Friday, November 14, 2014

Akhirnya Bible dipulangkan, dimana NGO kodok?

ULASAN MALAM                                                                                           

Sebanyak 351 buah kitab Injil (Bible) berbahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada 2 Januari lalu, akhirnya diserah kembali kepada penganut Kristian hari ini.

Upacara serah balik Bible yang dirampas.
Penyerahan itu dibuat di Istana Shah Alam dan dihadapan Sultan Selangor dan disaksikan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dan beberapa pegawai tinggi agama dan kerajaan lain.

Kitab itu diserahkan kepada Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) dimana ia diwakili oleh ketuanya Bolly Lapok ketika beliau mengunjungi hormat Sultan Selangor, Sultan Shafaruddin Idris Shah.

Dengan penyerahan secara terhormat kitab Bible berkenaan maka berakhirlah kontroversi mengenai kitab berkenaan yang berlarutan sehingga setahun. Walaupun berbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikan kontroversi rampasan kitab itu, tetapi ia gagal. Puak penganut Kristian kesal dan marah dengan rampasan berkenaan kerana ia dianggap sebagai satu tindakan yang tidak adil dan menuntut agar ia dikembalikan kepada mereka.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang membuat rampasan itu kerana menganggap pengedaran kitab berkenaan di Selangor telah melanggar Enakmen 1988 Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Bekas MB Abdul Khalid Ibrahim walaupun disarankan menyelesaikan isu berkenaan, tetapi gagal untuk menyelesaikannya, dan sehinggakan isu itu memakan dirinya sendiri. Partinya PKR telah beberapa kali meminta Khalid mengembalikan kitab yang dirampas itu selepas Peguam Negara memutuskan tidak ada pendakwaan ke atas pemilik kitab berkenaan, tetapi beliau tetap bersikap "lembu kenyang".

Keengganan dan kegagalan Khalid mengatasi masalah itu dengan baik juga menyebabkan orang bukan Islam khasnya penganut Kristian tidak senang dengan corak pentadbiran beliau. Ia memberi impak buruk kepada kerajaan Pakatan di Selangor dari kalangan bukan Islam.

Sebaliknya beberapa NGO yang fanatik dan ortodoks agama pula memberi sokongan kepada Khalid dan juga Jais agar mengambil sesuatu tindakan ke atas pemilik kitab berkenaan termasuk mendesak agar ia tidak diserah balik kepada Kristian. Khalid dilihat lebih mendengar desakan NGO fanatik dan ortodoks berkenaan berbanding dengan nasihat daripada ketua partinya. Khalid tidak memahami maksud dan tujuan NGO berkenaan memberi sokongan kepdanya yang membawa rebah.

Dengan berakhirnya epsiod kitab Bible sebanyak 351 itu, diharap akan berakhirlah kontroversi yang melibatkan dua penganut agama Kristian dan Islam serta Jais. Penyelesaian isu rampasan kitab Bible itu dilihat atas tanggungjawab Mohamed Azmin sebagai MB Selangor yang awal-awal lagi sudah berjanji akan menyelesaikan isu rampasan kitab berkenaan dan akan cuba memupukkan hubungan baik antara penganut agama di negeri Selangor.

Ternyata Azmin berpegang kepada kata-katanya dan berusaha bagi mengatasi masalah itu demi perpaduan di Selangor. Jelas di sini bahawa Sultan Selangor bertindak bijaksana dalam menjaga hubungan antara penganut agama di negeri berkenaan dan mendengar nasihat daripada eksekutif bukan membuat keputusan melulu jauh sekali mendengar laungan NGO tolol serta beberapa individu daripada parti agama di Selangor.

Adalah diharap semoga selepas ini pihak Kristian tidak akan sewenang-wenang untuk mengedar Bible berbahasa Malaysia dan Iban yang mempunyai kalimah Allah di Selangor kerana perbuatan itu melanggar Enakmen agama Islam Selangor. Penganut Kristian terutamanya pendakwahnya mestilah peka akan larangan dan peraturan ini dan jangan tragedi itu berulang kali kedua.

Begitu juga Jais sebagai badan berkuasa mengawal elemen pencemaran dan mencabar agama Islam lebih berhati-hati dalam tindakan mereka. Keputusan Peguam Negara untuk tidak melakukan pendakwaan dan menutup kes berhubung rampasan Bible itu menjelaskan tindakan Jais itu naif dan tidak berpelembagaan.

Apa pun di sini yang menjadikan saya hendak tergelak sedikit, ke manakah perginya beberpa NGO yang sebelum lantang mahukan kitab Bible yang dirampas itu agar tidak dipulangkan semula kepada Kristian.  Kenapa mereka tidak mempertahankan pendirian mereka? Bahkan bekas Perdana Menteri (yang jarang-jarang tidur kerana hendak pastikan anaknya naik) Dr Mahathir Mohamad pun turut memberi pandangan yang kitab suci al Quran bila sudah tidak boleh dipakai ia dibakar sebagai melupuskannya.

Pandangan Mahathir itu seolah-olah memberi pandangan agar orang Kristian menerima sekiranya kitab mereka yang dirampas itu dilupuskan dengan cara membakarnya.

Sepatutnya NGO yang lantang dan galak sebelum ini membina pagar Syurga, mempertahankan pendirian mereka. Mereka seharusnya berarak ke istana dan melaungkan bantahan atas penyerahan balik kitab itu kepada Kristian. Tidakkah penyerahan itu seolah-olah mencabar perndirian tegas dan garang mereka sebelum ini? Ke manakah lenyap dan ghuyupnya keberanian mereka kononnya untuk membela Islam yang terhina ekoran pengedaran kitab Bible yang mengandungi kalimah Allah itu?

Sebab itulah sekiranya kita hendak memperjuangkan sesuatu biarlah apa yang kita perjuangkan itu benar dan selaras dengan kehendak perlembagaan. Janganlah memperjuang apa yang kita rasa benar dan haq itu dengan emosi dan nafsu. Apabila kita berjuang dengan emosi dan nafsu apabila datangnya fakta dan hujah kita akan kalah. Maka jadilah laungan perjuangan kita itu bagaikan laungan tong kosong atau bagaikan kokokan garau sang kodok.

Sekiranya kita pengecut dan berbuat hanya berdasarkan kepala lutut, baik jangan mula pada awalnya. Penyerahan kembali Bible itu walaupun ia adalah satu keputusan baik, tetapi ia telah mengembalikan buah keras kepada NGO yang kononnya berani dan bersemangat Islam itu. [wm. kl. 8:04 pm 14/11/14]

1 comment:

  1. knp kladih gagal tangani masaalah ini? sengaja, tak nak, ada org lain tak bagi selesaikan...???

    ReplyDelete