Wednesday, April 29, 2015

Najib bukan batang pisang

SEBUKA MATA                                                                              

Najib tak akan berundur.
Semalam Najib Razak telah memacak bendera ketegasannya tidak akan berundur walaupun apa akan terjadi. Katanya, biarpun dia dikritik dan diasak dia tidak akan mudah mengaku kalah dan akan terus berjuang dengan istiqamah demi rakyat.

Sekali lagi Najib berlindung dengan menggunakan nama rakyat berjuang walaupun hakikatnya lebih separuh daripada perjuangan itu lebih menjaga maruah dan martabat keturunan dan isterinya.

Najib memetik pepatah keturunannya, kaum Bugis yang berbunyi, apabila perahu dikayuh ia akan ke tengah dan tidak akan ke tepi lagi. Ertinya apabila dia sudah menjadi raja, dia sama sekali tidak merendahkan dirinya menjadi rakyat biasa. Sekali menjadi raja tengkolok kehebatan tidak akan dipecat.



Hurainya lagi, .."meskipun bagaimana besar gelombang yang melanda, biarpun kemudi patah, biarpun layar robek, biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, ia lebih mulia bagi kita tegap teguh berjuang daripada membalik haluan pulang,” katanya. Hebat Najib berfalsafah dan berani menyerlahkan komitmentnya.

Pepatah itu memberi isyarat jelas kepada orang yang sedang menggerakkan untuk menyingkirkannya. Bahawa dia akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan diri dan kedudukannya. Dalam hal ini sudah tentu isterinya akan mengejapkan tali ikatan sauh kapal untuk mempertahankan kedudukan dari serangan musuh-musuhnya.

Apa yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai, apakah Najib respons atau tidak kepada desakan khasnya oleh Dr Mahathir memintanya berundur dari kerusi PM, kini terjawab. Najib menunjukkan dia bukan sembarangan. Dia bukan seorang yang mudah mengaku kalah. Perwatakannya yang lemah lembut dan politik romantik bukan gambaran kelemahan Najib dan mudah untuk menumbangnya persis menebas batang pisang. Najib berdiri atas semangat dan besi Bugisnya.

Secara psikologisnya apabila seseorang itu memetik pepatah kaum keturunannya, ertinya dia kembali ke arak umbinya. Dia mencari kekuatan asal usulnya, membawa seluruh kerabat dan sejarah kaumnya untuk mempertahankan diri.

Najib hari ini bukan sahaja bersendirian tetapi dia telah membangkit keturunannya untuk mempertahankan dirinya.  Beliau telah menjadikan dirinya sebagai lambang orang Bugis di Malaysia di mana kaum itu akan diminta dan diharap akan menyokongnya. Jatuhnya Najib ibarat merendahkan maruah Bugis.

Keberanian orang Bugis dalam sejarah Melayu jelas. Orang Bugis yang mahir dalam dunia pelayaran serta mempunyai hati yang kental. Dapat mengalah dan menewaskan laun dan perompak hatta dari lautan Hindi sekalipun. Riwayat Raja Haji adalah contohnya. Orang Bugis mampu melayarkan kapalnya tanpa layar dan berani merempuh ombak dan taufan di malam gelap gelita. Dengan mengambil semangat itu Najib tidak berasa hairan dengan apa yang dilakukan oleh Mahathir.

Najib sudah mendapat keberanian tambahan.

Justeru para pengkritik Najib, terutama Dr Mahathir perlu memahami dan mengkaji balik tentang hasrat mereka untuk menumbangkan Najib secara tidak beradab. Elok kalau Mahathir beringat atau pun berpatah balik dari menyerang Najib kalau tidak mahu menanggung malu dan menggeruhkan air laut. Apakah Mahathir juga akan memetik pepatah kaumnya, Krala untuk berhadapan dengan Najib? Bahawa Mahathir tidak akan memusingkan haluan kapalnya?

Dengan pemacakan bendera itu Najib tidak akan berundur. Jun hadapan tanggal yang dijadikan mentara untuk Najib berundur akan berlalu begitu sahaja. Segala rundingan secara baik dan diplomatik agar beliau berundur tidak dihiraukan lagi. Najib hanya mengangguk di hadapan tetapi mencemuh di belakang.

Najib juga ada akal bagi mempedayakan Mahathir yang galak menyerangnya. Untuk memperkukuhkan tindakannya Najib mendakwa beliau mendapat sokongan padu daripada timbalannya Muhyuddin Yassin dan jemaah menteri lain serta ahli Umno.

Kenyataan Najib itu bijak ia dilihat satu helah dan strategi yang licit. Secara tidak langsung ia telah meletakkan Muhyiddin dalam keadaan serba salah dan terikat dengannya. Saya tidak kira Muhyiddin berani untuk melentang dan menentang Najib. Misi kebendaan yang menjadi impian dan idaman para pemimpin Umno yang ditanam sejak berdekad lalu, menyebabkan mereka tidak akan berbuat apa-apa apabila mereka sudah mempunyai kedudukan dan kuasa.

Kebanyakan para pemimpin Umno bersifat seperti tikus jatuh ke dalam genak beras, mereka akan mendiamkan diri dan tidak akan memperlakukan apa yang berlaku diluar lagi. Apa peduli dengan nasib rakyat dan negara yang penting tembolok kembung. Sifat atau perangai ini menjadi amalan dan subur dalam Umno sejak ia dicambahi sendiri oleh Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi pemimpin nombor satu parti tersebut.

Sifat dan sikap itu juga diamalkan oleh Muhyiddin dan mereka yang lain. Boleh diperhatikan apa yang Muhyiddin lakukan sewaktu Anwar Ibrahim berhadapan dengan serangan dan fitnah Mahathir akhir tahun 90an dulu. Beliau yang dilihat seorang tokoh yang berlatar belakangkan agama hanya mendiamkan diri sahaja dan memerhati apa yang berlaku. Ada dia bangkit membela, tidak. Muhyiddin tidak berbuat apa-apa kerana bimbang kedudukannya sebagai menteri tergugat.

Muhyiddin juga sedar bukan mudah untuk dia menjadi timbalan perdana menteri. Jadi untuk apa dia mengikut kehendak Dr Mahathir agar menentang Najib. Pengalaman yang pernah dilalui oleh bekas timbalan perdana sebelum ini sangat diingati oleh Muhyiddin. Kerana keberanian mereka melawan ketua akhirnya jawatan terpanggal. Sejarah dilakari oleh Musa Hitam dan Anwar Ibrahim menjadi azimat kepada Muhyiddin untuk menjaga dirinya dan tidak akan terlepas jawatan yang istimewa itu.

Muhyiddin juga tidak akan menjadi bodoh untuk berjudi dengan jawatan yang disandangkan kini dengan mengharap jawatan perdana menteri. Jawatan yang dimiliki kini bukan mudah diperolehinya. Dia juga tentu sudah sedar yang api politiknya sudah hampir hendak pdam sebelum ini.

Apabila beliau sudah ditanggalkan daripada menjadi MB Johor, ertinya dia sudah dipersiapkan persalinan perasaaan. Pengurninaan gelarana Tan Sri dalam pengertian politik adalah isyarat untuk berhenti. Bagaimana pun nasib Muhyuddin baik apabila Mahathir berjaya menjatukan Abdullah Ahmad Badawi dengan menjadi Muhyuddin sebagai sebagai perkakas.

Kedudukan yang disinggahsanai Muhyuddin kini adalah hadiah kepada kesediaan menjadi alat untuk menyingkirkan Abdullah. Dalam kata lain Muhyuddin tidak mempunyai kekuatan akar umbi, pengaruhnya dalam Umno tidak setebal Ahmad Zahidi Hamidi, atau pun Najib sendiri. Jadi untuk apa dia gila-gila untuk mengikut nafsu Mahathir yang belum tentu menguntungkannya maka lebih baik dia diam bersama Najib menjadi tikus dalam genak beras.

Saya yakin Najib sudah mendapat jaminan sokonangan padu daripada Muhyiddin cuma TMB itu segan sahaja untuk menyatakan sokongan secara terbuka dan mendada kerana tidak mahu menganggu perasaan Mahathir.

Dan dengan pengistyharan semalam kedudukan Najib sebagai PM kini semakin kukuh. Dr Mahathir terpaksa mencari ranting dan kayu lain untuk menyucuk Najib. Kali ini Mahatir akan terus kempunan untuk memakan mangsanya yang seterusnya. [wm.kl.9:25 am 29/04/15]

1 comment:

  1. Najib kukuh bukanlah kerana dia seorang berketurunan Bugis yang sedia melawan cabaran melainkan dia kini berjaya mencucuk hidung dan membesarkan tempolok mereka sebelum ini ada potensi untuk menentangnya khasnya mereka dalam sistem kerajaan mahupun dalam parti UMNO. Semua dah dikuncikan mulut atau semangat mereka dan mereka cuma menyuarakan retorik bodek yg Najib adalah pemimpin yg bijak bistari. MADEYsetakat ini boleh saja melalak sekuat hatinya dan tiada insan dalam kerajaan atau di UMNO yg ambil peduli meskipun Madey tak nampak letih atau penat atau nak' give-up'.Hanya parti pembangkang mesti tumbangkan UMNO/BN pada PU ke-14 mendatang ini maka Najib bersama UMNO/BN boleh disisihkan, itu pun satu kerja yg amat monumental memandangkan kucar-kacir dalam perpaduan PR.Kalau keadaan ini berterusan maka Madey akan hidup pada usia senjanya terkilan sangat yg dia pertama kali gagal menumbangkan manusia yg ingin dia tumbangkan, kedua dia tak sempat melihat jembatan senget/bengkok, tak dan melihat Mukriz naik jadi PM dan akhir sekali melihat wawasan 2020nya menjadi nyata.

    ReplyDelete