Wednesday, November 12, 2014

Plate kereta sampai JPJ diketawakan orang, kenapa?

REAKSI                                                                                                             

Penguatkuasaan peraturan nombor pendaftaran (plate) kenderaan dan penggunaan cermin gelap dan larangan penggunaan lampu HID dan strobe light oleh Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) mulai 1 November lalu telah menimbulkan berbagai reaksi daripada penggunan. Dasarnya penguatkuasaan itu adalah untuk kebaikan penggunan jalan raya dan keselamatan umum. Tidak mungkin sesuatu peraturan atau penguatkuasaan ke atas peraturan sedia ada untuk keburukan. JPJ tidak berfikir secara mundur?
Bentuk plate di USA mungkin boleh dijadi inspirasi.

Demikian juga langkah JPJ menguatkuasa peraturan pemasangan plate, penggunaan cermin gelap dan larang pemasangan lampu terang yang merbahaya itu.

Keengganan mematuhi peraturan ini menyebabkan pemilik kenderaan degil boleh dikenakan denda dari RM500 hingga RM4,000 atau penjara seminggu sehingga 12 bulan.


Daripada tiga peraturan dan larangan itu, saya bersetuju larangan ke atas pemasangan cermin gelap yang melampaui kegelapan yang dibenarkan dan juga larangan pemasangan lampu terang HID itu kerana penggunaan cermin gelap dan HID dan strobe light itu boleh menganggu penggunan lain dan mendatangkan kesan negatif lain.

Bagaimana pun penguatkuasaan pemasangan plate yang mengikut spesifikasi diperkenakan JPJ boleh dipertikaikan. Saya tidak mahu memberi reaksi kepada kenyataan pandir daripada pihak JPJ yang beranggapan pemasangan plate yang tidak mengikut saiz dan ukuran ditetapkan konononya boleh mendatangkan kemalangan jalan raya. Penguatkuasaan menggunakan plate baru itu kononnya bagi mengurangkan kemalangan sehingga 5,000 kes setahun? MasyaAllah.

Bagi saya kekerapan berlaku kemalangan jalan raya bukan disebabkan nombor plate seperti mana yang ditanggapi, tetapi berlaku kemalangan terletak ke atas pemandu dan pengguna jalan raya yang lain. Justeru pernguatkuasaan terhadap pemasangan plate standard tidak menyumbangkan kepada jumlah kemalangan jalan raya.

Berhubung dengan pemasangan plate ini pihak JPJ telah mengenakan peraturan baru menurut Keadah 5, Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pendaftaran dan Pelesenan 1959) dimana ia perlu mengikut saiz dan bentuk diyang ditetapkan, Alasan diberikan untuk memudahkan pengesanan nombor plate berkenaan.

Bayangkan ekoran penguatkuasaan ini berapa ratusan ribu wang digunakan untuk ganti palte baru atau pun membayar saman yang dikeluarkan oleh JPJ. Zaman meleset ini setiap sen duit yang dibelanjakan perlu direkod.

Sebenarnya penguatkuasaan peraturan ini molek untuk meseragamkan nombot plate kereta di negara ini. Hari ini kalau diperhatikan ada berbagai-bagai bentuk nombor plate kereta dipamerkan. Ada yang saiznya sebesar tahi mata walaupun kereta sebesar dua kali gajah mengandung kembar. Begitu juga dengan bentuk angka dan huruf dipilih.

Keadaan ini bukan sahaja dilihat huduh dan menyemakkan, tetapi nampak yang plate kereta di negara ini bermacam-macam "regis" (fesyen). Ia juga memberi gambaran sikap keakuan dikalangan pemilik kenderaan di negara ini serta suka berlagak. Justeru langkah JPJ itu patut dipuji dan disokong. Pemasangan plate ini juga bergantung kepada jenis kereta. Kalau kereta mewah dan mahal, bentuk platenya mahal. Manakala kereta murah selalunya nombor plate mereka seragam.

Di sini boleh difahamkan yang gian untuk melakukan kesalahan dan melanggar peraturan ialah mereka yang kaya ataupun berstatus. Kalau mereka ada gelaran Datuk, Tan Sri dan Tun, maka bentuk plate kereta mereka berbeza dengan orang biasa. Plate kereta juga menunjukkan status seseorang di negara ini. Hebat negara "tigatujuhkosong" ini.

Demikianlah bangsa yang baru hendak maju, mudah dipengaruh dengan gaya hidup dan budaya negara yang sudah lama tamadun, dan akan melakukan sesuatu melampau daripada negara yang sudah maju. Bangsa Melayu suka meniru dan menciplak, sayangnya apa yang mereka lakukan melebih-lebih pulak.

Berhubung pemasangan plate baru ini saya ada cadangan dan saranan kepada JPJ, kalau jabatan itu benar-benar ingin menseragamkan pemasangan nombor pendaftaran kenderaan (plate) di negara ini bagi memudahkan kerja mereka dan juga bagi mengurangkan kemalangan jalan raya seperti diyakini itu, cadangan ini praktikal.

JPJ boleh mengeluarkan sendiri plate kenderaan dan bukan diserahkan kepada tuan punya kereta menyediakannya. Apabila pemunya mendaftarkan kenderaan mereka di JPJ, JPJ terus keluarkan plate, tuan punya hanya memasangnya sahaja.

Apa yang berlaku di sesetengah negara dimana jabatan pengangkutan jalan mengeluarkan plate bukan diserahkan kepada pemilik kenderaan, ia boleh ditiru. Terserahlah apakah JPJ hendak mereka bentuk atau saiz yang macam mana, tetapi yang penting plate itu dikeluarkan sendiri oleh pihaknya. Di sinilah baru plate itu standard atau seragam.

Dengan mendafarkan nombor plate dan menyerahkan bentuk pemasangannya kepada tuan punya kereta ia tidak akan menseragamkan pemasangan plate berkenaan. Walaupun diadakan peraturan serta denda, hatta penjara, tetapi ia tidak menjamin plate itu seragam kerana citarasa manusia itu sendiri berbagai-bagai ragam. Perkara paling sukar dilakukan ialah meseragamkan jiwa dan hati manusia menerima satu peraturan.

Tetapi kalau plate itu disediakan oleh JPJ, semua orang akan patuh. Mereka wajib menggunakan plate yang disediakan itu sekiranya mereka ingin menggunakan kenderaan mereka. Pemasangan plate selain daripada apa yang ditetapkan oleh JPJ itu, kenderaan itu boleh disaman atau disita.

Apa yang dilakukan oleh pihak pengangkutan jalan atau jabatan yang bertanggungjawab dalam mendaftarkan kenderaan di negera-negera lain boleh ditiru dimana mereka menggunakan plate besi, alluminum dan sebagainya. Di plate ini dicatat tarikh luput road tax dan akan diganti setiap kali apabila pembaharuan road tax dibuat.

Penggunaan plate ini menyebabkan saiz dan huruf serta angka seragam kerana ia dibuat dalam acuan yang sama. Selain itu plate ini juga lebih mesra rakyat sebab ia tidak menggambarkan status tuan punya kenderaan berkenaan. Plate yang seragam menunjukkan rakyat negara ini "tamadun".

Pengeluaran plate kereta yang seragam dari bahan (material) yang sama juga boleh mengelakkan penggunaan dimanipulasikan oleh pembuat plate kereta yang boleh mengenakan harga yang berbeza-beza mengikut suka hati mereka.

Rasanya pengeluran plate kereta besi itu lebih praktikal dan logik daripada apa diamalkan sekarang ini oleh JPJ. Sekiranya kita ingin membuat perubahan dan pembaharuan buatlah yang logik dan tidak menyusahkan rakyat. Janganlah kita mengamalkan perbuatan tikus yang cuba membaiki labu. Selalu kita nampak berlaku kerja tikus yang hendak membaiki labu bila setiap kali berlaku pertukaran ketua dalam apa-apa jabatan atau pun kementerian. [wm.kl.11:06 am 12/11/14]

No comments:

Post a Comment