Monday, February 2, 2015

GIK menangani bah mega: Bukan mahu berlumba tetapi membantu

UCAPAN                                                                                           

Husam Musa
Berikut adalah ucapan Husam Musa semasa majlis perlancaran Gabungan Impian Kelantan (GIK) yang berlangsung di Kota Bharu pada malam kelmarin, di Kota Bharu Kelantan. Sebuah ucapan kemanusiaan yang sarap dengan nilai falsafah dan menggambarkan kemurnian nawaitu GIK dalam usaha membantu mangsa banjir di Kelantan. Jika kita mengunyah isi ucapan ini dengan jujur dan ikhlas tidak ada siapa perlu meragui GIK atas sentimen apa sekali pun. 

GIK adalah tenaga dan agensi penyelamat yang meringankan beban pihak berwajib terhadap mangsa-mangsa banjir di Kelantan. Wassalam. 

Sabda Nabi s.a.w bermaksud:

“Jikalah bukan kerana impian masa depan si ibu, tidaklah ia menyusukan anaknya’.
Impian adalah benih sebuah gagasan. Permulaan sebuah kejayaan. Gambaran sebuah harapan.


Impian mempunyai kekuatan. "I have a dream....”, oleh Martin Luther King JR, tentang persamaan hak antara kulit hitam dan putih bagi negara Amerika di waktu penindasan ke atas kulit hitam masih berleluasa, impian itu, kini menjadi realiti.

Mimpi-mimpi dalan kisah Nabi Yusuf, akhirnya menjadi realiti. Impian boleh dalam bentuk idea-idea kasar, idealisma, atau harapan apa seharusnya terjadi.

Bahtera Nuh bermula sebagai design, bentuk dan kegunaan dalam fikirannya, hasil ilham dan wahyu Ilahi;

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا

"Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami...”

Lalu Nuh a.s mengumpulkan peralatan, bahan binaan, baginda sendiri sebagai tenaga kerja, pada akhirnya, sebuah bahtera tercipta buat pertama kalinya dalam sejarah peradaban manusia.

Impian untuk terbang, melahirkan kapal terbang.  Begitulah seterusnya, asal saja ada kesungguhan menjelmakan impian itu. Impian Kelantan selepas bah mega, atau Kelantan Impian - dengan itu, bukan lah satu konsep yang asing.

Saya sungguh merasa bertuah, dapat berdiri di sini pada malam ini, dalam misi yang sama dan mulia - bersimpati terhadap rakyat Kelantan yang terkesan oleh Bah Mega - lalu berusaha mencari jalan membantu mereka.

Dalam misi ini - Pelanggan utama kita adalah rakyat Kelantan yang terkesan oleh Bah Mega/Our anchor client is Kelantanese affected by recent mega flood

Konsep kita: Sungguh pun Bah membawa kemusnahan, ia adalah satu peluang meningkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan menyeluruh mereka yang terlibat.

Sesuai falsafah yg ditunjukkan oleh satu doa Nabi s.a.w : “Gantikan kami (dari musibah/kemusnahan ini) sesuatu yang lebih baik dari apa (sebelumnya)”

Bermakna, kemusnahan oleh satu bencana, bukanlah akhir sebuah kehidupan. Bahkan, ia permulaan sebuah pembaharuan. Kerana itu kalimah ‘wakhlifna’/ gantikan - khairan minha/baiknya lebih dari yang sebelumnya.

Kesegeraan adalah motto kita. Kelambatan menjadikan penderitaan baru menimpa penderitaan sedia ada.  Hari ini sudah berapa hari saudara mara kita bermalam di bawah khemah?
Hari ini sudah berapa hari saudara mara kita berhujan panas tanpa rumah?

Kesegaran Idea dan kecepatan tindakan adalah kelebihan gerakan NGOs, tanpa General Order yang membelit dan Standart Operating Procedure(SOP) yang kaku.

Kepuasan berkhidmat dan keringanan penderitaan adalah tanda aras minima.
Pendekatan kita sebagai Ngos, tentulah :
-friendly dengan semua,
-pada masa yang sama, membawa suara akar umbi,
-profesional dalam pendekatan,
-terbuka dalam memburu solusi terbaik,
-kritikal pada tempatnya dan fokus kepada peningkatan kesejahteraan golongan terkesan dengan semangat ketergesaan dan kecepatan - sesuai dengan kedharuratan besar yang berlaku.

Secepat bah datang, secepat itu pula reaksi ratusan NGOs, qariah masjid, orang perseorangan, pertubuhan luar negara dan institusi, tampil menghujani bumi di landa bah dengan pelbagai jenis bantuan.

Bah Mega telah membawa banyak kawan dan persahabatan. Bila hujan telah berhenti dan bah telah surut, dibanjiri pula oleh gerakan ngos dan hujan kasih dan perhatian banyak pihak.
Saya dan kita semua amat kagum dengan komitmen itu.

Sejumlah NGOs telah bersatu di bawah pimpinan Prof Dr Din berpusat di HUSM. Mereka mengadakan mesyuarat penyelarasan pada setiap malam. Siangnya, anggota merayap mengharungi saki baki Bah menyampaikan bantuan.

Setiap hari puluhan kontena bantuan dari seluruh negara tiba. Gerakan mereka begitu sistematik dan cekap.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah pada mereka semua dan jutaan terima kasih kepada pentadbir HUSM sendiri yang telah bertindak profesional menyediakan logistik yang bersesuaian.

Di medan, ramai lagi hero-hero tak bernama yang telah menyumbang. Termasuk mengharungi gelombang bah menyelamatkan nyawa-nyawa dengan berbekal bot-bot kecil dalam kegelapan malam pada saat-saat cemas bermula 22 Disember sampai saat kemuncak pada tarikh berbeza di lokasi yang berbeza.

InsyaAllah, satu ketika, sebahagian mereka yang boleh dikenalpasti, boleh kita raikan bersama.
Alhamdulillah, setinggi syukur kita ucapkan, Allah menyelamatkan nyawa rakyat Kelantan dalam kederasan Bah yang sangat luar biasa itu.

Era hentakan pertama bah sudah berlalu. Kini, era pemulihan pasca banjir yang mungkin agak panjang perjalanannya.

Apabila bah surut, nampaklah kesan tinggalannya. Ia berguna jika kita ingin menggambil pelajaran darinya.

Air boleh dibentuk jika kita mempunyai bekas. Kesan banjir akan menjadi positif jika kita mempunyai pelan perancangan yang baik.

Nuh a.s dikenali sebagai bapa kedua manusia. Bah besar mewujudkan limpahan ummat yang bertebar ke empat penjuru dunia memulakan peradaban baru.

Asal sahaja pihak berwajib, khususnya Kerajaan Pusat hendaklah memandang ini sebagai satu peluang memberikan mutu kehidupan yang lebih baik bagi rakyat kita.

Kehadhiran NGOs lebih banyak mengisi ruang antara kewajipan pihak berwajib dan keadaan dharurat di lapangan.

Kita bukan pesaing kerajaan dan bukan pula berniat untuk berlumba dengan mereka. Kita hadhir mengisi ruang yang kosong, mencetus sesuatu yang baharu untuk ikutan, memantau, menjadi teman mereka yang ditimpa musibah, menyahut naluri kemanusiaan tanpa batas politik, kaum dan daerah dan menjadi jendela impian mereka dalam sudut tertentu.


NGO yang bergabung di bawah Gabungan Impian Kelantan kekal bebas seperti hasrat gerakan masing-masing cuma sekali sekali kita bergabung berbincang mengatur gerak. Yang ringan sama dijinjing, Yang berat sama dipikul

Jika pengayuh tidak ada, paling tidak kaki dan kaki tangan digerakkan utk melancarkan perahu bersama. Bencana, ketika ia tiba, tidak dapat ditangguh walau seminit. Kesegeraan adalah dituntut. NGOs menyahut cabaran kesegeraan itu kerana mereka lebih bebas.

Sekadar untuk inspirasi bersama, ketika gempa kuat melanda wilayah Sichuan pada 12 Mei 2008, dua jam kemudian PM Cina sudah berada di atas pesawat menuju kawasan gempa. Penduduk yang terkesan, diberikan antara seratus lebih design dan lay out rumah sebagai pilihan.

Mungkin PM Cina terpengaruh satu kata pepatah: bantu saya ketika banjir, saya akan membantu anda ketika kemarau.

Musim kemarau orang politik ialah musim pilihanraya.....dan begitulah sebaliknya. Bukanlah kita membantu sebab politik dan pilihanraya ia hanya pepatah untuk difikirkan bersama.
Kita membantu atas semangat persaudaraan dan kemanusiaan tanpa syarat.

Impian sederhana kita, melihat rumah dan penempatan semua yang terkesan, dibina dan disiapkan seberapa segera. Impian lebih unggul kita, rumah-rumah mereka biarlah selesa sesuai dengan status sebagai insan makhluk termulia.

Juga, kampung yang dikenal pasti dalam lurah bah, dialihkan ke perkampungan baru yang moden, selesa, lengkap dan indah. "Sesiapa yang mengasihi makhluk di bumi, nanti ia akan dikasihi penghuni langit." Kata Nabi s.a.w.

Di atas panggilan-panggilan ini, kita bermimpikan - Gabungan Impian Kelantan ini kita lancarkan.

Husam Musa
Yayasan Darul Hijrah
Gabungan Impian Kelantan.
[wm.kl.6:52 am 02/02/15]

1 comment:

  1. Terima Kasih Saudara Husam,

    Betul, kita bebaskan diri dari kemelut dan kerenah org politik ini. Penat kalau sudah ditegur pengundi dan ahli biasa ni dipandang pun tidak. Semoga usaha kita semua mendapat redha Allah. Mari membantu seadanya.

    ReplyDelete