SERULING MALAM
Hubungan parti agama Pas dengan parti chauvenis Cina DAP nampaknya kian runcing. Kedua belah parti saling tembak menembak dan singgung menyinggung antara satu sama lain. Keduanya sama-sama menegakkan keyakinan masing-masing tidak mahu mengalah. Macam kucing jantan berebut betina, sama-sama menunjukkan "meow" yang kuat.
Keruncingan ini sebenarnya bukan bermula sejak meletusnya isu Hudud, tetapi hubungan keduanya menjadi hangat dan panas sejak lama dahulu lagi. Ia seperti api dalam sekam yang membakar tanpa keluarkan asap.
Telah ada sejarah kerenggangan kedua-dua parti itu. Saya tidak mahu mengatakan DAP seperti budak-budak seperti mana didakwa pemimpin Pas, tetapi Pas juga lebih kurang budak-budak, berfikir tidak putus mengenai DAP ini. Pas tidak ada pendirian sendiri terhadap DAP.
Masalah Pas dan DAP bukan soal peribadi mana-mana pemimpin kedua-dua parti itu, tetapi soal perbezaan ideologi yang dibawanya. Ia bukan kerana Lim Kiat Siang tidak sukakan Abdul Hadi Awang atau sebaliknya, tetapi kerana perbezaan ideologi dan matlamat perjuangan.
Pas membawa perjuangan untuk menegak dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan negara ini. Manakala DAP pula memperjuangkan membebaskan keadilan sosial yang liberal. DAP mahu menjadikan Malaysia hak semua rakyat tanpa dominasi Melayu. Situasi ini ditambah dengan minat Pas yang ke belakangan ini turut memperjuangkan bangsa.
Pegangan ideologi politik DAP ialah liberalisme, manakala Pas ialah "agamanisme". Ia bagaikan api dengan minyak yang tidak disulin dan disaringkan.Kedua bahan mentah itu menjadi mudah terbakar.
Jadi melihat kepada perbezaan inilah maka keduanya tidak mungkin dapat berdamai dalam tempoh yang lama untuk satu tujuan. Kalau diibaratkan hubungan mereka umpama sebuah perkahwinan, perkahwinan mereka bukan berlangsung atas dasar cinta sama cinta, tetapi kerana paksaan. Dalam hal ini, dilihat dari konteks Pakatan Rakyat, orang yang memaksa mereka berkahwin ialah Anwar Ibrahim.
Anwarlah yang mengijabkabulkan mereka agar berkolobrasi dalam pilihan raya bersamanya untuk menumbangkan kerajaan UBN. Anwar seronok dengan majlis perkahwinan mereka itu kerana beliau mendapat laba untuk makan gulai. Seperti mana saya katakan sebelum ini apabila Anwar Ibrahim diasingkan ke dalam penjara, perpecahan dalam Pakatan Rakyat akan berlaku.
Sebagai orang tua atau mediator Anwar tidak dapat memberi nasihat dan didikan lagi kepada Pas dan DAP kerana dihalang besi penjara. Dan antara tujuan pemenjaraan Anwar itu ialah untuk tidak membolehkan Anwar membujuk Pas dan DAP. Agenda itu sudah membuahkan hasil. Apakah Pas dan DAP menyedari hakikat ini atau tidak?
Hal ini hari ini sudah nampak jelas. Perkembangan hubungan antara DAP dan Pas yang disebabkan tidak sefahaman mengenai hukum Hudud membuktikan apa yang saya bayangkan itu. Melihat kepada senario kini, jalan untuk Pas dan DAP kembali duduk serumah semula sudah mustahil, kecualilah generasi baru yang lebih edukated politik menguasai kedua-dua parti itu.
Walaupun ada pemimpin Pas yang cuba mendamai dan menyejutkan keadana, tetapi ia sia-sia sahaja. Apa lagi yang berusaha mendamaikan semula DAP (Kit Siang dan Guan Eng) dengan Abdul Hadi (Pas) itu beberapa pemimpin sahaja yang mereka sendiri diprejudis dan ditohmah dengan macam-macam tohmahan. Manakala yang lain seakan suka kalau Pas terus putus hubungan dengan DAP. Kenyataan dikeluarkan bersemangat agar Pas memutuskan hubungan dengan DAP dan menjalinkan hubungan dengan rakan baru Umno.
Berdasarkan itu, Pas dan DAP bolehlah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya ke-14 kelak tanpa bantuan antara satu sama lain. Kalau kata-kata Mohd Amar Nik Abdullah boleh dipakai, dimana dia kata, Pulau Pinang juga akan kalah tanpa kerjasama dengan Pas, bererti pilihan raya akan datang memperlihatkan kedua-dua parti itu dalam keadaan kritikal dan bakal kehilangan kuasa.
Walaupun di Kelantan DAP tidak menjadi faktor menang dan kalah Pas, tetapi perbalahan itu boleh mempengaruhi suasana di Kelantan. Yang pastinya kerusi-kerusi Pas di luar Kelantan bakal hanyut. Sejujurnya.. dan untuk tidak memeningkan kepala dicadangkan Pas putus sahaja kerjasama dengan DAP jangan adakan lagi persefahaman walau apa pun keadaan. Kedua-duanya jangan jadi budak-budak.
Saya bimbang kalau Pas juga bersikap cocoh jilat dalam hal ini menyebabkan orang ramai khasnya pengundi atas pagar akan keliru dan muak dengan Pas. Pas yang dilihat sebagai sebuah parti berwibawa dan berintegriti akan rosak. Apabila orang sudah tidak sukakan kita untuk apa tunggu lagi, "cau"lah. Itu yang lebih baik dan bermaruah. [wm.kl.8:30 pm 25/03/15]
No comments:
Post a Comment