Wednesday, September 9, 2015

Mesyuarat MT Umno hari ini tetap penting, mengejutkan

SESUDAH SUBUH

Hari ini Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuarat yang diramalkan akan memutuskan sesuatu yang mengejutkan. Mesyuarat hari ini diadakan selepas selama tiga bulan majlis itu tidak bermesyuarat. MT Umno mengadakan mesyuarat rutin sebulan sekali bagi membincang perkembangan dalam parti dan juga kerajaan.

Mesyuarat hari ini ditunggu-tunggu oleh segenap pemerhati politik dan sudah tentu media massa akan menjadi lebih minat. Desas desus kononnya Najib Razak akan mengumumkan pemecatan Muhyiddin Yassin, Shafei Afdal, Mukhriz Mahathir serta beberapa ahli lain menjadi daya tarikan.

Spekulasi mengenai hal ini tersebar beberapa hari lalu. Bagaimana pun ia dinafikan oleh beberapa pemimpin tertinggi Umno, termasuk Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan juga Naib Presiden Zahid Hamidi. Hampir semua mereka mengatakan tidak ada apa-apa yang pelik dan mengejutkan berlaku dalam mesyuarat hari ini.


Boleh jadi juga penafian itu sebagai hendak melindungi sesuatu agar ia tidak terhidu oleh ahli? Atau pun mereka yang menafikan itu tidak cekap membaca apa yang ada dalam kepala Najib dan Rosmah.

Muhyiddin dan Shafei akan hadir dalam mesyuarat itu atas kapastiti masing-masing, sebagai timbalan dan naib presiden Umno. Pemecatan mereka sebagai menteri tidak menghalang mereka daripada hadir. Mereka hanya hilang hak ke atas kerajaan tetapi tidak hak ke atas parti.

Secara logik dan dilihat dari juring politik umum, tidak ada sebab untuk Najib memecat mereka berdua. Tidak perlu Najib menambah penderitaan dan kesusahannya apabila keadaan kini seakan terkawal. Memecat mereka seolah-olah Najib menambahkan penyakit. Tindakan itu juga akan dianggap Najib sudah melmpau dan menjadi bodoh untuk kali kedua.

Pemecatan kedua mereka sebagai jemaah Kabinet pun sudah meriuhkan keadaan dan menimbulkan rasa tidak puas hati orang-orang Muhyiddin dan Shafei. Mereka tidak dapat menerima hakikat itu. Sedikit sebanyak Umno retak dengan tindakan dramatik itu. Apakah Najib mahu menambahnya lagi.

Soalnya apakah Najib akan terus biarkan mereka berdua berada dalam Umno? Inilah persoalan yang bermain di kepala umum dan juga mauduk yang tersendak dalam kotak fikir Najib. Najib tidak boleh sewenang-wenangnya memecat kedua mereka kerana keberadaan mereka di situ atas kehendak perwakilan Umno. Untuk jawatan Kabinet Najib boleh melakukan apa sahaja kerana itu hak prerogatif beliau sebagai perdana menteri.

Manakala tidak menyelesaikan mereka berdua menyebabkan kepala Najib terus berdenyut dan sakit. Muhyiddin dan Shafei bukan lagi bersifat duri dalam daging tetapi ia adalah nanah yang memamah tisu-tisu daging Najib. Muhyiddin dan Shafei sudah menjadi bisul yang tidak kalih dengan ubat tahan sakit lagi.

Inilah yang menjempitkan Najib. Untuk memecat Muhyiddin dan Shafei ia memerlukan persetujuan parti, atau mendapat perakuan daripada lembaga disiplin parti. Lembaga itu boleh membuat perakuan kepada Najib atau Najib boleh menggunakan lembaga itu untuk memecat kedua mereka daripada Umno.

Hanya dengan cara itu sahaja bagi mengelakkan Najib terus berhadapan daripada melihat muka mereka berdua.

Bagi Najib adalah baik kalau penguguran Muhyiddin dan Shafei iru dibuat oleh lembaga parti kerana ia tidak menampakkan kerakusan kuasa vetonya. Najib tidak mahu dianggap sebagai diktator demokrasi.  Apapun perakuan lembaga itu benar, tetapi titik tolaknya akan dilihat ia bersumber dari Najib juga.

Dari sudut lain Najib tidak boleh membiarkan Muhyiddin dan Shafei terus berada dalam Umno. Bukan sahaja menjadikan Najib "semen" (malu) untuk melakukan sesuatu apabila Muhyiddin dan Shafei tercokoh di hadapannya, tetapi permainan politiknya terganggu. Rahsia parti yang patut diluahkan dalam MT bagi mendapat pembela oleh para pembodeknya, menyebabkan Najib ragu-ragu untuk mengucapkan kerana ada orang-orang yang sudah tidak dipercayainya. (Baca orang yang tak sedia jadi yesman).

Yang meyebabkan Najib kurang selera makan, tentu dia membaca Muhyiddin dan Shafei akan berkolobrasi untuk melakukan sesuatu kepadanya sebagai tindakan atas keberaniannya terhadap mereka. Apa yang mungkin difikirkan Najib, Muhyiddin dan Shafei akan menggunakan perhimpunan agung Umno untuk bertindak. Hari ini kedua mereka boleh sabar, sambil itu menyusun strategi.

Yang bermain dalam kepala Najib tentukan perhimpunan agung akhir tahun ini. Najib tidak mahu dalam perhimpunan itu nanti tiba-tiba ada usul tidak percaya kepada beliau. Ataupun ada mana-mana perwakilan berucap meminta agar permilihan Umno diadakan pada tahun depan mengikut kehendak perlembagaan. Situasi ini perlu dielakkan oleh Najib.

Ada tanda-tanda Muhyiddin dan Shafei akan membela dirinya menerusi perhimpunan itu. Selagi dia masih sah sebagai ahli Umno, mereka berdua akan menggunakan kesempatan itu.

Makanya bagi mengelakan kemungkinan berlaku tindak balas Muhyiddin dan Shafei dalam perhimpunan, maka mereka berdua dan beberapa yang lain harus disingkirkan dalam Umno. Apa dilakukan Dr Mahathir Mohamad terhadap Anwar Ibrahim 14 tahun lalu mungkin boleh dipraktikan oleh Najib. Biarlah Muhyiddin dan Shafei menentangnya dari luar.

Pun begitu jaminan sesetengah pemimpin Umno bahawa mesyuarat hari ini adalah biasa-biasa sahaja tidak mudah untuk dipercayai. Dalam keadaan terluka, sakit dan terhina oleh perbuatannya sendiri Najib boleh melakukan tindakan diluar fikir orang ramai seperti mana dia memecat Muhyiddin dan Shafei Afdal, dimana ia tidak terfikir oleh sesiapa.

Perlu diingat Najib sudah mula bersikap keras dalam politik kerana sikap itu yang boleh menjamin dia bernafas sebagai PM setidak-tidaknya untuk beberapa hari ini lagi. Dan ada juga yang meramalkan mesyuarat MT hari ini dilihat sebagai mesyuarat terakhir bagi Najib kerana dia akan melepaskan tanggungjawab kerajaan dan parti kepada Zahid Hamidi? [wm.kl.6:58 am 09/09/15]

No comments:

Post a Comment