Saturday, August 2, 2014

Diari Aidifitri; sayu lihat Husam, Nik Amar atas pentas

CATATAN AIDIFITRI                                                                          

Syukur Alhamdulilah, Allah masih memberi keinzinan untuk saya kembali berblog bagi menyambung perjuang menerusi pena di alam maya. Setelah berihat selama seminggu kerana berhari raya, kini kita dapat bersua kembali. Tentunya juga masing-masing kita sudah menyempurnakan sambutan kemenangan, (Aidifitri) baik di mana sahaja kita berada.

Husam dan Nik Amar sepentas "kesemenan".
Yang berarak balik ke kampung sudah tentu sudah kembali ke tempat asal, ibu kota ladang tempat mencari rezeki dan menjalani kehidupan. Seperti biasa bila berada lebih 72 jam dikampung halaman atau negeri kelahiran rasa kekok atau pun malas untuk kembali bergelut melayar kehidupan di kota kosmopolitan ini.


Apa lagi kalau di kampung tidak ada kemudahan internet atau pun line telefon macam nyawa-nyawa ikan makin membosankan. Anak-anak yang hidup secara nafsu nafsi dengan anroid masing-masing tidak betah dan mahu segera pulang ke ibukota yang bingit. Bagi mereka kebingitan adalah daya kehidupan.

Jenazah ibu saya.
Raya ini membawa erti dan kenangan tersendiri. Tidak terkecuali juga saya. Diari raya tahun ini agak ketat dan mengesankan juga. Selepas solat raya di masjid Usamah bin Zaid di Wangsa Maju saya bersama anak-anak termasuk menantu dan cucu tunggal, bertolak ke Kelantan. Kali ini balik sepenuhnya, cukup korum. Menjadi tradisi saya akan beraya di Kuala Lumpur dan berlepas pulang selepas selesai solat dan beraya dengan jiran tetangga yang tidak pulang.

Ada strateginya kenapa lewatkan kepulangan, saya tidak mahu terperangkap dalam jam. Sudah menjadi tradisi atau pun budaya bila raya sepanjang jalan dari ibu kota ke Pantai Timur akan jam. Lebih-lebih Kelantan. Rekod perjalanan paling lama dicatat tahun ini ialah 21 jam. Bayangkan betapa azabnya berada dalam jejeran di jalan raya, yang masa biasanya hanya 5 1/2 jam sahaja kena melewati lebih 20 jam.

Namun kesulitan itu tidak menjadi masalah. Ia sudah mendarah daging. Dan kesabaran menempuhi jam itu juga adalah sebahagian ujian pengorban untuk keluarga di kampung. Kalau kita tidak mengeluh, memaki hamun di sepanjang perjalanan yang bersesakan dan diselahan dengan berbagai kerenah itu, pasti pahala akan dikaut berganda. Dalam perjalanan pun kalau diikutkan syariat akan memperolehi pahala besar. Terlalu senang untuk menambahkan simpan dalam akaun pahala.

Alhamdulilah perjalanan saya sekeluarga tidak menghadapi kesulitan, sebab peta dan jarum perjalanan sudah dirancang. Kami tidak berdepan dengan apa-apa kesesakan. Perjalanan mulus hingga ke kampung halaman di Gual Nibong, Gual Periok, Rantau Panjang Kelantan yang jaraknya 536 km. dengan selamatnya. Dan Alhamdulilah juga kembali semula ke ibu kota dengan selamat dan selesa.

Walaupun raya tahun ini suram kerana negara "tigatujuhkosong" ini banyak mengalami kesenduan, tetapi ia sesuatu yang bermakna buat saya. Pertama kali dalam sejarah hidup saya, raya kali ini mengunjungi rumah terbuka MB Kelantan, Ahmad Yaakub yang sebenarnya lebih merupakan kenduri aqikah dua orang cucunya serentak. Sebelum ini tidak pernah saya berari raya dengan MB Kelantan.

Selama 22 tahun Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi MB saya tidak pernah berhari raya di rumahnya. Rumah terbukanya saya tidak pernah hadir. Selalunya beraya dengannya di pejabatnya atau pun mengucapkan selamat hari raya menerusi telefon. Entah kenapa tidak berminat pula saya untuk mengunjungi pemimpin pada hari raya. Berebut-rebut bukan kegemaran saya. Biarlah Khalid Ibrahim pula bersusah payah terbang untuk beraya dengan Tokguruku.

Kehadiran saya ke rumah MB hari itu bersama Sdr Sabre Shafei dan Che Ibrahim Mohamad mungkin sedikit mengejutkan. Ahmad sendiri tidak percaya dengan kehadiran saya. Beberapa hari sebelum itu saya mengkritik MB Kelantan itu kerana menyokong Presiden Pas Abdul Hadi Awang mengenai kedudukan Khalid Ibrahim yang enggan berundur sebagai MB Selangor.

Bagi saya Ahmad tidak wajar menambahkan kekusutan dengan kenyataanya itu kononnya Khalid tidak melakukan kesalahan syarie untuk dipecat. Beliau tidak tercalar apa-apa kalau tidak mencampurinya. Malahan Ahmad akan lebih tenang kalau tidak ikut sama memberi sokongan berupa kenyataan yang membidas balik kepadanya.

Ahmad memang seorang humble dan disenangi rakyat. Ramai anak buahnya terutamanya pengundi dalam Dun Pasir Pekan datang ke kendurinya. Seorang tetamu Arab juga kelihatan pada tengahari itu. Para Exco dan wakil rakyat pagi-pagi lagi sudah beraya dengan Ahmad.

Bersama MB dan Che Ibrahim dikiri saya.
Dari rumah MB di Wakaf Baharu saya meneruskan ekspidisi raya di rumah terbuka Adun Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim. Saya memilih untuk Dun Kelaboran kali ini bukan sebab apa, kerana melihat kerajinan dan kegigihan wakil rakyat ini dalam berkhidmat kepada rakyat. Saya sungguh teruja dengan amalan dan kebajikan yang beliau lakukan. Selain itu kenapa saya "menyudikan" diri ialah kerana ada ajak-ajak ayam darinya menerusi facebook.

Dan pastinya rumah terbuka Adun Kelaboran ini tidak akan terlepas selepas ini kerana kesedapan nasi dagang, salah satu menu yang dihidangnya. Katanya nasi dagang yang dijamu itu ditempah khas daripada tikang yang mahir dan terkenal.

Raya ketiga hari mendukacitakan. Ibu kedua saya, (bekas isteri pertama arwah ayah) Wan Fatimah Wan Siti, 84 meninggal dunia. Walaupun Allahyarham ibu kedua saya, tetapi hubungan kami macam anak dan ibu sejati. Tidak ada perasaan keterasingan antara kami. Tuhan tidak memberi kesempatan untuk bertemu mata, kerana dijemput Allah sewaktu saya, isteri dan anak serta cucu dalam perjalanan ke rumahnya. Allahyarham meninggal dirumahnya di Kampung Laut Pelekbang dan jenazahnya dibawah ke Gual Periok atas wasiatnya.

Alhamdulilah semua urusan pengembumian diselesaikan dengan sempurna menjelang tengah malam itu juga. Saya berpuas hati kerana berpeluang menghantar sendiri jasad ibu ke liang lahad dan mencocokkan nisan atas pusaranya.

Kepulangan raya kali ini paling lama dalam sejarah. Biasanya saya akan pulang paling lama tiga hari dua malam sahaja. Tetapi kali ini sampai empat malam lima hari. Semuanya kerana menanti majlis Tautan Kasih bekas-bekas penuntut Malaysia di Sumatera Utara Indonesia (Waris) yang diadakan pada 1 Ogos. Demi untuk bersama rakan-rakan saya terpaksa berkorban masa dan rasa.

Tidak mengecewakan, majlis itu meriah dan berjaya mempertemukan semula rakan-rakan seperantauan dan sepengajian sekitar tahun 1978 hingga 1983 dahulu. Nantilah satu catatan khas majlis Waris itu akan dipaparkan dalam blog ini.

Dan malamnya sempat hadir ke majlis ceramah di Pusat Tarbiyah Pas Rantau Panjang. Rasanya sudah lebih 10 tahun saya tidak menjejak kaki ke pusat tarbiyah ini. Apa yang menarik hati untuk datang ialah kerana ceramah malam semalam itu secara tidak langsung meletakkan Nik Mohd Amar Nik Abdullah bersama Husam Musa. Dua tokoh sahabat Pas yang agak lama juga tidak berada di pentas yang sama, dan akhir-akhir ini dilukiskan sebagai saling bertentangan antara satu sama lain.

Senario politik Kelantan pasca Nik Aziz menjadikan kedua tokoh ini semacam berpisah atau bermasalah. Jadi apabila mereka diletakkan atas pentas yang sama ia merupakan satu yang istimewa yang boleh saya sebutkan sebagai cenderamata hari raya kali ini. Baguslah. Mempertemukan Husam dan Nik Amar atas satu pentas ini lahir atas seni politik tokoh veteran Abdul Fatah Haron.

Malam itu selain Husam dan Nik Amar, turut sama berpidato menerang dan mengulas perkembangan semasa politik negara ialah Naib Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad. Iya juga turut dihadir Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf dan juga Adun Meranti Nasaruddin Daud serta Adun Bukit Tuku Abdul Rasul. Entah tidak ternampak pula Adun Gual Periok hadir atau tidak?

Kehadiran Husam dan Nik Amar memang ditunggu-tunggu khalayak malam itu. Seolah isu yang mereka hendak huraikan tidak penting, yang penting ialah kehadiran mereka. Orang sesakan rindu untuk melihat mereka berdua bersalaman, berjabat tangan dan "beraidifitri" persis dua saudara yang tidak akan berpisah buat selama-lamanya. Dalam gelap air mata saya mengalir tatkala melihat Nik Amar memegang tangan Husam dan mempersilakan Husam duduk di sebelahnya sebaik Husam tiba di pentas.

Saya yakin malam itu bagi mereka yang inginkan kedamaian dan kesatuan dalam Pas merasa bangga dan berpuas hati apabila dapat menatap kedua pemimpin kesayangan dan menjadi harapan mereka itu. Saya sendiri menangguhkan kepulangan selama enam jam semata-mata kerana ingin merakamkan sendiri gambar kedua sahabat saya ini dalam situasi bersama.

Dan diari aidifitri saya kali ini berakhir dengan perjalanan dini hari membela lebuh raya timur barat merentasi banjaran Titiwangsa menuju Ipoh untuk hantar puteri saya, Eza Elhanis di Seri Iskandar kemudian balik ke Kuala Lumpur. Selamat hari raya maaf zahir dan batin. [wm.kl.10:28 pm 02/08/14]

2 comments:

  1. Alhamdulillah hirabbi alamin......mengulamakkan professional dan memprofessionalkan ulamak jangan dok bergaduh dan jangan dok dengar mulut orang....sselamat haru raya tuan mso.

    ReplyDelete
  2. semoga pertemuan Husam-Nik Amar bukan sekadar lakonan. ini kerana PAS kelantan dilihat kecelaruan ekoran ramai yang melaga-lagakan kedua-dua pemimpin ini.

    ReplyDelete