Tuesday, December 30, 2014

Jadikan Kuala Krai dan Gua Musang jajahan istimewa

SUSUPAN MALAM                                                                                        

Esok Perdana Menteri Mohd Najib Razak akan mengadakan lawatan kedua ke Kelantan untuk meninjau masalah banjir. Beliau akan ke Jajahan Gua Musang dan Kuala Krai yang mana dua jajahan ini tidak sempat dikunjungi semasa beliau melawat banjir di Kelantan dua hari lepas.

Najib akan membuat tinjauan sendiri. Keinginan itu selepas melihat gambar-gambar kemusnahan harta benda mangsa banjir di jajahan berkenaan.

Molek benarlah kalau Najib mengunjungi ke jajahan berkenaan. Kedua jajahan itu adalah dua jajahan yang teruk dilanda banjir dan menjadi jajahan yang terawal dilanda banjir selepas Rantau Panjang. Sampai ke hari ini jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan dari dua jajahan itu yang terbanyak.



Elok kalau semasa lawatan besok Najib mengumumkan sesuatu yang signifiken untuk Kuala Krai dan Gua Musang. Pengumuman sesuatu yang boleh memulihkan semangat dan jiwa mangsa banjir diperlukan untuk memberi kekuatan mangsa terus membina kehidupan mereka.

Mungkin Najib boleh jadikan jajahan Gua Musang dan Kuala Krai sebagai daerah istimewa dan tumpuan untuk memulihkan jajahan berkenaan.

Pemergian Najib ke jajahan itu nanti jangan saja diiringi oleh ketua-ketua jawaban dan agensi kerajaan serta ketua-ketua bahagian Umno tetapi kalau biarlah ia dihadiri sama daripada ketua jabatan agensi kerajaan negeri dan Menteri Besar dan wakil rakyat.

Kehadiran mereka Najib boleh menerima maklumat awal mengenai masalah dihadapi kerajaan Kelantan ekoran banjir itu. Mungkin pihak kerajaan Kelantan juga ada pelan tindakan pasca banjir yang sudah disediakan untuk menghadapi apa-apa masalah.

Mengenai senarai mangsa banjir dan juga nilai kerosakan dialami oleh mangsa banjir, biarlah dibuat oleh kedua pihak. Maksudnya ada dua senarai satu disediakan oleh agensi kerajaan Persekutuan dan satu lagi daripada agensi kerajaan negeri.

Kita bimbang kalau hanya sepihak sahaja menyediakan senarai mangsa dan laporan kerosakan kemungkinan ada kes-kes yang terlepas pandang ataupun sengaja dilakukan kerana sebab-sebab tertentu.

Walaupun perkara ini tidak sepatut berlaku tetapi ia bukan sesuatu yang ganjil kerana dalam beberapa bantuan dan program kerajaan sebelum ini banyak berlaku kecacatan dan ketidakadilan menyebabkan ada orang yang sepatut diutamakan tetapi dibiarkan.

Semua pihak yang mengendali atau menjadi pemantau banjir dan mangsa banjir yang memberi taklimat kepada PM juga hendaklah telus dan menceritakan keadaaan sebenar kepada Perdana Menteri besok. Jangan pula kerana hendak menjaga air muka dan maruah jabatan, kedudukan dan peribadi, ada maklumat yang diselindungi. [wm.kl.12:20 am 30/12/14]

1 comment:

  1. Assalamualaikum saudaraku MSO.
    Membaca tulisan saudara membuat saya jadi sedih bercampur kesal. Kita terlalu mengharap kepada yang bukan tempat. Saya rasa saudara MSO lebih mengenali manusia2 UMNO ni lebih dari saya.
    Apa yang saudara bimbang tetap akan berlaku, sebab itu memang sudah menjadi amalan mereka dulu kini dan selamanya.
    Wallahuaklam.

    ReplyDelete