Tuesday, August 11, 2015

Bahri, penduduk Gual Periok angkat jempol kepada anda

CATATAN

Bahri menjadi ikon keberanian SPRM.
Bahri Mohamad Zin - semasa sekolah dulu, setiap pagi dia dihantar oleh ayahnya yang dikenali dengan Pak Su Zin di kalangan penduduk pekan Gual Periok. Rumahnya di Gertak Nombor tiga, jarak rumahnya dengan sekolah kira-kira 2.5 batu. Tetapi kerana kiri kanan jalan penuh semak, pokok lalang, resam, senduduk dan kemunting, menyebabkan jarak itu menjadi jauh.

Anak dara atau janda tidak berani untuk berjalan kaki bersendiri melalui jalan itu bimbang akan dipegang jantan liar.



Sesuai dengan kawasan kami luar bandar tidak ada kenderaan awam untuk berulang alik ke sekolah. Jadi murid terpaksa berjalan kaki atau mana-mana yang rumah agak jauh dari sekolah terpaksa dihantar oleh ibubapa atau pun berbasikal.

Sekolah rendah pula ketika itu hanya di pekan Gual Periok sahaja. Sekolah-sekolah lain seperti Kubang Kual, Baruh Pial apa lagi Gual Nering yang berdekatan dengan kampung Gertak Tiga masih belum ada. Selepas kewujudan sekolah Gual Periok baru ia diikuti dengan sekolah Gual Tok Deh dan Gual Sitok. Manakala Pak Su Zin yang juga bertubuh halus, berkulit putih memakai kopiah.

Jadi setiap harilah (hari sekolah) Pak Su Zin menghantar Bahri. Kalau tidak salah ingatan saya, dia berkongsi pelana (berboncing) belakang bersama seorang lagi, abangnya bernama Ibrahim. (Abang angkat).

Bolehlah dikatakan Pak Su Zin orang ada-ada juga. Punya kebun getah yang luas dan rumah yang besar. Sebelum getah dapat dituai hasil, ia ditanam dengan nenas. Nenas Gual Periok, atau Batu 8 memang terkenal sebagai nenas manis dan nombor satu. Ia mengalahkan nenas Sungai Tong atau Labis.

Sehingga hari ini kalau melalui jalan raya Pasir Mas - Rantau Panjang akan kelihatan para peniaga nenas, puluhan peniaga. Tetapi awas nenas yang dijual itu bukan seratus peratus nenas Gul Periok, tetapi ia nenas yang diseludup dari Siam.

Peniaga berjualan dilokasi itu kerana mahu semaburkan mata peniaga, kononnya ia nenas Gual Periok.

Keberadaan Pak Su Zin diukurkan kepada kemampuannya memiliki motorsikal. Kerana orang lain kalau hantar anak dengan basikal sahaja. Murid pula banyak berjalan kaki. Sementara dengan kereta jarang sekali bahkan boleh dikatakan tiada.

Setiap kali saya sampai di pintu pagar sekolah, saya ternampak Bahri, bertubuh kecil, dan berpakaian kemas akan turun dari motorsikal ayahnya. Ketika ini ingin sangat saya menjadi sepertinya, dihantar ke sekolah dengan motosikal. Tetapi apalah daya, ayah dan ibu saya orang miskin.

Bahri seorang yang pendiam, dan tidak mempunyai ramai kawan. Dia tidak aktif dipadang bola  mungkin kerana fizikalnya. Dia termasuk dalam golongan budak yang "beleh". Budak bertubuh kering dan kecil.

Selepas tamat sekolah rendah di Gual Periok, saya tidak tahu dia menyambung pelajaran ke mana. Apakah ke sekolah Menengah Rantau Panjang ataupun sekolah Menengah Lemal atau SIS di Pasir Mas. Tetapi yang diketahui dia memasuki universiti Sains Pulau Pinang. Kejayaan itu adalah antara anak Gual Periok yang pertama menjejaki ke USM. Ini boleh dikira sebagai pelajar yang pintar.

Semasa diadakan re-union sekolah Gual Periok kira-kira 12 tahun lepas, beliau tidak hadir, atau saya tidak mengacaminya. Saya hanya menyedari dimana beliau berada, apabila mengetahui dia berkhidmat dengan SPRM, kalau tidak salah menjadi penolong pengarah SPRM di Kota Bharu Kelantan.

Dari Kota Bharu beliau ditukar ke Perak, dinaikkan pangkat menjadi Pengarah SPRM di negeri itu. Semasa berlaku penghijrahan (lebih tepak berpaling tadah kerana diupah) dua orang Adun PKR ke parti Umno yang akhirnya menyebabkan kerajaan Pakatan Perak tumbang, beliau sudah berkhimat di Perak. Dalam erti kata lain beliau telah hendle kes berkenaan.

Dari Perak beliau dihantar ke Sarawak menjadi Pengarah disana. Penghantaran ke Sarawak secara mengejut, rasanya ada kena mengena dengan kes di Perak. Saya mendapat maklumat beliau kurang senang dengan birokasi atau lebih tepat campur tangan politik di Perak sehinggakan SPRM dibawah kendalinya tidak sempat untuk mendakwa dua orang Adun PKR yang berpaling tadah itu. Apakah pertukarannya ke Sarawak itu sebagai satu balasan kepadanya?

Untuk beberapa ketika saya seakan melupai kepada Bahri. Walaupun ketika itu kerap saya ke Sarawak tetapi tidak pula terpanggil untuk menghubunginya. Kawannya Syed Alwi Syed Omar ada memberi nombor telefon Bahri dan kalau saya ke Sarawak minta menghubungi Bahri. Namun saya tidak berbuat apa-apa kerana saya dengan Bahri bukan rakan sekelas dia lebih tua setahun daripada saya. Kami hanya satu sekolah dan kebetulan pula keluarganya ada bau-bau bacang dengan keluarga ibu mertua saya.

Sehinggalah meletus isu 1MDB dimana SPRM menyiasat syarikat SRC International Sdn Bhd yang ada kaitan dengan pemberian dana kepada Najib Razak sebanyak RM2.6 billion, nama Bahri meletup dan menggema ke seluruh negara. Tindakan berani, tegas dan tidak hairan Bahri terhadap percubaan menghalang tugasnya meletupkan namanya. Ia menjadikan dunia Malaysia yang beku sekejap jadi tercelik.

Kenyataanya yang keras tetapi tepat menyesali perbuatan polis yang menyerbu dan menangkap pegawai SPRM dengan berkata; "ini kerja gila" meletakkan Bahri sebagai seorang pegawai yang bukan boleh dipermainkan. Sikap yang ditunjuk itu adalah jelmaan sikap dan hasil dirikan keluarganya kepada beliau sejak dari kecil. Bahri mendapat didikan agama yang ampuh dari ibubapanya.

Tidakannya tidak berakhir disitu, kenyataanya yang lagi keras berbunyi; saya akan mencari orang bertanggungjawab mengarahkan SRPM diganggu, meletakkan dia makin dikenali. Ertinya dia tidak akan tunduk dan akur kepada kebobrokan.

Dan lebih orang mengenali lagi apabila Bahri diarah keluar dari SPRM, berpindah ke JPM serta merta sebaik beliau mengeluarkan beberapa kenyataan yang keras dan menghiris telinga berjois. Arahan itu adalah kemuncak dalam kehidupan dan kerjaya Bahri yang dilihat satu tindakan tidak berpuas hati atas kerja dan tanggungjawab yang diamangkan kepadanya.

Negara "tigatujuhkosongsatutujuh" sekali lagi ternganga dengan tindakan beraninya. Beliau tidak menunjukkan rasa gentar atas apa yang berlaku sebaliknya menyebut, kuasa orang yang bertindak menganggu tugas SPRM tidak pun sebesar mana. Bahri lebih yakin dan percaya kepada kekuasaan Allah s.w.t.

Walaupun beliau diarah berpindah ke JPM, sebagai langkah menghambat keluar beliau dari SPRM, mungkin bagi "memudahkan" pihak tertentu terus melacurkan kuasa dan menjamin petualang lepas terbiar, tetapi ia tidak menjadi kenyataan. Sebelum sempat beliau melaporkan diri ke JPM, tiba-tiba arahan itu ditarik balik dan beliau diletakkan semula di SPRM.

Tidak semena-mena Ketua Setiausaha Negara, yang dilihat bertanggungjawab dengan arahan itu menarik balik niat dan mengembalikan semula Bahri ke tempat asalnya. Tindakan drastik dan tidakan menjatuhkan maruah seorang KSN itu adalah hasil daripada desakan rakyat yang mula mengecam tidakan berjois yang cuba menganggu urusan SPRM.

Apa yang dapat ditafsirkan dengan peristiwa yang berlaku ke Bahri itu dan juga yang tertimpa rakan-rakannya yang lain, secara tidak langsung beliau telah berjaya meletakkan SPRM sebagai satu badan yang benar-benar bebas. Ia menjadi lambang kepada integriti sebuah suruhanjaya yang dibentuk atas restu Yang di-Pertuan Agong untuk keselamatan negara dan bukan menjadi kosmetik bagi mengindahkan para penyangak negara.

Demikianlah sekelumit Bahri Mohamad Zin yang kini menjadi antara nama-nama hebat dan bakal dicatat dalam sejarah dengan tinta emas dalam badan bebas itu. Bahri kita orang Gual Periok mengangkat jempol dan berbanga dengan anda. [wm.kl.8:01 am 11/08/15]

No comments:

Post a Comment