Tuesday, August 5, 2014

Mungkinkah pilihan raya baru di Selangor?

MENYELAMI ISU                                                                               

Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Abdul Khalid Ibrahim hari ini. Surat tunjuk sebab itu berhubung kenyataan Khalid yang mengingkari keputusan parti yang mahu beliau berundur sebagai MB Selangor dan diganti dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar: Khalid degil..?
Khalid: Katalah apapun..
Mesyuarat MPT parti itu pada 21 Januari memutuskan yang Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengganti Khalid sebagai MB Selangor. Bagaimana pun Khalid dalam satu kenyataan pada 22 Julai menjelaskan yang dia tidak akan berundur sebagai MB. Kenyataan Khalid itu sebagai mengingkari arahan parti.

Ekoran kenyataan itu Lembaga Disiplin parti yang bermesyuarat 3 Ogos telah mengarahkan agar surat tunjuk sebab diberikan kepada Khalid Ibrahim. Khalid diminta menjawab surat tunjuk sebab itu pada 8 Ogos, dua hari sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Presiden Pakatan dijangka diadakan pada 10 Ogos yang akan menentukan sama ada krisis di Selangor akan tamat ataupun menjadi lebih parah.


Perkembangan itu meletakkan isu Khalid Ibrahim yang degil daripada meletak jawatan MB menjadi semakin tegang dan suspen serta menyerabutkan kepada rakyat. Parti itu nampaknya sudah tidak dapat bersabar lagi dengan telatah Khalid yang keras kepala dan tidak mahu mengikut arahan parti dimana membawa kepada kemungkinan beliau akan dipecat daripada PKR.

Khabarnya Khalid bukan saja ingkar dengan ketetapan parti tetapi juga tidak sedia memenuhi pertemuan dengan Presiden parti Dr Wan Azizah bagi mencari jalan damai dan tenang berhubung isu yang "geliwat" kini. Malangnya Khalid atas nasihat para penasihat 25 persen melarang Khalid daripada berjumpa presiden?

Persoalan timbul kini apakah kalau beliau dipecat, beliau akan meletak jawatan sebagai MB Selangor secara terhormat kerana beliau tidak lagi menjadi ahli parti? Kalau bagi seorang ada air muka dan moral dia akan meletak jawatan kerana dia bukan ahli parti lagi. Ini yang ditunggu dan menjadi suspen. Atau pun Khalid akan terus persoal pemecatanya dan akan membawa ke mahkamah untuk mendapat pengistyharan menerusi undang-undang? Dan beliau akan berdalih dia akan menjadi MB sehingga mahkamah menentukan keadaanya? Tidak mustahil.

Khalid boleh untuk tidak menghiraukan pemecatan itu dan terus menjadi MB, sebab kedudukannya sebagai MB terletak ditangannya, apa lagi kalau Sultan Selangor merestuinya. Ada dakwaan mengatakan Sultan berkenan kepadanya malahan meminta agar Khalid terus menjadi MB? (Bagaimana pun sehingga kini tidak terkeluar sepatah pun hal itu dari mulut Sultan. Molek juga kalau sultan sendiri bertitah secara nyata dan jelas).

Khalid boleh berkeras untuk tidak meletakkan jawatan MB walaupun dia bukan lagi menjadi ahli parti yang memberi mandat kepadanya. Bagaimana pun dari segi moral Khalid harus melepaskan jawatan secara baik. Apabila parti sudah hilang kepercayaan dan membuat arahan dan keputusan Khalid wajib mematuhinya kerana dalam kedudukan ini (organisasi) parti lebih berkuasa dan berhak ke atas Khalid.

Apakah Khalid ada moral dan seorang yang ada wisdom? Dalam politik soal moral sesuatu yang dianggap sebagai subjektif. Selalunya pemain politik tidak menghiraukan soal moral. Kemuliaan moral dalam politik meletakkan seseorang itu akan tewas sebab politik itu sendiri digerakkan tanpa moral yang mulia. Banyak orang politik meniru perangai dan fiil Inchek Ibrahim Ali.

Selain itu berbagai kemungkinan lain boleh berlaku dengan perkembangan terbaru itu. Khalid atas kapasitinya selaku MB, dia boleh menasihati Sultan agar membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membolehkan pilihan raya diadakan semula. Kalau Khalid ingin berbuat demikian mestilah sebelum beliau dinafikan kedudukannya di DUN dengan usul undi tidak percaya.

Atau ia boleh juga tidak melakukan begitu dengan membiarkan keadaan di Selangor tidak menentu sehingga berlaku undi tidak percaya di DUN Selangor. Bagi pihak PKR pula sekiranya Khalid tetap berdegil, jalan yang ada untuk memastikan Khalid nyah dari kerusi MB ialah dengan mengemukakan undi tidak percaya di DUN Selangor. Khalid boleh menjadi lebih jahat dengan membiarkan usul undi tidak percaya dilakukan ke atasnya. Alang-alang menjadi jahat biar sampai menjadi "maling kemaling gemaring".

Kalau pun undi tidak percaya diluluskan, Khalid boleh terus berdegil. Sebagai seorang yang tidak ada moral dan maruah dia boleh jadi MB yang tidak sah dari sisi perlembagaan. Beliau boleh mengheret keadaan menjadi kacau bilau sehinggakan berlaku huruhara di Selangor yang akhirnya satu tindakan meMAGERANkan Selangor boleh dilakukan. Sejarah kolaborasi politik seperti pernah berlaku di Kelantan 1977/78boleh dicuba di Selangor.

Kalau itulah bakal dilakukan Khalid, elok beliau awal-awal lagi menasihati Sultan membubarkan Dewan. Pasti juga kalangan pakar perlembagaan dan perundangan akan mempertikaikan apakah seorang MB yang sudah tidak sah, masih ada kuasa untuk menasihati Sultan membubarkan dewan? Khalid tidak boleh menasihati setelah beliau hilang hak dan kuasa.

Kemungkinan besar krisis membabitkan Khalid dan kedegilannya itu membawa kepada pembubaran DUN Selangor dan pilhan raya semula diadakan. Hal ini sudah dibayangkan oleh Anwar Ibrahim. Dalam satu komentar kecilnya, Penasihat Umum PKR itu sudah membayangkan akan hal ini dengan menyatakan kesediaan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya di Selangor.

"Jika pilihan raya semula diadakan, Pakatan tetap sedia menghadapi pemilih dan yakin rakyat Selangor akan menyokong kita,". Itulah kenyataan Anwar yang membayangkan kemungkinan itu. Ertinya Anwar tidak yakin yang penyelesaian cara baik dengan Khalid akan berlaku lagi.

Manakala dari satu sumber rapat dengan Khalid yang sampai ke telinga saya beberapa minggu lepas, pernah Khalid membiarkan beberapa kali panggilan telefon daripada Anwar tanpa mengangkatnya. Sikap atau tindakan ini menunjukkan yang Khalid sudah bersedia menderhaka kepada Anwar. Mentafsir kejadian ini Khalid sudah berkerat rotan dan berpatah arang dengan Anwar.

Menarik kalau pilihan raya diadakan semula, ke manakah Khalid Ibrahim akan pergi? Semua orang mahu lihat dan mahu tahu. Apakah dia akan meninggal gelanggang politik begitu sahaja tanpa mengambil bahagian dalam pilihan raya? Kalau itulah sikapnya nanti beliau akan menjadi tiga kali jahat dan akan dirakamkan sebagai seorang super oportunis. Tidak boleh tidak apa yang patut beliau lakukan ialah ikut sama bertanding.

Kalau bertanding, tidak mungkin atas tikit Umno apa lagi atas tikit Pas atau DAP. Apakah Umno sedia menerima bangkai? Jadi jalan terbaik ialah dengan bertanding atas tikit Bebas. Ayuh... lakukan Khalid kalau anda berasa hebat dan orang-orang yang menyokong dan menasihati anda berasa yakin rakyat berada disebelah anda, apa hendak digeruni, lawanlah.

Sama ada berlaku penyelesaian secara baik atau tidak mengenai krisis dalam PKR di Selangor hari ini Khalid tetap akan dicatat dalam sejarah sebagai seorang watak politik, apakah ianya antogonis atau protogonis, bebal, tolol atau badut, terpulang serah kepada penilaian masing-masing. Bagi saya Khalid adalah seekor lembu yang kenyang. [wm.kl.4:35 pm 05/08/14]

No comments:

Post a Comment