Wednesday, June 25, 2014

Najib beri hadiah sebelum larian tamat

ULASAN                                                                                            

Petang tadi Najib Razak telah mengumumkan kemasukan enam orang pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam kabinetnya. Tiga dilantik menjadi menteri, iaitu Presiden MCA Liow Tiong Lai, timbalannya Wee Kah Siong dan Presiden Gerakan Mah Siew Keong. Tiga lagi ialah Naib-Naib Preisden MCA masing-masing dilantik menjadi timbalan menteri.

Alasan Najib untuk menambah anggota kabinetnya, kerana menerima keputusan MCA dibawah pimpinan Tiong Lai yang mahu sertai semula kabinet. Sebelum ini MCA tidak menyertai kabinet dan tidak menerima apa-apa lantikan politik (kerajaan) kerana sebagai "kifarat" atas kegagalan parti itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Tindakan MCA yang ketika itu dibawah pimpinan Chua Soi Lek dilihat tegas dan itulah integriti politik MCA. Bukan sahaja orang Cina tetapi orang lain juga memadang tinggi atas ketetapan Chua Soi Lek berkenaan. Pemerhati merasakan tindakan MCA itu sebagai tepat sekali dan hukuman yang setimpal.

Seharusnya MCA tidak menganggotai kabinet kerana ia jelas tidak membawa kemenangan atau membantu kemenangan kepada Umno. Seharusnya kerusi-kerusi diperuntukan kepada MCA itu diberikan kepada wakil-wakil Umno. Tidak menjadi kesalahan, dan tidak ada sesiapa boleh pertikaikan kalau Umno bersikap tamak kerana Umno lah menyelamatkan kerajaan BN.

Mungkin keperluan wakil kedua-dua parti itu untuk dibawa masuk ke dalam kabinet boleh ditangguhkan sehingga selesai pilihan raya umum akan datang. Kesannya apabila Najib sedia akur dengan pemintaan MCA agar membawa masuk wakil mereka semula ke dalam kabinet, Najib juga perlu mengambil peduli yang sama kepada mana-mana pihak atau etnik di Sabah dan Sawarak yang mahukan anggota mereka berada dalam kabinet.

Mah Siew Keong pula dibawa masuk ke dalam kabinet kerana janji Najib semasa pilihan raya kecil Teluk Intan lalu. Najib telah mencabar (bertaruh) sekiranya Mah Siew Keong menang dia akan melantik presiden Gerakan itu menjadi menteri. Najib tidak dapat mengelak, disebabkan mulut, maka beliau kena melantik Mah menjadi menteri. apabila presiden Gerakan itu menang.

Tentulah Najib ada pandangan tersendiri kenapa beliau bermurah hati membawa masuk enam orang pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam kabinetnya. Beliau masih terus menghidupkan semangat maufakat dan kerjasama antara kaum, khasnya dengan Cina dalam BN. Beliau juga mungkin percaya selepas masyarakat Cina dibawah kepimpinan Tiong Lai dan Mah Siew Keong itu akan kembali menyokong Umno?

Dari saraf dan akal mana Najib mengira demikian? Apakah semudah itu realitinya kelak? Orang Cina diketahui bijaksana dalam berpolitik dan bersikap aportunis. Mereka menyokong sesebuah parti (sejenis mereka) bukan kerana kedudukan dan pangkat kepada pemimpin, tetapi mengambil kira apakah kepentingan mereka diberikan keutamaan dan perhatian.

Ada tiga aspek yang sangat dituntut oleh orang Cina; ekonomi, pendidikan dan budaya. Kebebasan dalam aspek inlah yang mereka perlukan tanpa siapa yang dinamakan pemimpin dan dari parti mana. Orang Cina sangat memerlukan kekebasan apa yang mereka ingini walaupun ada kalangnya terpaksa melintang amalan berbudaya dan berpolitik.

Tidak semestinya dalam pilihan raya ke - 14 nanti orang Cina akan terus bersama MCA atau Gerakan. Perkiraan waktu itu apakah peluang parti-parti politik yang ada berdasar situasi semasa. Dalam hal ini mereka akan melihat kepada DAP. Kalau DAP lebih mempunyai prospek mereka akan memilih DAP, dan akan meninggalkan MCA dan Gerakan. Perlantikan Tiong Lai dan Mah Siew Keong itu tidak menjamin kekuatan sokongan orang Cian kepada hegemoni Umno.

Ketika itu nanti pengorbanan dan budi Najib yang membawa masuk pemimpin MCA dan Gerakan tidak memberi apa-apa manfaat dan faedah. Apa yang mungkin berlaku Najib akan mendapat rasa sakit hati dengan sikap orang Cina. Ketika itu baru Najib menyedari dia silap dan dipermainkan. Kebaikan yang tidak menghitung belakang depan menyebabkan Najib menyesal sendiri.

Penambahan wakil Cina dalam kabinet oleh Najib itu juga memperlihatkan kebaikan diri Najib sendiri tanpa melihat apakah hasil balasan budi yang diterimanya. Tiada pun desakan secara terbuka dari orang Cina agar mengambil wakil mereka kerana banyak kepentingan Cina terabai, tetapi Najib pandai-pandai membawa masuknya untuk menunjukkan dia baik dan prihatin.

Lainlah kalau ada desakan terbuka, kemasukan itu wajar. Cara Najib itu dilihat sebagai terlalu baik dan bertoleransi. Sikap begini menyebabkan orang Cina akan jadi makin berani untuk membuat desakan dan permintaan termasuk ke atas sesuatu yang tidak berasas. Mereka akan melihat Melayu sebagai lembut dan lemah serta mudah tundu kepada ugutan.

Orang Cina menyambut baik sikap Najib itu tetapi sudah pasti ada di kalangan orang Melayu merasa kecewa kerana Najib begitu bermurah hati membesarkan kabinetnya dengan mengimport Cina yang kalau dikira perkembangan politik kini ia tidak begitu terdesak untuk berbuat demikian. Najib seolah memberi hadiah sebelum larian tamat. [wm.kl.7:38 pm 25/06/14]

No comments:

Post a Comment