[kemaskini] Ekoran pemulangan semula Anwar Ibrahim ke pangkuan peratah kuasa menerusi proses undang-undang yang dipertikaikan umum, PKR dan Pakatan Rakyat harus mencari hikmah disebalik tragedi itu dan bukannya cuba mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri dan kumpulan masing-masing atau menjadi jaguh musuh dalam selimut.
Perjuangan adakalanya menuntut cagaran tan ternilai. |
Keunggulan Pakatan Rakyat sebelum ini sehingga berjaya mendapat 52% sokongan rakyat untuk menguasai Parlimen harus dikekalkan. Ketiadaan Anwar diluar bersama rakyat selama lima tahun hendaknya tidak menjadi alasan untuk menurunkan darjat dan wibawa Pakatan Rakyat.
Apa lagi kehilangan sosok hebat itu yang dilindungi dibalik tembok bukan bermakna semua indera nafas perjuangannya tamat, situasi itu bukan waktunya untuk diambil kesempatan bagi meluaskan lubang halus perpercahan yang kini ditebuki oleh rasa dan nafsu atau ego seseorang lantaran terpedaya dengan umpan terpasang jerat.
Jangan jadikan hukuman lima tahun ke atas Anwar itu untuk melebarkan sengketa sesama sendiri atau terus menggerakkan gunting dalam lipatan atau merobahkan seluruh bulu (musang) menjadi ayam, sebaliknya semua harus berusaha menyumbat lubang kecil itu dengan keazaman yang membuak-buak. Berhentilah daripada menjadi musang tanggalung dan kembalilah kepada asal seekor ayam sejati.
Ada dua pihak atau entiti yang harus mengambil iktibar di atas tragedi yang berlaku. Pertamanya dari kalangan PKR sendiri. Ketiadaan Anwar yang menjadi teraju dan pengobar semangat menghidupkan PKR sebagai sebuah parti besar hendaknya tidak terbantut. PKR harus digemburkan dengan kekuatan dan persefahaman yang mantap. Jikalau ada percikan api perbalahan dan dengki yang wujud sebelum ini ia hendaklah dihembus secepat mungkin sampai asap pun jangan kelihatan lagi.
Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden parti harus memainkan peranan dan bertindak bijaksana memanggil segera barisan kepimpinan untuk mengejepkan jabatan salam dan kesatuan parti menghadapi lima musim yang penuh tercabar itu. Lima tahun mendatang akan menjadi musim ujian kesetiaan, kesungguhan dan perpaduan dalam PKR. Kemasukan Anwar ke dalam penjara ini adalah musibah yang menzahirkan ujian terbesar buat semua.
Semua pimimpin yang sebelum ini "tersera" hati atau pun tersinggung perasaan disebabkan perebutan jawatan semasa pertandingan dalam parti lalu hendaklah tutup cerita. Buku perancangan untuk membalas dendam di antara satu sama lain hendaklah ditutup segera serapat mungkin. Bakarlah buku perancangan itu dan apinya biarlah meleburkan besi penjara.
Seeloknya Wan Azizah dapat menunjangkan ketenangan kepada ahli menerima apa yang ada hari ini, status quo. Kepimpinan parti yang terbentuk menerusi pemilihan sebelum ini yang didakwa berlaku atas berbagai tipu muslihat dan wujud rasa tidak puas hati perlu disokong sepenuhnya. Kecacatan pemilihan itu hendaklah dikambus dalam, dan semua berganding bahu ke arah satu matlamat dan tujuan untuk mengemaskan parti seterusnya bangkit membela Anwar menjulang nawaitu perjuangan asal.
Berhentilah menimbulkan rasa cuak curiga dan usaha senyap memburukkan sesiapa. Terimalah barisan kepimpinan yang ada hari ini dengan penuh keterbukaan dan insaf. Anggaplah masa sengketa atas nama apa sekali pun tidak ada dalam tempoh lima tahun. Selagi Anwar tidak menjenguk keluar haramkan pergaduhan sesama sendiri dalam PKR kerana ia tidak menguntungkan.
Dr Wan Azizah sendiri harus mengandakan kebijaksanaan dalam hal ini. Beliau kini berdepan dengan tanggungjawab dan tugas besar, memastikan PKR utuh dan kuat seperti dulu dan satu lagi berusaha melepaskan suaminya untuk kesekian kali dizalimi. Ingat Anwar hanya akan dapat dilepaskan apabila tembok penjara boleh diusung dan dirobekkkan. Dan tembok penjara boleh robek dan roboh jikalau ada perpaduan dan persepakatan intim di kalangan ahli. Tukul-tukul untuk menggodam dan mengentuk pintu penjara ada ditangan rakyat, dan tangan rakyat dapat dihayunkan oleh pemimpin yang berbisa dan hebat.
Tidak mungkin Azizah larat untuk melakukan itu bersendiri. Begitu juga sesetia mana Mohamed Azmin Ali kepada Anwar selaku rakan dan bosnya kalau hanya beliau bersendirian tidak mampu untuk menolak penyelak penjara bagi membebaskan Anwar. Kunci dan penyelak penjara menjadi kuat dan besar berkarat di bawah regim atau ditangan penzalim tanpa berhati perut dan sepanjang hayat berdendam kesumat.
Untuk melakukan itu ia memerlukan kekuatan yang besar dan global. Kekuatan luar biasa dalam PKR akan wujud kalau semua sedar dan insaf dan membuang sengketa perang sesama sendiri.
Mohamed Azmin Ali (Minali) yang kini pemikul tanggungjawab selaku MB Selangor mendapat tugas baru yang besar dan mencabar dengan terpenjaranya Anwar. Selaku timbakan presiden beliau harus menjadi ketua untuk mengangkat tembok penjara atau menolak penyelak penjara. Kerjasama sepenuhnya dari Naib-naib Presiden dan seluruh kepimpinan PKR sangat diperlukan.
Rakyat dibawah tidak akan berpecah atau dapat menyatukan diri untuk melakukan penerobosan bagi membebaskan Anwar sekiranya pemimpin dapat duduk di dalam satu saf dengan jabatan tangan yang kemas kemen.
Selain itu pemenjaraan Anwar memberi signifiken tersendiri kepada Pakatan Rakyat dan masa depannya. Ia turut menguji sejauh mana wujudnya keikhlasan dan keampuhan semangat juang ahli dan penyokong. Semua pimpinan Pakatan Rakyat perlu memahami natijah dan maksud daripada tragedi menimpa Anwar itu. Sekiranya pemenjaraan Anwar itu bermotifkan politik, maka ia jelas untuk merelaikan pakatan itu.
Penzalim mengetahui Pakatan Rakyat adalah tunas harapan baru kepada rakyat yang akan membesar menjadi cabang dan membentuk sebuah pokok kekuasaan yang rendang dan nyaman. Sekiranya tunas ini sudah mula mahu bercadang tidak dicantas ia akan menjadi dahan-dahan yang kukuh kemudian membentuk sebuah pokok kekuasaan baru di nuasa ini. Nah, kerana itu mereka harus dicantas dan salah satu caranya ialah dengan meretakpecahkan Pakatan Rakyat. Unggun api yang sedang marak harus disuraikan. Jangan ditanya apakah tindakan itu halal kerana janji untuk melakukan dosa itu sudah dimateri dengan Tuhannya sejak azali lagi.
Para konspirator tahu formula untuk meretakan Pakatan Rakyat ialah dengan menimbulkan keraguan dan perbalahan sesama sendiri. Wujudkan kucar kasir dan keserabutan rakyat. Dan untuk memecahkan perbalahan, sesuatu harus dilakukan. Penglibatan Anwar dalam tuduhan liwat adalah jalan dan peluang terbaik. Anwar harus dihantar ke penjara, jauh dari pandangan mereka dengan cara itu pimpinan akan bercakar sesama sendiri tanpa ada rasa aib dan malu.
Mereka, penzalim mengharap kekosongan (vakum) tempat Anwar menjadi rebutan. Anwar yang menjadi mediator (penyatu) yang dihormati tidak dapat melaksanakan peranan dan tugasnya bila beliau dikurung. Kesan daripada itu ia memberi peluang luas kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk saling berbalah sesama sendiri. Inilah yang diharapkan dan inilah agenda konspirasi.
Api sengketa yang sudah "dikeceh" (dinyatakan) sebelum ini berpelung untuk merebak dan membesar seterusnya membakar Pakatan Rakyat apabila orang bertindak sebagai "bomba" sudah tidak ada lagi. Kalau PR sudah berpecah menjadi puing-puing kekabu, ia akan mudah hangus terbakar. Bila ini berlaku Anwar hanya bisa terkial-kial dalam penjara dengan lolongan histeria, hentikan.. hentikan tanpa dicegah dengan kata-kata dan perdamaian dimeja mesyuarat.
Penzalim dan konspirator tidak berhati perut, menyedari hal ini dan mereka berharap itu. Nah, PR kena bijak mengenali akan segala tipu helah ini. Berjalan melangkahi jerat agar kaki tidak tersadung. Mereka harus kedepan membawa tujuan dan maksdunya. Genggam harapan jangan dilepaskan. Menirap makan embun menlentang makan pasir. Mereka harus bertindak usah membiarkan musuh bergerak bebas menjadi syaitan untuk terus menggoda hati di kalangan mereka. Caranya ialah bersatu dan berpadu.
Kesatuan awal yang dapat ditunjukkan Pakatan Rakyat ialah menguruskan pakatan itu sebaik mungkin atas dua nawaitu kemenangan dan pembebasan Anwar. Pertamanya mereka kena hentikan agenda persendirian sebelum ini yang saling untuk memotong sesama sendiri. Dengan terpenjaranya Anwar mereka harus memansuhkan agenda busuk yang sudah terhidu rakyat itu.
Mereka (PR) sebenar tidak larak lagi untuk bergasak sementara mediatornya berada dalam penjara. Apa yang patut dilakukan semua melakukan solidariti sebagai menghormati Anwar. Cara paling afdal ialah berdamai dan memansuhkan agenda perbadi kepuakan yang jelek itu. Anwar tidak menuntut lebih daripada itu bahkan dia merasai damai dalam tembok itu kalau rakan-rakannya dia luar diketahui duduk bersama penuh bahagia rasa.
Dia tidak mahu dibawa cake atau air berkorbonat setiap hari, tetapi cukup kalau pemimpin Pakatan Rakyat berhenti membuat kenyataan dan tidak mengadakan sidang-sidang gelap untuk memusnahkan piala rakyat, (PR) itu.
17 tahun Anwar telah berada dalam lingkungan api dan menjadi lilin membakar diri untuk menerbit cahaya kepada rakyat yang kesekian lama berada dalam alam kegepalan angkara penzalim. Hormati apa yang beliau lakukan sebagai menandakan kalian semua ada budi dan ehsan sebagai manusia yang diakui Allah laksana satu-satu makhluk yang mulia. Lakukanlah... [wm.kl.1:08 pm 11/02/15]
1.Seandainya saudara berkeyakinan bahawa anwar dizalimi maka gunakan kebolehan mata pena saudara untuk membetulkannya. Jangan hanya setakat menulis berbunga bunga penyedap rasa. Adakah saudara seorang pejuang atau setakat pelapor berita atau penulis cari makan.
ReplyDeletePerlukah saya menjawab pertanyaan ini atau saya biarkan sahaja, kerana kalau saya menjelaskan siapa saya, orang yang sudah melebelkan saya dengan sesuatu lebel yang dikehendaki tidak akan percaya. Terima kasih atas kesudian membaca catatan saya.
ReplyDeleteSaudara nordzi,
ReplyDeleteKalau tuan mempercayai semua ini, siap2kan hujah anda di depan Allah nanti. Kalaupun ia berlaku, saya dah terlepas dari memfitnah dan mengaibkan Anwar. Islam sendiri ada tatacara hukumannya dan menyimpan aib si pesalah. Sama2 tanya diri masing2 dan tanggunglah dosanya nanti. Tak lama tuan, hari menghampiri Kiamat.
Nampaknya nordzi terkesan dengan tulisan mso.. Mungkin sebab beliau termakan bnyk cili.. Itu lah lain kali jangan makan bnyak cili kalau tak tahan rasa pedas..dengan mempersoalkan status mso samada pelapor berita atau penulis cari makan, dengan sendirinya menyatakan nordzi berada di dalam kelompok mana.. Bagi saya pergi jahanam dengan umno dan UG.
ReplyDelete