Wednesday, December 10, 2014

Kenapa minta Minali tolak anugerah kebesaran Selangor?

MENJOLOK MENTARI                                                                                   

Sekiranya MB Selangor Mohamed Azmin Ali (Minali) (foto) dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri oleh Sultan Selangor sempena hari keputaraan baginda Khamis ini, Minali tidak perlu menolaknya, sebaliknya menerima dengan penuh besar hati.

Anugerah itu bertepatan dengan status dan juga kedudukan Minali hari ini. Begitu juga kalau dihitung dari segi jasa dan bakti MB itu menerusi politik ia tidak terhitung, bahkan lebih banyak berbanding dengan penerima-penerima darjah kebesaran orang lain.

Penganugerahan bakal dikurniakan itu juga adalah atas perkenan Tuanku Sultan dan bukan darjah yang dibeli, atau pun berlaku sebarang kontra. Jadi tidak perlulah menasihati Minali agar menolaknya kononnya untuk menjaga wibawa dan sebagainya. Nasihat begitu bukan untuk mendamaikan keadaan tetapi menegangkan suasana.

Penganugerah yang dikatakan bakal diberikan itu juga tidak wajar sama sekali dikaitkan dengan penarikan darjah kebesaran membawa Datuk Seri daripada Anwar Ibrahim oleh Sultan Selangor beberapa hari lalu. Ia ada dua perkara berbeza. Kenapa hendak dikaitkan dan nampak ia seolah-olah sengaja dilakukan untuk menyakiti hati pihak tertentu.

Menganugerah dan menarik balik adalah hak mutlak Sultan yang tidak boleh dipertikikan oleh sesiapa. Kalau dipertikikan Akta Hasutan 1948 sedang mengangangga mulut. Tidak percaya cubalah kalau mahu jadi Alvin Tan nombor dua.

Kepada Minali jangan peduli sangat kepada pandangan atau nasihat yang boleh menimbulkan masalah dan kerumitan. Apabila sudah berada di kerusi tertinggi pemerintahan negeri semua tindakan perlu bijak, sedarhana dan matang. Waktu ini Minali tidak perlu menyerang dan menjerit lagi tetapi bertahan dan bekerja untuk rakyat.

Kalau Minali dianugerahkan darjah kebesaran itu, tahniah diucapkan dan kalau tidak dianugerah pun bekerjalah seperti biasa. Martabat seseorang itu bukan terletak kepada berapa banyak darjah kebesaran dan bintang-bintang yang diterima. Hebat atau tidak ia ditentukan kepada keupayaan dan wibawa kita memimpin negeri.

Adapun darjah kebesaran dan bintang-bintang itu akan menambahkan sinar hidup seseorang dari ukuran manusiawi. [wm.kl.10:06 am 10/12/14]

1 comment:

  1. Tuan MB Selangor, apa-apa darjh orang bagi pun terimalah. dalam perkara-perkara saperti ini tuan janganlah mengujudkan masam muk dengn sultan. Kmu nak tun lama di kerusi tersebut. Betul nasihat diatas.

    ReplyDelete