Saturday, February 14, 2015

"Kita bersahabat sampai ke akhirat"

KENANGAN (I)                                                                              

Bila ada sesuatu untuk dibincangkan Tokguru akan panggil.
Selama mengenali Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat 48 tahun lampau banyak juga peristiwa dan kenangan bersamanya yang sempat dikutip dan disimpan dalam peti kenangan sebagai bukti sejarah antara saya dengannya.

Dalam tempoh itu saya bernasib bagi diberi kesempatan bukan sahaja mengenali beliau sebagai seorang da'i dan murabbi, tetapi sebagai ahli politik dan juga pemimpin selaku MB Kelantan selama 22 tahun. Saya juga bernasib baik kerana boleh berkawan dan menjadi anak nakal kepadanya.


Peluang yang diberikan Allah ini saya sifatkan satu tuah dan tiada nilai buat saya, insya-Allah saya akan gunakan sebaik mungkin untuk diuruskannya menjadi sebuah biografi kenangan saya dengan Tokguru.

Saya mula mengenali Tokguru pada tahun 1967 menerusi gambar posternya sebagai calon Pas pada pilhan raya kecil Kelantan Hilir (Pengkalan Chepa). Ayah saya (Omar Othman, Allahyarham) yang membawa balik poster Almarhum itu apabila beliau turun ke Pengkalan Chepa bersama beberapa rakannya, berkempen untuk Tokguru Nik Aziz yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya mewakili Pas.  Pilihan raya kecil itu diadakan berikut kematian wakil Pas.

Bagaimana pun pengenalan menerusi fizikal atau jabat salam pertama dengan Allahyarham berlaku selepas10 tahun kemudian, sekitar tahun 1978 apabila saya sudah remaja. Dan perkenalan yang membawa makna dan tuah besar ini yang membawa kepada perkenalan hingga ke akhir hayat terjadi ialah pada tahun 1991.

Buku penghubung saya dengan Tokguru.
Saya tidak sangka perkenalaan yang merintis kepada hubungan spritual lebih jauh dari itu dengan Allahyarham berlaku menerusi karya saya; buku politik yang mengulas mengenai perlantikannya sebagai MB Kelantan disamping memperkenalkan (introduction) siapa Nik Aziz, berjudul; "Kelantan Selepas Pantang - Sempena 100 Hari Ustaz Nik Aziz Jadi Menteri Besar Kelantan". Buku ini diterbitkan pada Disember 1991.

Buku inilah yang mengenalkan Tokguru dan melekatkan nama Mohd Sayuti sebagai penulis kerdil di dinding mindanya. Ia bermula daripada pembacaan Tokguru mengenai kisah seorang bernama Pak Da Che Lah (nama sebenarnya Abdullah bin Kotok) yang saya nukilkan dalam buku berkenaan. Pak Da Che Lah merupakan orang kuat Pas dikampung saya dimana pegangan politiknya sangat konsevertif dan fanatik kepada Pas.

Pak Da Che Lah ini tidak dapat menerima kekalahan Pas sehingga jatuhnya kerajaan Pas berusia 18 tahun dalam pilihan raya penuh kontroversi dan tipu muslihat, 1978. Malam itu beliau seakan hilang akal dan mengamuk kerana tidak dapat menerima keputusan yang kerajaan Kelantan sudah jatuh ke tangan Umno-BN.

Semasa Tengku Razaleigh Hamzah membuat pengumuman menerusi siaran langsung di radio, tol di jambatan Sultan Yahya Petra dimansuhkan sebagai janji Umno, Pak Da menyambar sebilah parang dan terus terjun dari jemboran mengibas-ngibas perang dalam gelap malam seraya melaung; aku akan tetap berjuang dalam Pas walaupun seorang diri.

Allah hendak menyambungkan silaturahim lebih rapat dan erat antara saya dengan Tokguru. Apabila Tokguru membaca nukilan itu menyebabkan beliau teringin berjumpa dengan Pak Da Che Lah sekaligus mengenali lebih rapat dengan saya sebagai penulis buku itu.

Perkara ini diceritakan Abdul Fatah Haron mengenai hasrat Tokguru itu. Abdul Fatah yang ketika itu selaku Setiausaha Pas Kawasan Rantau Panjang telah memaklumkan kepada Yaacob Awang Besar (yang menjadi bapak mertua saya) akan hasrat Tokguru itu.

Suatu hari ketika menghadiri satu majlis atas urusan kerja (wartawan) saya berjumpa dengan Tokguru beliau bertanyakan pasal watak Pak Da Che Lah dalam buku itu. Sikap spontan itu menunjukkan episod yang dibaca itu subur dalam ingatannya.

"Kalau enta ada masa, boleh ke datang ke pejabat, nak berbual sikit pasal Pak Da Che Lah....yang enta tuliskan itu," begitulah suara dan minta Tokguru dalam kesempatan itu. Dari situlah bermulanya perkenalan dan hubungan rapat dengan Allahyarham sehinggakan saya kerap dipanggil untuk meminta mengulas sesuatu isu atau pun menulis sesuatu perkara yang diingini. Selain itu untuk bertanya soal-soal termasuk mengenai kemelut di dalam Pas. Apa yang dikehendaki ialah pandangan bebas dari saya sebagai penulis.

"Enta sebagai seorang penulis tentu dapat banyak maklumat, boleh kita kongsi-kongsikan.." demikian ujar Tokguru penuh berdiplomasi. Walaupun dia tidak menunjukkan seorang pemimpin yang "profesional" dan sistemetik tetapi beliau tetap menjaga soal maruah dan integriti seperti mana dianutinya. Allahyarham bukan seorang yang suka memaksa mengikut kepercayaan secara melulu tetapi dia akan mendidik dan mentarbiyah dengan penuh berhikmah. Beliau juga menghormati sesiapa saja dan tidak pernah memperlekehkan pandangan orang lain.

Bagi saya bakat kecil yang dikurniakan Allah sangat memberi "signifiken" besar dalam pengenalan dan hubungan saya dengan Tokguru. Menerusi bakat kecil itulah membawa saya rapat dan ada kalanya mendapat layanan sehingga dicurigai oleh setengah orang. Banyak orang tidak tahu saya secara diam-diam diminta olehnya secara tidak langsung menjadi pemantau politik dan pentadbirannya dan juga pimpinan Pas yang lain. "Enta kena pakat-pakat tolong untuk Islam," inilah perkataan dan seruannya.

Malangnya ada juga mereka yang tidak mengenal hati budi saya dan mengetahui asas keluhuran hubungan saya dengan Tokguru membuat berbagai tuduhan yang senak untuk disebutkan, kadang kala Tokguru meminta saya banyak-banyak bersabar. Ada juga sesekali saya mengadu kepadanya.

Dalam menilai Tokguru sebagai pemimpin, saya dapati beliau seorang yang analitikal. Beliau tidak mudah membuat sesuatu keputusan berdasarkan pandangan setengah pihak. Misalnya kalau ada perbalahan dan perselisihan antara dua pihak atau individu, beliau akan mencari orang tengah untuk membantunya mengatasi masalah itu. Selepas beliau berpuas hati dengan penyelidikan dan semakan barulah dibuat keputusan.

Pegangan dan keyakinan Tokguru dalam membuat apa-apa keputusan dan tindakan, beliau akan bepandukan kepada Quran dan Nas. Beliau sesekali tidak membuat tindakan dan mengambil keputusan tanpa ada sandaran yang jelas dan konkrit. Banyak contoh mengenai sikap tegas dan analitikal ini. Disini saya sebut satu contoh iaini mengenai harstanya untuk melakukan pemulauan (boikot) sebuah akhabr arus perdana yang banyak menyerang dan membuat fitnah kepadanya.

Secakit tulisan tangan beliau ini menjadi kenangan  abadi.
Secara diplomasi dan rendah diri beliau bertanya kepada saya mengenai cadangan itu, apakah ia boleh atau pun tidak serta ingin tahu apakah implikasinya kepada kerajaan dan parti. Saya memahami apa yang terdesak didalam hatinya itu, lekas-lekas memberi jawaban bersetuju dengan cadangan itu dengan sedikit pandangan.

"Boleh tok guru, molek... itu adalah satu tindakan yang baik, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah juga, sebab bergaduh dengan media massa kita tidak akan pernah menang," kata saya. Selepas termenung sejenak beliau bersuara;

"Tetapi surat khabar ini ana kira sudah melampau sangat..dah, " dia tidak berpuas hati dan mengharapkan saya memberi pandangan menyokong pandangannya.

"Kalau begitu tok guru, boleh mulakan..." kata saya. Ikhlas dalam banyak perkara apabila saya berjumpa Tokguru saya akan banyak mendamaikan jiwanya daripada menganggu perasaanya. Didikan yang saya terima bila berdepan dengan orang bernama tuan guru, kita perlu mendamaikannya bukan mendatangkan masalah. Didikan itu banyak mempengaruhi saya sepanjang berkawan dengan Allahyarham.

Walaupun saya setuju, beliau sebaliknya tidak terus menyetujui, tetapi memberi hujah sokongan ke atas cadangan itu.

"Dalam Islam pun ada perkara pulau memulau ini," katanya memberi hujah ke atas cadangan itu. "Enta bacalah dalam satu surah dalam Quran mengenai pemuda yang diajak berperang tetapi tidak mahu pergi berperang akhirnya mereka diperintah oleh Nabi dipulaukan, jangan tegur dan bercakap dengan mereka beberapa hati. Bagi ana kejadian ini adalah "boikot." Panjang lebar beliau menjelas dan memberi tafsiran atas perintah dalam Quran itu.

Ertinya apa-apa tindakan yang hendak dilakukan walaupun jelas perbuatan akhbar berkenaan menyakitkkan hatinya kerana menimbulkan provokasi dan fitnah, tetapi beliau tetap mencari hujah dan dalil-dalilnya. Tokguru tidak akan bertindak kalau tidak ada hujah dan dalil-dalilnya. Di sinlah saya melihat Tokguru seorang pemimpin, yang bukan sahaja bijak berkata-kata (retorik) dengan ayat-ayat Quran dan hadith tetapi beliau akan cuba mengamalkan seboleh-boleh yang mungkin.

Satu pengalaman menunjukkan sikap adil dan saksama diamalkannya, dilalui oleh saya apabila saya mencadangkan kepadanya agar mengambil tindakan kepada beberapa pemimpin Pas Kelantan yang didapati sedang membuat pelan senyap untuk menjatuhkan sebagai MB Kelantan. Dari maklumat yang diperolehi saya memantau perkara ini dan apabila ia sampai ke peringkat serius saya menyuarakan kepada Allahyarham akan membendungnya.

Beliau mendengar saja apa yang saya ceritakan itu dan "perhati". Dua tahun berlalu beliau tidak membuat apa-apa tindakan susulan sehinggalah keadaan menjadi lebih parah menyebabkan saya terpaksa mengulangi dan mendesaknya bertindak. Allahyarham kurang senang dengan cara saya yang dilihat sebagai agresif.

"Ana tidak boleh bertindak tanpa ada bukti-bukti yang cukup," jawabnya dengan nada tegas. "Kalau ana bertindak tanpa ada bukti, ana akan berlaku zalim, tetapi kalau sudah ada bukti tetapi ana tidak bertindak ana tidak melakukan keadilan. Mari bukti.. mari..!" sambungnya lagi. Saya memahami keadaan kenapa Tokguru jadi sedikit kurang selesa dengan desakan saya itu kerana dia tidak mahu terlibat dengan fitnah.

Apabila Tokguru meminta bukti saya mengambil sedikit masa untuk menyiapkan bukti mengenai apa yang saya ketahui itu. Setelah menyerahkan bukti yang saya sebutkan itu secara materialistik, Tokguru terus bertindak. Beliau tidak menunggu masa panjang, dua minggu selepas itu beliau mengambil keputusan memeranjatkan dengan memecat beberapa orang yang terlibat dengan "grand design" untuk menjatuhkannya.

Begitulah sikap dan sifat Tokguru. Seorang yang sangat halus, teliti dan berhati-hati dalam apa juga perkara dan setiap apa yang hendak dilakukan mestilah jelas dipandukan oleh Quran dan Hadith. Tidak hairan kerana ini sangat bersesuaian sekali dengan apa yang menjadi seruan dan peringatkan kepada saya bila setiap kali bersamanya, baik waktu makan, sambil mengurut betisnya atau ketika serius di meja dinasnya. Katanya, kita berbuat sesuatu biarlah kerana Lilahitaala. 

Dan saya setiap kali berjumpa dengannya dan takkala mahu berpisah akan memeluknya erat dan membisikan ditelinganya; Tokguru doakan ana agar selamat dunia akhirat dan istiqamah dalam menyokong perjuangan Tokguru untuk Islam. Selepas itu saya akan mengucup tangannya dan berlalu dengan mata yang berkaca. Begitulah.

Kini aksi dan peristiwa sedemikian tidak mungkin akan berulang lagi. Cuma apa yang saya mampu lafaz dan munajakkan,  kini, "Tokguru jangan lupa doakan ana dari atas singgahsana indah yang Tokguru takhtai kini. Ana berharap biarlah ana juga sampai ke sana untuk bersimpuh di hadapan Tokguru kandatipun pun di atas sejadah robek. Kan kita sudah berjanji persahabatan kita bukan saja setakat di dunia ini, tetapi sampai ke akhirat."

Nota kenangan dan peristiwa lain saya bersama Tokguru, baik percandaan, bergaduh, berdebat dan kritikan saya kepadanya akan dilengkapi dalam sebuah memoir saya dengannya yang kini dalam proses penulisan dan penerbitan. Wassalam Mso.  [wm.kl 12:54 pm 14/02/15] 

1 comment: