Apa yang berada di hadapan rakyat yang mengambil berat kepada politik hari ini ialah menanti apakah keputusan rayuan Anwar Ibrahim terhadap hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atasnya bersabit kes meliwat pada tahun lalu. Mahkamah Persekutuan akan bersidang pada 28 dan 29 Oktober ini untuk mendengar rayuan Anwar itu dan membuat keputusan.
Anwar Ibrahim: Saya optimis. |
Dengan memerhati dari senario kes itu ditangani, seperti mana dakwa Anwar ia bermotif politik, memberi induksi jelas bahawa Anwar akan direhatkan dalam penjara sekali lagi. Ada yang mengatakan lima tahun atau lebih. Pihak pendakwa telah memohon mahkamah menambah hukum ke atas Anwar. Anwar dikenakan lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu.
Sebelum itu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebas dan melepaskan Anwar daripada dakwaan liwat yang dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman 20 tahun penjara.
Mengenai rayuan ini, Anwar mengambil sikap optimis dan yakin dia akan bebas. Ini berdasarkan kepada fakta perbicaraan dan undang-undang tidak ada seorang pun pakar baik dalam negara maupun luar boleh pertikaikan keputusan untuk membebaskannya. Anwar begitu yakin dengan apa yang berlaku kelak. Memang seorang yang telah dijatuhi hukuman bersalah akan mempertahankan dirinya ke titik peluh terakhir. Bukan sahaja Anwar orang lain juga.
Dalam teka teki ini saya ada pandangan dan firasat tersendiri mengenai nasib Anwar Ibrahim penghujung bulan ini. Jika diperhatikan dari awal bahawa kes liwat itu sama ada berlaku atau tidak, ia adalah sebuah pelan politik yang dibuat sedemikian rupa. Sama ada benar Anwar meliwat atau beliau difitnah(?), tetapi kes itu bangun dan berkembang atas emosi dan bermotif politik. Ia satu tragedi yang diambil kesempatan baik oleh musuh politik Anwar untuk terus mengekangnya.
Beberapa persoalan disebalik kes itu boleh dipertikaikan. Nombor satunya ia dilayan demikian rupa kerana ia berlaku kepada Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang dan seorang pemimpin yang boleh menggerakkan massa melakukan perubahan politik di negara ini. Sekiranya Anwar terhindar dari sifat dan kapasiti berkenaan mungkin kes itu disenyapkan atau dibuang seperti beberapa kes lain yang lebih besar dan mendapat perhatian dunia.
Ada kes-kes seumpama seperti dituduh kepada Anwar itu, tetapi ia tidak "digeger" dan gegak gumpitakan demikian rupa. Ada beberapa keanihan yang ada kepada kes Anwar ini. Misalnya pihak pendakwa mengemukakan rayuan apabila Mahkamah Tinggi melepaskan Anwar. Tetapi ada kes berprofil tinggi seperti kes pembunuhan Altantuya, Abdul Razak Baginda salah seorang yang dituduh telah dibebaskan dan pendakwa tidak membuat rayuan.
Jadi apabila kes Anwar ini walaupun beliau sudah dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi antara alasannya meragui integriti sample yang dikemukakan, namun ia dilanjutkan. Pendakwa bukan sahaja terus membuat rayuan, tetapi pihak pendakwa mengambil Peguam Kanan Muhammad Shafei Abdullah pula untuk mengetahui pasukan pendakwa raya. Pengambilan Shafei sebagai ketua pendakwa raya yang bukan dari kalangan pendakwa adalah pertama kali berlaku dan ini menimbulkan persoalan tujuannya.
Dua kepelikan itu menjelaskan bahawa kes Anwar ini diurus dengan begitu istimewa sekali. Melihat kepada kesungguhan ini ia memberi indikator kepada kita bahawa rayuan Anwar untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau pada 9 Januari 2013 dari kes itu, akan gagal.
Selain senario itu memberi petunjuk Anwar akan gagal dalam rayuan untuk membebaskan dirinya, senario lain boleh dilihat ia seperti dirasai sendiri oleh Anwar apa yang akan berlaku. Hari ini Anwar sudah menjelajah ke seluruh negeri kecuali Kelantan dalam kempen mencari semangat dan kekuatan baru untuk dirinya dan juga partinya. Program apa dinamakan "Rakyat Hakim Negara" sudah digerakkan sejak beberapa hari lalu.
Kempen berkenaan boleh dianggap ruang akhir untuk bapa reformasi itu bertemu dengan para penyokong dan rakyat sebelum beliau berihat dalam penjara. Apa diharap daripada program berkenaan, sekiranya Anwar terpaksa meringkuk dalam penjara penyokong dan rakyat akan membelanya. Persoalannya apakah rakyat akan bangkit seperti mana tahun 1998 sewaktu Anwar dipenjara selama sembilan tahun. Perkara ini menjadi persoalan dan ia juga sedang diteliti dan kaji oleh pakar-pakar saraf politik.
Bukan kali ini sahaja Anwar membuat pernjelajahan negara untuk mendapat simpati dan melihat pernyataan (feedback) sokongan rakyat kepadanya. Menjelang mahkamah hendak memutuskan kes liwat dua dahulu pun beliau telah menjelajah ke seluruh negara bertemu rakyat. Langkah Anwar itu dibantah oleh mereka yang anti dan membencinya dengan mengatakan ia sengaja dilakukan bagi mempengaruhi mahkamah dalam membuat keputusan. Tanggapan ini merupakan satu prejudis yang dangkal sekali yang lahir dari celah relong otak yang sakit.
Yang bersidang mendengar rayuan Anwar ini bukan seorang hakim, tetapi ia lebih daripada satu dan tidak kurang daripada tiga. Lima orang hakim akan mendengar kes rayuan berkenaan.Tuduhan penjelajahan Anwar dan kempen dijalankan AMK tidak boleh mempengaruhi hakim. Adalah naif kedudukan hakim di negara ini kalau mereka membuat keputusan berdasarkan apa yang berlaku di luar tanpa berpegang kepada prinsip undang-undang dan keadilan. Walaupun ada kata para hukama dua daripada tiga hakim akan masuk ke neraka, tetapi hakim tetap masih ada integriti dan menjaga integritinya.
Jadi sekiranya berlaku sesuatu pada 28 dan 29 Oktober nanti seperti rayuan Anwar itu diterima, janganlah ada manusia yang beranggapan hakim mahkamah rayuan terpengaruh dengan riuh randah di luar dalam membuat keputusan? Semua pihak kena terima dengan hati penuh terbuka dan meletakkan keyakinan tinggi kepada para hakim. Keputusan hakim dari kontes perundangan duniawi adalah muktamad.
Begitu juga sebaliknya sekiranya keputusan majoriti menolak rayuan Anwar itu dan menambah jumlah penjara terhadapnya, semua pihak juga perlu menerimanya dengan penuh terbuka. Anwar dalam soal ini sudah melalui proses-proses keadilan duniawi sepenuhnya, dimana mengikut proses perundangan negara ini beliau memperolehinya seperti juga dilalui oleh individu-individu lain.
Apa yang dapat disimpulkan di sini sekiranya tindakan menerusi undang-undang terhadap Anwar itu dibuat atas motif politik seperti mana dakwa Anwar, pemenjaraan Anwar kali kedua itu tidak akan merubah keadaan. Sekiranya ia adalah idea Mohd Najib Razak atau atas restuinya, untuk mengukuh dan mengekalkan kedudukannya ia bukan sesuatu perkara yang bijak. Najib tidak akan menjadi senang dan selamat dengan takdir yang bakal diterima Anwar kelak.
Walaupun Anwar tidak dapat membalas atas segala kejelekan terhadapnya, tetapi rakyat akan tetap menghukum ia satu kezaliman Najib yang dihitung sebagai menerusi legasi penzaliman Dr Mahathir ke atas Anwar.
Apakah plot sebelum ini akan berulang kembali. Dr Mahathir memajarakan Anwar selama sembilan tahun, kemudian ia dibebaskan oleh Abdullah Ahmad Badawi, dan kali ini Najib memenjarakan Anwar, kemudian Muhyiddin Mohd Yassin atau Ahmad Zahid Hamidi pula akan menjadi pembebas Anwar?
Kita sama-sama menanti dan menunggu, wayang politik masih belum berakhir dan filem-filem baru akan terus muncul selagi ada produser, director dan aktor. Kita rakyat hanya penonton yang adakalanya percuma adakalanya perlu membeli kercis untuk menyaksi sandiwara hidup. [wm.kl.8:27 am 24/10/14]
No comments:
Post a Comment