Friday, February 21, 2014

Usrah turut menjadi amalan Mustapa Mohamed

RAKAMAN RASA                                                                           

Tokoh agama khusus dipanggil untuk memberi tazkirah.
Majlis-majlis keagamaan berupa usrah, syarahan agama (tazkirah) dan juga bacaan Yassin, tahalil dan solat berjemaah telah lama menjadi amalan sesetengah tokoh agama, korporat dan juga ahli politik di negara ini. Menerusi majlis seperti itu ia bukan saja dapat menambahkan pengetahuan dan ilmu agama, tetapi merapatkan lagi jalinan ukhuwah Islamiyah sesama sendiri.

Majlis sebegini secara tidak langsung mereka khasnya ahli politik dapat menjernihkan keadaan dan juga mengendurkan stres politik. Matlamat lain tentulah untuk memenuhi tuntutan Allah s.w.t. menyemarakkan dan sebagai mendokong kerja-kerja untuk mendaulatkan agama-Nya.



Misalnya Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi, Husam Musa dan lain-lain sudah lama menjadikan rumah mereka sebagai taman usrah, (kegiatan mini) keagamaan di rumah mereka. Kesibukan mereka dalam berpolitik yang tidak memberi kesempatan untuk mereka menghadiri majlis-majlis agama di luar rumah mereka, telah dipenuhi dengan tanggungjawab menghidupkan agama dengan membawa balik majlis-majlis seumpama itu di kediaman masing-masing.

Sebahagian yang hadir usrah di rumah Mustapa.
Sudah pasti juga tujuannya untuk memperkukuhkan pegangan agama di kalangan anak beranak, ia juga memberi manfaat kerana dapat ditumpangi oleh jiran tetangga dan sahabat handai dan anak buah.

Anwar Ibrahim sejak dizaman beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) lagi telah mengadakan usrah atau majlis keagamaan di kediaman atau pejabatnya secara rutin. Setiap malam Jumaat sering diadakan majlis bacaan Yassin, tahalil serta sembahyang berjemaah. Hasil dari majlis seumapama itulah kita dapat mengukuhkan hubungan persahabatan dan persaudaraan.

Bila bercakap mengenai kegiatan atau majlis mini agama ini (usrah), tanpa banyak hebuhan, rupa-rupanya ia turut menjadi amalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mustapa Mohamed. Dalam diam-diam sudah lebih setahun Mustapa menganjurkan usrah atau mengadakan majlis keagamaan di kediamannya di Bukit Tunku, Kuala Lumpur secara rutin bulanan.

Berwacana dalam majlis mini begini sangat berkesan.
Malam tadi telah berlangsung usrah yang ke-2 bagi tahun ini dan merupakan program sama ke-7 sejak ia bermula tahun lalu. Lebih 200 orang hadir malam tadi terdiri daripada ahli keluarga, rakan taulan, pegawai-pegawai kerajaan khasnya di kementeriannya, pemimpin pelajar dan para profesional.

Manakala serombongan pelajar Tahfiz merupakan tetamu istimewa pada setiap kali diadakan mahlis usrah itu.

Majlis itu diisi dengan bacaan Yassin, tahalil dan juga tazkirah agama oleh seorang tokoh agama yang dipanggil khas. Solat berjemaah Maghrib dan Isyak serta hajat juga dijalankan sama.

Usaha sebegini hendaknya tidak akan terhad kepada tokoh-tokoh atau ketua parti seperti Mustapa, Anwar atau Husam Musa dan lain-lain saja, tetapi perlu menjadi ikutan dan amalan tokoh-tokoh lain juga. Para Exco di peringkat negeri juga wajar menganjurkan sama majlis seumpama ini.

Orang politik atau tokoh dalam pelbagai bidang harus menggunakan peluang dan kesempatan yang ada kepada mereka untuk memperbanyakan kegiatan agama termasuk mengadakan mini usrah di rumah masing-masing.

Sekiranya usaha dan amalan ini menjadi satu budaya di kalangan orang berada dan tokoh politik, kegiatan keagamaan di negara ini akan menjadi lebih meriah lagi. [wm.kl.7:14 pm 21/02/14]

No comments:

Post a Comment