 06/01/14]
Syabas Tuan Haji MSO.Teruskan usaha gigih dan usaha murni tuan ini. Walaupun kebenaran itu pahit, tetapi pahit itulah ubat.Bukan mudah untuk mencari kebenaran.Ianya memerlukan usaha dan perjuangan.Berjuang dan berusahalah dengan gigih dan jitu agar kebenaran dapat diraih.Bukan kemenangan yang dicari kerana siapa kuat dialah yang menang tetapi belum tentu dia benar.
ReplyDelete