Tuesday, July 28, 2015

GHB, Pas ibarat air hujan yang mengalir ke laut

RENUNGAN PAGI                                                                          

Politik seharusnya dilihat dalam kerangka yang luas dengan fikiran penuh terbuka dan waras. Apa juga yang berlaku dalam politik ia tidak rigid dan statik. Politik itu sendiri boleh ditafsirkan sebagai hidup. Sifat sesuatu yang hidup ia bergerak, berkembang, membesar dan melalui pancaroba dan mengalami tribulasi tersendiri secara lumrah.

Sesiapa yang membekukan politik, orang itu tidak layak untuk bermain politik. Politik akan hidup dan berjaya ditangan mereka yang berfikiran terbuka, gigih dan kreatif menyusun arus alur gelombangnya. Politik ada gelombang elteriknya sendiri yang perlu dikawal penuh cermat dan sistemetik.


Kerana itu istilah perbalahan dan persengketaan dalam politik tidak ada. Atau kalau berlaku ia bukan sesuatu yang kekal buat selama-lamanya. Demikian juga perdamaian dan perpaduan tidak berlangsung sepanjang masa. Sejarah perjalanan politik negara sendiri dalam semua parti politik menyaksikan akan hakikat ini.

Misalnya soal keluar masuk parti, meninggalkan parti dan menubuhkan parti baru bukan satu kesalahan dalam dunia politik yang tidak ada maaf baginya. Malahan tindakan itu dianggap sebagai membangun atau itulah pembangunan (development) politik. Perubahan-perubahan itulah dianggap sebagai dinamisme politik. Keluar masuk politik tidak boleh disifatkan murtad atau convert. Tiada istilah mualaf atau saudara baharu dalam dunia politik. Ada kalanya penubuhan parti baharu sebagai pesaing diperlukan.

Tetapi bagi mereka yang cetek pemikiran, dan melihat berpolitik itu secara lateral, mudah membuat kesimpulan perkembangan-perkembangan itu, khasnya keluar masuk atau menukar parti politik sebagai satu yang negatif. Lebih teruk lagi beranggapan ia satu perbuatan mungkar. Mereka yang membentuk parti lain di luar induknya dianggap sebagai penentang dan derhaka atau pengkhianat.

Dalam politik tidak ada batas yang mati. Tidak ada pintu yang terkunci rapat. Bahkan dalam politik penuh dengan jendela dan pintu-pintu kecil. Orang politik boleh keluar masuk rumah politik bukan menerusi satu jalan atau pintu sahaja, di hadapan dan di bahagian dapur seperti lazim tradisi rumah Melayu, tetapi ia ada dimana-mana sudut dan jerung.

Justeru, perbuatan keluar masuk parti dan menubuhkan parti baharu tidak menjadi masalah. Jika kita memahami filsafah ini, maka kita tidak akan mudah kecewa memanjang apabila mengenangkan apa yang berlalu dalam parti agama bernama PAS waktu ini. Kita tidak perlu mendesah panjang, tetapi perlu memerhati dan mencari hikmahnya.

Dalam PAS kini, adanya sekumpulan bekas pemimpin yang mengagaskan parti baharu sebagai wadah penerus perjuangan mereka selepas mereka berasakan tidak ada peluang dan harapan dalam parti asal, - penubuhan GHB. Penubuhan parti baharu itu tidak perlu dimarahi. Ia adalah lumrah dan sebahagian dari arstistik politik.

Dengan mengenepikan soal emosi, perbuatan mereka itu bukan satu dosa tetapi satu usaha mereka bagi meneruskan komitmen dalam perjuangan. Orang berjuang adalah orang yang hidup dan mereka lasak mencari wadah bagi meneruskan perjuangan. Seorang perjuang juga adalah pengembara yang tidak akan berhenti dari berjalan, atau kalau berhenti sekadar merihatkan badan mencari tenaga, meracang strategi untuk meneruskan kelangsungan kembara.

Justeru apabila mereka sudah tidak ada ruang dan peluang dalam parti asalnya mereka, - mereka sudah bersama Pas berdekad-dekad lamanya, maka mereka berhak membuka rumah baharu, sama ada disukai ataun pun tidak. Hakikatnya tindakan mereka itu betul demi kelangsungan sebuah perjuangan.

Makanya semua orang kena menerima dan akur atas ketentuan itu. Berbalah mencari kesalahan dan memburukkan mereka tidak menghabiskan cerita melainkan sama-sama rugi tidak ada laba.

Saya sendiri selepas berusaha untuk menyekat penubuhan parti baharu itu dengan alasan-alasan tertentu, kononnya bagi mengekalkan kehebatan Pas demi mencapai kejayaan yang sudah hampir bersama rakan Pakatan, tetapi apabila usaha kerdil itu gagal, maka saya kena kembali kepada lumrah tadi. Penubuhan itu satu pengembangan dan dinamika politik dalam Pas yang harus diterima baik.

Sedar atau tidak penubuhan GHB, merupakan fraksi baharu bukan sahaja kepada Pas tetapi kepada perjuangan dan idealisme Pas itu sendiri, amnya Islam. Ia akan menguatkan parti itu sendiri. Ia menambah anggota perjuangan kepada Pas itu untuk mencapai apa yang menjadi inspirasinya. Itulah yang kita tampak kalau kita berfikiran positif.

Dengan beranggapan dan menerima GHB yang mengandungi maksud dan tujuan sama dengan Pas untuk memperjuangkan nilai-nilai Islam, menentang kemungkaran dan menegakkan kebenaran, maka GHB itu sama dengan Pas. Tiada beza, jauh sekali kontradik. Bahkan GHB lebih baik lagi kerana ia membawa Islam progresif yang sesuai dengan iklim dan suasana masyarakat di negara ini menjadi pemangkin kepada Islam Pas yang konseverstif.

Pengurangan Pas dalam tempurung silam, menjadikan Pas sebuah parti yang pasif yang mana ia sesuai untuk umat Islam yang menerima pemikiran ortodoks dan konsevertif.  Bagi masyarakat Islam yang tidak mahu berhijrah mengikut peredaran masa dan suka bertindak melawan arus sesuai berada dalam Pas. Jangan tanya apakah Pas akan berjaya atau tidak, slogan retorik menuju keredhaan Allah itu sudah mencukupi. Pemikiran laksana itu samalah dengan orang yang cukup sekadar memandang buah tetapi tidak mengecapinya.

Dengan terwujudnya GHB yang juga mengambil ajaran agama sebagai idealogi, bermakna di negara ini ada dua parti Islam. Atau dalam kata lain Pas kini sudah memiliki dua wajah, baharu dan lama, modern, progresif, lapuk dan konsevertif. Atas kebijaksanaan pemainnya dan keterbukaan ahlinya keduanya boleh berada dalam satu saf. Ini yang saya maksudkan perwujudan GHB menyempurnakan perjuangan Pas.

Memahami politik dan filsafahnya, kedua parti itu; Pas dan GHB kemudian nanatinya boleh berganding bahu bagi mencapai tujuan yang sama. Ia bukan satu kepelikan dan "kerohokan" (sukar) untuk merealisasikan ini. Walaupun mereka dipisahkan oleh badan berbeza, tetapi jika disisih diatur seelok mumgkin mereka tidak perlu bertembung sesama sendiri.

Misalnya Pas sebagai parti Islam konsevertif dimana pemikiran itu terpakai kepada mereka yang sudah berusia lebih 60 tahun atau pun anak-anak muda yang berpendidikan Islam tradisional, boleh terus wujud dan mereka akan disuburkan oleh golongan itu.

Manakala GHB sebuah parti Islam progresif yang mana ia sesuai dengan pemikiran dan citarasa anak-anak muda atau mereka berfikiran bebas, tidak mengikatkan diri dengan fahaman bersifat teologi yang ortodoks, boleh menggerak dan menjadi pemainnya. Pas boleh menguasai di kawasan luar bandar, manakala GHB menguasai di kawasan bandar dan separuh bandar.

Pembahagian zon mengikut geografi pengaruh pemikiran itu meletakkan keduanya di kawasan masing-masing tanpa bertembung di antara satu sama lain. Kemenangan keduanya di kawasan dan zon masing-masing sudah pasti menguntungkan Islam yang didokongnya.

Berdasarkan kepada teori itu, tidak perlu pelik dan saling curiga mencuriagi dan berburuk sangka di antara satu sama lain. Realiti ini akan berlaku kalau pemimpin dan pengikut kedua pihak bijak dan waras. Kerana itu bagi saya kewujudan GHB tidak perlu dibimbangi oleh Pas, jauh sekali mengsyakinya ia mengkhianati Pas (agama dan bangsa) kerana ia adalah dari akal dan benih yang sama.

Pas dan GHB diibrat air hujan, ia tidak akan mengalir ke hulu sebaliknya semuanya akan mudik ke hilir dan akhirnya akan bercantum dan berpadu di lautan. [wm.kl.8:30 am 28/07/15]

No comments:

Post a Comment