Tuesday, July 8, 2014

Ada dua puak bersembahyang dalam satu masjid di Kelantan?

ULASKATA                                                                                          

Dukacita sungguh apabila membaca berita mengenai kejadian sembahayang dua puak di dalam sebuah masjid di Kampung Banggul Stol dalam darah Pasir Mas. Macam bertewas rebana pulak. Menurut laporan media kejadian sembahyang dua puak itu berlaku kerana kedua-dua pihak tidak menyakini mengenai fahaman antara satu sama lain.

Puak depan sujud, puak belakang duduk antara sujud.
Satu puak dikatakan bertarikat (Tarjani) manakala satu puak lagi terdiri daripada penduduk kampung. Tarikat berkenaan dibawa balik oleh salah seorang anak pengasas masjid berkenaan bernama Yahya Zakaria. Allahyarham Zakaria Ismail pernah menjadi ahli Parlimen Rantau Panjang tahun 1974 - 1978 dan Adun Meranti tahun 80an.

Puak yang bertariqat mendirikan sembahyang dibahagian hadapan manakala puak satu lagi dibahagian belakang. Perpecahan akibat fahaman ini katanya berlaku sejak tahun 2010 lagi dan memuncak sampai tahun 2012. Manakala ketegangan itu menyerlah apabila sejak 3 Julai lalu berlaku sembahyang dua puak semasa sunat terawih dan solat fardu.

Menurut laporan itu pergeseran itu mula berlaku apabila puak yang menganuti tariqat mengundang pelbagai ulama tariqat luar negara untuk mengadakan majlis dan keramaian di masjid berkenaan tetapi ianya tidak disenangi penduduk kampung.

Kejadian ini mengingatkan kepada taksub kepada politik sekitar tahun 60an - 80an sehingga berlaku sembahyang dua imam, bukan saja mengyesalkan tetapi ia sungguh memalukan. Islam yang menganjurkan kepada kebulatan dan perpaduan, sebalik terjadi demikian di kampung berkenaan. Lebih mengaibkan lagi kampung tersebut mempunyai pondok dan terletak dalam negeri dikenali dengan Sarambi Makkah dibawah pimpinan ulama yang bermotokan Membangun Bersama Islam.
Masyarakat pondok selalunya dikenali sebagai orang yang fakeh dalam agama.

Malang lagi setelah tiga tahun kejadian ini berlaku pihak berkuasa agama, Majlis Ugama Islam Kelantan (MAIK) tidak mendapat apa-apa laporan. MAIK katanya tidak pernah menerima laporan berhubung perkara itu walaupun kejadian itu pernah dibawa ke mahkamah. Kenapa perkara sebesar ini tidak dilaporkan segera kepada MAIK atau MAIK sendiri seakan tidak mempunyai mata telinga yang cergas untuk mengintip segala masalah berkaitan agama?

Dimanakah tanggungjwab imam, penghulu dan juga wakil rakyat? Sekurang-kurang ada dua wakil rakyat yang memantau kawaan ini, iaitu Adun Bukit Tungku, Abdul Rasol dan ahli parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz. Dua lagi wakil rakyat yang berhampiran yang perlu mengambil tahu keadaan itu ialah Adun Meranti, Nasaruddin Daud yang hebat bersyarah serta ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf. Tidak guna kalau kuat bersyarat tetapi kaki jubah berlumur selut.

Apakah keempat-empat mereka tidak pernah sampai ke kampung berkenaan dan bersembahyang dimasjdi itu? Sudah pasti mereka tidak pernah sampai dan bersembahyang kerana kalau mereka sampai tentu sudah mengetahui kejadian itu. Apa yang berlaku itu bukan perkara kecil tetapi merupakan satu kejadian menyentuh soal hidup mati (aqidah) dalam beragama yang wajib dituntasi. Menjadi tanggungjawab wakil rakyat mengharmonikan rakyat dalam apa juga perkara.

Selain itu tanggungjawab juga dipersoalkan kepada Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang dan Pasir Mas. Apa yang Abdullah Mat Yassin dan Hanafi Mamat lakukan. Masalah sosial dan agama adalah juga menjadi tanggungjawab mereka menyelesaikannya. Apakah kedua-dua mereka tidak mengambil tahu perkara itu dan dibiarkan sampai bertahun-tahun.

Dan Ahmad Yaakub sebagai MB juga harus mengambil tindakan sendiri dengan mengunjungi masjid berkenaan dan bersolat di sana. Beliau harus tengok dengan mata kepalanya sendiri sesuatu yang dilaporkan yang boleh mengoyakkan reputasinya sebagai MB. Isu-isu menyetuh soal agama adalah sangat relevan ditangani Ahmad kerana beliau juga dipanggil al ustaz.

Adalah diharap MAIK membuat siasatan segera keatas kekeliruan sehingga boleh memecahkan masyarakat setempat itu. Wajar untuk MAIK memanggil kedua-dua pihak bertelagah itu bermuzakarah mencari jalan penyelesaian. Sekiranya tariqat (yang dibawa itu yang menjadi puncan berlaku sembahyang dua puak), didapati salah dan bercanggah ianya hendaklah diharamkan, tetapi kalau tidak, ajaran itu perlu dibenarkan dan pihak yang menentangnya haruslah menerima keputusan itu dengan baik. Tidak ada siapa pun yang mengaku Islam untuk masuk Neraka, kecuali orang gila. [wm.kl.12:10pm 08/07/14]

No comments:

Post a Comment